16 March 2012

Lumut, di manakah Pangkalan TLDM

1987.


Jadualnya tahun ini kami akan ke Pulau Pangkor dan Pangkalan TLDM di Lumut. Cikgu Norhashimah Mansor menulis surat kepada pihak TLDM bagi membolehkan kami melawat pangkalan mereka. Diluluskan. Waktu lawatan jam 2:30. Kami bersyukur.


Kami bertolak malam agar sampai pada awal pagi untuk terlebih dahulu ke Pulau Pangkor. Sepanjang perjalanan murid dan guru lelaki masing-masing melepaskan geram dengan menyanyi lagu-lagu popular. Ustaz Ahmad Fairose tidak terkecuali. Nyanyian akan menjadi perlahan sekiranya Kong Hoo, drebar bas (kini masih ada , di Taman Orkid, Simpang Empat) membunyikan hon beberapa kali, tanda volume yang melampau. Tapi adatlah - perlahan itu tak sampai pun seminit!


Kami sampai menjelang subuh. Terus ke masjid. Mandi dan berwuduk. Merasakan mungkin tiada didirikan sembahyang jemaah oleh penduduk sekitar, dalam suram pagi itu, bergilir-gilir kami 3 - 4 orang mendirikan solat subuh. Budak sekolah agama..... Semuanya ok hinggalah ada dua tiga orang tempatan (agaknya) datang. Seorang daripada mereka mengiqamat dan seterusnya bersolat. Kami yang terdiri dari kumpulan terakhir berjemaah terpempan. Memandang sesama sendiri lalu sembahyang semula. Sembahyang semula? Rupanya semua yang bersolat tadi menghadap ke arah bertentangan kiblat! Puncanya? Semua menjawab, " kami ikut orang yang mula solat...." Siapa yang mula-mula solat tanpa merujuk arah kiblat? Hingga kini (2012) tak siapa yang mengaku!


Selepas itu kami bertolak ke Pulau Pangkor dengan janji akan berada semula di tanah besar pada tengah hari.
Perjalanan dalam rombongan tidak akan menjemukan. Riuh-rendah kami meredah selat dengan bot. Apa yang kami lihat dan lakukan di Pulau Pangkor? Tanya saja pada budak tadika!


Jam 11:30 kami sudah menaiki bot balik ke Lumut. Sambil menikmati udara panas kami menunggu Kong Hoo membawa bas ke tempat kami menunggu. Di atas bas barulah kami sedar seorang pelajar tidak muncul. 


Semua guru berbincang lalu memutuskan seorang akan kembali ke Pulau Pangkor untuk mencari setelah mendapati pelajar itu tidak juga bersama dalam bot selepas kami. Ustaz Ahmad Fairose mengambil peranan itu. Saya tahu apa yang ada di kepalanya sebab kami memang sekepala: ada imej tukul, penumbuk, bintang, gergaji dan tulang ikan!


Setengah jam selepas dia bertolak, bot dari pulau sampai dan pelajar yang dicari itu ada di dalamnya. Saya terlupa sama ada dia tersengih atau bagaimana tapi saya cukup ingat makhluk bertanduk dua menggerakkan imej tukul, penumbuk, bintang dan gergaji tadi ke seluruh pelosok kepala........


Kami kena pula menunggu bot yang membawa Ustaz Fairose dan itu bukanlah dalam masa yang pendek. Dan di juga tentulah tidak akan terus berpatah balik. Kena mencari dulu di sekitar tempat kami lawati sebelum membuat andaian pelajar itu telah balik kepada kami.


Demikianlah dramanya dan akhirnya Ustaz Fairose sampai semuala sekitar jam 3:30 petang. Kami berbincang lagi, kali ini bersama Kong Hoo. Keputusannya kami tidak akan ke Pangkalan TLDM kerana terlalu lewat dari yang dijadualkan dan kami tahu risikonya: AlFalah akan disenaraihitamkan.....


Keputusan lain: kami pergi ke Teluk Rubiah - sambil membawa hati yang tersayat!


Siapakah pelajar yang seorang itu? Ahmad Sofi Ahmad(pelajar AlFalah 1983-1988), kini guru di Baling, Kedah.


Kalaulah ada telefon genggam pada masa itu..........

(p/s: Masih ingatkah Sofi akan peristiwa itu?)