26 March 2012

FootBear

Saya tidak tahu sama ada ejaan Foot Bear itu betul atau tidak. Kerana nama itu dimaksudkan untuk apa pun saya tidak tahu. Mungkin Food Bear. Entahlah.

Yang saya ingat, hari mula dia mendaftar di asrama AlFalah, geng Gajah Mati terus memanggilnya - sebutannya - Putbe/Futbe. Kata mereka wajahnya seperti seseorang di kampung mereka yang bernama Footbear.

Foodbear AlFalah ini berasal dari Yan, Kg Perigi, kalau tidak silap. Saya kesal kerana tidak pernah menjejak ke kampungnya walau berkali-kali diajak. Sedangkan hampir semua rumah budak asrama pernah saya sampai hatta  ke Baling, Permatang Bendahari, Kulim dan Bukit Mertajam.

Dia rajin mencuci dan memasak dan mentelaah pelajaran. Di padang bola (hanya warga AlFalah tulen yang tahu apa itu padang bola AlFalah....), dia menjadi idaman kedua-dua pihak pasukan kerana prolifik mencetak gol.

Pendiam tapi penuh idea humor. Kalau diadakan acara pakaian beragam pemenang utama pastilah dia. Pernah sekali dia memperagakan pakaian yang dibuatnya sendiri dari kertas akhbar - diberikan nama Kadok - disuaikan dari cerita Pak Kadok.

Namun paling diingati adalah pakaian yang dinamakan SongSang. Naik saja ke pentas, penonton terus bergelak sakan. Difahamkan semasa di belakang pentas, peserta yang lain awal-awal lagi mengaku kalah. Bayangkan dia memakai pakaian biasa tapi semuanya secara terbalik. Kemeja dan seluar  dengan bahagian depan dipakai di belakang. Selipar diterbalikkan. Kacamata hitam dan topi begitu juga. Susah nak dicatatkan tetapi amat lucu bila dikenang. Ada yang mengambil gambarnya dengan kamera Kodak Instantmatic, sayangnya gambar itu rosak oleh pemelowapan plastik album......

Tuhan Maha Penyayang. Sedang baru empat tahun berada di AlFalah, dia diuji oleh penyakit misteri. Badan mencengkung. Akhirnya nafasnya terhenti sebelum sempat menduduki SPM. Saya tidak ingat kenapa saya bukan antara guru yang menziarahi mayatnya. Kesal ini tidak terucap hingga kini.

Bagi warga AlFalah pada eranya, nama FootBear cukup melekat di bibir dan di hati sehingga ramai yang terlupa nama sebenarnya, Mohd Zamri Ishak. 


 (Beliaulah bunga AlFalah pertama gugur sepanjang saya di situ....)


...................................................


syurgalah di tanganmu

tuhanlah di sisimu

kematian hanyalah tidur panjang

maka mimpi indahlah engkau.....

......................................


 --  [Camellia iv - Ebiet G Ade]