Ada ketikanya dengan kekangan tunai, gaji atau elaun guru tertunggak sehingga dua tiga bulan. Sekolah rakyat, milik rakyat untuk rakyat, maka guru yang juga rakyat, yang maehaen pula, kena terimalah keadaan itu...
Pening agaknya pihak pentadbir melihat cepatnya daun kalendar dikoyak. Sekejap sahaja sudah kena sediakan wang untuk membayar gaji serta bil-bil bersangkutan sekolah.
Baru sahaja rasanya untuk bulan lalu, sudah datang pula bil dan beban bulan baru...
Sumber utama sekolah rakyat adalah dari kutipan yuran pelajarnya. Memanglah ada bantuan dari Jabatan Zakat serta bahagian tertentu Kementerian Pelajaran, namun itu bukanlah tetap dan melimpah. Kena tengok pula jumlah pelajarnya. Kalau sedikit pelajar, kuranglah pula nilai bantuan.
Tentang yuran pula bukanlah macam orang kutip tol. masuk atau melintas sahaja bayaran mesti ada. Tunai atau pasca bayar.
Di sekolah kadangkala hingga hujung tahun guru-guru kelas terpaksa membawa resit yuran. Ada ketikanya dalam sebulan hanya dua tiga orang yang membayar. Sebab itulah bagi guru yang kurang prihatin, kulit resit kadangkala telah tertanggal, tetapi kandungan resit tidak banyak yang susut. Liat benar waris mahu membayar yuran...
Telah menjadi semacam senandung biasa: kalau sekolah menengah kerajaan, pada bulan Mac sahaja hampir semua jenis yuran telah dibayar... Kalau sekolah rakyat/ Arab, silap-silap sehingga anak tamat sekolah dan beranak pinak pun belum tentu semua yuran dijelaskan.
Saya ada banyak contoh yang tersimpan di arkib peribadi...
Nasib sangatlah kalau sesudah beranak pinak itu, timbul kesedaran untuk datang melangsaika yuran tertangguh. Setakat pengalaman saya, hanya SEORANG yang pernah berbuat begitu. Sila rujuk entri lama tentang SEORANG itu, yang sepatutnya menjadi contoh.
Barang diingat yuran yang dikutip itu bukanlah yuran bulanan, sebaliknya yuran tahunan [pada masa itulah]. Sekarang saya tidak tahu bagaimana kaedahnya pembayaran yuran di sekolah agama rakyat [ tidak termasuk sekolah yang mendapat bantuan dari Kementerian Pelajaran - SABK ].
Bercakap tentang yuran, saya teringat satu kisah yang menyayat dan berbekas kekal.
Saya diminta menguruskan hal ehwal pentadbiran pejabat sekolah bersama Ustaz Zahari Ahmad. Ketika itu, Ustaz Fairose - sang mudir - akan menyertai jemaah bakal haji selama lebih kurang tiga bulan. {Waktu itu masih ada apa yang dikatakan orang kampung sebagai pergi haji secara melancong, maksudnya pergi tanpa perlu melalui Tabung Haji}.
Sepanjang ketiadaan Ustaz Fairose, tidaklah wujud sebarang masalah. Sekolah berjalan seperti biasa denga kakilimanya....
Hanya satu hal: Duit!
Apabila cukup masanya, gaji dan bil perlu dibayar. Bulan pertama masih OK sebab almudir meninggalkan bekal juga. Masuk bulan kedua, bekal tinggal amat sedikit.
Untuk menampungnya, saya dan Ustaz Zahari melancarkan kempen membayar yuran.
Pelbagai cara halus-halusan digunakan. Pertama, bercakap di depan perhimpunan pagi. Kedua, membangkitkan ketika menutup majlis muhadhoroh. Ketiga, menghantar surat kepada waris dengan si anak mereka sebagai posmen dan posnitanya. Keempat, masuk ke setiap kelas dan membacakan nama pelajar yang mempunyai yuran tertunggak.
Kaedah ketiga di atas memang berisiko sedikit kerana bukan semua posmen dan posnita itu jujur. Ada yang tidak sampai ke destinasi, mungkin nama yang ditulis itu tidak terdapat di alamat yang tertera... Adaka? Banyak surat itu kemudiannya saya sendiri jumpai terselit di dalam buku-buku latihan atau buku teks, terutamanaya setelah Ustaz Fairose kembali bertugas dan saya sendiri tidak lagi memiliki kad kuasa untuk mengambil tindakan...
Kaedah keempat, paling saya cuba elak dari digunapakai, kerana semasa belajar dahulu pun, saya amat terseksa, jika guru melakukannya di dalam kelas, kerana nama saya sentiasa ada dan tidak jarang pula berada di tempat teratas... Saya faham sangat apa yang dirasa apabila nama kita disebut pada ketika kita tidak perlu diglamorkan secara itu!
Ada juga kesan pada mulanya. Ramai yang tertunggak sehingga tiga tahun pun mula menjelaskan secara berdikit. Lima puluh atau seratus ringgit. Bagi yang tertunggak hanya pada tahun itu, sepuluh atau dua puluh ringgit pun diberikan.
Namun ada satu nama, jangankan sepuluh ringgit, satu persepuluh daripadanya tidak sampoai ke tangan kami. Saya kenal pelajar itu. Tahu kedudukan kewangannya.Keluarganya bermasalah yang tidaklah saya sebutkan kepada Ustaz Zahari. Saya cuba mengelak dari memanggil nama pelajar tersebut di dalam kelasnya yang terletak bersebelahan pejabat itu. Agar nama yang sememangnya berada paling atas dengan amaun yang lumayan, tidak diketahui rakan-rakan.
Bagaimana pun saya tersilap.
Saya hanyalah Osman anak Orang Kaya Bakar di dalam filem Keluarga 69. Orang Kaya [OK] Bakar tidak tahu duduk perkara ketika Osman sengaja tidak menyebut nama yang satu itu.
Maka setelah tiga minggu namanya tidak pun bertanda di buku yuran, sebagai telah membayar walaupun sedikit, OK Bakar pun bertindak, tanpa pun memberitahu kepada Osman. Dipanggil penyewa....err...pelajar tersebut ke depan kelas, menyuruh memberitahu ayahnya agar sedikit sebanyak dapat menjelaskan yuran. Dalam keadaan itu, pelajar tersebut telah berjanji akan menjelaskan sedikit yuran pada minggu berikutnya. OK Bakar berpuas hati.
Kutipan dan pembayaran berjalan seperti biasa, sedikit-sedikit, dari pelajar lain sepanjang minggu berkenaan. Osman yang bersimpati dengan keluarga pelajar nan seorang itu tidak pun tahu bahawa OK Bakar sedang membilang hari.
Sampai hari yang dijanjikan, pelajar berkenaan tetap tidak muncul bersama wang, tidak kiralah berapa pun nilainya. OK Bakar hanya diam.
Besoknya Osman diajak masuk ke kelas bersebelahan pejabat itu. OK Bakar memanggil nama pelajar yang telah dipanggilnya lebih seminggu lalu. Pelajar itu berdiri. Osman terkejut.
OK Bakar dengan lembut bertanya tentang yuran. Pelajar berkenaan tunduk. Airmatanya bergenang.
"Anta bagitau ayah anta?" Tanya OK Bakar.
Pelajar itu menggeleng.
"Dah tak bagitau macam mana ayah anta nak tau?" kata OK Bakar, juga secara lembut nadanya. Ada beberapa rakan sekelas tertawa sedikit. Pelajar itu menunduk. "Macam mana anta boleh berjanji minggu lepas...." sambung OK Bakar perlahan, lebih kepada dirinya dan Osman yang tegak di tepi meja guru.
OK Bakar berfikir sejenak.Dia memandang muka Osman, meminta pandangan. Osman tidak berkata apa-apa. Kalau dia tahu dia tidak akan pun mengikut OK Bakar, malah mungkin menahan OK Bakar ke situ, semata-mata mahu bersemuka dengan pelajar kurus tigggi yang sedang menunduk, dan sesekali menyeka air mata yang berladung. Osman tahu rasa hati pelajar tersebut. Berada di tengah rakan sekelas dengan sebab yang tidak dipinta itu tentulah membiakkan rasa malu yang amat sangat.
"Macam ni lah. Esok minta sedikit duit dari ayah anta.." kata OK Bakar setelah diam yang sedikit lama.
"Ayah tak dak di rumah...." perlahan sahaja suara pelajar berkenaan.
"Kalau dia balik..." potong OK Bakar.
"Ayah tak akan balik!" Kuat pula jawapan yang diterima. Separuh menjerkah. Osman terkejut. OK Bakar juga terkejut. Dia memandang ke wajah Osman seketika sebelum kembali berpaling ke tengah kelas.
"Ayah anta pi mana?" tanya OK Bakar.
Pelajar itu tunduk. Ibu jari dan telunjuknya memicit pangkal hidung. Tanpa jawapan tapi matanya sedikit mengerling ke arah Osman. Osman terpempan. Berbaur sekali perasaannya. Macam mahu ditahannya soalan sebegitu berulang dari OK Bakar itu. Tetapi tidak sempat...
"Ayah anta pi mana?" soal OK Bakar sekali lagi.
Pelajar itu tidak juga menjawab. Dia mengerling ke arah Osman sambil terus memicit pangkal hidung dann dua kelopak mata yang lembab.
"Ayah anta dah tak ada?" tanya lagi OK Bakar sambil menjeling kepada Osman. Agaknya mencari jawapan.
Pelajar itu menggeleng. Osman merasa inilah detiknya untuk mengajak OK Bakar keluar sahaja dari kelas. Kutipan yuran dari pelajar itu tidak akan terhasil. Nanti dia akan ceritakan hal keluarga pelajar berkenaan kepada OK Bakar, di dalam pejabat sahaja.
Tetapi sekali lagi Osman terlambat...
"Ayah anta pi mana?" sekali lagi OK Bakar bertanya.
"Ayah saya tak balik. Dia duduk dengan darai!!!" Begitu kuat jawapan dari mulut pelajar berkenaan sambil kemudiannya teresak-esak.
Seleruh kelas diam.
OK Bakar tersentak. Dipandangnya wajah Osman dan tanpa sepatah kata melangkah laju meninggalkan kelas. Osman yang sama tersentak tadinya mengikut OK Bakar.
Di pejabat, OK Bakar terduduk. Dia menggeleng. Antara percaya dengan tidak dia mendengar jawapan itu. Ketika Osman masuk dan bercerita tentang keluarga pelajar tersebut, OK Bakar memandang tepat ke wajah Osman.
"Awat anta tak habaq?...." katanya.
"Mana sempat. Ustaz terus ajak masuk kelas tu.." kata saya sebagai Osman. Ustaz Zahari sebagai OK Bakar berkali-kali lagi menggeleng.
"Tu yang kata budak-budak noo. Depa tak selindung langsung...." katanya. "Kalau ana tau dia nak jawab macam tu, tobat ana tak tanya aih..."
Saya hanya tersengih.
Kalaulah kita tahu jawaban sebelum mengemukakan soalan...
***********
**********
Nota:
Ibu-bapa dan guru, semoga kisah benar ini membuatkan kita berfikir...
Darai - daghai, dalam lidah Kedah - bermakna pondan. Bukan sedikit lelaki yang tergila-gilakan darai sehingga sanggup tinggal bersama dalam tempoh yang lama, sehingga melupakan anak isteri, tanggungjawab, malah melupakan Allah!
No comments:
Post a Comment