28 June 2012

Apabila Bulu Roma Pun Berdiri

Mariam & Zulkifli

Saya hampir tidak pernah mengemukakan 2 entri dalam satu hari. Kali ini saya melawan kelaziman dengan melakukan sesuatu yang tidak pernah itu. Semuanya sebagai dedikasi saya kepada sahabat kita yang murah dengan senyuman - Zulkifli Shamsuddin.

Pukul 11.25 pagi tadi saya dikejutkan oleh satu lintas langsung dari Pusat Kesihatan Simpang Empat, Alor Setar. Menantu emak memancarkan acara yang berlangsung sempena Perhimpunan Hari Guru KAFA Daerah Kota Setar. Memang disengajakan agaknya, ia berlaku tepat ketika Mariam Ismail sedang mendeklamasikan sebuah sajak di pentas.

Seperti selalu, acara begini membuatkan bulu roma meremang. Apabila yang dengan lantang melontarkan suara itu pula adalah Mariam, liang roma turut mengembang! Hati dan perasaan tak usah diceritalah - mengembang seperti sekeping keropok dimasukkan ke dalam kuali yang di dalamnya adalah minyak yang menggelegak!

Saya segera terpelanting ke masa lalu.
Mariam [kiri] dan Cikgu Deja Man

Di Alfalah, dalam majlis muhadhoroh, selain nasyid, sajaklah yang paling menjadi pilihan pelajar. Mungkin kerana bentuknya yang bebas dan ringkas, maka singkatlah masa pendeklamasi berada di depan khalayak. Tidak seperti syarahan yang amat digeruni oleh pelajar yang berdarah sejuk - terpaksa berlama berdiri untuk ditenung oleh rakan-rakan dan guru-guru, dan terutamanya rakan yang mengangkat diri merangkap pengomen.....

Namun, dalam ringkas dan bebas itu, sebenarnya sajak turut menuntut keberanian dan keyakinan yang tinggi. Bukan calang-calang orang boleh berdiri di depan ramai, sambil mengingat bait-bait puisi, perlu pula menyesuaikan dengan intonasi dan gaya. Deklamator yang baik mampu menarik perhatian audien lebih dari seorang penceramah, walaupun jumlah baris puisinya hanya setengah muka surat!

Pendebat-pendebat yang dilihat amat gagah di kedai kopi - setelah membaca berita pada akhbar percuma yang kusam - belum tentu berani, jika disuruh berdiri sendirian, meski di hadapan rakan-rakan pendengar yang sama di warung kegemaran, memperdengarkan hujahan masing-masing..........

Dengan demikian, saya amat berbangga dengan penampilan Mariam. Dan perasaan itu berganda apabila mengetahui bahawa sayalah satu-satunya manusia di bumi ini yang mendapat lintas langsung sebahagian [dalam durasi 85 saat] persembahan Mariam!!! Terima kasih atas ihsan menantu emak....

Mariam menyampaikan sajak tentang jasa atau pengorbanan guru. Meski saya tidak berada di lokasi, saya dapat membayangkan pesona yang tercipta ketika itu. Semuanya diam menghayati dan terdetak kekaguman atas bakat Mariam. Ini kemudiannya diceritakan secara jujur oleh salah seorang pengagum -  menantu emak yang mengaku tidak akan mempunyai kekuatan sekelumit keupayaan Mariam.


"Budak Falah....." kata saya dengan diakui oleh makhluk bertanduk yang tiba-tiba muncul di sisi.

Mariam mendapat tempat kedua di mata juri. Di hati menantu emak, selayaknya Mariam menjuarai. Pengagum itu turut bercerita tentang Mariam yang muncul berkolaborasi dengan beberapa rakan sedaerah bernasyid pada awalnya. Demikian aktif dan hebatnya ustazah ini yang juga sedang sibuk menguruskan Majlis Perjumpaan Aidilfitri Alumni AlFalah Ogos nanti.

Bagi saya ketrampilan Mariam amat berkait rapat dengan kekerapannya muncul di dalam majlis muhadhoroh dahulunya. Tanpa melazimi sesuatu, mana mungkin akan tumbuh kesediaan menyahut cabaran bersajak di depan khalayak?

Tahniah Mariam!

Tahniah juga untuk suaminya Zul. Saya percaya, izin, restu dan dorongan Zul cukup berfungsi dalam memungkinkan Mariam berdiri yakin di depan khalayak. Bersama senyum dalam diam, Zul menyaksikan isterinya berlatih berkali-kali demi satu persembahan yang hebat!

Budak Falah yang lain, kalian ada?

X-Kaliber: Cerita Lara Sebuah Band




Brock, Rush dan Fender bukanlah nama sebenar mereka. Itu adalah nama glamour semasa mereka masih bersama menganggotai sebuah kumpulan rock kapak - X-Kaliber dulu. Brock adalah bassist, Fender pula seorang gitaris manakala Rush, yang paling tua di antara mereka, seorang percussionist.

Dulu, sekitar pertengahan 1990-an, mereka serta beberapa lagi anggota, cukup dikenali. Walaupun dari latar tempat dan usia yang berbeza, mereka memainkan peranan hingga kumpulan X-Kaliber mampu berdiri sama gagah dengan kumpulan-kumpulan rock yang lain. Meski setiap mereka pernah bersama band yang berbeza sebelumnya, namun kolaborasi dalam X-Kaliber boleh dikatakan sebagai puncak kegemilangan di arena rock. Band itu tidak hanya dikenali di utara Semenanjung, malah diterima oleh peminat rock dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Malangnya, memasuki millenium baru [Y2K], kumpulan itu terpaksa berpecah dengan pelbagai sebab yang ditakdirkan. Brock menyertai sebuah kumpulan lain. Fender pula dipujuk mengisi kekosongan di sebuah band berdekatan rumahnya. Rush, dengan sebab tersendiri, meninggalkan terus arena muzik.

Walaupun membawa haluan masing-masing, hubungan sesama mereka tidaklah terputus terus. Sesekali mereka berjumpa atau paling tidak bertelefon bertanya khabar. Pada setiap pertemuan, selain dari bertukar-tukar info tentang perkembangan terkini masing-masing, kebanyakan topik perbualan tidaklah terlepas dari mengenang zaman kegemilangan X-Kaliber dahulu. Bernarlah kata orang, sekali X-Kaliber, sehingga mati, jiwa X-Kaliber tetap hidup.


Tidak pernah jemu mereka mengingati detik-detik pahit, manis, payau dan tawar sepanjang menganggotai X-Kaliber. Imbauan ketika zaman kemuncak sentiasa bersilih ganti dicungkil. Cerita suka dibalut dengan ketawa kuat atau paling tidak sengihan beriring gelengan kepala. Cerita luka disalut tafakur spontan atau paling kurang decit-decit di bibir berserta gelengan kepala.

Suasana hening ketika bercerita tentang kematian yang menjemput salah seorang anggota band baru-baru ini. Kenangan bersama arwah, yang merupakan pemain gitar kedua, dicungkil dalam nada perlahan dan disulami rasa sayu. Masing-masing berkongsi cerita peribadi semasa bersama arwah.

Suasana ceria tatkala berkisah berkenaan bekas anggota, Matt, yang bakal mendapat menantu pertama selepas Ramadan nanti. Diimbau tentang ahli tersebut dengan sisi lucu semasa sama-sama membuat persembahan mahupun sewaktu berada di belakang pentas.

Kemudian mereka mengenang, Cathleen, penyanyi wanita yang kini menganggotai kumpulan lain di pinggir Alor Setar. Dia yang dianggap jelita oleh peminat semasa bersama X-Kaliber, khabarnya cukup pandai menjaga penampilan diri dan masih seanggun dulu, meski telah 12 tahun meninggalkan grup. Namun itu hanyalah dari cerita Fender yang melihat wajah terbaru Cathleen dalam facebook. Hakikatnya, tiada siapa antara mereka bertiga pernah berjumpa sendiri dengan Cathleen sejak beliau mengambil keputusan untuk bertukar arah dari penyanyi rock kepada penyanyi lagu-lagu berirama Malaysia....

Paling banyak disebut adalah pertemuan setiap mereka dengan beberapa peminat yang bertebaran menjalani kehidupan berkeluarga di seluruh Malaysia. Setiap peminat itu, yang melalui dunia remaja bersama X-Kaliber, selain mengimbau detik kemuncak, turut mengesali pembubarannya. Ramai yang mencadangkan X-Kaliber dihidupkan semula meski mereka tahu tidak akan ada anggota asalnya. Ramai pula yang dengan penuh emosi memarahi kumpulan OnCharity yang membuat persembahan rock kapak kini. Bagi mereka kewujudan kumpulan itu hanya merosak serta mencemarkan lagu-lagu rock.

Demikianlah.

Saya dan Cikgu Non bertemu Cikgu Faisal di restoran di hadapan Hospital Daerah Yan, malam tadi. Berbual hingga melewati hari lain. Saya tidak pandai melukis karikatur. Maka saya catatkan seperti di atas ,,,,

Boleh?

26 June 2012

"Laaa... Hang Ka, Non!"


Foto koleksi Yusnita Mohd Yusof
                                                                                                                 
Dua pokok palma diraja (royal palm) yang menjulang di depan bangunan pejabat itu telah lama pergi. Pokok dari usaha Ustazah Rodziah Ahmad itu menyembah bumi sebaik sahaja AlFalah dijajah.....

Kesemua bangunan yang kelihatan itu masih ada, cuma yang di belakang bangunan pejabat itu [asalnya bangunan dua tingkat yang menempatkan asrama pada bahagian atasnya], telah dirobohkan pada penghujung 1990-an dan diganti dengan bangunan setingkat, juga berperanan sebagai blok asrama.

Bangunan yang dirobohkan itulah yang menjadi fokus imbauan kali ini.....

Mula-mula kita fokus bahagian bawahnya.

Pada 1983, bahagian bawahnya dijadikan 2 kelas - untuk Peralihan A dan B. Di situlah juga digunakan sebagai dewan muhadhoroh dengan mengangkat dinding pemisah antara kelas yang sengaja dibuat tergantung. Setiap kali diadakan majlis, dinding berengsel itu akan ditolak ke atas dan diikat ke rasuk asrama.

Di dewan yang mulia itulah saya pertama kali berucap dalam majlis muhadhoroh dengan tajuk 'C'............ Imbasan muhadhoroh itu ada di sini.

Di bahagian bawah itulah, di hujung berhampiran tangga, pernah terdapat satu bilik kecil yang muat untuk beberapa meja pelajar. Di situlah tempat disimpan peti tv. Apabila malam menjelang, terutamanya malam cuti, diusunglah tv keluar dari bilik tersebut untuk ditonton oleh pelajar asrama yang berminat. Tv yang ada pintu sliding.... Tv kenangan kerana melaluinya kami menonton Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat. Masih terbayang bagaimana beberapa pelajar yang teruja melihat majlis penutup acara sukan terbesar itu menyanyi bersama Lionel Ritchie yang membuat persembahan. Lagunya All Night Long...... oh yeah!

Melalui tv itulah juga kami menonton pelancaran kereta nasional pertama Proton Saga pada tahun 1986... [Sebelum dibeli tv terpakai itu, pada malam-malam cuti, pelajar akan berduyun-duyun ke rumah Ustazah Rodziah untuk memberi peluang mata masing-masing bersenam sambil menonton].

Selain tv, bilik itu turut menempatkan mesin gestetner - mesin pencetak manual...

[Apabila bangunan surau didirikan berhampiran rumah Maklang/Maklong, terdapatlah pertambahan bilik kelas di bawahnya. Maka bilik tv di bangunan yang kita fokuskan sekarang, dicantumkan dengan bilik kelas bersebelahannya lalu membentuk pula bilik guru lelaki. Begitu flexiblenya AlFalah. Semasa itu blok yang rendah di hujung bangunan, jika dilihat dari rumah Maklong/Maklang, masih belum wujud. Tangga bangunan itu pun masih di bahagian menghadap matahari naik.]

Namun kenangan tentang bilik kecil itu tidak pernah padam.

Bilik tersebut pernah menjadi kelas untuk tingkatan Lima 1986/87 yang ketika itu seramai 4-5 orang anggotanya. Hal ini demikian kerana mereka adalah pelajar yang tersangkut semasa SRP 1983, lalu lulus pada tahun berikutnya. Asal mereka dari sekolah menengah biasa manakala pada tahun itu [1986] pelajar Alfalah yang mula memasuki Peralihan 1983 baru berada dalam tingkatan 3. Rujuk episod ini. 

Pelajar kelas itu yang masih saya ingat adalah Zakaria Nayan [Seberang Alor], Rohaizee Azizan [Permatang Kangkong] dan Kalsom Yaakob [Kg Hj Jamal]. Zakaria [Pakya] adalah pelajar lelaki paling kacak dalam kelas itu kerana beliaulah satu-satunya berjantina begitu! Beliau juga antara yang kelihatan agak mewah kerana datang ke sekolah dengan menunggang motosikal Suzuki RC berwarna maroon.

Ini satu kelas yang cukup istimewa. Ada hari-hari tertentu, proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung serentak dengan acara bercicah, yakni pelajar perempuan akan membawa kuah rojak/garam belacan serta mempelam muda. Demi mengelakkan dari gugurnya air liur, terutama kepada puan-puan yang sedang mengidam, atau perantau yang sudah lama tidak menjengah kampung halaman, maka usahlah ditanya bagaimana acara itu dijalankan........

Kelas ini menjadi seperti satu keluarga yang akrab. Seperti adik beradik. Maklumlah guru dan pelajar berbeza umur sekitar 5-6 tahun sahaja. Apatah lagi dengan kemunculan seorang guru baru matematik ketika itu. Dia sebaya malah sekelas dengan Kalsom Yaacob semasa belajar di Sekolah Menengah Simpang Empat [kini SMK Tunku Abdul Aziz] dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Maka tidak hairanlah ketika pertama kali guru itu masuk untuk mengajar di dalam kelasnya, sesuatu yang tidak akan mungkin berlaku di mana-mana sekolah dan kepada mana-mana pelajar atau guru, apabila boleh pula si Kalsom berkata, "Laaa.... hang ka, Non!"

>bersambung<

22 June 2012

Menghadap Perjalanan Seorang Sahabat






Jumaat 22 Jun 2012. 2 Sya’aban 1432.

Pukul 8.27  pagi saya menerima berita kematian Ustaz Fadzin Hamid dari Cikgu Mohd Zainon. Innalilahi wa inna ilaihi rajiuun. Cikgu Non berada di satu daerah di Selangor. Malam tadi saya difahamkan Nazri Hashim mendera geraham Cikgu Non mengunyah sate....

 

Saya kehilangan seorang lagi sahabat. AlFalah kehilangan seorang lagi bekas guru.

Saya menghubungi beberapa rakan termasuklah Ustaz Mohammad Abdullah, keluarga Maklong/Maklang, Bang Man Kantin serta kenalan saya dan Ustaz Fadzin yang saya sempat ingat. Ada yang menjawab dan ramai pula yang dibantu suara merdu setiausaha masing-masing: "Harap maaf. Nombor yang ....bla....bla....." Kepada Cikgu Khaty/Kathy, saya kirimkan mesej.

Seperti ulangan pula. Jumaat sebelumnya, saya menghubungi sebahagian mereka untuk memberitahu bahawa Ustaz Fadzin telah dimasukkan ke Kedah Medical Center kerana diserang stroke. Beberapa rakan pergi melawatnya petang itu, termasuklah Cikgu Faisol. Petang di mana saya, Cikgu Non dan Cikgu Rahim berjumpa Pawang Nujum. Saya hanya sempat menziarahinya setelah diberitahu bahawa beliau dimasukkan kali kedua ke tempat dan bilik yang sama dua hari kemudian kerana keadaannya yang semakin uzur.

Ketika fikiran bercelaru, saya teringat alumni AlFalah. Saya hubungi Raihan untuk memaklumkan dalam fb. Malangnya dia bercuti, fbnya juga ikut serta berehat. Saya serahkan kepadanya untuk memaklumkan kepada sesiapa yang difikirkan patut. Dia menghubungi Wira [Maaf Encik Wira, sepatutnya encik yang saya hubungi juga] dan Farihah. Saya tidak tahu bagaimana rupa makluman itu. Wira ada menghantar mesej  bertanyakan kampung Ustaz Fadzin dan waktu jenazah dikebumikan. Saya membalas setakat yang saya tahu.

Jam 10.15 saya bersama seorang jiran mengunjungi rumah mertua Ustaz Fadzin di Kampung Gelam 2, berdekatan Kota Sarang Semut. Saya tidak hafal alamat lengkapnya. Cikgu Faisol bersama isteri dalam perjalanan setelah selesai kursus haji di Teroi. Ustaz Mohammad dan keluarga juga dalam perjalanan setelah menghadiri kursus haji di Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Sepanjang perjalanan, tidak banyak yang kami bualkan. Jiran saya, yang mengenali Ustaz Fadzin sejak lima tahun lalu, bagai masih bermimpi. Baru Jumaat lepas dia melihat Ustaz Fadzin dengan berselera mengunyah apum yang dibawanya, berbual sambil menunjukkan keupayaannya mengangkat tangan dan kaki di atas katil wad. Wajahnya licin kerana baru saja mencukur jambang, katanya.

Saya melantun ke masa silam. Jalan tar mini bersimpang siur dari jalan utama, mengingatkan saya kepada kali pertama saya dan rakan-rakan ke rumahnya lebih lima belas tahun lalu.  Seorang rakan, kerana jauhnya jalan masuk, berseloroh,”Bagaimana hang boleh cari bini di dalam macam ‘ni?” Selamba saja Ustaz Fadzin menjawab dalam slanga Jenerinya, “ Aku bukan cari di sini, jumpa broker saja…”

Selepas itu, banyak kali juga saya ke rumahnya, termasuk ke rumah baru yang dibeli di kampung itu dan ke rumah mertuanya kalau ada kenduri kendara. Setelah berhenti dari mengajar di AlFalah, saya tidak lagi ke kampung itu, kerana beliau sendiri telah berpindah ke Taman Impian, Kota Sarang Semut, menjadi jiran setaman Ustaz Zahari Ahmad.Beliau membuka kelas qiraati di situ, selain menjadi guru KAFA dan guru ta’mir di beberapa tempat. 

Kemudian beliau mengembangkan kelas qiraatinya ke Gurun dan Simpang Empat. Di Taman Seri Simpang Jaya, Simpang Empat, beliau turut menyediakan khidmat taman didikan/asuhan dinamakan Wardah Dinamik. Di sinilah jiran saya tadi menghantar dua anaknya dan bermulalah perkenalan mereka.

Ustaz Fadzin di AlFalah mungkin sekitar empat tahun, pada pertengahan 90-an. Saya tidak ingat sangat. Ketika itu, pasukan bilik guru lelaki termasuk arwah Ustaz Abdul Hamid, Cikgu Abdul Aziz, arwah Cikgu Mustafa Mohammad, Cikgu Faisol, Ustaz Mohammad, Ustaz Zahari, Cikgu Non, Cipher dan seketika Ustaz Hashim Din serta Cikgu Alhamidi. Boleh dikatakan bagai satu keluarga besar. Cukup seronok. Kami berkongsi semua cerita suka duka termasuk yang bersifat peribadi.

Saya tidak ingat bagaimana beliau boleh muncul di AlFalah. Tetapi saya masih teringat kepekatan slanga Jenerinya ketika mula-mula bertugas. Paling saya minat mendengar adalah ayat: Baso ‘ni/'tu yang aku tak berkenan! Merujuk kepada apa saja yang tidak disukainya. Baso berasal dari bangsa yang bermaksud jenis. Jika dia tidak menggemari sesuatu, itulah ayat muktamadnya….

Satu lagi perkataan kegemarannya adalah bork [bor], loghat Kedah yang bermaksud joran atau mata kail. Baginya setiap sumber pendapatan adalah satu bork. Banyak bork, banyaklah pendapatan. Kita kena tahan bork bagi banyak, begitu katanya selalu. Ini dilafazkannya ketika kami menggiatnya kerana selain mengajar di AlFalah, dia juga mengajar kelas KAFA dan ta’amir seperti saya catatkan tadi. Kayalah Ustaz Fadzin, kata kami. Mudah saja dibalasnya, “’Dah bork banyak…..”
Sejak itu, setiap kali kami bertemu, soalan tentang bork akan timbul. Selain berapa banyak bork, ditambah lagi berapa besar saiz bork itu. Dia akan tertawa jika saya katakan borknya makin besar, merujuk pertambahan aset yang diceritakannya. 

Kalau nampak orang berjualan di tepi jalan,  dan kelihatan laris pula, segera diucapnya, “Pandai depa tahan bork…” Ketika dia memaklumkan bahawa akan dibukanya Tadika Wardah Dinamik berhampiran kawasan perumahan saya dan Cikgu Non, saya mengulangi frasa itu: "Pandai hang tahan bork...." Dia tertawa kuat. 

Dia cukup berbangga dengan pertambahan kelas qiraatinya. Pernah sekali dia bercerita, sepupunya, Ustaz Sidik yang mengasaskan sebuah sekolah agama di Padang Kasap, dalam berseloroh berkata, "Dalam ramai anak murid Ustaz Ya Jeneri, aku yang menjadi mudir sekolah!" Lalu dibalasnya, "Aku jadi mudir di TIGA tempat......"

Begitulah.

Kami sampai ke rumah kampungnya ketika aliran orang keluar masuk kian ramai. Saya terus melangkah ke sisi mayat. Rasa sebak menerpa. Wajah putihnya seperti minggu lalu atau kalau sesiapa mengenalinya lebih lama, wajahnya tidak berubah. Tunggul-tunggul jambang memenuhi pipinya. Dia tidak terlantar lama, maka tiadalah bekas cengkung orang sakit. Dia kelihatan tegap seperti saya melihatnya minggu lalu atau melihat kelibatnya dua tiga minggu lalu di depan kelas Wardah Dinamiknya. Ketika berdoa untuknya, ada genangan air di kelopak mata, ada sekatan di rongga tenggorok saya. Dia seusia saya. Banyak kenangan bersamanya. Banyak ceritanya dikongsi dengan saya, terutama ketika sama-sama berkelana di AlFalah.

Selamat jalan sahabat.

Ketika seseorang menarik kain tipis menutup mukanya, wajah itu tetap kekal di minda saya. Mana mungkin dapat saya melupakan satu-satunya ustaz yang saya kenal, yang membahasakan dalam perbualan kami, hang - aku. Semua ustaz lain membahasakan anta - ana, atau sekurang kurangnya Din, Bang Din, Pak Din [ikut umur ustaz] saya!

Di luar, dalam satu kelompok, sempat kami berbual dengan mertuanya.Darinyalah saya mendapat info lebih tepat. Katanya, Ustaz Fadzin dikeluarkan dari KMC malam tadi. Terus dibawa ke sebuah klinik di Pauh, Perlis, sebagai ikhtiar lanjut bagi mengubatinya. Dapat nombor 22 dalam senarai pelanggan yang menunggu di luar klinik. Namun keadaannya kian uzur. Selepas berjumpa doktor, dia dibawa pulang. Paginya, sekitar jam 7.45, dia menghembus nafas terakhir di hadapan isteri, dua anak gadis dan keluarganya. Sebelum ini saya difahamkan beliau meninggal di KMC. Pemberi maklumat mungkin tersilap, kerana sehingga semalam beliau masih di KMC. Tak apalah.

Cikgu Faisol saya hubungi sekali lagi kerana masa mungkin agak suntuk apabila dimaklumkan jenazah akan dikebumikan pada jam 3.00 petang. Hari ini hari Jumaat pula. Cikgu Faisol memberitahu bahawa dia hampir sampai. Saya hubungi lagi Ustaz Mohammad. Masih dalam perjalanan.

Ketika saya keluar, kami berselisih dengan kereta Cikgu Faisol. Jalan yang sempit menghalang saya mengisyaratkan kedudukan saya. Ketika saya sudah di jalan utama, barulah beliau menelefon.

Ketika bersembahyang Jumaat di Masjid Batu 8, Simpang Empat, sepanjang  khutbah yang mengupas tahap kecintaan kita kepada Nabi Muhammad S.A.W, saya melencong banyak kali ke zaman bersama Ustaz Fadzin. Sayu rasa hati tidak akan mampu disusun dari deretan aksara qwerty…. di atas papan kekunci ini.  

Selamat  jalan  sahabat. Aku dan semua akan menyusul. Lambat laun…..

Ketika solat, dalam rakaat pertama, Hj Omar Bakar, bilal masjid yang mendapat gilir
mengimamkan solat Jumaat membacakan surah Al Ankabut bermula ayat 57,.كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ Mata saya kembali memijar… Merangkak-rangkak saya cuba menterjemah ayat itu dan ayat berikutnya.Ya Allah, kebetulan apakah ini? Saya memejamkan mata serapat mungkin, cuba meminimumkan air yang bergenang di kelopaknya.

Pukul 3.00 petang, jadualnya jenazah akan dikebumikan. Pada jam 2.43 Ustaz Mohammad menelefon memberitahu dia tersesat dan belum menjumpai rumah arwah. Saya tidak mampu memberi arah kerana jalan ke kampung itu memang berselirat. Saya hanya meminta Ustaz Mat terus mencari dan bertanya. Ketika jam 4.00 saya menghubungi Ustaz Mat sekali lagi. katanya, tetap tidak berjumpa dan dia kini berada di Tokai, dalam perjalanan pulang. Demikian takdirnya.

Selepas Maghrib, saya ke rumah Maklong/Maklang. Bercerita tentang perjalanan akhir Ustaz Fadzin. Rupanya Ustaz Fairose tidak diberitahu lalu saya menelefonnya yang kedengaran terkejut. "Sedekahkan apa yang patut," pesan saya.

Selepas itu saya menghubungi Ustaz Wan Osman [Wae Samae] yang pagi tadi diberitahu oleh setiausahanya : Harap maaf...itu. Rupanya waktu itu beliau sedang mengajar di satu kampung dan hanya pulang pada jam 11.30 sebelum ke Masjid Alor Pulai untuk mengajar lagi....Demikian sibuknya seorang da'i.

Pukul 9.49, saya hubungi Cikgu Alhamidi yang nombornya baru saya perolehi dari Tuan Hj Sehabudin Azizan. Setelah berbasa-basi ala kadar, maklumlah lama tidak bertemu, saya memberitahu khabar duka itu...

Demikianlah hari Jumaat minggu pertama Syaaban ini.

Malam ini saya gagahi mengingat perjalanan masa itu dan mencatat di sini.


Marilah kita doakan kesejahteraan roh sahabat saya dan bekas guru Alfalah, Ustaz Fadzin Abdul Hamid. Semoga segala amal kebajikannya sepanjang hayat diterima manakala segala dosanya diampunkan. Amin.

Selamat jalan, sahabat!
Malam ini aku benar-benar terasa
Pemergianmu kucatat dalam blogku
Pemergianku nanti?

Mati






dalam pada lambatnya
jarum itu b
ergerak 

dari saat ke saat
dari minit ke minit
dar jam ke jam
dari hari ke hari
dari minggu ke mingggu
dari bulan ke bulan
dari tahun ke tahun 

tapi akhirnya
akan sampai jua aku
kepada
MATI.




Zahari Hasib