27 March 2012

Cih, Jebat!


Ustaz Azizan mencadangkan supaya Majlis Muhadhoroh tidak hanya berkisar dengan nasyid, syarahan dan deklamasi sajak. Saya pernah mengadakan acara berbalas pantun secara spontan. Itu juga belum cukup. Ustaz mahu kalau boleh sekali-sekala adakan lakonan pentas.

Saya kumpulkan semua pelajar Tingkatan 4 1984 (lelaki) bagi mencari idea. Semuanya buntu. Tiada cadangan yang konkrit. Saya menceritakan drama yang pernah dipentaskan semasa saya di SMDSO 1978. Kisah biasa Tuah dan Jebat tapi diolah mengikut acuan sendiri. Kontemporari, amboi susah nak eja....

Semua biasa dengan kisah itu. Guru BM saya di Tingkatan 6 Kolej Bakti pernah menceritakan satu kawasan antah berantah pun tahu bab Tuah dan Jebat, hingga terbit dialog, "Cih, Jebak! Kalau mu beghani mu tughun.....!"

Saya menceritakan perjalanan skrip lakonan itu secara lisan dan terus ada yang sanggup memegang watak-watak tertentu. Tokok tambah sedikit, dipersetujuilah skrip lisan itu.

Mulalah kami berlatih. Selalunya pada waktu malam kerana agar tiada penonton dan boleh melontarkan suara secukup daya. Budak asrama kami haramkan datang menonton latihan. Cuma kami uar-uarkan bahawa akan dapat ditonton sebuah lakonan hebat budak Falah.

Namun, hingga malam sebelum persembahan, lakonan masih tidak mantap, ada yang lupa skrip, berdarah gemuruh juga dan paling menyakitkan dada: ada hamba Allah yang menarik diri. Watak utama pula! Mujurlah waktu itu saya tidak tahu bahawa kalau disaman kes begini, saya boleh dapat juta-juta.......

Akhirnya hampir tengah malam, kami buat keputusan: Jangan bocorkan bahawa sayalah yang berlakon sebagai Jebat manakala watak Tuah dijayakan oleh Ustaz Fairose Hj Azizan yang sejak awal latihan asyik ketawakan lakonan yang tidak menjadi. Ustaz Zubaidi Ariffin menjadi Sultan. Pak pacak tak berubah. Meruap-ruap semangat untuk berlakon. Macam professional Tuah menerima cabaran tanpa berlatih kerana sudah tahu benar melihat Jebat dan Tuah yang asal bertingkah.

Siangnya berdebar juga hati. Doa saya agar Ustaz Azizan ada acara lain hari itu; didatangi pihak Jabatan  Agama atau kena keluar membaca talkin atau lainnya. Namun doa saya tidak dimakbulkan. Tiada orang jabatan apa pun yang datang berurusan dengan beliau dan tiada siapa pun yang meninggal di sekitar mukim Kangkong atau Tebengau pada hari itu!

Selepas rehat, semua pelajar dan guru (tentulah termasuk Ustaz Azizan!) masuk ke dewan. Ada pula Mak Ndak Faridah (arwah), yang rumahnya tidak jauh dari sekolah, menyelinap bersama para pelajar - hendak turut sama menyaksikan lakonan nanti.

Selepas acara wajib - nasyid - dan satu dua selingan dan syarahan serta sajak, pengacara pun mengumumkan pementasan tersebut. Pelajar bertepuk, saya berdebuk. Sebenarnya mereka tidak tahu bahawa saya, Ustaz Zubaidi dan Ustaz Fairose yang akan muncul. Semasa kami berada di belakang pentas, paling tinggi pun mereka tentu menyangka saya sebagai pengarah saja.

Action! (Tolong jangan samakan dengan cerita Hang Tuah yang anda tahu!)

Sultan (kemunculan baginda sudah menggegarkan satu dewan) di rumah Bendahara, dilaporkan dengan prestasi rakyatnya dalam SRP dan SPM, kejayaan meningkatkan hasil padi , kajian menukarkan najis kerbau menjadi baja organik.........tiba-tiba ada hulubalang masuk menceritakan Jebat makin mengamuk di istana.


Tuah masuk, siap berpakaian pahlawan - bersongket dan bertanjak serta keris tersisip di pinggang.(Sekali lagi dewan bergegar dan rasanya orang yang paling terkejut tentulah baba kepada pelakon watak tersebut yang berada paling depan di dalam dewan...)  dibawa oleh Bendahara (lupa siapa pegang watak ini) apabila Sultan berjanji mengampunkan Tuah dan memerintahkan Jebat dihapuskan. Tuah menganjurkan Sultan bersabar menanti berita gembira.

[Warna kain pemidang ditukar sebaik tirai dilabuhkan sementara. Dari warna biru kepada warna kuning bagi membezakan dua tempat - rumah bendahara dan istana].

Di istana, Jebat yang berpakaian umpama sultan (dewan bergegar lagi melihat pembawa watak tersebut!) sedang membongkak. Bermonolog tentang kegagahan dan keperkasaan.Tentang kesetiaan dan penderhakaan.Dalam gelabah dipandang Ustaz Azizan yang masih terkejut, saya melontarkan dialog dengan lantang mencabar sesiapa juga untuk bertarung. Saya kemudiannya menghunus keris dan terus mencabar kepada khalayak. Pelajar terdiam seketika. Agaknya keliru: ini jerkahan Jebatkah atau jerkahan cikgu Sains?

Tiba-tiba terdengan laungan Tuah dari bawah, tepatnya dari atas jalan di antara dewan dan bilik guru! Jebat terkejut tapi mengajak Tuah naik. Berpelukan sebentar sebelum lama bertengkar tentang kesetiaan dan pengkhianatan.


Dipendekkan, akan terjadi pertarungan dua pahlawan itu. Saya turun ke bawah /belakang pentas sebentar sambil masih saling mencabar dengan Tuah. "Kau tunggu Tuah! Akan kuhabiskan kamu dengan keris Taming Sari ini" pekik saya sambil pembantu produksi, Mat Jin [Mohd Fadzil Bakar -Tebengau] menghulurkan sebungkus plastik kecil berisi air berwarna merah. Saya masukkan dalam kocek baju-t, dibawah baju melayu yang saya pakai.


Saya naik semula ke pentas sambil menghunus keris. Penonton terlopong agaknya. Selepas bertingkah seketika dan bermaafan serta berwasiat, Tuah dan Jebat bersedia. Dari tengah pentas kami berdiri saling membelakang lalu menapak secara berlawanan lima langkah, lalu menoleh.

Tuah dan Jebat kini berhadapan. Keris masih di tangan Jebat manakala Tuah mengeluarkan lastik menghala tepat ke dada Jebat. Jebat terkejut. Langkah silat terhenti. Tuah segera melastik sebelum Jebat bertindak. Saya memicit sekuat hati plastik kecil dalam kocek baju- t.  Darah memancut dari kiri dada Jebat. Penonton perempuan menjerit.

 "Kau tipu Tuah. Senjata ini tidak termasuk dalam perjanjian!!" kata Jebat seraya rebah.

Rosaklah sehelai baju-t yang baru sebulan dibeli......

Tirai dilabuhkan. Saya melompat bangun dan mendengar tepukan riuh di sebalik tirai......

Ustaz Fairose tersengih. "Jenuhla baba aku perli sat lagi....." katanya sambil melondehkan kain samping dan baju melayu yang dipakainya.

Itulah kali terakhir dia dan saya berlakon di atas pentas.

Tidak akan kembali detik itu.......

- suntingan semula pada 16 Februari 2013, 8.18 pagi.