19 September 2012

Hindi Kita Malimot




Hujung dekad 80-an.

RTM selalu menyiarkan secara langsung  Festival Lagu Asia, Festival Lagu Asean dan Festival Lagu ABU [Asian Broadcasting Union]. TV3 yang beroperasi bermula Jun 1984 [sekitar Lembah Kelang sebelum berkembang ke seluruh negara lebih setahun kemudian] amat jarang menyiarkan rancang muzikal begini, selain Muzik Muzik terbitannya.

Kerana tiada pilihan, saya sempat menonton salah satu rancangan begitu pada suatu malam. Saya tidak ingat langsung siapa yang mewakili Malaysia, apa lagilah Indonesia, Singapura, Thailand, Filifina dan negara lainnya.

Juga saya tidak ingat festival itu di peringkat rantau ASEAN atau benua Asia.

Setiap negara akan diwakili oleh seorang atau sekumpulan penyanyi untuk mengalunkan lagu dalam bahasa rasmi masing-masing. Kalau dari Malaysia atau Indonesia, bolehlah saya faham akan liriknya, tetapi kalau sudah dalam bahasa Thai atau Tagalog, atau apatah lagi Korea dan Jepun, terngangalah jawabnya.

Namun, benarlah kata orang, muzik itu universal sifatnya. Tanpa memahami lirik, alunan muzik juga dapat membekas ke hati orang. Eleh, bukan semua yang faham bahasa Hindi, tetapi tak terpemenai banyaknya orang kita yang mengesat hingus ketika mendengar lagu Dost Dost Na Raha dari filem Sangam, misalnya.....

Begitulah saya tatkala mendengar alunan lagu biduan dari Filifina. Meski hanya diberitahu makna tajuk lagu oleh juru acara, saya seperti dibawa pergi jauh oleh lagu itu. Dapat merasakan apa yang cuba digambarkan dalam alunan mendayu penyanyinya...

Tajuk lagu berbahasa Tagalog itu ialah Hindi Kita Malimot bermaksud Aku Takkan Melupakanmu....

Kerana diulang lirik awalnya banyak kali, saya dapat mengingatnya sampai kini:
Hindi kita malimot, ala-ala kita
Hindi kita malimot, minamahal kita


 

Besoknya, di dalam dua tiga kelas di AlFalah, saya menulis tajuk lagu itu di papan hijau. Selepas mendapati tiada siapa juga yang menonton siaran itu, dengan yakin, saya menceritakan tentang makna lagu tersebut. Jadilah kelas BM hari itu sebagai kelas BT [Bahasa Tagalog], bersumberkan pengetahuan terhad saya terhadap bahasa negara yang asalnya dari 'rumpun' kita itu. Saya pernah terbaca tentang beberapa persamaan perkataan di dalam bahasa kita dengan bahasa mereka. Saya menceritakan tentang lagu Anak, ciptaan dan nyanyian Freddie Aguilar, dari Filifina, yang terkenal ke seluruh dunia - ada versi Inggeris, Jepun dan Korea! Malah lagu yang kemudiannya turut dirakamkan di Malaysia oleh kumpulan Carefree [penyanyinya Jay Jay], dengan sedikit pengubahsuaian lirik, juga dirakamkan  oleh Freddie dalam Bahasa Melayu - menunjukkan bahawa lenggok bahasa antara kedua-dua negara itu adalah sama.  Ada seorang lagi penyanyi dari Filifina yang merakamkan lagu dalam bahasa kita iaitu Gigi Villa, yang terkenal dengan lagu Cek Mek Su.

Tahun itu, saya mendapat banyak kad selamat hari raya yang di bawahnya, sebelum tandatangan, terdapat frasa Hindi Kita Malimot.....

Tahun berikutnya, tinggal seorang yang masih mengekalkan frasa itu.......

Saya tidak terkilan pun. kerana sebagai Melayu, saya faham sangat dengan susuk bangsa saya.....hehehehe.

Lalu saya melekapkan sendiri frasa tersebut di dalam hati!
                                        *********************************

Lama kemudian, awal tahun 1995, saya sedang menunggu kelahiran anak sulung dari isteri sulung. Ada masalah pada kesihatan isteri pada bulan terakhir kehamilan itu. Kami ke Klinik swasta berward di Jalan Pintu Sepuluh, off Jalan Putera.[ Dikenali sebagai Klinik Pintu Sepuluh, lama kemudian bertukar lokasi, menjadi lebih luas, dikenali dengan nama Putera Medical Center]. Ketika isteri ditempatkan di ward pada 14 Januari itu, saya sempatan berkenalan dengan seorang mualaf Filifino, yang juga sedang menanti kelahiran anak sulung. Dia dan isteri saya berkongsi ward di tingkat atas bangunan rumah kedai separa kayu itu.

Ketika berbual dengannya, sama-sama dalam bahasa Inggeris yang patah-patah, saya teringat lagu itu dan bertanya padanya. Dia terkejut dan tersenyum sambil menepuk bahu isteri saya, kemudian menunjukkan tanda bagus dan berkata sesuatu dalam bahasa Tagalog! Apa yang dikatanya tu menjadi misteri hingga kini....Namun dia sempat bercerita tentang makna lirik lagu tersebut secara sepintas lalu. Kalutlah juga saya menterjemah maksudnya ke dalam bahasa kita pula untuk disimpan di dalam kepala..... Katanya lagu itu cukup disukai ibunya. Dia melagukannya perlahan dan saya mengikutnya, lagi perlahan dalam dua baris awal.....
 
Hindi kita malimot, ala-ala kita
Hindi kita malimot, minamahal kita

............................
Selang dua baris kemudian dia berhenti. Matanya bergenang. Isteri saya gelabah dan bertanya dalam bahasa kita akan sebabnya. Dia menjawab dalam bahasanya. Terpaksalah saya menjadi jurubahasa. Rupanya dia terkenang ibu yang ditinggalkannya di Cebu demi cinta kepada kekasih yang kini menjadi suami...
Saya menyebut perlahan lirik awal tersebut sambil menyatakan maknanya kepada isteri. Dalam tersenyum, isteri saya bertanya berkali-kali, "Sungguhka?" Dan saya menjawab dalam bahasa Tagalog:" Hindi Kita Malimot!" Dia tersenyum setiap kali saya menjawab begitu sambil menggosok perutnya yang membusung....

Pagi besoknya, doktor mencadangkan isteri ke Hospital Besar Alor Setar. Berpisahlah kami dengan kenalan baru dari Filifina itu. Ketika dia bersalam dengan isteri, saya berjabat dengan suaminya sebelum berpaling kepadanya dan  berkata: Hindi Kita Malimot! Dia tersenyum manakala suaminya tercengang dan saya membiarkan mereka berbual sendiri dengan melangkah turun memimpin isteri.
Besoknya lagi, 16 Januari, anak sulung kami meninggalkan rahim ibunya. Ketika pertama kali berjumpa isteri di katil, selepas bersalin, dalam lafaz kesyukuran dan mengucapkan tahniah kepadanya, saya sertakan sekali frasa Hindi Kita Malimot itu. Dia tersenyum. Agaknya kehairanan emak mertua di sisi isteri: dalam fasihnya berbahasa Siam, tercari-cari bahasa apakah yang diucapkan oleh menantu......

Lebih enam bulan kemudian, 23 Julai 1995, di hospital yang sama, isteri saya, Habibah Abdul Hamid, meninggalkan dunia yang fana ini..... 

Saya redha dengan ujian itu.

Saya teringat, pada bulan terakhir hayatnya, isteri sering meminta saya doakan yang terbaik untuknya. Selain AlQuran, sering saya bacakan terjemahan dari seberang kitab Tanbihul Ghafilin [Peringatan Bagi Yang Lupa] tulisan Syeikh Abdul Laits As Samarqandi yang dua jilid itu, di tepi katilnya. Saya cari bab-bab yang boleh menceriakannya yang terlantar. Paling disenanginya, tatkala saya perdengarkan hadis Nabi, dari Anas bin Malik r.a:  Sesungguhnya isteri jika sembahyang lima waktu, dan puasa bulan Ramadhan, dan menjaga kemaluannya, dan taat pada suaminya, maka dipersilakan masuk dari pintu yang mana ia suka dalam syurga. Dia sering bertanya tentang taraf taatnya dan apakah saya redha terhadapnya... Dia sering berpesan untuk tidak mengabaikan anak kami yang seorang itu, yang sering terlena di sisi ibunya tanpa mengerti apa-apa dan tidak menduga apa-apa....


Pada ketika lain, melihatnya termenung, dengan menggenggam tangannya, saya bisikkan: Hindi Kita Malimot... untuk mencungkil sedikit kenangan itu. Dia cuba juga meletakkan senyum pada bibir kering di wajah cengkungnya. Senyuman yang tulus. "Sungguhka...?" tanyanya lembut. Saya hanya menjawab dengan mencium tangan dan dahinya - mencuba membekukan air di sebalik kelopak mata.Saya tahu dia mengumpulkan kekuatan untuk mengeratkan genggaman tangan kami.....

                                           ****************************

Jumaat lalu, dalam serkupan hujan di sebuah khemah kenduri arwah di kampung arwah isteri, saya melayan rasa sendiri. Melihat emak mertua dan kemudiannya anak yang kini berusia lebih 17 tahun, saya terdampar di pulau kenangan. Menyusuri saat suka dan luka bersama isteri selama empat tahun. Saya turut membaca kronologi kelahiran anak. Episod di Klinik Pintu Sepuluh tidak ketinggalan, muncul jelas di depan mata......

Hindi Kita Malimot....

Tiba-tiba ada bisikan: kenapa tidak ditanyakan kepada Pakcik Google atau anaknya Youtube tentang lagu itu? Mungkin.....

Di rumah, petang itu, tanpa isteri tengah dan anak-anak yang berpergian, saya bersemuka dengan dua beranak tersebut. Ternyata kedua-duanya tahu akan Hindi Kita Malimot. Ada banyak versi juga. Saya diperdengarkan 3 daripadanya. Melodinya menusuk seperti dulu. Saya pilih salah satu versi dari Carol Banawa.  Menikmati lagu dari Youtube, manakala meminta Google mencarikan lirik dan terjemahannya.

Seketika pula saya kembali terdampar di pantai kenangan.....

Ahad lalu, salah seorang yang pernah memberi kad raya yang mengandungi ayat Hindi Kita Malimot, pada hujung 1980-an dahulu, menghantar mesej bagi mengesahkan yang nombor yang diperolehinya adalah betul nombor hape saya. Setelah saya mengakuinya, dia membalas semula dan mencatat di hujungnya frasa yang pernah didengarnya lebih 2 dekad lalu itu......

Ya Allah, kebetulan apakah ini?
Saya terpempan.

Saya terkenang beberapa pelajar dalam kelas tahun 80-an.

Saya teringat kenalan singkat dari Filifina.

Saya lebih terkenang dan teringat arwah isteri.......

Kepada semua:

HINDI KITA MALIMOT! 

Insya Allah.

Hindi kita malimot                                                       
ala-ala kita
Hindi kita malimot
minamahal kita
Isinusumpa ko
sa'yong kagandahan
Na ikaw lamang
ang tangi kong minamahal
Hindi kita malimot
Huwag kang manimdiman
Hindi kita malimot
manalig ka sinta
At kung ikaw man ang lumimot
Iyong alalahanin
mahal pa rin kita

ertinya

i just can't forget you
 you're always on my mind
 i never will forget you 
i just love you so
 and i truly promise to you 
my darling dear 
that only you and you alone 
i'll ever love
i just can't forget you
 don't be sad 
don't be blue 
i never will forget you 
believe me dear
 it's true 
and even when perchance 
you do 
only please remember
i will love you still

No comments: