2 March 2012

Mola-mola

Banyak yang bagi pandangan tapi saya tak ingat yang mana paling berkesan tapi demikianlah perhitungan takdir. Ustaz Azizan dan Ustaz Fairose berbual dengan saya beberapa kali. Emak bagi sokongan. Ayah juga. Lebih-lebih lagi pula tukwan.


Minggu kedua bulan Mac 1983 saya melangkah ke bilik guru Alfalah. Ada di situ Cikgu Ramlah Johari, Ustazah Rodhiah Ahmad, Cikgu Abdur Rahim Daud, Ustaz Ahmad Fairose, Ustaz Zubaidi Ariffin dan tentunya Ustaz Azizan. Rupanya saya kena menggantikan Cikgu Md Radzi Majid, guru Sains, yang dipanggil memasuki Maktab Perguruan. Cikgu Radzi ini merupakan junior saya dan rakan sebilik saya di asrama SMDSO. (Beliau baru saja meninggal pada Januari 2012. Al Fatihah)


<Bagi yang tak tahu: Guru-guru sekolah agama terdiri dari 2 kategori. Guru Majlis maksudnya guru yang dibayar gaji oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah dan Guru Lembaga yang dilantik dan digaji oleh Lembaga Tadbir Sekolah masing-masing. Guru-guru dalam kedua-dua kategori adalah Guru tidak terlatih. Latihan hanya diberikan pada cuti persekolahan -selama beberapa tahun - dalam normal class yang diadakan di Maktab Mahmud, dan pernah juga di Raudhatul Ulum, Langgar (kini Maktab Mahmud Pokok Sena)>


Saya menyemak apa yang perlu diajar. Ada empat kelas. Jadi jadual tidaklah padat. Banyak waktu rehat.


Hari itu, Ahad, saya lupa tarikhnya, kelas pertama adalah Tingkatan 3 A. (A ni saya hentam saja sebab tak ingat, cuma nak bezakan antara 2 kelas  Tingkatan 3 itu) Kelas yang riuh beberapa hari lalu melihat bakal guru mereka sedang menolak basikal tua menarik padi!


Saya melangkah masuk dengan doa pendek di hati: Ya Allah, janganlah hambaMu ini terjatuh dalam kelas!


Satu kelas diam selepas saya menjawab salam serentak mereka. Dua-dua tangan saya masih berada di dalam poket seluar. Menggigil, tukwan! Nafas saya hela dalam dalam. Apa-apa pun ais itu mesti dipecahkan.....Sesi memperkenalkan diri. Saya memandang wajah mereka seorang demi seorang tapi tak pun sampai 10 orang. Tiba pada wajah Adin yang menjadi rakan menuai padi di BM itu, saya tunduk semula. Dalam bilangan yang saya pandang itu 70% saya kenal. Budak Permatang Ibus, Kangkong dan Kg Perlis.


Macam filem atau drama tv, sesi pertama mesti acara suai kenal. Tapi nak kenal apa kalau yang di dalam kelas itu adalah rakan sepermainan bola di bendang ketika musim kemarau!


Antara yang masih basah di ingatan dalam kelas itu ialah Mashuki Hj Ismail,Ahmad Hj Hashim (sepupu Adin), Sharifah Ishak(arwah) dan sepupunya Suharnie Hj Saad (Semuanya dari Kg Permatang Ibus), Mohd Kamal Bakar(Alor Pulai) Zaini Haron, Solehah Hj Hamid (Kg Sala Kecil) Fazil Bakar, Latiff Rahim, Saidin Saad, Abdullah Hashim (Tebengau/Alor Ibus).