9 September 2012

AlFalah: Lama Sebelum Kita...

Saya berdiri lama di depan kaunter penyambut Bahagian Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Hujan turun dengan lebatnya sekitar jam 12.30 siang itu.

Kebosanan menunggu keputusan wad mana yang akan dimasukkan bapa saudara yang baru dipindahkan dari Putra Medical Center tidak dapat digambarkan. Menunggu dalam serkupan hujan di sekeliling kawasan!

Sedang begitu, saya ditegur oleh seseorang yang mempunyai ayat yang serupa di dalam kepala: Rasa macam kenal tapi tidak tahu siapa nama!

Setelah saling bertukar info sedikit tentang nama dan alamat, kami berbual hampir sejam.

Dia adalah abang kepada Paklong dan Paksu [bekas budak Falah], anak Paklang Ismail Arshad, Kampung Perlis. Tinggal berhampiran jalanraya dan ban masuk ke Kampung Perlis. Mohd Khir namanya.

Tentulah banyak tajuk lain yang kami bualkan kerana dia mengenali ayah dan dua bapa saudara saya manakala saya pula mengenali ayahnya, Paklang Ismail serta keluarga.

Bermula dari keluarga, bertukar kepada zaman sekolahnya. Kerana perbezaan umur kami hanya 7 tahun, guru-guru Sekolah Kebangsaan Kangkong, sekolah pertama kami, yang disebutnya juga pernah mengajar saya atau sekurang-kurangnya pernah saya kenal atau dengar namanya. Guru Besar, Cikgu Ahmad Din masih ada ketika saya di darjah enam, maka berkongsi GBlah kami. Cikgu Hamzah Jaafar, Cikgu Zakaria, Cikgu Rejab, dan Cikgu Syed Mohd Bakhor serta isterinya Cikgu Maznah.

Mohd Khir ini sebaya Paktam saya. Selepas sekolah rendah, Paktam mengikuti jejak Paktih ke Madrasah Ihya' Ul 'Ulum Ad-Diniah [Pondok Tuan Guru Hj Mutalib], Simpang Empat, manakala Mohd Khir belajar di Madrasah AlFalah, Kangkong!

Maka makin bermaknalah perbualan kami. Saya hanya mendengar ketika dia mengimbau zaman persekolahan di situ. Dia menyebut nama-nama guru pada zamannya dan saya mengingatkannya beberapa nama yang terkeluar dari memorinya. Saya pernah berjumpa atau setidak-tidaknya pernah  mendengar nama  guru-guru yang disebutnya. Maka terpelantinglah kenangan......


Ketika itu, hujung 60-an, kawasan AlFalah dihuni oleh Ustaz Hj Hussain Abdul Rahman, setelah ditinggalkan oleh Ustaz Azizan dan Ustaz Fauzi. Saya agak rapat dengan Ustaz Hj Hussain yang kami panggil Toksu dan isterinya, Hjh Mariam. Ketika itu, saya yang baru mahir berbasikal menjadi perantara Toksu dengan kedai Saad Md Ali di tepi jalanraya, 100 meter dari jalan masuk ke AlFalah - menolongnya membeli rokok jenama 555. Saya lupa harganya tapi selalunya dia membeli dua kotak dan wang bakinya adalah hak milik saya!

Malamnya, saya akan ikut berjemaah Maghrib dan Isyak di rumah Toksu (terletak di kawasan kantin konkrit AlFalah 2000) bersama-sama beberapa orang kampung - paling kurang 3 yang tetap: Abang Ismail [kini menetap di Sik], Lebai Saad Hj Othman [arwah, ayah kepada Zaitun Natakhin, budak Falah era 90-an] dan saya. Pada malam-malam tertentu, jika ada rezeki, kami dijamu bubur kacang resipi Toksu Yam - yang tidak pernah saya jumpa lagi kesedapannya hingga kini!

[Toksu Hj Hussain kemudiannya berpindah ke Selarong Batak, antara Batas Paip dan Alor Ibus - agaknya selepas AlFalah melalui fasa gelap. Pernah beberapa kali saya ke rumahnya di situ termasuk bersama Paktih. Kini Toksu telah tiada, malah tapak rumahnya juga menjadi milik orang. Yang tinggal, namanya diabadikan pada surau yang dulunya terletak di sebelah rumahnya itu - Surau Hj Hussain].

Seorang lagi guru ketika itu adalah Ustaz Hj Abu Bakar Abdullah, ayah kepada Ustaz Mohd Ghausillah dan Ustazah Syu'bah, yang kemudiannya pernah mengajar di AlFalah. Ustaz Haji Bakar a.k.a Tokcik juga menjadi imam kariah Masjid Alor Pulai sebelum berundur kerana keuzuran. Telah lama kembali ke rahmatullah. Pernah berbual dengannya banyak kali tetapi semuanya tentang hukum-hakam. Cuma kalau mahu diimbau semasa kecil dahulu, saya pernah dimarahi emak kerana asyik tertawakan Tokcik pada suatu hari. Dia mengusahakan sawah bersebelahan jalan masuk ke AlFalah. Sering dia datang ke sawah sambil memikul tajak bermata besar di bahunya. Dengan topi mengkuang di kepala, dia kelihatan biasa saja. Namun  selalunya dia memakai baju Kedah atau baju botol dari kain cita, ertinya baju orang perempuan! Kerana tidak pernah melihat sebelumnya orang lelaki memakai baju begitu, sampai ke senja saya ketawa pada hari itu dan hanya diam setelah mendapat upah yang lumayan di telinga! Kemudian baru saya tahu, orang lelaki bertubuh kurus memakai baju Kedah itu adalah guru emak.......

Dari Alor Pulai juga ada dua lagi tenaga pengajar pada zaman itu. Seorang daripadanya adalah Ahmad bin Saad, seluruh kariah memanggilnya Pakcik Mohammmad, kemudiannya mengggantikan Tokcik Hj Bakar, bapa saudaranya, sebagai imam Masjid Alor Pulai, [juga telah meninggal dunia]. Kini, anaknya Hj Mohd Hisham menggantikan beliau sebagai imam masjid. Seorang guru lagi adalah Cikgu Mohd Nor, guru bahasa Inggeris AlFalah. Rumah Cikgu Mohd Nor dan Tokcik Hj bakar terletak bersebelahan di Alor Pulai.

Dua lagi guru yang disebut oleh Mohd Khir tinggal di Kampung Permatang Ibus. Seorang bernama Ustaz Mohd Fauzi bin Darus [arwah] dan seorang lagi adalah Ustaz Zainol bin Zakaria. Rumah keluarga Ustaz Zainol dulunya terletak di hujung kampung bersebelahan Tadika KEMAS sekarang, di simpang ke Kangkong, Yan dan Simpang Empat. Kini di atas tapaknya didirikan sebuah bangunan rumah kedai. Rumah Ustaz Fauzi Darus pula kini didiami oleh anaknya di tengah-tengah Kg Permatang Ibus.

Seorang guru pula, Ustaz Hj Yusof, kini menjadi imam Masjid Teluk Bulang. Rumahnya terletak berhadapan deretan kedai miliknya sebelum persimpangan masuk ke Kg Sungai Nonang.

Demikianlah.

Berbual dengan bekas budak Falah, tidak kira dari kemasukan tahun berapa, akan tercungkillah beberapa hal yang mungkin tidak tersimpan di memori kita atau kalau tersimpan, mungkin pula tersorok......

Rupanya banyak lagi yang boleh kita gali....

No comments: