Bukan sekali dua AlFalah menganjurkan rombongan ke Pulau
Pinang. Kerap. Maklumlah tahun berganti bererti pelajarnya juga berganti. Lagi
pula banyak rasionalnya mengapa tempat itu menjadi pilihan: boleh balik hari,
tambang tidak terlalu tinggi dan itulah destinasi pilihan pelajar.
Ke KL, Melaka, Kelantan malah Pulau Pangkor pun pernah
dianjurkan, tetapi tidaklah seacap ke Pulau Mutiara itu.
Dalam semua lawatan itu, setakat yang saya turut serta
beberapa kali, ada TIGA peristiwa yang cukup saya ingat.
Pertama:
Tahunnya 1983. Menjelang cuti hujung tahun.
Dua buah bas disewa. Banyaklah tempat yang kami lawati.
Tidak perlulah saya sebut satu demi satu.
Acara solat Zohor.
Tengah harinya, kami singgah di Masjid Negeri untuk bersolat
serta melihat masjid yang katanya tercantik di utara semenanjung itu.
Kami sampai ketika solat jemaah biasa telah selesai. Sekitar
pukul dua. Maka bersolatlah kami pada sudut dan masa sendiri di dalam masjid
itu. Empat puluh lima minit diberikan oleh ketua rombongan. Saya tidak ingat
ketuanya, sama ada Cikgu Rahim atau arwah Cikgu Ramlah.
Ada yang mengambil peluang meronda kawasan sekitar dahulu,
ada yang memakan bekalan di luar masjid, dan ada yang terus berwuduk dan
bersolat.
Saya dengan Cikgu Rahim mengambil pilihan ketiga. Lagi pula
tiada apa yang mahu kami lihat di sekitar masjid. Makan bekal? Kami mana ada
bawa bekal! Selain yang Cikgu Ramlah dan Ustazah Rodziah bawa, semua bekal yang
dibawa pelajar adalah bekalan kami! Di atas bas lagi telah banyak yang kami
makan…
Selesai solat, kami menunggu dan berbual di tangga masjid.
Lama di situ, entah cadangan siapa, kami bergerak ke arah bas di tempat
parkirnya. Kami menaiki bas yang satu lagi, bukan bas yang kami naiki
sebelumnya, kerana di situ ada kelibat orang. Pelajar perempuan.
Sebaik kami melangkah naik, empat lima orang yang mulanya
duduk di kerusi masing-masing bergerak berkumpul di bahagian belakang bas. Kami
menegur dua tiga pelajar tetapi mereka seperti segan untuk bersuara. Mereka semua
pelajar kami. Semuanya spesies peramah. Tapi gaya mereka menyambut kami di atas bas itu amat berbeza berbanding
semasa di dalam kelas di sekolah.
Kerana dinginnya sambutan, maka kami berbual berdua semula.
Lama sedikit, kami bercadang untuk kembali ke bas asal kami. Sambil melangkah
turun mulut saya secara tanpa maksud berkata, “ Kami nak pi kat bas nu pulak….
Bas ni macam tak selesalah…rimas!”
Tidak disangka, ayat itu membuat salah seorang pelajar tadi
menjerkah, “Pi lah. Pi lah kat bas nu! Bas ni memang tak selesa! Mai naik buat
apa?”
Saya tepilanjat!
Tak tahulah dengan Cikgu Rahim.
Kawanna, apa pasat itu amoi jali itu maciam??
Di atas bas, dalam perjalanan ke tempat lain, barulah saya
faham. Itu pun dari Cikgu Ramlah, yang sempat berbual dengan mereka sebelum itu
berikutan sedikit keriuhan semasa berkumpul semula semuanya di tempat bas
diparkir.
Itu amoi aaa, talak
boleh semayang punya olang. Ala ujur. Lapat cuti. Pelempuan punya hat la. Bila saya cakap itu
maciam, lia punia ati ala telasa ooo. Mana saya tahu. Selangkan masa saya cakap
aaa,saya ati punya lalam, talak apa-apa niat woo….
Balik ke sekolah, lama juga masa yang kami perlukan untuk hubungan
kembali normal…
Entah di mana dia
sekarang…
Kedua:
Tahunnya saya lupa. Paling awal 1985 berdasarkan tahun guru
nan seorang ini masuk mengajar. Guru perempuan. Namanya? Yang ada bersamanya di
dalam rombongan ke Pulau Pinang ketika itu tahulah. Yang lain kenalah tanya
kepada yang pergi itu….hehehe. [Kalau tidak silap Sofiahmad Din ada dalam
rombongan itu…]
Bukan apa sangat, saja teringat.
Kami di Lapangan Terbang Antara Bangsa Bayan Lepas. Bukanlah
nak tengok bot atau kereta kebal di situ. Saja, memenuhkan masa lawatan.
Acara naik escalator.
Tangga karan, kata budak Falah.
Entah di mana silapnya, hujung kain guru perempuan itu
tersangkut pada tangga yang sedang
bergerak. Apalagi, gelabahlah semua yang ada. Mujurlah ada wira penyelamat.
Saya tidak tahu sangat bagaimana usaha penyelamatan tersebut sebab tidak berada
di lokasi kejadian. Saya serta beberapa ahli rombongan telah lebih awal berada
di tingkat atas, ternganga melihat tangga
kapal terbang rupanya dibawa oleh sebuah lori…
Cuma yang tidak akan saya lupa hingga hari ini adalah wajah
pucat guru perempuan berkenaan ketika saya sampai di situ setelah diberitahu
oleh seorang pelajar. Selalu saya dengar kalimat ‘kalau ditoreh pun tidak
berdarah’ bagi menunjukkan pucatnya wajah seseorang.
Pada hari berkenaanlah kali pertama saya melihat bagaimana
wajah yang kalimatnya sering diulang itu!
Ketiga:
Tahunnya 1987, kalau tidak silap...
Dua biji bas juga. Ada budak kelas akademik sama. Tidak ada
yang menarik bagi saya. Namun ada insiden yang tak terjangkau mata dan akal
saya.
Acara mandi di air terjun.
Yoona [memang bukan nama sebenar] adalah pelajar
perempuan AlFalah. Mungkin antara 10 tercantik di mata. Senyumnya manis, kulit
wajahnya tidaklah melepak tetapi masih dalam kategori putih. Pelajarannya
tidaklah jauh dari 15 teratas, kut. Datang ke sekolah dengan menaiki bas.
Rumahnya di Kampung Boy [bukan nama sebenar], lima enam kupang juga tambangnya
dari AlFalah. Itu saja yang saya tahu.
Di pulau yang masih berketuamenterikan Lim Chong Eu masa
itu, dia telah melakukan sesuatu yang cukup dikesalnya berminggu-minggu
kemudian. Semasa mahu berendam [agaknyalah, kerana saya kurang periksa] bersama
kawan-kawan, dia telah membuka tudungnya. Terserlahlah keayuannya, gamaknya.
Jauh lebih manis dari tatkala bertudung putih dalam seragam sekolah setiap hari
di AlFalah.
JungYongHwa [JYH] [lagilah bukan nama sebenar]
entah secara kebetulan atau memang berniat di hati telah memandang Yoona tanpa
bertudung itu. Hatinya terus terpikat….
Adalah ayat usikan, gamaknya. Sekejap sahaja Yoona terus
memakai tudung, merasa sedikit lalai. Tetapi JYH, budak lelaki asalnya sekampung
saya mula mengigau.
Dipendekkan cerita, hingga pulang ke sekolah JHW terus
mengacau Yoona. Dia mengaku telah terpana melihat wajah dan rambut Yoona. Dia
tidak malu mengakuinya; tidak hanya kepada
teman-teman malah kepada ayah dan ibunya.
Saya yang tidak tahu apa-apa hatta sejak di Tanjung Bunga
akhirnya diberitahu. Puncanya, JYH sampai mengganggu Yoona di perhentian bas
serta sepanjang jalan ke situ, selain dari setiap hari di dalam kelas.
Satu hari, Yoona, dengan ditemani oleh dayang-dayangnya terpaksa
berpatah balik ke sekolah untuk mendapakan bantuan. Sehingga teresak-esak Yoona
bercerita kepada saya yang kebetulan masih berada di dalam pejabat sekolah
bersama Ustaz Fairose. Setelah tahu duduk perkara, diceritakan dari awal hingga
terkini, saya diminta menasihati JYH serta bertemu ayah dan ibunya, yang
kebetulan agak rapat dengan saya.
Dengan JYH saya bertegang uratlah juga terutama di bawah
pokok pukul lima di luar pagar sekolah, pada hari yang sama, ketika dia
menunggu Yoona keluar semula ke perhentian bas. Ada maki dan carut yang
dihadiahkannya. Kalimat betapa saya [dan Ustaz Fairose] cemburu tidak terhitung banyaknya.
Menyedari diri yang masih belum berstatus menantu sesiapa membuatkan saya
menahan sebak. Betapa kecilnya diri ini. Tetapi kecil-kecil pun, saya dapat
melihat jauh lebih kecil JYH ketika itu. Tetapi apakan daya, hati kecil saya
telah menghalang makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan daripada terus
memperagakan tubuh JYH yang dilihat kecil dan boleh dicarik-carik itu…
Petangnya, saya ke rumah keluarga JYH. Dia sendiri berada di
depan rumah ketika saya sampai sambil menjegil ganas. Tapia apa nak
dihairankan, saya datang sebagai duta sekolah
yang perlu berdiplomasi…
Sangka saya, ayah ibunya belum tahu, tetapi sebaik saya
memulakan bicara, keduanya macam merestui kehendak anak mereka. Hah, kacau!
Seperti saya, mereka juga tahu anak mereka tidak boleh sangat dalam soal
pelajaran. “Kalau depa nak menikah pun, kami takdak halangan, Deen
oi ….” Kata si ibu dengan selambanya. Si
ayah hanya menambah kopi ke dalam cawannya sendiri…
Laaa…
Depa? Depa kena ada dua pihak. Sedangkan….
Kesimpulannya, saya gagal menyelesaikan perkara itu.
Saya beritahukan kegagalan itu kepada Ustaz Fairose. Saya
tidak ingat lagi siapa yang menyelesaikan hal tersebut. Atau mungkin selepas
itu cuti hujung tahun, tahu-tahu JYH tidak lagi belajar di AlFalah.
Lama kemudian, JYH dengarnya telah berhijrah mencari kerja
lalu berkahwin dengan orang luar negeri dan menetap di sana sehingga kini.
Sesekali apabila pulang dan terjumpa saya, sedapat mungkin dia cuba mengelak. Tidak
tahulah kerana segan atau masih marah terhadap saya. Saya pun tahu diri, cuba
jugalah untuk tidak bertembung dengannya, walaupun di dalam hati teringin
bertanya khabarnya serta mengenali isteri yang dari luar negeri itu. Ingin
mendengar bagaimana kehidupannya di negeri orang.
Akan Yoona, sempat juga menghabiskan pengajian sehingga SPM.
Tidak lagi pernah saya berjumpanya sejak
meninggalkan AlFalah. Khabarnya, dia telah lama berkahwin dan kini
menetap di luar negeri juga.
Mungkin sesama mereka pun tidak bertemu, maklumlah negeri
tempat tinggal mereka tidak sama walaupun sama-sama berada dalam Wilayah
Koridor Utara - seperti juga Kedah…
No comments:
Post a Comment