30 March 2012

Hantu Punya Hantu 1

Aku juga yang kena!

AlFalah banyak kali diserang hantu! Histerialah maksudnya. Paling kerap tentulah budak asrama puteri. Paling kerap terjadi ke atas  Mak Yam, geng Gajah Mati. Bermacam cara dilakukan. Pelbagai pengamal perubatan ditemui.

Ustaz Azizan mencuba kaedahnya namun tidak kekal aman. Paling diingati betapa Jamilah Rahim (Selarong Batak) tiba-tiba melolong dalam kelas. Dibawa naik ke atas asrama puteri. Terlentang dengan dua tangannya didepangkan sambil mulutnya meracau. Ustaz Azizan dipanggil. Ketika bersoaljawab dengan hantu itu, tiba-tiba Jamilah seperti hendak melompat lari. Beberapa pelajar perempuan yang mengelilinginya segera memeluknya, namun sekali ketis, semua terpelanting. Ustaz menjerkah dan bercakap Arab. Mudah pula Jamilah tidur semula, terlentang dan tangan didepangkan. Pelajar perempuan tadi hanya memerhati dalam kepanikan. Ustaz mengisyaratkan saya memegang pergelangan tangan kanan Jamilah manakala beliau di sebelah kiri. Bacaan (ataukah percakapan bahasa Arab?) diteruskan sambil Jamilah mula meronta dan kian meracau. Tiba-tiba tekanan kami ke pergelangan tangan dilawannya. Dengan sekali jeritan dia mengangkat kami. Saya tak tahu bagaimana mencatatkan tapi tiba-tiba dahi saya dan ustaz seakan hampir bertemu! "Kuat hantu 'ni ," kata Ustaz.Bacaan diteruskan sambil mengarahkan dua orang lagi pelajar diarahkan memegang kedua-dua kaki Jamilah. Ustaz membaca sesuatu ke genggamannya lalu mengehempas angin ke muka Jamilah. Tiga kali. Perlahan-lahan Jamila tenang dan akhirnya seperti terlena! Dua tiga orang diminta menjaga Jamilah.
"Kalau selalu macam ni, letih kita," kata ustaz ketika menuruni anak tangga asrama.

Paklong Usin (Bendahari AlFalah) bersama seorang pengamal (Pak Ku Cha) dari Alor Ibus pernah mengusaha mengusir hantu ini. Saya dan Ustaz Fairose turut serta. Kami sekadar meramaikan acara membaca wa yaqulu namata hazal Qur an.....sebanyak seribu kali sambil Pak Ku Cha membaca ruqyahnya. Dua kali kami melakukannya, sekali di atas rumah Ustaz dan kali kedua di dalam dapur asrama puteri. Saya terlupa kesannya selama mana hantu itu berehat....

Sekali pula kami didatangi seorang yang menawarkan diri untuk mencuba menenangkan AlFalah. Dibuatnya tombak dengan batang bemban (di hujung batang bemban itu ditusukkan buluh runcing), kononnya jika terjumpa hantu itu boleh saja diradak...Kami diminta berkawal sepanjang malam selama 3 malam dalam dua kumpulan berasingan.

Tiada apa-apa berlaku hinggalah malam terakhir. Malam itu kami disertai juga oleh arwah Ustaz Sobri Mohamad (dari Pondok Fauzi, Yan) yang kebetulan datang. Sekitar jam 11.30, tiba-tiba kami dikejutkan oleh suara riuh kumpulan yang lagi satu. Kami berkejar. Lampu suluh sedang dihalakan kepada satu objek. Ada dua sinar hijau dalam kedudukan pegun. Sejarak 35 meter. Apa lagi, bertindaklah kami mengepung dan seterusnya mengejar objek silau itu. Tombak masing hilang entah ke mana kerana melayan kelicikan objek itu sup-sap mengelak ditangkap. Riuh rendah kerana bakal bertemu si pengacau selama ini mengganggu warga perempuan sekolah.

Setelah kepenatan barulah berjaya ditangkap objek itu - kucing kesayangan seorang pelajar asrama....

Operasi dengan rasminya dibatalkan.

Huarghhhhh!