22 March 2012

Budak Tingkatan 3 1983 lagi


Semasa menunggu keputusan peperiksaan Sijil Rendah pelajaran 1983, Ustaz Fairose, Cikgu Rahim, Ustaz Zubaidi dan saya bersama sekitar 10 pelajar lelaki ke Kg Baru, Alma, Bukit Mertajam. 


Misi kali ini bukan lagi membanting padi. Sebaliknya merobohkan bangunan Sekolah Fajar Islam yang telah lama tidak beroperasi. Sekolah yang diasaskan oleh Ustaz Azizan itu terbiar usang dan kami mencadangkan dibawa balik ke AlFalah. (Ustazah Rodziah pernah menyambung pelajaran di situ selepas tamat di AlFalah).



Gerombolan kali ini termasuklah Latiff Rahim, Fadzil Bakar, Saidin Saad. Yang lainnya saya tak ingat(maaf, namun Allah Maha Tahu). Bangunan satu blok itu kami runtuhkan dalam 3 hari dan hari kelimanya sudah dibawa ke Kedah. Semua kayu terpaksa diturunkan di tepi jalan besar kerana lori trailer belum boleh masuk hingga ke kawasan sekolah. Jalan masuk hanya muat untuk lori kecil dan belum bertar!


Satu tugas pula bagi kami untuk mengangkut segala kayu yang besar dan berat itu ke kawasan sekolah. Perancangan teliti terpaksa dibuat. 


Selain soal kayu yang masih di tepi jalan, bangunan sedia ada yang dijadikan kelas dan pejabat mesti dipindahkan ke belakang rumah Ustaz Azizan untuk dijadikan asrama. Manakala tapak yang dikosongkan itu dipilih menjadi tapak bagi bangunan yang dibawa dari Alma. 


Kami menemui orang kampung Perlis dan Permatang Ibus. Kami jemput juga waris pelajar di Sala Kecil, Alor Ibus dan Tebengau.  Teringat bagaimana hingga ke malam kami masih pergi ke rumah para waris untuk meminjam kudrat mereka. Semuanya demi majlis gotong-royong terbesar pernah kami anjurkan.


Pertama, tapak di belakang rumah Ustaz Azizan perlu dibersihkan. Paling sukar adalah membuang beberapa batang pokok kelapa. Setelah siap bangunan asal pejabat/kelas diusung (sekali lagi: diusung) oleh semua yang hadir, melalui celah pokok kelapa yang agak banyak ketika itu di kawasan AlFalah.


Kedua, kayu yang di tepi jalan raya dibawa ke kawasan AlFalah, di laman. Saiz kayu itu masih boleh dilihat kini dan boleh juga mambayangkan kesukaran mengangkut dan mendirikan semula.


Itulah, kemudiannya terbina bangunan yang di depannya ada dua pokok palma (ditanam oleh Ustazah Rodziah), dijadikan pejabat dan beberapa kali menjadi kelas. Bangunan di belakang rumah Ustaz Azizan dijadikan asrama (lama kemudian ditambah menjadi bentuk L- dan lebih lama kemudian terletaknya bilik Ustaz Man -- itu cerita lainlah).


Bangunan baru itu ditukangi Encik Che Omar Adam (arwah) dari Sungai Nonang - dua anaknya pernah belajar di AlFalah kemudiannya. Kami , guru-guru lelaki,  bertindak sebagai pembancuh simen, pengangkut bata, pengangkat kayu dan sebidang dengannya.


Bangunan asrama pula kami betulkan sedikit demi sedikit , dibantu terutamanya oleh Pak Ndak Mat (ayah Ustazah Rodziah) di antara masa membantu Che Omar.


Semua proses itu tidaklah semudah saya menaip ini. Perih dan jerih bukan lagi kata-kata yang sesuai. Saya hilang kata-kata ketika itu dan ketika ini. Terlalu banyak peluh yang mengalir. Terlalu ramai yang terlibat. Kepada wira tak didendang (unsung heroes) ini, semoga Allahlah yang memberikan ganjaranNya.


Sayu hati ketika mencatat ini, mengenang mereka yang telah pergi.
Sakit hati ketika mencatat ini, mengenang apa yang berlaku di bumi AlFalah.




Trivia:


Ketika kami berehat satu antara malam-malam di Alma, tv (hanya RTM) pertama kali menyiarkan persembahan seorang penyanyi dengan album penuh pertamanya Mengapa dikenang, mengapa difikir. Itulah Masron bin Tamsi, anak Jawa Selangor yang diberikan nama glamour Herman Tino.


.....jangan diingat lagi cinta yang telah pergi......