7 March 2012

Muhadhoroh 1

Pada hari Khamis tertentu, seorang rakan merangkap jiran saya yang belajar di AlFalah akan balik awal - semasa rehat . Kenapa?


"Ada muhadhoroh!" katanya. "Celaka, depa bubuh jugak nama aku hari ni!" Dia kemudian sup-sap menghilang.


Ketika itu saya masih di tingkatan satu SMSE - sesi petang. Dalam kehairanan, saya merujuk kepada emak.


Kiranya muhadhoroh adalah sesi pelajar memperagakan bakat - bersyarah, bersajak, bernasyid, berzanji, berbahas dan lainnya. Setiap bulan atau 2 minggu, pada hari Khamis diadakan majlis itu. Pelajar akan diberitahu awal untuk bersedia. Namun ada juga kes-kes mengejut untuk pelajar yang sering lari - nama hanya dimasukkan pada hari berkenaan supaya mereka tidak dapat mengelak. Ketika rehat, nama akan dipaparkan di papan kenyataan.


Tentang rakan saya tadi, dia memang tidak pernah mempamerkan bakat di majlis itu sepanjang pengajiannya. "Ketar!" katanya sepatah ketika saya ajukan soalan tentang itu. Memanglah, bukan semua orang boleh berdiri di depan ramai orang untuk bercakap atau berdebat. Ini bukan kes menganalisis berita di akhbar percuma di kedai kopi.


Akan tetapi saya tetap mengagumi rakan/jiran saya ini. Bakatnya melompat pagar untuk balik awal amat teserlah!