19 March 2012

SRP 1983

Asrama belum ada pada tahun itu.



Peperiksaan semakin hampir. Kami menggandakan kelas hingga ke petang. Saya mengajar Bahasa Malaysia dan Sains. Merekalah harapan kami. Kami pula harapan mereka kerana seperti yang saya catatkan sebelum ini, mereka terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang gagal dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) - kini bertukar menjadi PMR.


Oleh kerana mereka belajar hingga petang, ada cadangan untuk mereka tinggal di sekolah. Kebetulan ketika itu musim hujan. Manakala peperiksaan pula diadakan di Madrasah Ihya Ulumuddin Ad Diniyah, Simpang Empat (kini sekolah yang pernah mati itu dihidupkan dengan status Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) yang terletak lima kilometer dari AlFalah.


Lalu kami susun dua kelas di bangunan melintang (masih ada kini) menjadi tempat tinggal kami. Kami bermakna guru dan murid lelaki. Di situlah kami memasak nasi dan lauk secara sukarela dan memakannya secara gotong-royong! 


Pelajar perempuan terpaksalah pulang sebaik habis belajar pada petangnya manakala kami akan meneruskan dengan acara menyiang ikan, memasak nasi dan lainnya. Lainnya itu termasuklah bermain dan tidur dan meriuh. Ketika itu pula Ustaz Azizan dan keluarga belum tinggal sepenuhnya di AlFalah. Jadi......


Keseronokan semasa bersama itu menjadikan kami mesra dan merasakan seperti sebuah keluarga besar. Tidak hairanlan apabila pada tiga hari raya tahun itu kami membentuk sebuah rombongan besar menjelajah ke semua rumah pelajar lelaki tersebut hingga ke Alor Pulai, Alor Ibus, Tebengau, Sala Kecil dan tidak terkecuali Kg Permatang Ibus.


Semasa tempoh tinggal bersama itu, manis juga untuk dikenang kerajinan mereka menjala ikan (terutamanya Latiff Rahim) di dua tali airdi hadapan sekolah, lalu menjimatkan belanja dapur....Tentang masakan pula sedikit lebih dari 3 Bujang Lapok dalam filem P Ramlee.


Semasa peperiksaan, ada yang pergi dengan motosikal dan basikal. Bila pulang, yang bermotosikal itulah akan bertugas memasak untuk makan malam, manakala yang selebihnya memasak untuk makan pagi dan makan sendiri-sendiri...


Terharunya hati apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan, ramai yang berjaya. Masih terasa hangatnya pelukan Latiff Rahim dan Fazil Bakar ke badan ini......


Manisnya waktu itu...