9 June 2012

Dato' Haji Ismail Hashim Di AlFalah


 

Minggu ini berlangsung Majlis tilawah alQuran Peringkat Kebangsaan. Kali ini diadakan di Johor. Keputusan telah diumumkan. Kedah hanya mampu mendapat tempat tempat ketiga bahagian qariah....

Salah seorang peserta kali ini [tahun lepas juga] bernama Hj Ismail Hashim, mewakili negeri Perlis.

Mendengar namanya, tiba-tiba saya tenggelam ke masa silam.

Ismail Hashim....

Di Kedah, kalau disebut Mail{Mae] Hashim, semua akan merujuk kepada satu figura sahaja. Itulah Tuan (ketika itu) Hj Ismail Hashim. Sembilan kali juara tilawah peringkat kebangsaan serta lapan kali pula johan tilawah peringkat antarabangsa.Pernah diundang memperdengarkan bacaannya di banyak negara luar. Satu pencapaian yang mungkin mustahil digapai oleh qari-qari lain selepasnya pun.

Beliau adalah legenda di bidang tarannum alQuran.

Namun, apalah sangat bidang itu di mata kita.... Buktinya, hanya ada dua keping gambar yang ditemui oleh Pakcik Google. Itupun hanya dari satu laman web. Bandingkan jumlah foto untuk legenda di bidang lain.....[*Di hujung catatan ini sengaja saya tampal satu tulisan dalam satu blog kepunyaan insan yang tidak sempat mengenali Hj Ismail Hashim]

Biarlah. Bagi saya, dia tetap idola. Tiada duanya.

Dulu, majlis kenduri kahwin yang agak mewah akan menyewa pembesar suara [loud speaker]. Bukan a la dj seperti sekarang. Tidak akan sah jika tidak dimulakan dengan bacaan alQuran oleh qari/qariah. Biasanya piring hitam bacaan mereka diterbitkan di bawah label Olimpia. Namun yang paling popular pastilah bacaan Mae Hashim. Dalam serat calar piring hitam, muncullah suaranya,"Bacaan alQuran oleh Tuan Haji Ismail Hashim" diikuti bacaan berlagu yang membuatkan pakcik-pakcik yang sedang menghiris daging terbuai - berbaur antara bangga dan kagum. Itulah suara jantan anak jati Kedah!

Bacaan pilihan saya adalah pada petikan surah alBaqarah ini......


Tempoh tiga belas tahun [ 1962 - 1975], beliau menjuarai sebanyak sembilan kali!

Maka apabila beliau menawarkan diri untuk datang melatih puteri Alfalah, tentulah semua pihak menerima dengan semua terbuka - tangan, dada dan hati. Seorang legenda datang ke AlFalah!

Ketika itu usianya mencecah 50 tahun. Tidak lagi aktif menyertai pertandingan, lebih sebagai pakar rujuk dan jurulatih. Ramai protegenya.

Selain bacaan berlagu alQuran, beliau yang bertugas di Jabatan Agama Islam Kedah, juga mencungkil bakat  penasyid. Jadi kedatangannya ke Alfalah, bukanlah sebagai jurulatih tarannum, sebaliknya menjadi pembimbing kumpulan nasyid.

Saya[aku ada!] adalah antara yang menyambut salamnya ketika kali pertama datang.Beliau melatih pelajar di dalam kelas yang tapaknya kini adalah bangunan yang pernah menjadi bilik pengetua/pejabat. Banyak kali beliau datang, hingga tertubuhlah kumpulan nasyid AlFalah, yang kemudiannya dibawa mengadakan persembahan di beberapa tempat.

Seronok puteri-puteri AlFalah yang terpilih tidaklah dapat saya gambarkan, kerana saya bukan salah seorang puteri itu.... Selain dilatih oleh orang terkenal, dibawa merata seumpama artis....Bayaran juga ada, selain diberi pakaian sedondon untuk persembahan.

Antara yang saya ingat, artis-artis itu adalah Rohaniah, Solehah Hj Hamid, Suharnie Hj Saad dan arwah Sharifah Hj Ishak. Yang empat lima orang lagi, saya angkat tangan. Maaf. Tidak terjangkau memori.

Selepas pembubaran kumpulan nasyid berkenaan atas beberapa faktor (biasalah: sedangkan kumpulan Searh dan Wings pun pernah berpecah....), saya menjangkakan itulah saja hubungkait Haji Ismail Hashim dengan Alfalah.

Namun takdir menentukan, selang beberapa tahun, seorang gadis kecil molek datang melaporkan diri sebagai guru di AlFalah. Namanya Khamariah binti Ismail. Beberapa hari kemudian barulah saya tahu cikgu muda itu merupakan anak dara qari tersohor tersebut.

Dari Cikgu Khamariah, sekurang-kurangnya, kami tahu serba sedikit perkembangan semasa Tuan Hj Ismail. Lama juga Cikgu Kay[panggilan kami] mengajar di AlFalah. Malah, dalam tempoh itulah beliau berkahwin, dengan majlisnya meriah di rumah mereka di Jalan Kuala Kedah.

Dato' Haji Ismail Hashim meninggal dunia, akibat sakit jantung, pada 7 Ogos 1996, pada usia 64 tahun. Izinkan saya menggunakan satu ayat klise apabila ada kematian seseorang tokoh: Negara kehilangan seorang yang cukup berjasa....

Semoga rohnya sentiasa di dalam rahmat Allah.


Tentang Cikgu Kay, tiada lagi saya mendapat khabar selepas bertukar dari AlFalah. Maklumlah, komunikasi ketika itu tidak seanggun kini.


Cikgu Kay, di manakah puan?


Banyak detik di AlFalah yang kita lalui dan hadapi, masih tertancap di sini - di hati.

*Tampalan:


Isnin, 10 Ogos 2009


Ke mana Pengganti Hj Ismail Hashim



Salam sume.Terlanjur skg ni time tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa,aku ada terdengar mak ayah aku borak pasai Ismail Hasim.Diorg ckp smpai skunk ni malaysia xda pengganti beliau.Aku xtahu sape Ismail Hashim,macam mana muke ke suara ke,padahal aku da tenet kt umah.Mcm mana ari ni aku dgr mak ayah aku borak,aku pun truss la cr kt youtube.Siot xde.....aduss mane nk cr ni.Aku pon gatai tgn la g kt google cr gambar ke,mp3 Ismail Hashim ke.Tupx3 aku dpt gmbar ni.Ayah aku kt,betul la ni la gmbar beliau.Dh dpt gmbar aku pun truss kan perjuangan tuk cr mp3 beliau.Cari punya cari,aku dpt la kat IMEEN.COM(http://www.imeem.com/fauzanibrahim/music/GcfLsD_Z/ismail-hashim-al-baqarah-30-39/) xsilap aku.PEHHHHH mmg dasyat la Ismail Hashim ni.Dia pnya stly lagu mmg merdu abis,dgn suara yg agak besar gitu aku dgr,PEHHH rasa mcm bergaung mcm mane tah susah nk ckp la.Pas 2,ayah aku da bersuara kt blakang aku,Ismail Hashim 8x dh menang tilawah ni.Aku dgr cm xcaye beb,8x.Aku da terpikir gak,apsal name beliau xde dlm guinness world book of records.Rare ni nak dpt smpai 8x menang ni..Geng tok arab pun xbleh cr makan ni...Klu la korang terbuka tenet la,try la cr mp3 Ismail Hashim.Mmg best,lain dari yg lain..Malaysia book of records xsure la ada ke x..mybe ada kot..k..assalamualaikum

*********************************************************************************
Aku xtahu sape Ismail Hashim,macam mana muke ke suara ke


Itu kata anak muda di atas. Saya tahu siapa Ismail Hashim, macam mana muka dan suaranya. Pernah berjumpa pun. Anda?

6 comments:

Anonymous said...

Saya cucu kepada Tuan Haji Ismail Hashim. Tapi arwah meninggal masa saya kecik lagi. Yang saya ingat arwah suka cubit pipi cucu-cucunya sampai merah termasukla saya, mcmtu cara arwah usik cucu-cucu arwah. Rasa sebak pulak, ada sangat sedikit memori tentang arwah.

Anonymous said...

Masjid seksyen 20 Shah Alam hampir setiap minggu memasang bacaan beliau sebelum masuk waktu sembahyang jumaat. Satu usaha yang TERBAIK. Tidak pernah jemu mendengar bacaan hj ismail hashim, malah terpegun dgn bacaan beliau. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman...aamiin.

Dari Nasir Kuala Kedah

anoymous said...

Kemerduan bacaannya masih tiada tandingan....

Tajul Arif Abdul Halim said...

saya mencari bacaan hj ismail hashim surah al-baqarah bermula ayat 8.. kalau ada mohon hubungi saya 017-2452980. email. joeph08@gmail.com

Unknown said...

Cucu ustaz ismail ni Anak siapa ya

RODZI said...

Saya pernah belajar Quran Tajwid dengan abang kepada arwah iaitu Ust Salleh Hashim masa sekolah dulu kat Sg Petani....