28 March 2012

Geng Teluk Bagan

...ada makna tu..

Pelajar dari Teluk Bagan dan sekitarnya dimulakan dengan Asri Mansor (kini Ustaz) pada tahun 1983 lagi. Adiknya, Rashidi (cikgu)menyusul kemudian. Teman sekampung, Shabani Salleh (kini pemilik butik pengantin) turut serta.

Namun pertambahan ketara dari sekitar Teluk Bagan dikesan apabila Allahyarham Hashim Noh (Paklong Usin) menjadi Bendahari Lembaga Tadbir AlFalah. Dia memasukkan anaknya, Zamri ke Tingkatan 3. Zamri ditemani rakan-rakan sebaya  Jamaluddin Mat, Zamri (Cha Ei) Yaakob dan Jamaluddin Ismail. Mereka tersangkut di peringkat SRP sekolah menengah kebangsaan. Tiga anak Paklong Usin lagi turut pernah belajar di AlFalah, Zamzurina dan Naslina. Ada beberapa lagi yang yang masih saya ingat wajah namun terlupa nama, termasuklah adik Jamaluddin Ismail dan anak saudara Paklong Usin. Maaflah.

Dalam ramai pelajar lelaki dari Teluk Bagan, hanya Pungguk (bukan nama sebenar) yang pernah tinggal di asrama. Dia seorang yang peramah dan lucu. Semua budak asrama cepat menjadi kawannya. Hari mula masuk ke asrama lagi dia mengakui tidak kenal sangat huruf jawi namun berazam akan mendalaminya.

Pungguk  rapat dengan saya dan ustaz Fairose, lebih-lebih lagi bila dia menyatakan ada seorang kakak....... Dia pula meminati seorang pelajar perempuan yang tinggal di asrama. Kepada saya dicurahkan isihatinya. Saya pula melakukan kesilapan apabila sengaja mereka cerita: idamannya itu berkirim salam. Sejak itu dia makin menghimpit saya. Pernah saya menyuruh dia berjumpa pelajar itu sendiri, terutamanya waktu belajar malam, kerana bilik studi lelaki dan perempuan hanya dipisahkan oleh bilik pejabat. Dia mengakui malu. Namun kalau terserempak atau berselisih jalan, alamatnya sampai awal pagilah dia bercerita kepada saya.

Bermacam-macam pernah ditanya Si Pungguk ini. Semuanya saya cuba menjawab sendiri kerana saya tahu dia tidak akan berani berjumpa idamannya itu yang tergolong bijak dalam pelajaran. Andaikan saya hendak makan apa-apa, kalau saya katakan si Bulan (panggilan rahsia kami untuk idamannya) minta, pastikan dibelikannya! Mujurlah waktu itu fikiran begitu tidak pernah muncul...

Namun saya tersilap reka cerita. Saya katakan si Bulan amat meminati orang yang pandai berzanji, kebetulan ayahnya seorang ahli di bidang itu. Si Pungguk terlompat, berkali-kali bertanya kesahihan. Sabtu berikutnya dia minta untuk balik ke kampung sekejap. Petangnya dia berjumpa saya, memberikan satu bungkusan. Di dalamnya ada kitab berzanji yang masih berbau kedai. "Pekan Rabu!" katanya tanpa saya saya bersuara apa-apa pun.

Malam itu dia mengadap Pak Mid - minta diajarkan membaca kitab yang baru dibeli itu. Bayangkan kesukaran seorang yang tidak mengenali huruf jawi diajar membacanya, berlagu pula! Akhirnya malam itu dan hari seterusnya dia hanya tahu melagukan Aljannatu wa na'i..... . Itulah yang dilaungkan jika terasa sunyi atau rindu! Laungannya akan lebih lantang jika tahu si Bulan ada di sekitar rumah Mak Lang...Kalaulah Mawi ada ketika itu.......melolong agaknya.

Hingga hari akhirnya di AlFalah, tidak pernah saya memberitahu akan minatnya itu kepada si Bulan. Tak tahulah kalau ada kawan lain yang bercerita, kerana si Pungguk kadang-kadang terlepas cakap juga.

Si Bulan kini mengajar di ......he he he.
Si Pungguk, di manakah dikau?

Manisnya waktu itu....