Detik bersama kami. Dari kiri: Dom, Rosdi, Asri dan Salleh |
Majlisnya, bacaan tahlil.
Dua kali saya ditakdirkan dapat
ke rumah keluarga Tan Sri di Alor Ibus dalam bulan Disember ini.
Kedua-dua kalinya saya rasa
amat bertuah.
Seperti seluloi, lepas bacaan tahlil, mesti ada bacaan doa makan secara
nafsi-nafsi. Kalau sudah membaca doa makan, faham-fahamlah. Takkanlah semua
tetamu beratur untuk memasuki tandas….
Kemudian, saya berkesempatan
bertemu beberapa orang budak Falah.
Yang kemudian itulah yang
paling menyeronokkan. Maklumlah, inilah peluang bertemu bekas anak murid yang
sekarang berpakaian seperti ayah-ayah, walaupun bukan semua berstatus ayah atau
suami orang…
Kali
Pertama:
Kalau tidak silap pada 3 Disember. Selasa.
Saya dan Cikgu Non sampai ketika agaknya tekong sedang membaca bahagian akhir doa kedua, ayat 10 surah Yunus
itu:
Yang bermaksud:Doa ucapan
mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai
Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan
akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara
dan mentadbirkan sekalian alam!
Sebabnya sebaik sahaja kami melangkah ke jalan masuk rumah
keluarga Tan Sri itu, para tetamu sedang meraup muka buat kali terakhir,
sebelum masing-masing bangun menghurungi dua meja berbeza lokasi yang di
atasnya diletakkan apa yang patut…
Sebagai orang yang sedar diri, kami pun memperlahankan
langkah. Silap kami kerana keluar lewat dari rumah. Dalam mesej undangan
disebut: selepas Isyak. Ingatkan pukul 10 malam pun ok kut – masih jauh dari
waktu imsak dan Subuh….
Tenda putih di tengah laman segera dipenuhi tetamu yang baru
mendapat habuan masing-masing. Dari jauh kami nampak Tan Sri tetapi dia sedang
sibuk melayan tetamu tempatan. Maka terlebih dahulu kami disapa oleh Najib,
adik Tan Sri. Kemudian muncul pula Mohd Nizom,abang Tan Sri yang sudah amat lama
– sejak 1988 – tidak saya temui. Maka berpelukanlah kami sambil memperagakan
perut masing-masing…Sejak dulu saya dan kawan-kawan memanggilnya Dom,
walaupun dalam fb namanya a la-a la
orang Espana….
[Nizom, Tan Sri, Najib dan seorang adik perempuan mereka
adalah bekas pelajar AlFalah. Untuk makluman, sampai kini saya
tidak tahu bilakah Tan Sri mendapat gelaran kedua tertinggi negara itu. Saya hanya
memanggil begitu berdasarkan panggilan dari orang lain kepadanya di dalam fb.
Seganlah mahu ditanya tuan punya badan. Takut dikatakan tidak peka ehwal negara
pula… Maaf, Tan Sri.]
Bersama di luar khemah itu adalah sepupu mereka yang saya
kenal wajah tetapi terlupa nama. Khairul
Something… Berkali-kali saya bertanya namanya selepas itu kepada
adik beradik Tan Sri, sehinggakan Tan Sri tergelak dan menebak: ‘Ni nak tulis dalam blog la …. Sampai hari ini pun
saya tetap tidak ingat nama penuh Khairul itu. Cuma yang saya ingat, semasa
bersalam dengan saya, ada dia mengatakan: Cikgu ‘ni dulu, cukup pantang kalau kita tulis
ringkas-ringkas! Agaknya dia mahu mengatakan juga, sekarang ini,
hampir semua orang menulis secara ringkas ketika menghantar mesej via telefon
genggam atau malah dalam laman sosial… Saya tersengih. Ingat lagi dia suasana
di kelas dulu.
Khairul tidak berbual lama kerana selepas kami sibuk mencari
tempat parkir punggung, dia tidak muncul-muncul lagi. Tenggelam dalam keriuhan
tetamu.
Belum pun sempat duduk saya dan Cikgu Non bertemu pula dengan
seorang lagi budak Falah. Besar saiz badannya, sekali ganda dari saiz zaman
sekolah dahulu. Tetapi ada dua lagi perkara yang menarik tentangnya ketika kami
masih berdiri itu. Pertama saiz perutnya yang sebaya dengan punya saya dan Nizom. Kedua, ketika bersalam, dia
yang sedang meratah kuih tepung
bungkus, memberikan satu kepada saya. Ingatkan acah-acah, rupanya beneran,
tidak mahu diambilnya semula. Maka saya pun menyimpan tepung bungkus itu ke
dalam poket baju. Ada juga budak Falah berseloroh begitu… Itulah Asri Hashim.
Selepas duduk dan terangguk-angguk melayan beberapa orang yang
mempelawa kami mengambil habuan seperti mereka, saya nampak Pak Din
[Thakiyuddin Abdullah] yang saya catatkan pertemuan dengannya dalam
entri lama dulu. Kalau ada dia, pasti ada Salleh Husin. [Ini diakui oleh orang setempat
mereka]. Maka dalam dua tiga tolehan mencari, saya nampak kelibat Salleh sedang
menyuap nasi di satu sudut, di luar tenda putih. Perlahan dan tenang.
Di sisi kami duduk pula seorang budak Falah – Rosdi.
Mulanya, dalam kekhusyukan menikmati hidangan, dia tidak mengecam kami. Selepas
kenyang, dan mata pun terang, gamaknya, barulah dia perasan. Lamalah juga suami kepada
Muniroh
Mohamad[juga budak Falah dari Permatang Ibus] itu berbual dengan
kami. Paling banyak peratus, tentang penanaman cabai besar yang sedang
diusahakannya. Peratus lebihan lagi tentang perniagaan dekat rumah serta bersangkutan
rakan-rakan semasa di AlFalah.
Sambil itu, saya dan Cikgu Non bangun mengambil makanan utama
walaupun kami sebenarnya masih mahu melapangkan lagi usus besar. Membiarkannya
berehat lebih. Tetapi Tan Sri yang datang mencelah kami berbual, sempat
mengugut: Sat lagi depa angkat simpan, tak boleh
makan ‘dah… Apakan daya kami…
Seperti seluloi, sambil berbual kami makan atau sambil makan
kami berbual. Terus dengan Rosdi, kemudian disertai pula oleh Asri Hashim. Tan
Sri dan Najib serta Dom menyertai kami secara bergilir, agaknya mereka berone-two som tanpa
pengetahuan kami. Cuma pada babak akhir sahaja Dom dan Tan Sri datang berbual
serentak.
Ada sekali ternampak kelibat Sobri Zakaria[dia serta saudara
kandungnya –Zaleha,
Fakhrurozi dan Zuraida adalah
juga budak Falah], tetapi dia hanya menegur ketika mahu berjalan pulang.
Senyuman anak murid yang masih solo itu tetap semanis dahulu…
Ada dua tiga orang lagi budak Falah yang masih saya cam wajah
mereka. Malangnya mereka tidak mengikut laluan yang memungkinkan bertemu kami
semasa mau pulang. Kami berada di kaki lima rumah adik perempuan Tan Sri yang
belajar di AlFalah itu. Laluan ke luar kampung terletak lebih 10 meter dari
situ.
Tak apalah. Ini bukan majlis reunion…
Selepas itu muncul Pak Din yang diikuti oleh Salleh. Bersalam mesra
dengan saya dan Cikgu Non. Pak Din tetap seramah dulu dan Salleh masih sependiam
dulu. Salleh duduk tenang di sisi saya dengan senyum yang tidak pernah hilang.
Sepatah yang saya tanya, kadang-kadang hanya separuh patah yang dijawabnya atau
kadang kala melalui anggukan dan kerapnya dalam bentuk senyum. Tenang dan innocent.
Pak Din? Dialah penyeri bagi saya.Riuh sekali suaranya sejak
menyapa kami. Ada-ada sahaja soalannya dan jawabannya kepada soalan kami pula
semuanya mengundang senyum semua yang mendengar.Saya masih ingat bagaimana dia
berkata ‘hang dulu cengey sungguh noo…’ ketika berjumpa di Batas Paip, seperti
yang saya catat itu.
Malam itu pun saya yakin dia akan mengeluarkan kalimah yang
akan lama saya kenang… Dan yang saya tunggu tidak lama untuk muncul….
Dalam Cikgu Non asyik berbual dengan Rosdi, dan merasakan
bekas cikgu matematiknya itu tidak mempedulikannya seketika, Pak Din mencuit
saya. Dia mengisyaratkan ke arah jambang Cikgu Non. Saya memerhatikan wajah
biasa sahabat itu.
“Awat?” tanya saya.
“Maksiat banyak dia ‘tu!” balas Pak Din. Saya terkejut dan
Asri Hashim yang mendengarnya tergelak. Salleh hanya tersenyum – seperti
sedianya.
“Maksiat apa?” tanya saya lagi. Sambil bersedia mendengar
jawapoan yang tidak terjangka…
“Dulu dok tibai oghang
sangat…” kata Pak Din, wajahnya serius.
“Bila?” tanya saya dalam keadaan pra-ketawa.
“Dulu la. Masa dok mengajaq dulu. Kigha dok tibai oghang
saja…” masih serius wajah Pak Din.
Saya tertawa. Asri Hashim tertawa. Salleh tersengih.
Cikgu Non tidak perasan punca ketawa kami dan terus berbual
dengan Rosdi.
“Non! Hang dengaq
dak Pak Din kata apa kat hang….?” Kata saya memanggil Cikgu Non. Cikgu Non
masih tidak menghiraukan.
Ketika saya memanggil Cikgu Non kali kedua, Pak Din tertawa
dan melompat dari kerusinya, berlalu sambil menggayakan : apalah hang ‘ni? dengan tangannya kepada saya. Dari
jauh dia melihat sambil menggumam sesuatu ketika saya ceritakan kepada Cikgu
Non katanya tadi. Cikgu Non dan Rosdi tertawa. Pak Din saya lihat masih
menggayakan tangannya kepada saya: apalah hang ni.
pi habaq buat apa?
Apabila Dom datang berbual lama dengan kami barulah Pak Din
menghampiri kami sambil sempat lagi memarahi
saya yang memberitahu hal tadi kepada Cikgu Non. “Apalah…” katanya.
Kemudian, Tan Sri pula datang merakamkan suasana itu.
Sayangnya wajah Pak Din tidak terakam sama. Kalau tidak, dapatlah rakan-rakan
sekelasnya dahulu menatap wajah cerianya kini – yang sudah bergelar suami dan
ayah. Wajah Saleh pun tidak begitu jelas. Kalau tidak bolehlah dilihat senyum
kekalnya ….
“Nak bubuh dalam FB…”kata Tan Sri sambil merakam beberapa
kali. Saya harapkan malam itulah juga dapat melihat hasil rakaman tersebut. Namun
hanya seminggu kemudian baru foto itu muncul. Benarlah kata hati saya sejak
lama: sibuk sungguh Tan Sri nan seorang ini…
Ada seorang lagi budak Falah, jiran merangkap adik angkat Tan
Sri. Sayangnya saya tidak ingat namanya sebab muncul amat singkat di AlFalah,
malah abang angkatnya pun terlupa bahawa insan itu pernah singgah di sekolah
agama rakyat itu. Kata Tan Sri, sepanjang sakit arwah ayahnya, adik angkat
itulah yang banyak membantu melihat-lihat. Maklumlah Tan Sri dan
saudara-saudaranya yang lain berada agak jauh dari kampung. Hamba Allah itu pun
terlalu sibuk untuk saya tegur atau sapa, dan rasanya mungkin tidak juga mengingati
saya. Tak apalah.
Asri Hashim bersalam dengan kami tanda telah tiba waktu
tidurnya. “Saya tak boleh berjaga lewat …”katanya sebagai alasan untuk meminta
dirinya dilepaskan. Takkanlah kami mahu menghantarnya yang terlena ke rumah
kelak, walaupun masih banyak yang mahu dibualkan memandangkan telah dua dekad
tidak berjumpa. Saya menepuk perutnya sekali sebagai tanda izin… Dia tertawa.
Melihat Asri pergi barulah saya teringat tepung bungkus di
dalam poket baju. Saya buka dan memakannya. Sebagai pengiring ke perut, saya
teguk kopi o yang sejak tadi diletakkan di sisi kerusi kami….
Rosdi juga mengikut jejak Asri. Alasannya: esok ada urusan tentang cabainya. Lagi satu, dia ada bisnes yang khabarnya masih berjalan ketika kami berbual itu - bines depan rumah.
Kemudian Pak Din pula meminta diri untuk pulang bersama
Salleh. Dititipkan satu bungkusan nasi oleh Tan Sri kepada ayah Pak Din, bekas
AJK Lembaga Tadbir SMA AlFalah pada hujung dekad 80-an itu.
Saya hanya berpesan agar cepat-cepat dicarikan samatua untuk Salleh. “Dia tak mau…
Payah dia ‘ni!” kata Pak Din, serius. Saya tergelak melihat aksinya
mengisyaratkan tangan kepada Salleh. Si teruna teman rapatnya itu, bagai telah
diskripkan, hanya melemparkan senyum sambil tunduk bersalam dengan kami. Semoga
Allah menemukan jodoh buat Salleh yang kini tinggal berdua dengan ibunya.
Kami duduk berbual sebentar lagi, sebelum Cikgu Non pula
berkata, “Jom kut kita…” Mungkin dia melihat wajah Tan Sri yang kurang bermaya.
“Pekena kuetiau Iman pulak kut…” usik Dom sebelum kami pula mahu
berangkat pulang. Dom agaknya menguji Tan Sri yang khabarnya hanya merasa sah
pulang ke Kedah jika dapat menikmati kuetiau di Taman Pandan, Mergong itu.
Fuh!
Tetapi waktu itu, Iman sendiri mungkin sedang membilang helai
wang di rumahnya… Malam sedang mahu bertukar tarikh…
...bersambung Malam Kedua...
No comments:
Post a Comment