Shahrizal Mohd Nor |
Pagi Jumaat. Pagi rahmat.
Hampir jam 9 pagi.
Saiful Adly menelefon saya bertanyakan free atau tidak. Nak diajaknya saya bersarapan di Kola. Kalau nasi
Mak Endek tak dijual, ada satu tempat lain, katanya, yang boleh tahan sedapnya.
Makan free? Saya pun freelah jawabnya. Walaupun enam jam yang
lalu saya meninggalkan meja bersama seorang dua BF di Batas Paip.
Saiful menyatakan dia akan terlebih dahulu ke Kola, melihat
samada kedai itu dibuka atau tidak supaya saya tidak kehampaan… Saya masih di
Simpang Empat apabila lebih sepuluh minit kemudian Saiful menelefon semula
menyatakan nasi Mak Endek dijual. Siap dia bertanyakan lauk yang saya mahukan.
Daging dan hati, kata saya dengan sedikit janggal kerana saya perlukan
sekurang-kurangnya dua puluh minit lagi untuk sampai ke kedai sederet di lorong
masuk jeti nelayan di Kola itu. Tetapi mendengar A berkata OK, saya tidak perlu
berkata apa-apa lagi. Mahu makan nasi pun boleh gunakan kabel rupanya…
Saya sampai ketika Saiful sudahpun membuat penamat kunyahan.
Pinggan di depannya hanya ada gurisan kuah yang melekat. Minumannya pun tinggal
seperempat bahagian. Dua tiga orang beratur membuat tempahan di kaunter lauk.
Nasi saya? Saiful bangun ke kaunter lauk, membisikkan sesuatu kepada Man [kalau
tidak silap], penjual nasi itu. Rupanya tempahan telah sedia, dan sekejapan itu
juga Man menyenduk nasi dan lauk yang dipesan dari Simpang Empat tadi….Fuh…
Kelas, gitu!
Semasa makan itulah, dalam berbual-bual, Saiful memberitahu
bahawa dia menelefon Shahrizal Mohd Nor di Teluk Bulang yang menjemputnya
datang ke rumah.
Shahrizal Mohd Nor?
Lama saya mencari BF yang tinggi lampai itu. Sejak
meninggalkan AlFalah, kami memang tidak pernah bertemu. Apa cerita dan
khabarnya? Dia saya ingat jika ada ceramah motivasi di mana-mana. Saya teringat
bagaimana dalam satu ceramah motivasi yang didatangkan motivatornya oleh Cikgu
Siti Khadijah pada satu tahun itu, dia yang dipanggil ke depan telah ditikam
oleh sang motivator untuk salah satu sesi. Terguris atau tercalar perutnya.
Sang motivator memberikan dua puluh ringgit sebagai penebus. Cerita selanjutnya
ada dalam entri bertajuk [ kalau tidak salah] Kau
Lupa Janji…. Dia menjadi pengawas yang ramah dan menjadi perhatian
banyak hati semasa itu….ada yang menjadikannya peti simpanan untuk mereka taruh
hati…hehehe… saya tahu sebab saya ada saksi dan bukti…hehehe… Cerita dolu-dolu…
Saiful pernah mengatakan sering bertemu ayah Shahrizal
ketika masing-masing menghantar anak/cucu ke PASTI di Alor Ibus. Saiful berjaya
mendapatkan nombor telefon Jan [panggilan
untuk Shahrizal] yang khabarnya menjadi polis di Johor dan berkahwin juga
dengan orang Johor. Saya dail nombor yang diberikan itu tetapi tidak diangkat
telefonnya. Hanya PA sahaja yang bersuara dengan ayat yang monotonus: ….box…..
Akhirnya nombor itu tertanggal sendiri dari telefon …
Shahrizal Mohd Nor?
Saya meminta nombor Jan dari Saiful lalu mendail. Ada nada
tetapi tiada diangkat. PA juga yang bersuara. Tidak tahu cutikah PA pada musim
raya pun?
… atau mungkin Jan tidak mengangkat kerana nombor yang
timbul tidak dikenali siapa pemanggilnya…saya bersangka negatif…
Saiful akhirnya mencuba memanggil dari hapenya. Berangkat. Sah sangkaan saya itu..
Tetapi Jan memberitahu tadinya telefon terletak di dalam
bilik. Saya menelan ludah…
Saiful memberitahu ada ‘kawan’ mahu bercakap dengannya dan
menyuruhnya meletakkan telefon kerana ‘kawan’ itu akan segera mendail…
Saya pun menekan punat dail semula. Sekali nada keluar terus
diangkat…
Selepas saling mengucap selamat hari raya, saya bertanyakan
satu soalan bodoh: Kenai dak suara
ni? Budak Tadika dan Pasti pun tahu jawapan Jan…
Ketika saya perkenalkan sebagai kawan lama, dia berkata”mana
nak kenai…suara pun tua dah…”
Saya tergelak.
Akhirnya saya perkenalkan diri sebenar. “..yang dok kat
Falah dulu..Ingat dak?” Dia terkejut. “Awat tak kenai… Tapi dengar suara macam
muda ja…”katanya.
Pulak! Saya tergelak lagi. Tinggi ilmu basa-basinya…
Terjadilah perbualan dalam
dua tiga minit. Kalau tahu awal, mahu juga dia bersarapan di Kola,
katanya. Dia mempelawa ke rumah dan memberitahu akan pulang ke Kuching pagi
besoknya.
Kuching? Ya, info yang saya dapat sebelum ini salah. Memang
dia berkahwin dengan orang JDT tetapi bertugas di Kuching, Sarawak.
Saya tidak berjanji untuk ke rumahnya tetapi berharap akan bertemu
suatu hari nanti, jika ada nyawa… Perbualan ditutup dengan sekali lagi kami
saling mengucap salam Idulfitri.
Hampir dua dekad kami tidak pernah bertemu. Ada banyak juga yang saya ingat tentangnya selain
berkaitan ceramah motivasi tadi. Nama Jan Bunga yang Saiful letakkan pada nombor yang
diberikan tadi pun ada maknanya. Saya tergelak ketika melihatnya. Membayangkan
dirinya dalam seragam pengawas sekolah – berseluar putih dan berbaju biru nila
muda - menaiki motor kapcai untuk berulang-alik diiringi bunga-bunga berkembang
yang tidak kelihatan di mata kasar…
“Cikgu nak pi rumah dia ka?”tanya Saiful. Lalu dia
memberikan plan rumah keluarga Jan di Teluk Bulang secara lisan. Itu semasa
masih di dalam kedai.
Semasa di luar kedai pun Saiful bertanya begitu sekali lagi.
“Cikgu pi dulu. Selesai kerja saya, saya ikut pi…” tambah katanya ketika kami
masing-masing berada di atas motor. Saya tidak berjanji apa-apa kerana tidak
pasti samada mahu pergi atau tidak.
Saiful yang mahu memastikan perjalanan tugasnya selepas
solat Jumaat nanti berjalan elok berpisah dengan saya di depan kedai itu.
Shahrizan Mohd Nor.
Kalau saya tidak menemuinya kali ini, entah bila pula kali
lain itu? Lagi pula, kita bukan seperti susu yang muka tinnya ada tercatat
tarikh luput penggunaannya…
Sepanjang jalan pulang, saya menjadi seperti Hamlet, satu
watak ciptaan Shakespeare, yang libang
libu otaknya – To
be or not to be, that is the question…
Saya gubah menjadi: La ‘ni hang nak pi atau tak pi….
Saya hanya terkejut apabila Pak Leh
Pulut Udang Kg Pergam melompat atas jalan raya di depan saya sambil
menunjukkan segugus buah jentik yang diambil di meja rakannya di tepi jalan
dalam pekan Tebengau. Mujur cengkaman
brek depan belakang masih boleh diharap. Kalau tidak, jenuh kena jentik saya
dengan orang Tebengau yang sedang menziarahi peniaga sepanjang jalan itu.
Pakleh terkekeh ketawa sambil menjentik buah jentik sebiji dua hingga kulitnya
menyentuh pipi sayang yang kalau ditoreh tidak berdarah tapi akan pecahlah muka
kawan yang menoreh itu…
“Hang mai mana?”tanyanya ramah. Dia menyuap buah yang
dijentik ke mulut saya. Hantu betul Pak Leh!
{Pak Leh memang peramah dan kelakar orangnya. Asalnya orang
Kangkong tetapi bertemu jodoh dengan orang Kg Pergam [sebelah laut….betul kut
nama itu kerana Kg Pergam adalah nama kampung sama di sebelah darat aatau timur
jalan raya, bertepatan rumah Pakcik Ariffin, bapa kepada dua budak Falah – Mohd
Sofi dan Redzuan] Dulu Pak Leh berniaga pulut udang dan pisang goreng di Kuala
Kangkong bersama isterinya. Pada bulan Ramadan dia berniaga di Pekan Baru
Tebengau yang kini kelihatan usang. Tetapi kini dia ada gerai tetap di tepi
jalan berhampiran rumah Pakcik Ariffin. Saya selalu dipanggilnya jika dia
ternampak supaya membeli pulut udangnya. Memang sedap, dan saya sanggup
mencarinya di Tebengau jika teringin pulut udang ketika duduk di rumah di
Simpang Empat. Jauh? Apalah sangat jika dibandingkan dengan Batas Paip waimma
Kola sekalipun yang boleh saya sampai dua tiga kali sehari…Tapi saya selalu
buat tak nampak jika melintas di depan gerainya. Kena hari tak teringinlah.
Hari teringin pula bukan selalu. Pulut udang… Barack Obama pun bukan makan
burger hari-hari walaupun dia kata burger sedap.. Kalau saya singgah membeli
pula, ditanya mahu ke mana? Jika saya katakana mahu ke rumah bapa saudara di
Alor Penyengat dia siap kirim salam dan tanpa ditanya terus membungkus berbelas biji pulut udang. “Dia anak
ramai….”katanya merujuk bapa saudara saya itu. “Sorang sebiji pun tak cukup!
Kalau saya katakan mahu ke rumah emak saudara juga begitu Cuma dikurangkan
empat lima biji. “Anak Yam [emak saudara saya] tak ramai…” Begitulah. Kalau
saya katakan hanya mahu makan di rumah, ditanyanya pula, “Kat Tok hang takkan
tak bagi?” Pusing lagu mana pun dia mampu menjual banyak kepada saya.
Saya kenal lama dengan Pak Leh itu. Sejak dalam kandungan
lagi! Benar, kerana dia adalah budak Falah sezaman dengan emak saya serta bapa-bapa dan
emak saudara saudara saya. Dia tahu mereka tinggal di mana kini, berapa anak
masing-masing. Yang sudah meninggal pun diingatnya. Sebelum berkahwin dahulu
seingat saya dia berniaga udang ke kampung-kampung termasuk kampung kelahiran
saya. Sebab itu dia tahu perkembangan keluarga kami…}
“Nak pi Teluk Bulang…” balas saya.
“Rumah sapa?”
“Rumah Md Noq….”jawab saya.
“Md Noq mana?”
Maka sambil dia menyangkutkan gugusan buah jentik di
pemegang motor saya dan sama-sama menjentik, saya pun berceritalah siapa Md Nor
itu dan kenapa saya mahu ke situ. Selepas hu
ha sebentar dan bercakap soal keluarga sedikit, Pak Leh mencapai buah
jentik yang mulanya disuruh saya masukkan ke dalam raga motor tetapi saya
menolaknya lalu berpaling kea rah kawannya yang menjual buah itu. “Hang nak pi,
pi la. Sat ni nak pi masjid pulak…” katanya.
Laa… saya kata ‘nak pi’ ka?
Macam mana boleh terjawab begitu?
Pi!
Saya teringat Saiful. Agaknya dia telah selesai urusan. Saya
hubunginya. Dia mengangkat tetapi bukan di tempat yang ditujunya tadi. “Ada di
kampung ‘ni. Saya balik sat. Tak tahan… nak buang…”katanya, dan kata tak tahan
itu bunyinya macam ditahan-tahan. Tetapi
sempatlah saya tinggalkan ajakan yang dipersetujuinya segera. “Cikgu tunggu
sat…” katanya.
Tertunggu-tunggulah saya. Jarak rumah ayahnya ke Tebengau
bukanlah jauh sangat tetapi aktiviti yang sedang dilakukannya tidak dapat
ditentukan masanya. Maka saya menghidupkan motor lalu masuk ke jalan tar mini
di celah orang yang berniaga itu. Menghala ke timur. Sampai kawasan rumah Kak
Om, kerani AlFalah dahulu, saya berpatah balik. Melintasi jalanraya, saya ke
barat pula sehingga bertemu tandop kuala Tebengau. Tiada apa yang menarik di
dalam air laut yang keruh di situ. Saya berpatah balik, lalu menysur pula jalan
utama hingga depan Restoran Tok Nadoq, tempat orang mengasah suara setiap
malam. Kemudian berpatah balik tetapi sebaik nampak Pak Leh sedang berbual
dengan penjual ikan bersebelahan penjual buah jentik tadi, saya buat u-turn dan
akhirnya berhenti di depan klinik untuk wanita berkahwin yang ingin mengambil
peperiksaan selalu pergi…
Lama juga menunggu.
Akhirnya Saiful muncul ketika saya berada di lokasi lain
yang saya lalui jalannya setelah ternampak Pak Leh bersama seorang rakannya
bermotor menghala ke kuala…
Saiful memanggi seseorang yang kemudiannya datang
menghampiri saya. Berbaju biru skuad Harimau Malaya. Dia bersalam dengan saya
dan terus diajak Saiful membonceng motornya. Dia tertanya-tanya atau
terpinga-pinga tetapi tetap melangkah naik. Teluk Bulang baginya adalah seperti
Lorong Mayat bagi Babuji. Dialah Mohd Nasir Hassan, budak Falah yang mempunyai
bakat yang pelbagai – di darat dan di laut.
Kami masuk semula ke jalan tar mini ke rumah Kak Om tadi.
Jalan alternatif ke Teluk Bulang. Jalan yang boleh sampai ke rumah keluarga
Zulkifli Shamsuddin, pemastautin Pulau Gezambo kini.
Rumah pertama ditemui di sebelah kiri jalan ke Kg Teluk
Bulang itulah rumah keluarga Jan. Ada dua buah kereta kelihatan. Satu di bawah
rumah dan satu lagi di depan pintu dapur.
Saiful memberi salam. Seorang budak kecil muncul. “Ayah ada
dak?” tanya Saiful, macamlah dia kenal itu anak siapa…. Hentam sajalah Labu…
Kemudian muncul Jan.
Dia berbual dengan Saiful dan saya pula berada di belakang
kereta yang berdekatan pintu dapur itu. Tidaklah saya dengar apa yang
dibualkan. Kemudian, ketika bersembang, barulah saya diberitahu apa isi
perbualan mereka.
Biarlah saya nukilkan begini – lebih kurang:
“Abang ‘tu [atau Orang tua ‘tu..] cari rumah Shahrizan… Saya
mai tunjuk kat dia la….”kata Saiful yang masih memakai topi keledar.
“Oooo. Terima kasihla… Mai la masuk dulu…”
“Tak apalah… saya nak balik dulu la….” Balas Saiful..
Hehehe. Ingatkan Jan kenal Saiful…
Jan kemudiannya memandang saya. Sekali dalam tiga detik
tetapi cukup untuk mengenali.
“Laa…cikgu…..mai…mai…”
Dia keluar bersalam dengan saya sambil memeluk dengan
sebelah tangan lagi. Saya yang tak tahu isi perbualan tadi hairan melihat
Saiful tersengih-sengih. Nasir? Tak tahulah. Saya hanya ada dua mata yang
dibahagikan pula pandangan kepada Saiful dan Jan. Tersengih juga agaknya si
Nasir…
Jan meminta maaf kerana tidak mengecam wajah Saiful.
Maklumlah perbualan kelmarin pun bukan pun bersemuka. Hanya menggunakan medium
yang dicipta asalnya oleh AG Bell.
Jan menjemput kami masuk melalui ruang depan rumah dua lapis
itu. Kami rasa lebih selesa di luar sahaja. Cuma yang diperlukan adalah dua
lagi kerusi – satu DUN dan satu Parlimen – kerana di dekat meja luar itu hanya
ada dua kerusi…
Ramah sekali Jan. Macam dulu. Dan macam tidak berjumpa baru
dua tiga minggu…
Wajahnya juga tidak banyak berubah cuma mula beruban sedikit
rambutnya. “Dok pikiaq, kerja banyak, kerap dok bawah air-cond pulak…”katanya
kemudian ketika kami ulas bab keputihan
pada banyak helai juga rambutnya. Tidak tahulah ada fakta saintifik atau tidak
punca rambut beruban itu.
Misai dan janggut agaknya baru dicukur pagi tadi mengambil
sunat hari Jumaat sebab membiru atau menghijau sahaja kawasan itu, tanpa
tunggul-tunggul gerigis..
Maka berbuallah kami dengan segala tajuk yang kami mahu.
Dari hal kerja, hal kawan lama, hal keluarga, dan tentulah tidak dilupa hal
AlFalah!
Tiada siapa yang mencatat, tetapi apa yang saya tulis ini
berdasarkan apa yang saya ingat. Kalau susunannya lintang pukang, biarlah,
asalkan anda faham…
Jan seorang polis berpangkat Inspektor, kalau tidak silap
info awal, sebab dia sendiri tidak mahu memberitahu ‘berapa calit’ yang
dipakainya ketika ditanya Saiful. Agaknya dia tidak guna calit-calit lagi.
Saya tabik dengan Saiful. Sempat diceritanya saya tergelak
ketika melihat nama Jan Bunga pada hapenya sewaktu di Kola tadi. Kalau saya,
tak akan keluarkan bab itu. Kami berhadapan seorang pegawai polis. Buat
dikeluarkannya gari kerana memanggilnya begitu, siapalah yang bakal menjamin
kami…. Jan hanya tersengih, bersuara lembut menyatakan memang ada kawan masih
memanggilnya begitu. Lega saya mendengarnya, segera menghirup teh yang Jan
hidangkan sebaik keluar bersama kerusi untuk kami tadi.
Dia bertugas di Kuching, Sarawak yang ‘besaq dia punya
tapak’ kata DJ Ed dalam lagu Kucing 1Malaysia… Sudah 13 tahun dia bertugas di
situ. Salahlah info lama dulu. Cuma dia memang mendapat mertua orang Skudai,
JDT. Anak mertuanya yang sama-sama sebantal di Sarawak adalah seorang doktor.
Mereka punya dua anak dan dijangka akan muncul seorang lagi pada hujung tahun
ini. Katanya anak sulung sudah berusia enam tahun manakala lama barulah dapat
‘adik’. Isterinya melanjutkan pelajaran dahulu, jadi dalam tempoh itu tiada
anak. Sebab itu berselang lama. Saya teringat kepada Budak Batas Paip. “Kalau
dia ada tentu dikatanya, ‘pulun kecik pala-pala…’
nak dapat adik tu…”kata saya kepada Saiful yang kemudiannya tertawa kuat. Jan
dan Nasir hanya tersengih. Tidak tahulah faham atau tidak punca Saiful ketawa
itu.
Jan dan isteri bercuti dua minggu. Minggu pertama mereka
beraya di Johor, minggu lebihnya di Teluk Bulang. Terlupa pula bertanya adakah
berlaku sistem penggiliran, dengan raya tahun berikutnya di Kedah dahulu….
Saya tanyakan Jan tentang pengalaman ditikam oleh motivator
di AlFalah itu. Dia masih ingat Cuma lupa berapa yang dibayar oleh motivator
kepadanya. Bila dia ingat itu, saya teringat
Cikgu Siti Khadijah. Saya hubungi seorang ahli fb alumni AlFalah, meminta
nombor Cikgu yang selalu dipanggil Cathy itu [sepatutnya Caddy berdasarkan nama
asalnya. Tahu apa itu caddy? Sepatutnya lagi dipanggil Jah, untuk menampakkan
kemelayuannya…]
Sebaik mendapat nombornya, saya hubungi terus. Dia sedang
memasak di dapur. “Ingat!” katanya apabila saya sebutkan nama penuh Jan serta
peristiwa motivator yang dibawanya tertikam Jan dahulu. Lalu saya biarkan
mereka bercakap. Lamalah juga perbualan itu. Kalau pakai kad pra-bayar, mungkin
tiba-tiba talian terputus begitu sahaja, kalau top upnya tiga ringgit…
Jan rupanya pernah ke rumah Cikgu Jah ketika masih
bersekolah dahulu, mengangkat barang pindah. Patutlah banyak yang mereka
bualkan sehingga sempat kami kurangkan lagi teh di dalam cawan… Jan kemudian
menyerahkan semula hape. Ada kepuasan di wajah dan suaranya dapat berbual
dengan bekas gurunya itu.
Peneman teh tadi adalah kuih-muih raya. Biasalah. Musimnya.
Tetapi kemudian Jan keluarkan pula piring dan sudu empat pasang. Apa lagi pula?
Perut masih terasa nasi Mak Endek ,belum dikisar sepenuhnya. Kemudian dia
muncul lagi dengan nasi himpit bersama kuah. “Sate takdak sama ka?”tanya saya.
Di dalam hati. Selalunya saya makan nasi himpit bersama sate. Kalau nasi
sahaja, baik saya makan nasi biasa….{Maaf, peminat nasi himpit…}
“Sila…sila… nasi himpit orang Johor ‘ni..”kata saya sambil
menghulurkan piring kepada Nasir yang nampaknya macam tidak puas hati. Oh! Saya
berikan sama sudu, baru dia tersengih.
“Ya. Sila, cikgu. Memang orang rumah buat. Tapi beras ni beras Bario…”kata
Jan.
Saya terkesima. Bario? Bukan senang mahu mendapatkan beras
terbaik ini. Kawasan tanamannya di gunung. Berasnya dibawa ke Kuching bukan
dengan lori tapi belon atau heli. Itu
yang saya tengok di majalah tv. Dekat sepuluh ringgit harga sekilo. Kalau tak
percaya tanya Cik Google. Ini Jan buat nasi himpit…
Tunggu lagi?
Saya terus mencapai bekas nasi itu, ambil kuahnya. Benamkan
nasi kedalam kuah lalu secara perlahan meletakkan ke atas lidah. Dengki
gigi-gigi yang tidak menjadi anggota terawal menyentuh beras Bario.. Saya kemam
seketika… Rasanya? Rasa nasilah. Takkanlah rasa mac baby?Teksturnya? Entah… hehehe…Malaslah nak ulas
panjang-panjang , nanti ada yang mengidam, susah tok lakinya…Lagi pula ini
bukan blog resipi masakan…. Tapi saya teruja. Lebih setengah abad usia, lebih
empat dekad mendengarnya, hari ini saya menelan nasi beras Bario…saya terlupa
akan khasiatnya … memang tidak peduli pun…
Ketika inilah teman ziarah saya bergambar sakan untuk
ditunjukkan di dalam WhatsApp. Saya pun tumpanglah sepiring….
Ayah Jan, Mohd Nor ada bersama kami sebelum itu, setelah
pulang dari rumah jiran yang bakal mengadakan kenduri kahwin esoknya. Dia
tertawa melihat kami makan sambil bergambar.
Jan masuk lagi ke dalam rumah. Kali ini dia bawakan pula
sepinggan cempedak goreng. Besar ulasnya. Sekali pandang macam cucur yang
intinya campuran udang dan kelapa. Kulitnya adunan tepung bersama ubi atau
pisang. Saya tidak mahu sebutkan. Takut ditanya mana *a*a*nya. Orang kita
kebanyakannya keloloh…
Cucur itulah pula yang dijadikan model untuk dihantar ke
WhatsApp… Kecur liur peminat cempedak agaknya…
Demikianlah.
Kami terus berbual dengan sesekali mendapat celahan dari
ayahnya yang memang mengenali ayah saya. Rasanya dia juga bekas pelajar
AlFalah, berdasarkan perbandingannya tentang AlFalah era 80-an/90-an dengan
AlFalah era awal penubuhan sehingga dekad 60-an.
Akhirnya kami terpaksa pamit. Nasir ada urusan. Saiful pun.
Saya juga. Dan tentu pula Jan.
Seronok dapat berjumpa orang yang tidak berubah gaya dan
cara bertutur. Inspektor. Saya terbayang
sesuatu. Kalau saya jumpanya di pejabat, kalau dia bertukar ke Semenanjung
kelak, saya ajaknya “ Jom ngeNes, Jan…” agaknya anak buahnya tentu akan
membisikkan, “Itu tuan. Inspektor. Bukan sarjan!” hehehe…. Aku nak kisah?
Sebelum pulang, kami bergambar ramai. Bergilir Nasir dan
Saiful mengelik tiga kamera dalam telefon. Gambar dari dua kamera kami muatkan
dalam WhatsApp dan fb. Segera rakan fb alumni memberi respons. Semuanya kenal
Shahrizal. Termasuk yang di Perai, Gurun dan Kola. Bekas guru pun ikut
mengomen, termasuk Cikgu Maliki, Cikgu Hj Faisal dan Cikgu Jah. Jan Bunga atau Mat
Bunga, kata beberapa rakan lama atau mungkin – bagi rakan perempuan
- tuan hati yang sempat menaruhnya dekat Jan…..hehehe…..mana tahu….
Akan foto di dalam kamera yang satu lagi hanya buat simpanan
peribadi Jan.
Saya teringat bagaimana ketika Jan meminta mereka
mengelik foto untuknya, mereka macam
segan-segan sedikit.Satu peringkat mereka berdua bertukar tawa ketika bertukar
posisi. “Awat?” tanya saya.
“Lain, cikgu. Telefon kita dengan telefon Jan…”
Saya ikut ketawa. Biasanya pegang menggambar kamera berharga
dua ratus, ini kena pegang telefon berharga lebih dua ribu*. Boleh mengambil foto di dalam air lagi…hehehehe…
*********
*Kami sempat berkenalan
dengan ipar Jan yang menjadi tauke kedai telefon di bawah City Plaza, bersaing
dengan peniaga bukan Melayu. Kalau tidak silap hanya dua kedai milik Melayu.
Saya terlupa nama kedainya ***** Global. Dia tawarkan kepada budak Falah harga
istimewa telefon atau urusan berkaitan. Syaratnya, sebutkan nama abang iparnya
sang inspektor itu atau si tauke sendiri – Fikri atau Fakri… Kamera yang dua
ribu lebih harganya kepunyaan Jan dihantar si ipar dari Alor Setar, setelah dia
tertipu dengan kamera yang dibeli di Sarawak.
No comments:
Post a Comment