2 August 2014

Pendek- Pandak..



i]
Razak Othman
Hamidah Said muncul buat kali pertama tahun ini. Demikian pula dengan Razak Othman. Kalau tidak silap mereka sekelas semasa di AlFalah dahulu. Hamidah kini guru KAFA di Kuala Kedah manakala Razak berniaga ikan dan udang di Taman Bersatu. Ketika majlis perkahwinannya dahulu, Hamidah mengundang saya melalui sekeping kad yang comel. Nama pasangannya adalah Razak Othman. Saya tepilanjat! Biar betul Hamidah bernikah dengan Razak! Ternyata betul. Hamidah bernikah dengan Razak Othman. Tetapi suaminya bukanlah Razak Budak Falah itu. Razak Othman lain…




ii]

Razak Othman, suami Hamidah, adalah seorang ahli perniagaan. Salah satu cabang perniagaannya adalah Restoran Anjung Kuala. Saya telah hampir 10 kali ke restoran itu, tetapi hanya sekali terserempak dengan Hamidah. Itu pun kerana Husin Lateh yang terlebih ramah memperkenalkan saya kepada suami Hamidah, pada satu malam ketika kami berdua mahu bersantai di restoran itu. Sang suami kemudiannya memberitahu akan kehadiran saya di situ, lalu didekati oleh Hamidah. Siap memperkenalkan anaknya yang bakal menduduki  SPM…

Ketika acara makan-makan baru bermula terdengar Mariam Ismail menguar-uarkan bahawa Hamidah menawarkan restoran berkenaan sebagai lokasi perjumpaan raya tahun hadapan [ Syawal 1436]. Hamidah kemudiannya meminta urusetia berbincang lebih lanjut dengan Mariam tentang hal itu. [Mariam dan Hamidah mengajar di sekolah yang sama]. Ramai yang mendengar menarik nafas. Lega. Kalau ditakdirkan begitu, bertukar tempatlah  perjumpaan tahun hadapan. Tapi sekurang-kurangnya ada seorang yang sesak dada. Siapa lagi kalau bukan Budak Batas Paip yang tahun hadapan giliran beraya di rumah besan emaknya di Ketereh, Kelantan…

iii]

Razak BF
Razak Othman, BF si tauke ikan di Taman Bersatu itu, selamanya saya kenang pada satu peristiwa di dalam kelas. Tingkatan Dua atau Tiga. Saya memukul tapak tangannya sebagai satu denda tidak melakukan kerja sekolah. Lima kali. Kemudian dia berjalan kembali ke tempat duduknya dengan gayabadan terhinggut-hinggut.  Ego saya menghasut. Saya memanggilnya semula ke depan. “Ooo. Kena lima kali hang jalan terhinggut-hinggut lagi noooo….”kata saya sambil memintanya menunjukkan tapak tangan untuk hukuman berganda. Belum sempat saya memukul, ada seorang serikandi penyelamat bersuara. Saya lupa siapa. Katanya, “Razak memang berjalan macam ‘tu, cikgu…” Mujur. Saya pun memintanya berjalan ke tempat duduknya. Benar. Dia memang berjalan begitu. Terhinggut-hinggut. Lompat gagak, kalau tidak silap.

Di majlis raya, Razak tersengih apabila saya bangkitkan hal itu. Selepas bersalam dan memeluk saya sebelum meminta diri, dengan janjinya untuk memberi diskaun untuk saya pada setiap pembelian ikan atau udang , saya melihat dia berjalan ke luar dewan. Gaya jalannya memang macam dulu!

iv] 

Dia memakai baju oren kekoko-kokoan.. Nampak ramah sebab melayan perbualan beberapa orang di sekelilingnya. Saya tanyakan pada Helwi. Pada Muzammil. Pada Wira. Pada beberapa orang lagi. Tetapi tiada seorang pun yang mengenali wanita yang sedang ikut mencedok makanan yang berlebihan di atas meja. Mudah saja, fikir saya. Saya menyuruh Wira hulurkan buku kedatangan untuk wanita itu tulis namanya. Kemudian saya berbual sekejap dengan Abdul Khodir Mohd Ariff, kekanda Mohd Zairi yang kini menetap di PD. Selepas itu saya membelek buku kedatangan. Tiada tambahan nama. Helwi tertawa. “Tak boleh tulih. Bukan BF…” lebih kurang begitulah yang dikatanya. “Tu bini Husin…” Laaa…….

v]

Husin Lateh datang ke majlis raya BF setiap tahun. Tetapi saya tidak pasti samaada dia datang bersama isterinya atau tidak sebelum ini. Saya tidak pernah mengenali  atau melihat isterinya walaupun dua tiga kali juga pernah ke rumah mereka. Kali ini Husin datang bersama isteri dan anak. Inilah kali pertama saya melihat isterinya yang telah lama ingin saya tahu bagaimana wajahnya. Jangan silap tafsir. Isteri Husin adalah anak kepada Bang Mi, pemandu bas sekolah dari Kuala Kedah ke AlFalah pada satu ketika [dengan arwah Paklong Senapi sebagai konduktornya]. Saya dan Cikgu Non kerap juga ke rumah bang Mi dahulu. Anaknya yang ditakdirkan menjadi samatua Husin pernah kami lihat semasa itu. Semasa masih di tahap satu sekolah rendah…
Zairi, Helwi dan Husin

vi]
Saya sering juga membelek WhatsApp Alumni AlFalah. Kadang-kadang ikut campur. Di antara yang aktif adalah Wira, Helwi, Zairi, Nor Ashiqin dan suaminya, Muzammil, Ahmad Nazri dan Rusli Hassan. Kadangkala berlaku perdebatan, kutukan, dan seumpamanya. Ada pro dan kontra bagi merancakkan grup. Sering bertelagah adalah Nazri dengan Muzammil atau Wira, dengan Rusli dan Zairi serta Helwi menjadi samada penenang atau batu api! Shikin juga ikut campur. Nampak mesra semua. Zairi dengan Shikin boleh ngam. Rusli yang Shikin panggil Uncle juga satu kepala. Yang lain sementelahlah.

Dalam majlis di dewan, Zairi bisikkan kepada saya, Shikin tidak mengenalinya. Segera saya tanyakan kepada Shikin sama ada kenal atau tidak insan yang senang dengan botak-look di sebelah saya. Setelah 5 saat berfikir, Shikin memberitahu tidak kenal atau tidak perasan. Saya tergelak. Sikit punya riuh mereka berdua dalam WhatsApp sampai berasap-asap,  tapi tak kenal! “Inilah Mohd Zairi!” kata saya. Zairi tersengih atau tersenyum. Shikin? Lia tepilanjat! Tersenyum, menekup mulut.Malu….gamaknyalah!

vii]

Maulana
Muzammil Soliheen a.k.a Maulana memang ramah habis hari itu. Pembaca doa pembukaan itu menegur hampir semua orang. Saya duduk di sebelahnya berhampiran meja pembesar suara ketika Norlizah Saad meminta diri untuk pulang.

“Nak balik buat apa lagi. Awai lagi.” Kata Maulana. Norlizah menjawab tetapi saya tidak jelas mendengarnya.

Ada anak ‘dah?” tanya Maulana.

Norlizah menggeleng. “Takdak lagi.”

“Oooo. Kosong lagila. Tak dapat anak lagi…” ramah sungguh laki Shikin ini. Agaknya mereka bukan orang - adik beradik – sebab itu mesra sahaja perbualan mereka.

“Hang kenai dia ka?” tanya saya apabila Norlizah berlalu setelah tersenyum pada sapaan Maulana.

“Tak tau… Sapa ‘tu?” Maulana selamba.

Laaa… Hidup-hidup dia berlakon…Mati-mati ingatkan dia kenal!

“Tu Norlizah Saad…”

“Junior kami kut…” Maulana selamba lagi.

“Junior?” saya separuh terpekik. “Tu… sama kelas dengan dia   tahun ‘83” saya menuding ke arah Abdul Khodir yang duduk berdekatan kami.

“Laa…” Sepatah….er… sukukata dari Maulana, yang tujuh tahun muda dari Norlizah…

viii]

Manaf...err... Hafizi
Hafizi Abdul Manaf, seorang lagi yang muncul buat kali pertama. Semasa di AlFalah dahulu saya memanggilnya Manaf, ikut stail bekas penjajah sedikit. Seronok berbual dengannya yang awal-awal lagi memberitahu bahawa dia tidak dapat datang lagi pada tahun hadapan. “Dua tahun lagi, insyaallah….” katanya. Seperti ramai BF lain, dia mahu berlaku adil kepada samatuanya dengan menggilirkan tahun beraya di kampung kelahiran masing-masing. “Isteri saya orang Johor..” kata Manaf ….err… Hafizi lagi. Tahun depan dia akan beraya di kampung besan emak ayahnya pula, ekk? Tidak dapatlah dilihat kelibatnya bertemu Pawang Nujum, misalnya, ekk?

ix]

Hafizi memang ada ciri-ciri tinggi renjong sejak di zaman perfalahan. Kini, anak saudara otai AlFalah, Abbas Ahmad, itu berkhidmat dengan TUDM di ibu negara. 1.89 meter. Demikian ketinggiannya sekarang. Saya kena melangut untuk berbual dengannya. “Tinggi dari liang kubur…”kata saya merujuk kedalaman kubur lazimnya 1.83 meter. “Kalau berdiri dalam kubur boleh nampak orang di luar….”tokok saya lagi.

Tapi Manaf …err.. Hafizi mungkin sedikit salah faham. “Betui,”katanya, “masa berlatih, depa suruh duduk dalam keranda, teruk juga kena mengerekut. Saiz keranda standard pendek dari saya…”

Saya tergelak. Sebenarnya ada beza di antara berdiri di dalam kubur [yang  sedang atau baru dikorek] dengan berbaring di dalam keranda…

x]

Pagi, di dalam dewan, Cikgu Din memberitahu Wira, Saifol Adly dan Sazaziz bahawa dia mendapat PM yang mempersoalkannya kenapa sibuk-sibuk ikut terlbat mengelola majlis, sedangkan sebagai bekas guru, dia sepatutnya datang sebagai tetamu, seperti kelaziman majlis reunion  bekas pelajar sekolah-sekolah lain. Cikgu Din memberitahu dia hanya menjawab ‘inilah uniknya AlFalah…’. Saya tahu hatinya tidak berkata setakat itu…

Petang, di luar dewan, ketika cuba menghubungi Ustaz Fairose dan Cikgu Rahim, serta mendapat panggilan dari Cikgu Non tentang sedikit kelewatannya, ada dua panggilan lain yang cukup mengejutkan Cikgu Din. Saya yang mendengar juga tumpang terkejut.

Satu panggilan bertanya, “Betulkah perjumpaan raya tahun ini dibatalkan?” Saya membelek skrin telefon  Cikgu Din. Tertera nama BF dari luar kawasan P10 Kuala Kedah.

Satu lagi panggilan dari dalam kawasan P10 Kuala Kedah meminta maaf kerana tidak dapat hadir setelah mendapat nasihat yang antara lain berbunyi “seeloknya jangan hadir…”

Sebagai orang yang paling rapat dengan Cikgu Din, saya faham apa yang muncul di relung hatinya ketika itu.

Sebab itulah, ketika pengacara majlis memintanya berucap sedikit, Cikgu Din menolak. “Saya malu…”katanya, disambut tawa beberapa orang yang mendengarnya.

Menurut Cikgu Din, jawapan itu bukan langsung dari hati. Keluar secara spontan. Sebetulnya dia merasa tidak kuat untuk berucap, takut terlalu emosional dan tidak dapat mengawal diri.

“Kalau bersemangat dan berazam kuat takpa la. Mana tau ada airmata yang jatuh… Jatuhlah nilai aku depan anak bini… Imej kena jaga ooo… depan hangpa takpa la…” kata Cikgu Din kepada saya sambil menjeling melalui cermin tingkap samatuanya serta tiga anak mereka yang berada di barisan tengah dewan…

Saya hanya mengangguk walaupun kasihan kepada pengacara yang sekali lagi meminta Cikgu Din berucap.  Akhirnya sang pengacara melangkau ke acara sampingan – menjemput tetamu makan-makan…

Saya melihat Cikgu Din menggunakan ibu jari dan jari telunjuk tangan kanannya menekan kedua-dua penjuru mata berdekatan batang hidung, sebelum masuk ke dalam dewan…

No comments: