Cikgu Non kena berkursus di Langkawi.
Memang kami ada name tag [walaupun jarang dipakai], tetapi semuanya sudah usang. Ustaz Fairose mahu Cikgu Non memakai name tag yang baru, supaya tidak kalah dengan peserta kursus yang lain. Maka dibuatkanlah satu yang khusus untuk rakan kami itu.
Saya tidak ingat berapa lama Cikgu Non berkursus tetapi yang saya pasti, kalau pun dia mengikuti kursus berkenaan sepenuhnya, di dada bajunya tidak akan tersisip name tag baru tersebut.
Puncanya: di situ tidak tertulis nama Zainon, sebaliknya XENON!
- ii -
Kerap juga pada hujung minggu, saya dan Ustaz Fairose menonton tayangan larut malam di pawagam, terutamanya Panggung Deluxe di Simpang Kuala. Tengah malam, tidak kuatkuasa larangan merokok di dalam panggung. Mulut perokok tegar seperti ustaz rakan saya itu sentiasa berapi... Saya menumpang bersubahat menyedut sama asap dari dua terowongnya serta ratusan terowong lain yang menerawang di seluruh dewan....
Satu malam, seseorang yang ketiadaan pemetik api bertanyakan 'api' dari Ustaz Fairose. Kebetulan dalam kegelapan dewan itu, dia telah terlanggar kaki kawan saya itu. Ustaz Fairose pula kebetulan lagi mahu menyalakan rokoknya sendiri.
Maka dinyalakanlah pemetik itu. Ustaz Fairose membakar dahulu puntung rokoknya sebelum diberikan kepada si yang meminta api tadi. Sebaik dinyalakan dan mahu berlalu, hamba Allah itu menepuk bahu Ustaz Fairose sekali. "Terima kasih, ustaz...."
Ustaz?
Sahlah budak Falahlah itu yang ternampak kelibat wajah Ustaz Fairose dalam samar cahaya dari pemetik api tadi...
Sampai kini saya tidak tahu siapakah budak Falah itu!
- iii -
Di sekitar Tebengau,ada orang menternak itik telur. Kerana kelompoknya banyak, aroma yang terhasil setelah lama itik bermastautin di situ sentiasa menusuk kalbu....
Satu hari, bas rombongan ke Alor Setar yang kami naiki melintasi kawasan berkenaan. Menghampiri zon berbau itu, baik yang setiap hari menerima aroma tersebut kerana terpaksa melintas setiap pergi dan pulang sekolah, atau yang jarang melintas kerana tinggal di kawasan lain, semuanya menekup hidung, tanda enggan menerima tusukan aroma ladang itik.
Muncul penyelamat yang menceriakan suasana di atas bas - Cik Rahim. Katanya, "Jangan berebut! Pakat hidu sorang sikit....."
Bas bergegar dengan ketawa dan semua hampir terlupa untuk menekup hidung semula...
- iv -
Setiap perhimpunan pagi, Ustaz Wan Osman tidak pernah terlepas slotnya. Dengan gaya bahasa tersendiri, slanga tersendiri, beliau melontarkan apa sahaja yang mahu diluahkan. Tidak jarang hal-hal di asrama juga dibawa ke pengetahuan pelajar luar...
Bagi saya biasa-biasa sahaja ucapannya, sehinggalah pada satu hari, sehingga selepas perhimpunan pun arwah Cikgu Mustaffa Mohammad masih tertunduk di mejanya menahan tawa. Beliau baru masuk bertugas di situ setelah bertukar dari SMA Sungai Limau.
"Awat?" tanya saya.
Cikgu Mustaffa tidak menjawab sebaliknya terus tertawa. Lama kemudian, barulah saya tahu puncanya.
"Dekat 30 tahun saya mengajar, tak pernah terfikir pun.... " katanya.
Puncanyanya: Kata Ustaz Man dalam perhimpunan pagi itu [mafhumnya]: "Tak larat dah nak berleter.... dah lama saya bercakap di perhimpunan ni.....dah puluh tahun.... Kalau tiap kali berleter, haus lidah ni... agaknya dah habis dah lidah saya...
Rupanya Cikgu Mustaffa membayangkan kalau dan jika lidahnya yang hilang!
*****************
Cukuplah empat kisah pendek itu. Sebagai tanda blog ini masih hidup.......
Sebenarnya, rindu pada masa lalu sedang menyerbu.......
Tunggulah hingga demam ini kebah...
No comments:
Post a Comment