30 August 2014

Kembar 3 Plus 1!





Hampir dua bulan sebelum Ramadan 1435 lagi Wira sudah uar-uarkan bahawa dia dan samatuanya bakal menerima anak kembar pada Syawal kelak.

“Jangkanya lepas raya…”kata bapa kepada tiga anak ketika itu. “Entah-entah masa kita buat perjumpaan raya…Coih keluaq…”
Frasa mula itu biasa-biasa saja. Tetapi frasa kedua yang diucapkan setelah menghirup Necafe ais kegemarannya itu membuatkan saya hampir tersedak.

Lepas raya? Masa perjumpaan?

Jangan buat hal Wira…

Buatnya ramalan itu benar, kacaulah. Bersama Saiful Adly, Wira yang diharapkan rakan-rakannya menyediakan tapak perjumpaan. Bagaimana pula jika Wira sibuk menguruskan kehadiran bayi kembar itu tatkala majlis bakal atau sedang berlangsung? Bagaimana kalau …

Ah!

Lagi pula, inilah tahunnya pun dia dapat kembali bersama kawan-kawan lama pada majlis berkenaan. Mengikut undang-undang tubuh perkahwinannya, Wira akan beraya berselang tahun antara di rumah sendiri dan di rumah mertua. Tahun lalu dia beraya di Ketereh. Tahun ini di Batas Paip. Tahun depan? Sendiri mau ingatla

“Sebelum 17 Ramadan, bersalinlah ‘tu…”dengan yakin saya berkata. Memecahkan ais yang beku seminit dua di meja kedai kopi yang juga menjual teh, air asam, oren bancuh dan siram bandung itu.

“Cikgu ada belajaq mana-mana kut…” tanya Wira serius melihatkan keyakinan saya berkata begitu.

“Adala…”balas saya. Kedua-dua kami serius. Tidak ada sengihan pun sambil Wira membuat sedutan lagi pada Nes aisnya.

Masuk bulan Ramadan, dua minggu pertama, dalam masih Wira berkira-kira dengan Saiful tentang dewan dan persiapan selayaknya, setiap kali dia merungut tentang samatuanya yang sedang sarat, saya tetap berkata: Sebelum 17 Ramadan, bersalinlah ‘tu…

Apabila mertuanya datang dari Parlimen Ketereh bagi menemani anak mereka sehingga bersalin, dan Ramadan telah melepasi malam Nuzul Quran, saya ubah sedikit ayat itu menjadi: Sebelum raya, bersalinlah ‘tu…

Banyak kali juga kami bertemu selepas solat tarawih di kedai-kedai tomyam sekitar Parlimen Kola. Wira memberitahu tiada tanda samatuanya bersalin sebelum Syawal. Saya tidak berkata apa-apa lagi. Cuma berdoa janganlah tarikh kelahiran anak Wira sama dengan tarikh perjumpaan raya yang sedang ditunggu…

Di belakangnya ada juga beberapa kali kami menggunjing: Samatua sedang sarat pun, dengan kami, hubungan berjalan seperti biasa. Panggillah waktu mana pun, Wira tetap akan datang, sekurang-kurangnya mengeNes.Kadangkala belum dipanggil, dia sendiri telah ada di luar rumah, terutamanya di Restoran Awie. Separuh Ramadan kejohanan bolasepak Piala Dunia FIFA berlangsung. Kena pula peminat tegar pasukan Brazil itu suka menonton perlawanan yang dipancarkan dari negara pengeluar kopi untuk Nescafe berkenaan bersama ramai orang. Agaknya itulah lesen untuk dia berlama di luar. Sementelah pasangan mertuanya setia menunggu di rumahnya menjaga cucu-cucu dan bakal cucu-cucu.


“Kalau aku tak keluaq, samatua aku pula suruh keluaq…”kata Wira kepada kawan-kawan rapatnya, termasuk kawan rakan yang tinggal jauh, yang kerap meleterinya dalam bentuk hurufiah…

Selepas Brazil ditundukkan oleh Jerman dengan jaringan yang selalunya di padang AlFalah dahulu sahaja ada angka begitu, 1-7, kami menjangkakan Wira tentulah akan terjelepuk di rumah seminggu dua. Maklumlah, warna kuning Brazil sentiasa bersamanya… Apalagi dengan ayat-ayat provokasi menjelang perlawanan melibatkan pasukan kesayangannya itu yang selalu muncul di WhatsApp. Tapi Wira memang profesional. Kalah malam ini, malam esok dia boleh keluar ke kedai macam tidak rasa terkepak hati langsung. Menonton perlawanan pasukan lain dengan selamba. Kalau semua peminat bola sepak sepertinya, tidak adalah yang menterbalikkan kereta polis, memecahkan cermin bas pasukan pelawat, atau menumbuk pengadil, seperti yang pernah berlaku di negara kita ini…

Sehari dua menjelang raya pun Wira masih tidak lekat di rumah pada waktu malam. Orang jauh – rakan-rakan yang bermastautin di luar Kedah - berkumpul di rumah Mariam di Pulau Gezambo, memakan laksa, dia ada bersama. Diajak mereka melepak di restoran mamak sehingga pukul 3 pagi, dia ok dan on sahaja. Entahlah. Mungkin samatuanya memang menyuruh dia keluar sehingga lewat malam begitu. Atau mungkin dia tidak mahu hipokrit di depan mertua. Ada atau tidak mereka di rumahnya, acara keluar malamnya tetap berlangsung. Dia ramai kawan. Selain grup BF, dia ada geng masjid, geng siasah, geng sepaktakraw bulat, geng futsal…

Selepas raya pertama, kalau ada di skrin namanya  sebagai penghantar mesej, saya berdebar sebelum membukanya. Demikian pula jika nama itu juga yang muncul apabila ada panggilan. Libang-libu juga untuk menjawab panggilannya.Takut benar kalau ia membawa berita samatuanya mahu ke hospital… Kalau boleh biarlah kemahuan itu ditunda sehingga raya kelima…

Lega apabila mesej dan panggilannya berkisar tentang persiapan dewan.

Pada hari perjumpaan, apabila dia membuat panggilan pada pukul dua petang, saya gelabah semula. Janganlah diberitahu dia sedang dalam perjalanan ke hospital… Lega lagi ketika dia menyatakan kebimbangannya kerana belum ada orang datang ke dewan. Biasalah… balas saya… kalau janji pukul dua, paling tidak setengah jam mesti berlaku kelewatan. Seluruh jagat tahu itu fiil kita…

******
Akhirnya masa itu tiba. Subuh 4 Ogos 2014. Ketika orang yang berpuasa enam sejak 2 Syawal, bakal menyambut Raya Enam, kembar itu pun lahir. Berselang 34 minit antara keduanya, didahului oleh bayi lelaki, pada pukul 5.51 pagi.
Ya. Mereka dikurniakan sepasang anak.

Teringat bagaimana Wira bercerita, ketika doktor mengumumkan bahawa yang pasti seorang anak bakal lahir itu adalah lelaki manakala seorang lagi pula… Doktor ditahan dari mengumumkan jantina yang seorang lagi itu, kerana samatua Wira amat mengharapkan kehadiran seorang bayi sejantinanya.  Tentulah hampa sedikit jika siap diumumkan kembar itu adalah sejantina si ayah…

Ternyata, doa samatua Wira dimakbulkan…

Melalui grup WhatsApp kendaliannya, saya tahu dia telah dikurniakan cahayamata itu. Pelbagai bentuk ucapan tahniah diterimanya dengan sebahagian sahabat turut mengucapkan selamat berpuasa buatnya. Macamlah selama ini pun dia tidak berpuasa…

Sesekali dinaikkan foto anak-anaknya itu ke dalam WhatsApp. Saya mengutip, memuatkan pula ke dalam fb grup BF, medium yang lebih luas, untuk pengetahuan rakan taulan dan Mark Zuckerberg juga. Ucapan tahniah untuknya terus datang. Saya muatkan lagi foto dari WhatsApp ke f b jika ada selepas itu.
Ketika membuat klip tentang makan laksam di Pulau Gezambo serta acara bersantai meraikan Ahmad Nazri di Pantai Leman, berdekatan Marina Harbour, saya terfikir untuk membuatkan juga klip tentang anak kembar Wira itu. Tambahan pula bahan-bahan utamanya, Insyaallah, cukup. Cuma prop saja kurang satu, maka saya pinjam buaian di rumah Mariam di Pulau Gezambo itu untuk mengisi ‘watak’ di dalam klip.

Sedang mencari idea bagi menyusun lima enam keping foto anaknya itu, muncul di dalam WhatsApp grup BF gambar ‘hidup’ dua anak kembarnya yang saling berhadapan dan berduet meraung! Kata Wira, dia memang sengaja melagakan mereka ketika samatuanya tidak melihatnya….Bertuah punya ayah!

Saya ingin memasukkan ‘aksi’ itu di dalam klip saya. Saya mencuba dengan aplikasi yang saya ada dan tahu, tetapi tidak berhasil. Bermasalah sedikit rasanya benda alah di dalam komputer saya… Ataukah saya belum khatam tentang cara menaikkan foto bergerak itu ke dalam komputer… Entahlah.

Berjumpanya di Restoran Sofia, Batas Paip [saya sangkakan Sofia dalam nama Mariam Sofia datangnya dari restoran warga Pattani itu, sebelum diberitahu itu adlah nama emak Wira….] pada satu malam yang basah, tiga empat kali saya menekan punat untuk melihat aksi dua anak dalam filem singkat arahan ayah mereka itu… Wira tersengih setiap kali mendengar lengkingan suara mereka. Sejujurnya, sambil melihat wajah dua bayi tersebut, saya mendapat idea untuk menyusun frame klip saya. Tetapi, idea itu tidak saya zahirkan lagi. Maka, apabila banyak kali mendengar suara anaknya saya mainkan di telefon, Wira pun bertanya, “Cikgu  teringin anak kecik ka….”. Dia terus tersengih, ketika saya pula tersentak. Mujurlah perbualan itu hanya didengari kami berdua, walaupun ada ramai pelanggan lain yang sedang menonton Manchester United terkapa-kapa cuba mencari kemenangan pertama musim ini….

Ada ka tanya lagu ‘tu 

Appara
******
Anak-anak Wira itu kemudiannya menjadi topik utama sepanjang hari di dalam grup WhatsApp apabila tiba masa untuk mendaftarkan  nama. Memang telah ada nama pilihan Wira dan samatua. Tetapi sengaja  agaknya mahu menggamatkan grup, beberapa orang telah mencadangkan pelbagai nama. Daripada nama-nama biasa bagi insan hinggalah nama aneh seperti Wira Aeroback dan Wira Angkasa!  Ketika Wira sebutkan satu nama, Nazri hinggakan membuka kitab sejarah Islam menerangkan perihal nama berkenaan.

Akhirnya tertulis sudah nama anak itu – Bilal Uthman. Bilal adalah sahabat kesayangan Nabi yang menangis ketika mahu melafazkan kerasulan Nabi Muhammad di dalam bait azan, setelah kewafatan Baginda, lantaran rindu dan sayangnya kepada Rasulullah. Kisah ini menarik hati Wira. Akan nama Uthman itu, selain juga salah seorang sahabat rapat Nabi, adalah sempena nama ayah Wira sendiri dengan ejaan yang diretrokan...

Itu nama bagi bin Wira.

Bagi nama untuk binti Wira pun tidak kurang riuhnya. Ada yang mencadangkan nama dirinya agar Wira pilih, ada cantuman beberapa nama, malah ada yang mencadangkan nama bintang filim… Apabila Wira menyebut nama Maryam sebagai pilihan – satu nama yang disebut di dalam AlQuran – seronoklah Mariam di Pulau Gezambo…. Tidak tahulah apa nama tambahan yang ada di kotak fikiran Wira serta samatuanya, tetapi saya cadangkan nama Maryam Jameelah – seorang mualaf yang pernah menggegarkan dunia kerana kepetahan serta keberaniannya berhujah dengan pemimpin tertinggi agama lain, termasuk agama asalnya.

Dan telah tertulis nama untuk bayi perempuan itu – Maryam Sofia. Sofia adalah nama emak Wira yang dahulunya dimelayukan menjadi Sofiah…

Saya teringat dua hal: Restoran yang kadang-kadang kami singgahi di Batas Paip berdaftar dengan nama Sofia. Salah seorang anak saya bernama Ainin Sofiya.   Ah, sebuah kebetulan…

******
Saya meminati lagu Seruling Malam nyanyian Ebiet G Ade, apabila teringat atau terpandang anak kecil di dalam buaian. Tetapi untuk memasukkan lagu itu ke dalam klip buat Wira, saya tidak pasti sangat, samada dia dapat menerima atau tidak lagu serta ‘lengkingan’ suara  Pak Ebiet… Liriknya memanglah sudah sesuai.


Dulu, saya seronok mendengar samatua merungut, sedang anak kecil galak menangis di buaian, di mana saya melagukan:
diakah anak kita
dia buah cinta kita
isteriku,
cuba redakan tangisnya

Kemuncungan mulut samatua saat begitu merupakan nikmat yang tidak dapat ditulis dan tidak juga mampu diucapkan…. Hehehe…

Wira pasti menyukai bahagian lirik itu, terutama ketika bayi-bayi menangis di buaian, sedang samatuanya sibuk di dapur, tatkala dia sedang ngobrol dan ngeNes di depan kedai Mi Abas…. Saya akan berikan tabik paling tinggi darjatnya kepada Wira, kalau dalam keadaan itu, sambil menyedut Nescafe ais,  dia boleh lagukan bahagian lirik ini di dalam telefon ketika dihubungi oleh samatuanya….
isteriku,
cuba redakan tangisnya

Hehehe..

Tetapi, secara seriusnya, mengenali siapa Wira dan mengetahui jati dirinya, saya yakin dia pasti terpikat pada bait –bait seterusnya ini:

Berbahagialah dan bersyukurlah
Atas kehadiran anak kita

Ingin kugendong dan kutimang-timang
Kuajak engkau bermain
Kenalilah bapamu
Kenali ibumu
Dan negeri ini tanah airmu

Segeralah dewasa
Dalam asuhanku
‘Kan kubimbing di jalan yang lurus
Jadilah anak berbudi
Penuh kebajikan
Menjunjung tinggi harkat kebenaran

Berbahagialah dan bersyukurlah
Atas kehadiran anak kita

Masalahnya, berdasarkan pergaulan agak rapat dengannya,saya dapat merasakan telinga Wira belum dapat menerima lagu seperti itu…. Nantilah…

Maka saya pilih lagu yang iramanya agak dekat di hati Wira. Lagu Gurindam Ibu. Ciptaan Osman Ahmad dan gurindamnya ditulis oleh S Kadarisman.

Masalahnya pula ada tiga versi lagu itu yang biasa saya dengar. Pertamanya lagu asal dari filem Hantu Kubor, nyanyian Aziz Jaafar dan Hashimah Yon, pada tahun 1959. Kedua, Aziz Jaafar berduet dengan Nona Asiah pada awal tahun 60-an. Ketiga, gubahan Ahmad Nawab, dengan irama yang lebih segar pada pertengahan dekad 70-an, nyanyian pasangan duet terkenal pada era itu: Hail Amir dan Uji Rashid.

Versi mana yang Wira suka?

Saya menjangkakan tentulah versi Hail-Uji, kerana lebih hampir dengan tahun kelahiran Wira sendiri. Maka saya pilihlah versi tersebut.

Tetapi, apabila mendengar dia jugameminati irama lama – kerana katanya dia cukup sukakan lagu raya versi lama nyanyian Saloma, berdasarkan klip yang dimuatkan oleh otai BF, Pawang Nujum, di dalam grup WhatsApp dan grup fb BF, di hujung Syawal lalu – saya jadi serba salah. Versi mana yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam klip anaknya?

Ketika hampir menyiapkan klip dengan lagu Gurindam Ibu nyanyian Aziz Jaafar/Nona Asiah, terfikir pula bagaimana jika dikatanya “saya suka nyanyian Hashimah Yon/Aziz Jaafar sebab versi itu asli dan lebih lama usianya…”?

Aduh…

Akhirnya, terhasillah tiga klip untuk keluarga Wira!

Terimalah hadiah kembar tiga klip sempena kelahiran kembar dua anaknya…

******
Ops…

Sementara bahan masih ada, sementara menunggu hari memuatnaik entri ini, sempat saya siapkan klip dengan lagu latar Serunai Malam. Eleh, macam kuih rayalah. Bahan yang sama, rasa yang sama, Cuma acuan berbeza. Dapatlah empat lima ‘mata’ kuih…

Maka untuk Wira, dengan bahan kandungan yang sama, diadun dan disaring lalu dimasak, dapatlah empat ‘mata’ klip…

Pilihlah mana yang mahu Bilal dan Maryam dengar dan ‘tengok’…..

Hehehe…

Wira, saya buat semua ini bukan kerana teringin anak kecik

Ada ka tanya lagu ‘tu 

Lain kali cubalah tanya, “Cikgu teringin anak kecik yang lahir dua tiga empat dekad yang lalu ka…?”

Pasti besar kebarangkaliannya untuk saya menjawab dengan fasih dan lancar. Serta tepat!

Hehehehe….

 ******
Nota 1:

Bagi hape yang murah-murah macam yang saya gunakan, tekan saja pada klip itu sebab memang tidak muncul ikon klip....hehehehe.... Ingat ada EMPAT klip!



Nota 2:

Lagu Seruling Malam saya dengar pertama kali dan lalu tertarik setelah membeli kaset ori Ebiet G Ade pada tahun 1985. Saya mendengarnya bersama Ustaz Fairose yang sama-sama pula meminati Ebiet. Kadang-kala bait 'isteriku, cuba redakan tangisnya...' kami nyanyikan kuat-kuat. Barang diingat, waktu itu kami masih tidak tahu siapa yang bakal menjadi isteri kami. Hanya tahun 1991 saya bernikah, dan dijejak Ustaz Fairose tahun berikutnya. sepuluh tahun setelah memekik bersama Ebiet barulah saya mendapat buah cinta....

Sebagai kenangan, khusus untuk Pirud [panggilan untuk ustaz yang muda setahun dari saya itu], saya perturunkan sepenuhnya lirik lagu tersebut. Jom kita melalak, Pirud.... Hehehe... Entahlah, masihkah dia ingat saat itu.....
Bulan keemasan, kuning berkilauan
Terdengar seruling bambu
merayap ke langit, menikam bumi
Bergetar seluruh jagat raya ini

Lengkingan tinggi bagai buluh perindu
adalah tangisan bayi
Diakah anak kita, dia buah cinta kita
Istriku coba redakan tangisnya

Sekelompok burung malam terbang
dan terbitlah bintang kejora
Memancarkan sinar cinta kasih
Bagi anak kita yang suci bersih
Berbahagialah dan bersyukurlah
atas kehadiran anak kita

Ingin kugendong dan kutimang-timang
kuajak engkau bermain
Kenalilah bapakmu, kenali ibumu
dan negeri ini tanah airmu

Segeralah dewasa dalam asuhanku
‘kan kubimbing di jalan yang lurus
Jadilah anak berbudi, penuh kebajikan
Menjunjung tinggi harkat kebenaran
Berbahagialah dan bersyukurlah

atas kehadiran anak kita


23 August 2014

No Woman No Cry @ No Yam No Laksam



  Sila klik klip di atas.[pesan buat pembaca melalui hape]
 
Muncul Ustaz Husin, anak Pak Lateh, menantu Pak Azmi, bekas pemandu bas sekolah yang rumahnya hanya tiga empat kali baling kasut dari Pulau Gezambo. Sejak pandai berWhatsApp, ustaz yang rajin bertukang ini, tidak pernah lekang dengan senyum dan telefon keduanya… “Ni Bob Marley mana pulak?”tanya seseorang merujuk kepada penutup kepala  a la penyanyi lagu No Women No Cry yang mendapat gelaran mendiang sebelum ustaz itu lahir lagi…

Demikian salah satu watak dan perenggan di dalam entri Penangan Laksam Pulau Gezambo.

Tiada apa-apa lagi tentang ustaz itu yang mahu saya catatkan di dalam entri ini. Cukuplah dahulu. Biarkan dia berehat. Cuma ada sedikit pembetulan. Bahawa penyanyi reggae Jamaica itu meninggal pada tahun 1981, jadi Husin sudah ada di dunia ini ketika itu….

Cuma apabila disebutkan nama Bob Marley, sengaja saya pilih lagunya itu – No Woman No Cry – sebagai lagu latar klip himpunan foto yang sempat disimpan dari pertemuan di Pulau Gezambo tersebut.

Tiada makna apa-apa. Hanya suka-suka.

Layanlah lagu itu sambil melihat koleksi foto-foto aksi spontan malam itu. Layanlah koleksi foto-foto aksi spontan malam itu sambil mendengar lagu itu. Mana-manalah. Mungkin ini kali pertama anda dengar lagunya walaupun pernah mendengar tajuknya di perkatakan orang, atau melihat wajah Marley di baju t anak-anak muda yang belumpun lahir semasa penyanyi itu meninggal 33 tahun dahulu… Eleh biasalah…. Ramai yang pakai baju berpotretkan Che Guevera tanpa tahu pun siapa sebenarnya dia….asal nampak wajah brutal sedikit terpampang di dada baju, cukuplah. Atau pun sekadar ikut-ikutan…

Cuma sedikit catatan tentang Pulau Gezambo daripada kornea saya.

Nama tempat itu Wira Osman yang sebutkan ketika kali pertama kami melintasi perkampungan berkenaan. Tidak didaftarkan nama itu. Google Maps pun tidak tahu.

Saya pernah makan tengah hari lauk berhidang pada satu hari Jumaat bersama Wira. Sejak tidak lagi menjadi guru, itulah kali pertama saya makan di rumah bekas pelajar. Makan tengah hari. Makan nasi dan tiga empat jenis lauk. Bukan makan kuaci sambil bersembang-sembang  dan menonton tv.

Makan waktu malam lagilah pernah ketika berkunjung untuk berbual-bual termasuk sekali peristiwa tentang majlis perjumpaan raya BF.

Tiga kenduri kahwin di kampung itu pernah saya hadiri.

Saya tidak ingat dengan siapa saya pergi pada kenduri pertama.

Kali kedua saya pergi bersama Zairi dan Cikgu Rahim Daud. Kalau tidak silap perkahwinan adik Rohana Jalil @ Abd Halim dan Aznan, dua BF dari pulau tidak berlaut keliling itu. Sempatlah berjumpa Samira Said dan kakaknya,Shahida , yang memperkenalkan pula anak dara sulungnya.

Terakhir adalah sebelum Ramadan lalu. Ditemani BBP. Kenduri di rumah abang Mariam Ismail, samatuanya Zulkifli Shamsuddin. [Mariam dengan Rohana, seperti saya kata selalu, bukan orang …. Mereka adalah anak dan ibu saudara]

BBP selalu mengingati  acara pengunjung kenduri itu bersama dj, sebagai selingan.

I] Teka-teki.
Di Melaka ada Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Di dapur ada Hang apa?
Seorang tetamu [agaknya saudara tuan rumah] dari Pahang berjaya menjawabnya – Hangit! Saya macam mahu bangun untuk mempertikaikan keputusan dj itu. Kalau jawapan macam itu saya boleh bagi dua lagi: Hangus dan Hangpa. Hangpa tak pernah ada di dapur? Mujur saya baru mula menyuap nasi….

Ii] Tetamu dipanggil untuk menyebut pantas berkali-kali dua perkara:
Kepala dicukur, kelapa dikukur.

Muncul dua budak. Seorang tergagap dan terus dibatalkan. Seorang lagi berjaya tetapi berpeluh kepala apabila asyik tersasul menyebut kepala dikukur, kelapa dicukur .Seluruh khemah terdengan deruan ketawa setiap kali dia tertukar begitu.

Dapatlah hadiah hamper.

Dan BBP pun banyak kali juga mengulang dua perkara itu. Entahlah. Mungkin dia balik berlatih di rumah di tengah-tengah malam supaya tidak diketawakan.

Tapi bagi saya di pulau itulah – selain bertemu Ustaz Haji Mazlan Mansor, BF yang kini bertugas di SK Dato’ Shaari – saya berkesempatan bertemu kemudiannya Suhaimi Mohd Shah yang telah terputus hubungan selama dua tahun. Entah berapa kali dia bertukar nombor telefon sepanjang tempoh itu… Dia ikut menjadi tetamu di rumah kenduri tersebut. Tahu kepulangannya, saya terus bertanyakan iparnya akan nombor baru untuk menghubungi Suhaimi. Tidak dijumpai di khemah kenduri, saya bertemunya dua tiga hari kemudian di Kedai Mi Abbas, Kola dan bersembang panjang.

Hinggalah kemudiannya kami dapat berjemaah menghabiskan seorang sepinggan dua laksam…

Semoga akan ada edisi seterusnya acara berkumpul begitu di pulau itu …



No Woman No Cry  – Bob Marley

No, woman, no cry;
No, woman, no cry;
No, woman, no cry;
No, woman, no cry.


’Cause – ’cause – ’cause I remember when a we used to sit
In a government yard in Trenchtown,
Oba – obaserving the ’ypocrites – yeah! –
Mingle with the good people we meet, yeah!
Good friends we have, oh, good friends we have lost
Along the way, yeah!
In this great future, you can’t forget your past;
So dry your tears, I seh. Yeah!

No, woman, no cry;
No, woman, no cry. Eh, yeah!
A little darlin’, don’t shed no tears:
No, woman, no cry. Eh!

Said – said – said I remember when we used to sit
In the government yard in Trenchtown, yeah!
And then Georgie would make the fire lights,
I seh, logwood burnin’ through the nights, yeah!
Then we would cook cornmeal porridge, say,
Of which I’ll share with you, yeah!
My feet is my only carriage
And so I’ve got to push on through. 


Oh, while I’m gone,
Everything’s gonna be all right!
Everything’s gonna be all right!
Everything’s gonna be all right, yeah!
Everything’s gonna be all right!
Everything’s gonna be all right-a!
Everything’s gonna be all right!
Everything’s gonna be all right, yeah!
Everything’s gonna be all right!

So no, woman, no cry;
No, woman, no cry. 


I seh, O little – O little darlin’, don’t shed no tears;
No, woman, no cry, eh.

No, woman – no, woman – no, woman, no cry;
No, woman, no cry.
One more time I got to say:
O little – little darlin’, please don’t shed no tears;
No, woman, no cry.

22 August 2014

Jan: Budak Teluk Bulang


Shahrizal Mohd Nor

Pagi Jumaat. Pagi rahmat.

Hampir jam 9 pagi.

Saiful Adly menelefon saya bertanyakan free atau tidak. Nak diajaknya saya bersarapan di Kola. Kalau nasi Mak Endek tak dijual, ada satu tempat lain, katanya, yang boleh tahan sedapnya. Makan free? Saya pun freelah jawabnya. Walaupun enam jam yang lalu saya meninggalkan meja bersama seorang dua BF di Batas Paip.

Saiful menyatakan dia akan terlebih dahulu ke Kola, melihat samada kedai itu dibuka atau tidak supaya saya tidak kehampaan… Saya masih di Simpang Empat apabila lebih sepuluh minit kemudian Saiful menelefon semula menyatakan nasi Mak Endek dijual. Siap dia bertanyakan lauk yang saya mahukan. Daging dan hati, kata saya dengan sedikit janggal kerana saya perlukan sekurang-kurangnya dua puluh minit lagi untuk sampai ke kedai sederet di lorong masuk jeti nelayan di Kola itu. Tetapi mendengar A berkata OK, saya tidak perlu berkata apa-apa lagi. Mahu makan nasi pun boleh gunakan kabel rupanya…

Saya sampai ketika Saiful sudahpun membuat penamat kunyahan. Pinggan di depannya hanya ada gurisan kuah yang melekat. Minumannya pun tinggal seperempat bahagian. Dua tiga orang beratur membuat tempahan di kaunter lauk. Nasi saya? Saiful bangun ke kaunter lauk, membisikkan sesuatu kepada Man [kalau tidak silap], penjual nasi itu. Rupanya tempahan telah sedia, dan sekejapan itu juga Man menyenduk nasi dan lauk yang dipesan dari Simpang Empat tadi….Fuh… Kelas, gitu!

Semasa makan itulah, dalam berbual-bual, Saiful memberitahu bahawa dia menelefon Shahrizal Mohd Nor di Teluk Bulang yang menjemputnya datang ke rumah.

Shahrizal Mohd Nor?

Lama saya mencari BF yang tinggi lampai itu. Sejak meninggalkan AlFalah, kami memang tidak pernah bertemu. Apa cerita dan khabarnya? Dia saya ingat jika ada ceramah motivasi di mana-mana. Saya teringat bagaimana dalam satu ceramah motivasi yang didatangkan motivatornya oleh Cikgu Siti Khadijah pada satu tahun itu, dia yang dipanggil ke depan telah ditikam oleh sang motivator untuk salah satu sesi. Terguris atau tercalar perutnya. Sang motivator memberikan dua puluh ringgit sebagai penebus. Cerita selanjutnya ada dalam entri bertajuk [ kalau tidak salah] Kau Lupa Janji…. Dia menjadi pengawas yang ramah dan menjadi perhatian banyak hati semasa itu….ada yang menjadikannya peti simpanan untuk mereka taruh hati…hehehe… saya tahu sebab saya ada saksi dan bukti…hehehe… Cerita dolu-dolu…

Saiful pernah mengatakan sering bertemu ayah Shahrizal ketika masing-masing menghantar anak/cucu ke PASTI di Alor Ibus. Saiful berjaya mendapatkan nombor telefon  Jan [panggilan untuk Shahrizal] yang khabarnya menjadi polis di Johor dan berkahwin juga dengan orang Johor. Saya dail nombor yang diberikan itu tetapi tidak diangkat telefonnya. Hanya PA sahaja yang bersuara dengan ayat yang monotonus: ….box…..

Akhirnya nombor itu tertanggal sendiri dari telefon …

Shahrizal Mohd Nor?

Saya meminta nombor Jan dari Saiful lalu mendail. Ada nada tetapi tiada diangkat. PA juga yang bersuara. Tidak tahu cutikah PA pada musim raya pun?

… atau mungkin Jan tidak mengangkat kerana nombor yang timbul tidak dikenali siapa pemanggilnya…saya bersangka negatif…

Saiful akhirnya mencuba memanggil dari hapenya. Berangkat. Sah sangkaan saya itu..

Tetapi Jan memberitahu tadinya telefon terletak di dalam bilik. Saya menelan ludah…

Saiful memberitahu ada ‘kawan’ mahu bercakap dengannya dan menyuruhnya meletakkan telefon kerana ‘kawan’ itu akan segera mendail…

Saya pun menekan punat dail semula. Sekali nada keluar terus diangkat…

Selepas saling mengucap selamat hari raya, saya bertanyakan satu soalan bodoh: Kenai dak suara ni? Budak Tadika dan Pasti pun tahu jawapan Jan…

Ketika saya perkenalkan sebagai kawan lama, dia berkata”mana nak kenai…suara pun tua dah…”

Saya tergelak.

Akhirnya saya perkenalkan diri sebenar. “..yang dok kat Falah dulu..Ingat dak?” Dia terkejut. “Awat tak kenai… Tapi dengar suara macam muda ja…”katanya.

Pulak! Saya tergelak lagi. Tinggi ilmu basa-basinya…

Terjadilah perbualan dalam  dua tiga minit. Kalau tahu awal, mahu juga dia bersarapan di Kola, katanya. Dia mempelawa ke rumah dan memberitahu akan pulang ke Kuching pagi besoknya.

Kuching? Ya, info yang saya dapat sebelum ini salah. Memang dia berkahwin dengan orang JDT tetapi bertugas di Kuching, Sarawak.

Saya tidak berjanji untuk ke rumahnya tetapi berharap akan bertemu suatu hari nanti, jika ada nyawa… Perbualan ditutup dengan sekali lagi kami saling mengucap salam Idulfitri.

Hampir dua dekad kami tidak pernah bertemu. Ada banyak  juga yang saya ingat tentangnya selain berkaitan ceramah motivasi tadi. Nama Jan Bunga yang Saiful letakkan pada nombor yang diberikan tadi pun ada maknanya. Saya tergelak ketika melihatnya. Membayangkan dirinya dalam seragam pengawas sekolah – berseluar putih dan berbaju biru nila muda - menaiki motor kapcai untuk berulang-alik diiringi bunga-bunga berkembang yang tidak kelihatan di mata kasar…

“Cikgu nak pi rumah dia ka?”tanya Saiful. Lalu dia memberikan plan rumah keluarga Jan di Teluk Bulang secara lisan. Itu semasa masih di dalam kedai.

Semasa di luar kedai pun Saiful bertanya begitu sekali lagi. “Cikgu pi dulu. Selesai kerja saya, saya ikut pi…” tambah katanya ketika kami masing-masing berada di atas motor. Saya tidak berjanji apa-apa kerana tidak pasti samada mahu pergi atau tidak.

Saiful yang mahu memastikan perjalanan tugasnya selepas solat Jumaat nanti berjalan elok berpisah dengan saya di depan kedai itu.

Shahrizan Mohd Nor.

Kalau saya tidak menemuinya kali ini, entah bila pula kali lain itu? Lagi pula, kita bukan seperti susu yang muka tinnya ada tercatat tarikh luput penggunaannya…

Sepanjang jalan pulang, saya menjadi seperti Hamlet, satu watak ciptaan Shakespeare,  yang libang libu otaknya – To be or not to be, that is the question

Saya gubah menjadi: La ‘ni hang nak pi atau tak pi….

Saya hanya terkejut apabila Pak Leh Pulut Udang Kg Pergam melompat atas jalan raya di depan saya sambil menunjukkan segugus buah jentik yang diambil di meja rakannya di tepi jalan dalam pekan Tebengau. Mujur cengkaman brek depan belakang masih boleh diharap. Kalau tidak, jenuh kena jentik saya dengan orang Tebengau yang sedang menziarahi peniaga sepanjang jalan itu. Pakleh terkekeh ketawa sambil menjentik buah jentik sebiji dua hingga kulitnya menyentuh pipi sayang yang kalau ditoreh tidak berdarah tapi akan pecahlah muka kawan yang menoreh itu…

“Hang mai mana?”tanyanya ramah. Dia menyuap buah yang dijentik ke mulut saya. Hantu betul Pak Leh!

{Pak Leh memang peramah dan kelakar orangnya. Asalnya orang Kangkong tetapi bertemu jodoh dengan orang Kg Pergam [sebelah laut….betul kut nama itu kerana Kg Pergam adalah nama kampung sama di sebelah darat aatau timur jalan raya, bertepatan rumah Pakcik Ariffin, bapa kepada dua budak Falah – Mohd Sofi dan Redzuan] Dulu Pak Leh berniaga pulut udang dan pisang goreng di Kuala Kangkong bersama isterinya. Pada bulan Ramadan dia berniaga di Pekan Baru Tebengau yang kini kelihatan usang. Tetapi kini dia ada gerai tetap di tepi jalan berhampiran rumah Pakcik Ariffin. Saya selalu dipanggilnya jika dia ternampak supaya membeli pulut udangnya. Memang sedap, dan saya sanggup mencarinya di Tebengau jika teringin pulut udang ketika duduk di rumah di Simpang Empat. Jauh? Apalah sangat jika dibandingkan dengan Batas Paip waimma Kola sekalipun yang boleh saya sampai dua tiga kali sehari…Tapi saya selalu buat tak nampak jika melintas di depan gerainya. Kena hari tak teringinlah. Hari teringin pula bukan selalu. Pulut udang… Barack Obama pun bukan makan burger hari-hari walaupun dia kata burger sedap.. Kalau saya singgah membeli pula, ditanya mahu ke mana? Jika saya katakana mahu ke rumah bapa saudara di Alor Penyengat dia siap kirim salam dan tanpa ditanya terus membungkus  berbelas biji pulut udang. “Dia anak ramai….”katanya merujuk bapa saudara saya itu. “Sorang sebiji pun tak cukup! Kalau saya katakan mahu ke rumah emak saudara juga begitu Cuma dikurangkan empat lima biji. “Anak Yam [emak saudara saya] tak ramai…” Begitulah. Kalau saya katakan hanya mahu makan di rumah, ditanyanya pula, “Kat Tok hang takkan tak bagi?” Pusing lagu mana pun dia mampu menjual banyak kepada saya.

Saya kenal lama dengan Pak Leh itu. Sejak dalam kandungan lagi! Benar, kerana dia adalah budak Falah  sezaman dengan emak saya serta bapa-bapa dan emak saudara saudara saya. Dia tahu mereka tinggal di mana kini, berapa anak masing-masing. Yang sudah meninggal pun diingatnya. Sebelum berkahwin dahulu seingat saya dia berniaga udang ke kampung-kampung termasuk kampung kelahiran saya. Sebab itu dia tahu perkembangan keluarga kami…}

“Nak pi Teluk Bulang…” balas saya.

“Rumah sapa?”

“Rumah Md Noq….”jawab saya.

“Md Noq mana?”

Maka sambil dia menyangkutkan gugusan buah jentik di pemegang motor saya dan sama-sama menjentik, saya pun berceritalah siapa Md Nor itu dan kenapa saya mahu ke situ. Selepas hu ha sebentar dan bercakap soal keluarga sedikit, Pak Leh mencapai buah jentik yang mulanya disuruh saya masukkan ke dalam raga motor tetapi saya menolaknya lalu berpaling kea rah kawannya yang menjual buah itu. “Hang nak pi, pi la. Sat ni nak pi masjid pulak…” katanya.

Laa… saya kata ‘nak pi’ ka?

Macam mana boleh terjawab begitu?

Pi!

Saya teringat Saiful. Agaknya dia telah selesai urusan. Saya hubunginya. Dia mengangkat tetapi bukan di tempat yang ditujunya tadi. “Ada di kampung ‘ni. Saya balik sat. Tak tahan… nak buang…”katanya, dan kata tak tahan itu bunyinya macam ditahan-tahan.  Tetapi sempatlah saya tinggalkan ajakan yang dipersetujuinya segera. “Cikgu tunggu sat…” katanya.

Tertunggu-tunggulah saya. Jarak rumah ayahnya ke Tebengau bukanlah jauh sangat tetapi aktiviti yang sedang dilakukannya tidak dapat ditentukan masanya. Maka saya menghidupkan motor lalu masuk ke jalan tar mini di celah orang yang berniaga itu. Menghala ke timur. Sampai kawasan rumah Kak Om, kerani AlFalah dahulu, saya berpatah balik. Melintasi jalanraya, saya ke barat pula sehingga bertemu tandop kuala Tebengau. Tiada apa yang menarik di dalam air laut yang keruh di situ. Saya berpatah balik, lalu menysur pula jalan utama hingga depan Restoran Tok Nadoq, tempat orang mengasah suara setiap malam. Kemudian berpatah balik tetapi sebaik nampak Pak Leh sedang berbual dengan penjual ikan bersebelahan penjual buah jentik tadi, saya buat u-turn dan akhirnya berhenti di depan klinik untuk wanita berkahwin yang ingin mengambil peperiksaan selalu pergi…

Lama juga menunggu.

Akhirnya Saiful muncul ketika saya berada di lokasi lain yang saya lalui jalannya setelah ternampak Pak Leh bersama seorang rakannya bermotor menghala ke kuala…

Saiful memanggi seseorang yang kemudiannya datang menghampiri saya. Berbaju biru skuad Harimau Malaya. Dia bersalam dengan saya dan terus diajak Saiful membonceng motornya. Dia tertanya-tanya atau terpinga-pinga tetapi tetap melangkah naik. Teluk Bulang baginya adalah seperti Lorong Mayat bagi Babuji. Dialah Mohd Nasir Hassan, budak Falah yang mempunyai bakat yang pelbagai – di darat dan di laut.

Kami masuk semula ke jalan tar mini ke rumah Kak Om tadi. Jalan alternatif ke Teluk Bulang. Jalan yang boleh sampai ke rumah keluarga Zulkifli Shamsuddin, pemastautin Pulau Gezambo kini.

Rumah pertama ditemui di sebelah kiri jalan ke Kg Teluk Bulang itulah rumah keluarga Jan. Ada dua buah kereta kelihatan. Satu di bawah rumah dan satu lagi di depan pintu dapur.

Saiful memberi salam. Seorang budak kecil muncul. “Ayah ada dak?” tanya Saiful, macamlah dia kenal itu anak siapa…. Hentam sajalah Labu…

Kemudian muncul Jan.

Dia berbual dengan Saiful dan saya pula berada di belakang kereta yang berdekatan pintu dapur itu. Tidaklah saya dengar apa yang dibualkan. Kemudian, ketika bersembang, barulah saya diberitahu apa isi perbualan mereka.

Biarlah saya nukilkan begini – lebih kurang:

“Abang ‘tu [atau Orang tua ‘tu..] cari rumah Shahrizan… Saya mai tunjuk kat dia la….”kata Saiful yang masih memakai topi keledar.

“Oooo. Terima kasihla… Mai la masuk dulu…”

“Tak apalah… saya nak balik dulu la….” Balas Saiful..

Hehehe. Ingatkan Jan kenal Saiful…

Jan kemudiannya memandang saya. Sekali dalam tiga detik tetapi cukup untuk mengenali.

“Laa…cikgu…..mai…mai…”

Dia keluar bersalam dengan saya sambil memeluk dengan sebelah tangan lagi. Saya yang tak tahu isi perbualan tadi hairan melihat Saiful tersengih-sengih. Nasir? Tak tahulah. Saya hanya ada dua mata yang dibahagikan pula pandangan kepada Saiful dan Jan. Tersengih juga agaknya si Nasir…

Jan meminta maaf kerana tidak mengecam wajah Saiful. Maklumlah perbualan kelmarin pun bukan pun bersemuka. Hanya menggunakan medium yang dicipta asalnya oleh AG Bell.

Jan menjemput kami masuk melalui ruang depan rumah dua lapis itu. Kami rasa lebih selesa di luar sahaja. Cuma yang diperlukan adalah dua lagi kerusi – satu DUN dan satu Parlimen – kerana di dekat meja luar itu hanya ada dua kerusi…

Ramah sekali Jan. Macam dulu. Dan macam tidak berjumpa baru dua tiga minggu…

Wajahnya juga tidak banyak berubah cuma mula beruban sedikit rambutnya. “Dok pikiaq, kerja banyak, kerap dok bawah air-cond pulak…”katanya kemudian ketika kami ulas bab keputihan pada banyak helai juga rambutnya. Tidak tahulah ada fakta saintifik atau tidak punca rambut beruban itu.

Misai dan janggut agaknya baru dicukur pagi tadi mengambil sunat hari Jumaat sebab membiru atau menghijau sahaja kawasan itu, tanpa tunggul-tunggul gerigis..

Maka berbuallah kami dengan segala tajuk yang kami mahu. Dari hal kerja, hal kawan lama, hal keluarga, dan tentulah tidak dilupa hal AlFalah!

Tiada siapa yang mencatat, tetapi apa yang saya tulis ini berdasarkan apa yang saya ingat. Kalau susunannya lintang pukang, biarlah, asalkan anda faham…

Jan seorang polis berpangkat Inspektor, kalau tidak silap info awal, sebab dia sendiri tidak mahu memberitahu ‘berapa calit’ yang dipakainya ketika ditanya Saiful. Agaknya dia tidak guna calit-calit lagi.
Saya tabik dengan Saiful. Sempat diceritanya saya tergelak ketika melihat nama Jan Bunga pada hapenya sewaktu di Kola tadi. Kalau saya, tak akan keluarkan bab itu. Kami berhadapan seorang pegawai polis. Buat dikeluarkannya gari kerana memanggilnya begitu, siapalah yang bakal menjamin kami…. Jan hanya tersengih, bersuara lembut menyatakan memang ada kawan masih memanggilnya begitu. Lega saya mendengarnya, segera menghirup teh yang Jan hidangkan sebaik keluar bersama kerusi untuk kami tadi.

Dia bertugas di Kuching, Sarawak yang ‘besaq dia punya tapak’ kata DJ Ed dalam lagu Kucing 1Malaysia… Sudah 13 tahun dia bertugas di situ. Salahlah info lama dulu. Cuma dia memang mendapat mertua orang Skudai, JDT. Anak mertuanya yang sama-sama sebantal di Sarawak adalah seorang doktor. Mereka punya dua anak dan dijangka akan muncul seorang lagi pada hujung tahun ini. Katanya anak sulung sudah berusia enam tahun manakala lama barulah dapat ‘adik’. Isterinya melanjutkan pelajaran dahulu, jadi dalam tempoh itu tiada anak. Sebab itu berselang lama. Saya teringat kepada Budak Batas Paip. “Kalau dia ada tentu dikatanya, ‘pulun kecik pala-pala…’ nak dapat adik tu…”kata saya kepada Saiful yang kemudiannya tertawa kuat. Jan dan Nasir hanya tersengih. Tidak tahulah faham atau tidak punca Saiful ketawa itu.

Jan dan isteri bercuti dua minggu. Minggu pertama mereka beraya di Johor, minggu lebihnya di Teluk Bulang. Terlupa pula bertanya adakah berlaku sistem penggiliran, dengan raya tahun berikutnya di Kedah dahulu….

Saya tanyakan Jan tentang pengalaman ditikam oleh motivator di AlFalah itu. Dia masih ingat Cuma lupa berapa yang dibayar oleh motivator kepadanya.  Bila dia ingat itu, saya teringat Cikgu Siti Khadijah. Saya hubungi seorang ahli fb alumni AlFalah, meminta nombor Cikgu yang selalu dipanggil Cathy itu [sepatutnya Caddy berdasarkan nama asalnya. Tahu apa itu caddy? Sepatutnya lagi dipanggil Jah, untuk menampakkan kemelayuannya…]

Sebaik mendapat nombornya, saya hubungi terus. Dia sedang memasak di dapur. “Ingat!” katanya apabila saya sebutkan nama penuh Jan serta peristiwa motivator yang dibawanya tertikam Jan dahulu. Lalu saya biarkan mereka bercakap. Lamalah juga perbualan itu. Kalau pakai kad pra-bayar, mungkin tiba-tiba talian terputus begitu sahaja, kalau top upnya tiga ringgit…

Jan rupanya pernah ke rumah Cikgu Jah ketika masih bersekolah dahulu, mengangkat barang pindah. Patutlah banyak yang mereka bualkan sehingga sempat kami kurangkan lagi teh di dalam cawan… Jan kemudian menyerahkan semula hape. Ada kepuasan di wajah dan suaranya dapat berbual dengan bekas gurunya itu.

Peneman teh tadi adalah kuih-muih raya. Biasalah. Musimnya. Tetapi kemudian Jan keluarkan pula piring dan sudu empat pasang. Apa lagi pula? Perut masih terasa nasi Mak Endek ,belum dikisar sepenuhnya. Kemudian dia muncul lagi dengan nasi himpit bersama kuah. “Sate takdak sama ka?”tanya saya. Di dalam hati. Selalunya saya makan nasi himpit bersama sate. Kalau nasi sahaja, baik saya makan nasi biasa….{Maaf, peminat nasi himpit…}

“Sila…sila… nasi himpit orang Johor ‘ni..”kata saya sambil menghulurkan piring kepada Nasir yang nampaknya macam tidak puas hati. Oh! Saya berikan sama sudu, baru dia tersengih.

“Ya. Sila, cikgu. Memang orang rumah buat. Tapi beras ni beras Bario…”kata Jan.

Saya terkesima. Bario? Bukan senang mahu mendapatkan beras terbaik ini. Kawasan tanamannya di gunung. Berasnya dibawa ke Kuching bukan dengan lori tapi belon atau heli. Itu yang saya tengok di majalah tv. Dekat sepuluh ringgit harga sekilo. Kalau tak percaya tanya Cik Google. Ini Jan buat nasi himpit…

Tunggu lagi?

Saya terus mencapai bekas nasi itu, ambil kuahnya. Benamkan nasi kedalam kuah lalu secara perlahan meletakkan ke atas lidah. Dengki gigi-gigi yang tidak menjadi anggota terawal menyentuh beras Bario.. Saya kemam seketika… Rasanya? Rasa nasilah. Takkanlah rasa mac baby?Teksturnya? Entah… hehehe…Malaslah nak ulas panjang-panjang , nanti ada yang mengidam, susah tok lakinya…Lagi pula ini bukan blog resipi masakan…. Tapi saya teruja. Lebih setengah abad usia, lebih empat dekad mendengarnya, hari ini saya menelan nasi beras Bario…saya terlupa akan khasiatnya … memang tidak peduli pun…

Ketika inilah teman ziarah saya bergambar sakan untuk ditunjukkan di dalam WhatsApp. Saya pun tumpanglah sepiring….

Ayah Jan, Mohd Nor ada bersama kami sebelum itu, setelah pulang dari rumah jiran yang bakal mengadakan kenduri kahwin esoknya. Dia tertawa melihat kami makan sambil bergambar.

Jan masuk lagi ke dalam rumah. Kali ini dia bawakan pula sepinggan cempedak goreng. Besar ulasnya. Sekali pandang macam cucur yang intinya campuran udang dan kelapa. Kulitnya adunan tepung bersama ubi atau pisang. Saya tidak mahu sebutkan. Takut ditanya mana *a*a*nya. Orang kita kebanyakannya keloloh…

Cucur itulah pula yang dijadikan model untuk dihantar ke WhatsApp… Kecur liur peminat cempedak agaknya…

Demikianlah.

Kami terus berbual dengan sesekali mendapat celahan dari ayahnya yang memang mengenali ayah saya. Rasanya dia juga bekas pelajar AlFalah, berdasarkan perbandingannya tentang AlFalah era 80-an/90-an dengan AlFalah era awal penubuhan sehingga dekad 60-an.

Akhirnya kami terpaksa pamit. Nasir ada urusan. Saiful pun. Saya juga. Dan tentu pula Jan.

Seronok dapat berjumpa orang yang tidak berubah gaya dan cara bertutur. Inspektor.  Saya terbayang sesuatu. Kalau saya jumpanya di pejabat, kalau dia bertukar ke Semenanjung kelak, saya ajaknya “ Jom ngeNes, Jan…” agaknya anak buahnya tentu akan membisikkan, “Itu tuan. Inspektor. Bukan sarjan!” hehehe…. Aku nak kisah?

Sebelum pulang, kami bergambar ramai. Bergilir Nasir dan Saiful mengelik tiga kamera dalam telefon. Gambar dari dua kamera kami muatkan dalam WhatsApp dan fb. Segera rakan fb alumni memberi respons. Semuanya kenal Shahrizal. Termasuk yang di Perai, Gurun dan Kola. Bekas guru pun ikut mengomen, termasuk Cikgu Maliki, Cikgu Hj Faisal dan Cikgu Jah. Jan Bunga atau Mat Bunga, kata beberapa rakan lama atau mungkin – bagi rakan perempuan - tuan hati yang sempat menaruhnya dekat Jan…..hehehe…..mana tahu….

Akan foto di dalam kamera yang satu lagi hanya buat simpanan peribadi Jan.

Saya teringat bagaimana ketika Jan meminta mereka mengelik  foto untuknya, mereka macam segan-segan sedikit.Satu peringkat mereka berdua bertukar tawa ketika bertukar posisi. “Awat?” tanya saya.

“Lain, cikgu. Telefon kita dengan telefon Jan…”

Saya ikut ketawa. Biasanya pegang menggambar kamera berharga dua ratus, ini kena pegang telefon berharga lebih dua ribu*. Boleh mengambil foto di dalam air lagi…hehehehe…

*********
*Kami sempat berkenalan dengan ipar Jan yang menjadi tauke kedai telefon di bawah City Plaza, bersaing dengan peniaga bukan Melayu. Kalau tidak silap hanya dua kedai milik Melayu. Saya terlupa nama kedainya ***** Global. Dia tawarkan kepada budak Falah harga istimewa telefon atau urusan berkaitan. Syaratnya, sebutkan nama abang iparnya sang inspektor itu atau si tauke sendiri – Fikri atau Fakri… Kamera yang dua ribu lebih harganya kepunyaan Jan dihantar si ipar dari Alor Setar, setelah dia tertipu dengan kamera yang dibeli di Sarawak.