Alhamdulillah.
Perjumpaan raya kali keempat Budak Falah [BF] berlangsung
dengan jayanya. Tercapai juga niat sebahagian BF yang mahu ada kelangsungan
acara tahunan tersebut.
Meminjam kata Budak Batas Paip, majlis berjalan. Dengan
jayanya, sambungnya. Soal kehadiran yang ramai atau sebaliknya, termasuk bab
lain. Bukan tugas sesiapa di antara kita untuk mengatur takdir.
Takdir?
Saya berlapang dada. Yang datang, kerana takdir untuknya
diatur sedemikian. Bagi yang tidak datang, demikian pula aturan takdir untuknya.
Terima sahajalah. Tiada upaya kita menongkahnya.
Seperti selalu saya katakan: bukan semua yang mahu dan
mampu. Bukan semua yang mahu, walaupun mampu untuk datang. Bukan semua yang
mampu, walaupun mahu datang. Ada
kekangan yang tidak boleh dielakkan. Ada sebab untuk tidak
datang. Sama ada sebab itu berlapik atau tidak, adalah soal lain.
Hesba Tgb {kiri} dan BBP |
Hesba Tgb
bermertuakan orang Bachok, Kelantan. Tahun lalu, dia beraya di rumah besan emak
ayahnya itu. Maka tidaklah dapat dia menyertai majlis tahun lepas. Raya keempat
1434 itu, ketika perjumpaan berlangsung di dewan Taman Bersatu – juga lokasi
bagi tahun 1435 ini - dia memilih untuk bercanda di pasiran Pantai Irama
berhampiran rumah kelahiran samatuanya. Di situ, ditakdirkannya bertemu seorang
lagi BF yang menjadi menantu orang Kelantan… Orang Ketereh. Diabadikan
kenangannya bersama hamba Allah tersebut lalu muncul foto mereka hampir seiringan dengan kemunculan foto awal acara
di Taman Bersatu, Batas Paip.
Tahun ini pun Hesba Tgb beraya di rumah mertua. Rumah itu
tidak berubah tapaknya. Tetap di Bachok. Tetap di Kelantan. Pantai Irama juga
masih di situ dengan desiran atau deburan ombaknya masih sama dengan rhythm tahun lepas. Tapi pagi raya
keempat kali ini, dia memilih untuk memandu pulang ke Kedah. Menjelang Zohor
dia serta keluarga telah berada di Alor Setar. Selepas jam 3 dia sudah berada
di dewan Taman Bersatu.
Hesba Tgb adalah contoh yang mahu dan mampu. Demikian
takdirnya.
Cikgu Faisol |
Cikgu Hj Mohd Faisol
ada enam jemputan kenduri termasuk di
Sungai Petani. Dia berjanji untuk cuba datang. Hampir di hujung majlis, dia dan
isteri serta seorang anak muncul di dewan. Menikmati laksam/laksa air tangan
orang Pulau Gezambo, Mariam Ismail. Bagaimana dia menguruskan jadual memenuhi
enam kenduri, tidak pula saya tahu kerana teruja dengan kemahuan dan
kemampuannya untuk hadir…
Suhaimi Md Shah
tinggal di Kapar, Selangor. Dua tahun lalu, dengan lengkap berbusana Melayu
rona merah jambu dia muncul di atas pentas Dewan SK Taman Bersatu mewakili
bekas BF, berucap dengan penuh semangat. Tahun lalu, dia tidak hadir. Minggu
terakhir Syaaban tahun ini, saya berbual panjang dengannya di Kedai Mi Abbas,
Kola. Salah satu isi perbualan itu adalah niatnya untuk datang ke majlis raya
tahun ini. Ditunjukkan foto anak gadisnya yang berusia 18 tahun. Dia berjanji
akan membawa anak itu ke majlis kelak. “Eloklahkalau ada sesiapa BF yang tengah
cari menantu…”usik saya. Suhaimi tersengih.
Pagi raya dia menghantar mesej ucapan raya kepada saya. Saya tidak membalas atau menghubunginya. Pagi
raya keempat, dengan andaian dia bersama anak gadisnya serta keluarga telah berada di Kola, saya hubunginya. Tidak
berjawab. Tengah harinya saya mendapat mesej darinya [diperturunkan di sini
tanpa sebarang pengubahsuaian]: Salam
…wrt. Salam untuk semua tiada yang trkecuali trutama kpd guru2.Maaf krna sya
tak dpt balik braya dikg. Dn tak dpt dtg dimajlis. Krana keadaan tak
mengizinkan. Maaf jugak sb tak jwp
panggilan sya tak sihat sikit. Apapun sya ucpkan slmt ari rya buatsemua dn mzb
dri sya.
Suhaimi Md Shah adalah contoh yang mahu datang tetapi tidak
mampu hadir dikeranakan oleh beberapa kerana… Apo nak dikato? Demikian
takdirnya.
Ustaz Fairose ada
tugas di Tanjung. Malam sebelum majlis saya ke rumah keluarganya di AlFalah.
Saya dimaklumkan hanya dia berada di negeri buah pala itu sedangkan anak isteri
berada di kampung, masih bercuti dan beraya. Jangkaannya, tugasnya akan selesai
menjelang tengah hari dan sekitar jam dua petang akan berada di AlFalah semula.
Jam 3, di luar dewan, saya menhubunginya. Dia meminta maaf dan menitipkan salam
kerana tugasnya belum selesai dan masih berada di negeri yang setiap tahun
membayar sewa kepada Kedah sebanyak RM20,000 itu….
Ustaz Fairose juga satu contoh mahu datang tetapi tidak
mampu… Itulah takdirnya.
Cikgu Siti Khadijah
sejak lama ingin menyertai majlis tahun ini. Malah siap berjanji pasti datang.
Dia sering menyebut kenangan menghadiri acara tahun lalu, terutamanya dengan bekalan yang dibawa pulang yang cukup
lumayan – sehingga dapat dijadikan bahan sarapan bersama samatua keesokan
paginya…
Jam 10.15 pagi saya menghantar mesej mengingatkannya. Tidak
sampai lima saat dia membalas – bukan dengan tulisan, sebaliknya dengan lisan.
Dia ingin datang tetapi telah ditetapkan oleh ahli keluarganya untuk mengadakan
jamuan raya di rumahnya. Siap dengan membakar kambing seekor dua… Kalau buat di
rumah orang lain, bolehla lari sat…..demikian kurang lebih katanya. Tahun depan
ada lagi….kata saya. Ketika inilah dizahirkan kata kesalnya kerana kesian
kepada BF yang membuat persediaan serta yang ingin berjumpanya. Saya dapat mendengar peritnya nada kekesalan itu…
Cikgu Siti Khadijah lagi satu contoh mahu tetapi tidak
mampu… Demikian pula takdirnya.
Cikgu Abdur Rahim
Daud memang berhajat untuk datang kali ini selepas tersilap tarikh pada acara
tahun lalu. Takdirnya dia harus ke Sungai Petani atas urusan keluarga pada
hujung pagi. Jam 4.30 petang, saya menghubungi nya dan memaklumkan majlis
rancak berlangsung. Dia berada di kawasan Singkir dalam perjalanan pulang dan
bertanyakan samada sempat menyertai majlis. Saya syorkannya menghubungi semula
apabila berada di sekitar kawasan kediamannya di Kg Hj Jamal kelak, kalau-kalau
ketika itu ada kesempatan untuk hadir ke dewan. Jam 5.23 barulah dia
menghubungi saya. Dia menjadi mangsa kesesakan jalan raya. Saya mencadangkan
kepadanya agar tidak datang kerana kemungkinan kalaupun dia sampai, yang
tinggal hanyalah barisan petugas, dia akur dan menitipkan salam kepada sesiapa
yang masih ada. Simpati saya untuk Cikgu Rahim yang terpaksa menunggu Syawal
1436 pula…
Ramai lagi yang senasib Suhaimi, Ustaz Fairose, Cikgu Siti
Khadijah dan Cikgu Abdur Rahim. Bukan tidak mahu datang tetapi ada saja
kekangan – tuntutan kerja, giliran di rumah mertua, kenduri di rumah keluarga
terdekat dan sebagainya.
Dalam pada itu ramai juga yang memang tidak mahu datang
walaupun mampu …
Banyak jugalah contohnya. Namun tidak perlulah saya catat
kerana tidak mahu dicontohi pula.
Marilah kita berlapang dada.
Jika bukan tertulis untuk kita berjumpa, maka tidak
berjumpalah kita. Usahalah bagaimana pun, jika tanpa izin-Nya, pertemuan tidak
akan berlaku.
Malah sudah sama-sama hadir pun ada juga yang tidak bertemu
kerana perbezaan masa datang masing-masing. Contoh mudah adalah tiga sahabat –
Saifol Adly, Nasir dan Sazaziz – yang tidak pun bertemu dengan Cikgu Hj Mohd
Faisol. Ketiga-tiga mereka ada komitmen lain lalu pulang awal sedikit sebelum
bekas guru mereka itu sampai.
Demikianlah suratan takdir…
No comments:
Post a Comment