06 Julai. 8 Ramadan. Ahad.
Saya sedang memukat sedikit pahala sempena bulan puasa yang
mulia ini, menjelang masuknya waktu solat Asar. Dapat 10 muka cukuplah…
Md Rautin Md Desa |
Telefon di bucu meja memberi tanda ada panggilan masuk. Saya
membelek sebelum menekan punat menerima.
Muncul nama Md Rautin, ahli Geng Gajah Mati yang pernah hampir sedekad mendiami
bumi AlFalah mulai tahun 1986.
Suara garaunya terdengar memberi salam. “Cikgu, Helmi takdak
dah…”katanya sebaik saya menarik nafas setelah menjawab salamnya.
“Sapa?”tanya saya.
“Helmi…”
“Helmi mana?”
“Helmi kita… Lemi…”balas Rautin dengan menyertakan nama
panggilan kami kepada Helmi.
“Innalillah…. Bila?” soal saya semula.
“Petang ni…”
“Simpannya pukul berapa?”
“Tak tu lagi. La ni mayat
tak sampai rumah lagi…
Saya membelek jam di layar telefon. 4.16 petang.
Rautin dan saya kemudiannya seperti kehilangan kata hinggalah talian
terputus…
Helmi Zakaria.
Budak Falah yang cukup rapat dengan saya semenjak hari
pertama dia menjejakkan kaki ke asrama AlFalah pada tahun 1986, mengikuti langkah abangnya, Basri, yang dua tahun lebih
tua darinya…
Seketika saya melayan perasaan sambil mendoakan
kesejahteraan arwah…
Helmi…
Nantilah jika ada kesempatan akan saya catat kenangan
peribadi bersamanya …
Saya terlupa bertanyakan kepada Md Rautin, siapa lagi yang
telah dihubunginya, sekitar AlFalah,
bagi memaklumkan berita lara itu.
Lalu saya dail kepada Cikgu Non. Jiran berselang satu pintu
itu tidak menjawab.
Saya dail kepada Hj Sehabudin, abang Ustaz Fairose yang
berada di rumahnya di AlFalah. Sahabat saya itu agak terkejut, tapi apabila
bertanya bilakah jenazah akan dikebumikan, saya menjawab seperti jawaban yang
Md Rautin berikan tadi. Dalam slanga Gajah Mati juga.“Tak tu…” Haji yang baru dua bulan
menerima menantu itu mengucapkan terimakasih dan saya pun mengandaikan bahawa
beliau akan memaklumkan berita ini kepada Maklong, Maklang dan Ustaz Fairose.
Saya teringat kepada Cikgu Rahim. Walaupun pejabatnya di
pekan Pendang hanya beberapa kilometer dari Kg Gajah Mati, tidak bersalahan
jika saya mendail nombornya pula. In case…
Cikgu Rahim mengangkat telefon. Ada nada kelelahan pada
suaranya. Benarlah, dia belum tahu berita tersebut dan memaklumkan baharu
sahaja sampai ke rumah dari Perak atas urusan kerja. Apabila dinyatakan bahawa
jenazah masih belum sampai ke rumah, Cikgu Rahim pula memberitahu ada anak
orang kampungnya, yang saya kenal, juga sedang ditunggu ketibaan mayatnya dari
hospital. Terlibat dalam kemalangan jalanraya di Karak, kalau tidak salah
dengar.
“Macam ‘ni la…. Lepas tarawih nanti, aku call hang…tengok macam mana….” Begitu
lebih kurang kata Cikgu Rahim sebelum memutuskan talian.
Helmi…
Baru 40 usianya. Empat puluh satu, kut. Sama baya dengan
tiga lagi rakan karib sekampung yang datang ke AlFalah dahulu – Md Rautin,
Elyas dan Nasaruddin…
Usai solat Asar, saya
hubungi semula Md Rautin. Mahu mengetahui kedudukan terkini jenazah.
“Tak sampai lagi…” kata Md Rautin. “Tak
tu bila…”
“Pakmid ada?” tanya saya merujuk kepada abang Helmi, Basri
yang tinggal di Perak.
“Tak sampai lagi… tapi dalam perjalanan ‘tu…”
Kg Gajah Mati begitu dekat di hati saya dan guru-guru
AlFalah. Boleh dikatakan semua guru lelaki pernah berkunjung ke situ dahulu.
Ramai budak Falah berasal dari sekitar situ pada peringkat awal saya mengajar
dahulu. Rapat dengan keluarga terutamanya ayah Helmi, ayah Elyas, ayah Md
Rautin dan ayah Nasaruddin. Sebab itu saya agak terkilan apabila tidak
mengetahui berita kematian ayah Helmi, Pak Zakaria, pada awal tahun ini. Masih
basah di ingatan, betapa pada satu malam yang basah, tepat setahun yang lalu,
ketika mencari rumah Elyas bagi menyampaikan jemputan ke majlis sambutan raya
Alumni AlFalah, Pak Zakaria muncul di pintu rumahnya ketika Cikgu Non bertanya
arah. Saya dan Budak Batas Paip berada di dalam kereta ketika hujan begitu
lebat di luar. Ketika masuk ke dalam kereta, Cikgu Non menyatakan dia
memberitahu kepada Pak Zakaria bahawa saya ada di dalam kereta. Sehingga hari
ini saya terkilan… Hujan lebat boleh saya jadikan alasan untuk tidak turun bertemu
dengan waris budak Falah itu…buat kali terakhir…
“Cikgu bagi tu kat Ustat Firud sama….” Kata Rautin. Beberapa
kalimat sebelum itu tidak saya dengari kerana tersasar fikiran.
“Dah bagi tau kat Falah…” balas saya.
Md Rautin juga cuba menghubungi Cikgu Rahim tetapi tidak berjaya.
Dia kedengaran lega apabila saya memberitahu telah memaklumkan kepada bekas
guru Sejarahnya itu.
“Insyaallah, lepas tarawih ‘ni kami sampai kut…”
“Cikgu Non?” tanya Md Rautin lagi. Saya memaklumkan pula
duduk perkara sebelum perbualan ditamatkan.
Selang seminit kemudian, telefon berbunyi. Cikgu Non!
Dia memaklumkan tertidur ketika saya memanggil tadi. Saya pun
memaklumkan tujuan panggilan tadi. Segera dibuatnya keputusan untuk pergi. Dia
akan mengajaksama Nazri Hashim dan Malek Jamaluddin, setelah bertanya saya
samada Malek itu sama batch atau tidak dengan arwah Lemi…
Lima belas minit kemudian, Cikgu Non memaklumkan: “kita pi
pukul 9.45!”
Kg Gajah Mati. Secara peribadi saya mungkin nyaris paling dekat dengannya berbanding guru
lain. Nyaris? Betapa tidak. Kalau berjaya usaha Elyas, Md Rautin dan Lemi
menjodohkan saya dengan seorang gadis kampung mereka pada tahun 1986 dahulu,
agaknya slanga saya tentulah setara Md Rautin & Co. Sesiapa yang pernah
membaca keseluruhan blog ini mungkin pernah bertemu entri menceritakan betapa bersungguhnya Elyas
membawa foto gadis itu yang mahu diregukan dengan gurunya yang sebatang kara
ini. Sebaik foto dihulur, Md Rautin dan Lemi pula menjadi tukang angguk dan
tukang mengia nilai tambah gadis berkenaan yang Elyas sertakan secara lisan…
Namun, telah tertulis, gadis itu bukan jodoh saya…
Pukul 10 malam, muncullah Nazri bersama Malek. Berempat kami
malam itu dengan kereta Cikgu Non menuju ke Pendang dan seterusnya Kg Gajah
Mati. Melalui jalan yang sama ketika saya dan Cikgu Non serta Budak Batas Paip
menghantar jemputan tahun lalu…
Sepanjang perjalanan
rasanya tidak banyak yang kami bualkan. Adalah sekitar 5000 patah kata…
[Saya maklumkan tentang kata Cikgu Rahim siang tadi, namun
mengingat mungkin jenazah mangsa kemalangan
yang ditunggunya belum tiba, saya tidaklah menghubunginya semula
memberitahu kedudukan kami ketika itu. Saya juga memaklumkan isi perbualan kali
kedua dengan Md Rautin terutama tentang jenazah yang belum sampai].
Basri a.k.a Pakmid |
Kg Gajah Mati. Kami sampai di depan laman rumah keluarga
arwah Lemi pada jam 10.40. Ada empat buah kereta di situ. Ada tiga kelompok
manusia. Satu di bawah semurup bersebelahan ruang dapur. Jelas kelihatan kerana
di atas kepala mereka ada gantungan mentol 60w. Jelas juga kelihatan mereka
bukan sejantina dengan kami berempat. Turun dari kereta, kami menuju ke bawah
pokok mempelam. Di atas pelenggar ada empat lima susuk manusia. Berdasarkan
kupiah putih semuanya, sahlah mereka sejenis dengan kami. Memang gelap betul di
bawah pokok itu sehinggakan saya yang bersalam dengan mereka turut bersalam
dengan Malek… Itu kelompok kedua. Mereka memaklumkan bahawa jnazah telah dikebumikan dan cepat
menunjuk kea rah pintu depan rumah – pada kelompok ketiga – sebaik kami
tanyakan Basri a.k.a Pakmid.
Di dalam kelompok ketiga itulah yang lebih ramai.
Menghampiri 10 orang. Pak Mid agak tersentak melihat saya dan Cikgu Non. Dia
yang telah beberapa tahun tidak saya temui, mencium tangan saya ketika
bersalam. Cikgu Non berada di depan saya ketika berkeliling bersalam itu.
Tidaklah pula saya pasti samada tangannya juga dicium. “Ni cikgu saya dulu..”
umumnya kepada semua yang ada di dalam kelompok itu. Saya duduk di sebelahnya.
Di kanan saya adalah bapa saudaranya. Cikgu Non memulakan kalimah, menyangka
jenazah akan dikebumikan pagi esoknya.
No comments:
Post a Comment