8 March 2012

Muhadhoroh 2

1984
Pelajar berkali-kali menyuruh saya muncul berucap di majlis muhadhoroh. Pelbagai alasan diberi. Paling popular ialah "ramai lagi guru lain.."


Namun hakikatnya saya sendiri gemuruh. Berdepan kelas dengan kapasiti 20-30 orang memanglah kacang. Tapi apabila dikumpulkan semua pelajar AlFalah, guru dan lebih-lebih lagi adanya Ustaz Azizan, macam mengunyah kacang-kacang!



Saya lihat setiap kali majlis muhadhoroh, selepas selesai persembahan para pelajar, seorang guru diminta berucap. Selepas itu Ustaz Azizan selaku Pengetua akan menyampaikan amanat bersekali komen tentang persembahan pelajar dan kadangkala mengulas ucapan guru. Itu yang saya takut.


Tetapi sekitar bulan September, saya tidak dapat mengelak. Semua guru sudah pernah berucap sekurang-kurangnya sekali. Pelajar awal-awal bulan lagi seperti menggiat saya. Nama saya diletakkan di senarai atas. Takkanlah saya hendak menurut langkah kawan/jiran saya dahulu yang melompat pagar sebelum acara dimulakan. Walaupun saya berbakat untuk melakukannya, saya kini guru!


Sebaik bersetuju, sepanjang minggu, setiap hujung kelas, saya akan ditanya :apakah tajuk ucapan cikgu? Saya biar mereka meneka dengan berkata: tajuknya ialah C! lalu menulis sebesar-besarnya huruf itu di papan hijau. Mereka bertanya guru lain akan maksud abjad itu, namun tiada jawapan.


Hari itu tiba juga. Seperti semua acara dipercepatkan. Itulah yang saya fikir. Tiba-tiba nama saya dipanggil pengacara. Diiringi tepukan yang rasanya sengaja dikuatkan, saya berdiri di depan dewan -- dewan AlFalah (hanya pelajar AlFalah saja yang tahu bagaimana benda alah dewan itu!)


Di hadapan lebih seratus orang, termasuk Ustaz Azizan, saya menghuraikan C yang diuar-uarkan selama seminggu. C untuk cinta! Sepanjang saya berada di AlFalah, saya melihat realiti awal remaja. Surat cinta antara pelajar 2-3 keping saya bawa sebagai bukti. Saya ambil dari simpanan Cikgu Ramlah. Beberapa orang yang saya tahu berperanan sebagai posmen dan posnita tertunduk manakala si penulis dan penerima surat terus terduduk.


Sebagai orang yang tidak pernah bercinta( ketika itulah) saya sempat menitipkan cerita Pak Tuan (panggilannya, saya lupa nama sebenarnya)Pengetua saya di SMDSO (1978). Dalam satu perhimpunan mingguan, dia berkata "Tak usahlah teruk-teruk melayan perasaan. Tak guna. Buat penat saja. Saya sendiri bertahun bercinta. Masa nak kahwin, mak ayah pilih orang lain! Bahagia juga...."


Ketika berucap selepas itu, Ustaz Azizan mengulas panjang ceramah saya. Siap dia mengugut: kalau hendak sangat, kita nikahkan saja! Beliau memberi contoh beberapa pasangan yang dinikahkan sepanjang AlFalah diasaskannya.


Rasa berbaloi apabila berhari-hari selepas itu ucapan sulung dalam muhadhoroh terus diperkatakan. Paling banyak ditanyakan: siapakah yang cikgu maksudkan? Saya tidak menyalahkan mereka yang bertanya atau ingin tahu itu. Memang itu sikap terpuji bangsa saya:Melayu!


Pelajar AlFalah 1983-84: Masa-masa yang indah kini jadi abu.....