13 March 2012

Md Rautin - The Only

Dia berkepala botak ketika mula sampai di AlFalah. Lincah dan tangkas. Peramah. Cepat mendapat kawan. 



Namun itu bukanlah faktor utama saya dan AlFalah mengenangnya. Dia unik kerana hampir sepuluh tahun menghuni AlFalah. Lazimnya seorang penuntut akan meninggalkan AlFalah setelah enam tahun. 


Ada apa dengan Md Rautin Md Desa?


Seorang yang kalau zaman ini mungkin perlu menjadi mentor kepada pelajar yang berputus asa. Dia tidak tergolong cerdas dalam kelas. Itu biasa dalam perkembangan sahsiah pelajar. Namun ketabahan dan kegigihannya cukup mengharukan.


Bayangkan empat kali menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran barulah layak masuk ke Tingkatan Empat. Ketika rakan seusianya mungkin telah menjejak maktab atau universiti atau bekerja, dia sedang bersama dengan juniornya memeriahkan bumi ALFalah sebagai pelajar.


Kerana lamanya masa diambil untuk melepasi SPM (ketika itu gagal di tingkatan 3 bererti kekallah di situ), dia hampir sinonim dengan sekolah dan asrama. Pelajar baru dan lama menjadikannya rakan akrab. Dia mesra dengan semua guru, Bang Man Kantin, Maklang dan Maklong (isteri-isteri Ustaz Azizan) dan orang kampung sekitar.


Dia mungkin kalah di pentas muhadhoroh, namun di bidang sukan (sukan rakyat peringkat AlFalah....) dialah raja. Hampir semua acara akan disertai. Sesiapa juga bangga menjadi ahli rumah sukannya.


Antara acara sukan yang saya dan guru sediakan ialah mencari pasangan/teman dan benda. Acara ini memerlukan peserta berlari mengambil satu gulungan kertas kecil yang dicampakkan di tempat tertentu. Di atas kertas itu saya tuliskan nama pelajar (perempuan/lelaki) atau benda dengan hurufnya diselerakkan. Misalnya nama ABU SAYAF saya tuliskan SAF BUAYA atau AAABFSUY dan benda pula seperti TONG SAMPAH saya tuliskan HAMPAS NGOT..... Peserta akan membaca kertas dan menyusun huruf-huruf itu menjadi satu nama orang atau benda, lalu mendapatkan individu atau benda terbabit dan dibawa kepada juri.


Kerana uniknya nama Rautin, sejak tahun pertama dia di AlFalah, saya gunakan dalam acara ini. Dia cukup bekerjasama kerana tahu namanya digunakan lalu akan cuba bersembunyi ketika acara berkenaan berlangsung. Jarang dirinya dapat dibawa kepada juri kerana cekapnya dia melarikan diri atau tidak cekapnya peserta yang mendapat abjad namanya beroleh jawapan!


Huruf yang diselerakkan?


TIRUAN!


(Md Rautin kini menjadi "Tuk Ayah" (katanya berseloroh) di kampung kelahirannya Gajah Mati.

Terima kasih Rautin untuk sama berkongsi memori di AlFalah).


Manisnya waktu itu...




Bicara buat Teman

Teman...
Sudilah kiranya
Mendengar bicara
Bicara sayu
Dikau semakin jauh
Jauh dariku
Dan pandanganku

Surat pengganti diri
Selalu kukirim untuk dirimu
Namun entah mengapa
Tiada balasan
Yang kau kirimkan

Teman, Mengapa dikau
Tak memahami diriku ini
Teman, Mengapa dikau
Diam menyepi ketika ini

Kiranya aku yang bersalah
Maafkan keterlanjuranku
Teman
Kuatkan semangat
Di dalam menempuh tiap dugaan

Aku tetap berdoa

Dalam menanti kejayaanmu





(lagu dari Shidee)