8 August 2012

Zabarina: Satu-satunya!

Saya sedang bersedia untuk berbual dengan insan yang saya catat dalam entri King Cup Sebuah 'Piala' Tak Tergapai.... ketika mendapat panggilan dari Wira Osman.

Katanya, ada seseorang ingin bercakap dengan saya. Saya mengira tentulah seorang bekas budak AlFalah yang baru ditemui Wira dalam ikhtiarnya meramaikan majlis perjumpaan Hari Raya nanti. Sebaik saya mendengar suaranya memberi salam, saya memang mencari-cari tuan suara itu di kalangan budak Falah. Tidak dapat dikesan. Sememangnyalah tidak akan saya dapat padankan dengan senarai saya, kerana itu bukan suara budak Falah. Sebaliknya suara budak 'tua' AlFalah.

Cikgu Abdul Aziz Hussin!

Manalah dapat saya mengingat suara yang telah hampir dua dekad 'terpadam' dari memori!

Selepas berbasa-basi sedikit, bertanyakan khabar serta bilangan isteri dan anak, kami menghentikan perbualan. Nantilah. Lain kali kami akan berjumpa dan bercerita lagi.....

Lagi pula, sedang menunggu untuk berbual dengan saya ketika itu ialah insan yang saya ceritakan awal tadi. Dia pun telah berkali menelefon dan tidak saya jawab sehinggalah menghantar mesej memperkenalkan diri...

Sepanjang berbual dengan budak Falah itu, fikiran saya menerawang sama ke era kewujudan Cikgu Aziz di bumi AlFalah.

Cikgu Aziz!

Terlalu banyak yang saya kenang ketika bersamanya. Semuanya sekurang-kurangnya mengundang sengihan/senyuman, kalaupun tidak tawa mengekek. Tanyalah Cikgu Faisal atau Ustaz Mat, terutamanya. Terlalulah banyak........ Tapi itu cerita lain kalilah atau beberapa darinya tidak akan tercatat di dalam blog ini.

Sebaik menyiapkan entri berkenaan, setelah lama berbual dengan insan yang saya catatkan itu, saya memfokuskan kepada Cikgu Aziz pula. Tiba-tiba saya teringatkan Zabarina Ahmad!

Demikianlah saya. Saling berselirat ingatan tentang beberapa orang terkait sekali gus. Apa kes Cikgu Aziz dengan Zabarina?

Zabarina [dipanggil Zab oleh teman-teman] memang peramah. Sejak mula masuk AlFalah sikapnya yang satu itu sudah dapat saya kesan. Riuhnya boleh tahan. Ajak bertengkar pun dia layan!

Selepas dia meninggalkan AlFalah, hanya berita perkahwinannya yang saya tahu kemudiannya. Itu pun ketika terserempak dengan abangnya yang juga pernah belajar di AlFalah. Selepas itu, dia lenyap lagi dari minda saya. Kalaupun yang tinggal di ingatan adalah kampung tempat tinggal keluarganya, tatkala sesekali melintas ke Teluk Bulang melalui jalan ban MADA.
Zabarina Sekeluarga

Dia benar-benar menghilang.

Pada satu hari, entah tahunnya berapa, ketika saya duduk berbual dengan kerani di pejabat sekolah, Zabarina muncul secara tiba-tiba. Memberi salam. Suaranya tidak berubah, ramahnya jua. Ketika riuh bercerita tentang perkembangan dirinya, sempat dia berkisah tentang tujuannya ke AlFalah pada hari itu - kali pertama semenjak berkahwin atau sejak melupakan seragam putih biru!

Rupanya selama ini dia di Sarawak, mengikut suaminya, seorang tentera. Meski jauh di seberang Laut China Selatan, katanya, ingatan terhadap AlFalah tidak pernah lekang. Berdasarkan rekod peribadinya selama di AlFalah, saya yakin ingatannya tentulah bukan mengenang cinta yang tidak kesampaian. Atau tidak juga mendendami seseorang guru yang menjadi batu penghalang . Atau bukan pula mengimbau nostalgia menangisi hubungan yang pernah terkantoi!

Dia berbeza. Amat berbeza.

Dia sentiasa teringat akan yuran sekolah yang belum dijelaskan!

Benar. Itulah yang menghantuinya selama di Sarawak. Itulah yang membawanya ke AlFalah pada hari berkenaan. Sekali dia pulang, dia terus mengajak suaminya, untuk melunaskan yang tertunggak. Walau jumlahnya bukan lagi persoalan, namun atas rasa tanggungjawab, dia berusaha.

Ada nada kepuasan sebaik dia menjelaskan yuran itu, mungkin yuran tahun akhirnya. Saya dapat mengesan rasa leganya. Saya, yang melihat dia menghulurkan wang dan memohon halal - dalam melayani bualnya -  amat tersentuh. Ikhlas cakap: Belum pernah sepanjang saya di AlFalah selama  dua dekad, ada bekas pelajar secara luhur berbuat begitu.

Dia boleh mengabaikan yuran itu. Tidak ada surat saman akan tiba ke rumahnya. Tidak ada dakwa-dakwi. Tapi dia datang juga menghulurkan wang yuran itu.

Dia ternyata berbeza. Tersendiri. 

Kehadirannya membuka realiti yang dilalui oleh sekolah agama rakyat di mana-mana pun. Bukan semua pelajar menjelaskan yuran 100% setiap tahun. Mesti ada yang tertunggak, tertangguh. Hingga sekolah ditutup dan buku pembayaran juga telah lama dibaham mesin kitarsemula, masalah kutipan yuran tidak pernah selesai.... Apalah yang boleh sekolah yang kaku itu lakukan.... Kalau ada pun, jika ingin mengambil keputusan, barulah dijelaskan sepenuhnya. Jika tidak, tiadalah bayaran itu.

Terdapat ramai yang memberi lambaian akhir kepada sekolah, selepas sesuatu peperiksaan, tanpa berpaling lagi atau berpatah balik untuk bertanya tentang yuran yang tertunggak. Malah, merasakan keputusan peperiksaan tidak menyebelahi mereka, surat berhenti sekolah juga diabaikan.

Ada yang lulus cemerlang dalam peperiksaan. tetapi kerana takut ditanya tentang yuran, sampai sudah tidak diambilnya slip keputusan peperiksaan itu. Ada yang datang dan berjanji akan menyelesaikan selepas menuai atau seumpamanya. Tetapi tidak muncul-muncul lagi. Apalah yang boleh sekolah yang kaku itu lakukan...Demikianlah, nasib sekolah rakyat......

Ketika sekolah ditutup, saya sempat melihat buku tebal tentang wang keluar masuk, yang disimpan sementara di dalam almari besi yang diletakkan di bangunan asrama belakang. Ramai yang tidak menjelaskan yuran. Amat ramai lagi yang tertunggak di bawah seratus ringgit. Tapi percayalah, tiada surat peguam akan sampai. Tiada iklan meminta jelaskan yuran di akhbar. Eleh, sekolah rakyat. Mungkin itu pandangan ramai. Lainlah kalau sekolah kerajaan, sekolah menengah...... Lagi pula, buku tebal tersebut pun telah lama dikisar mesin kitar semula. Mungkin cebisannya pernah menjadi sebahagian kulit buku tulis anak-anak kepada pelajar yang tidak membayar yuran itu.....

Maka, kedatangan Zabarina pada hari itu dengan tujuan yang tidak pernah saya fikirkan, tentulah cukup berbekas di hati. Sememangnya dia satu di antara...... entahlah berapa[ yang yuran masih tertunggak hingga sudah beranak pinak!] Kalau seratus dua, dia satu di antara seratus dua.......

Hari itu, dia pulang dengan pundak yang tidak lagi terbeban. Tersenyum ketika meminta diri. Mempelawa kami singgah di rumahnya atau bengkel suaminya di sekitar Merbok, Kedah. Hingga kereta yang dinaikinya hilang dari pandangan, saya dan cik kerani masih menggeleng-menggeleng kepala - kagum dan bangga berbaur.... Kalaulah semua bersikap begitu.......

Saya tidak pasti sama ada selepas itu, terdapat bekas pelajar lain yang datang semata-mata untuk menjelaskan yuran tertangguh....

Apa kes Cikgu Aziz dengan Zabarina?

Satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada Zabarina adalah terletak pada jarinya. Ada lebih satu jari kecil di tangan berbanding dengan saya dan Cikgu Aziz dan lainnya.

Pada satu hari, saya tidak ingat apa acara yang berlangsung - sama ada sukan rakyat atau muhadhoroh - kami berada di belakang dewan. Di antara dewan melintang itu dengan blok yang mempunyai bilik pejabat. Beberapa pelajar perempuan berhimpun di situ. Cikgu Aziz dan, kalau tidak silap, Cikgu Non turut sama. Entah apa yang diperkatakan ketika itu, tiba-tiba Zabarina mencabar Cikgu Aziz.

"Kalau kalah, aci potong jari," begitulah lebih kurang cabaran Zabarina. Saya betul-betul terlupa akan puncanya ketika ini. Mungkin kalau mereka ingat, bolehlah kita tahu nanti.

Selamba sahaja Cikgu Aziz membalas,"Hang takpa la. Jari hang ada sebelas....."

Kespontanan jawapan itulah yang mula-mula saya kenang apabila timbul nama Zabarina atau Cikgu Aziz! Akan ada senyum automatik apabila nama salah seorang mereka disebut....... Mana boleh saya lupa kenangan yang secalit itu!?

[Catatan ini saya dedikasikan - dengan setulus apologi - untuk Zabarina Ahmad. Khabarnya dia sekeluarga sedang diuji dengan kecederaan suaminya, NorAzli Abu Hassan, akibat kemalangan jalanraya. Kini masih dalam rawatan susulan. Semoga suaminya segera sembuh. Semoga mereka diberi ketabahan atas ujian itu. Semoga Zabarina berbahagia bersama keluarga tercinta. Amin.]

Komen rakan dalam fb: [8 Ogos 2012]

Yaya Comey mentor yg dia betu2l giler .... ELLA!! cihhhsss.... sampai simpan rambut panjang mcm hantu tayang kat kami konon ikut mentor.... konon ratu rockers!! hahahaha...... masa PMR, kami ada kelas tambahan di sekolah selepas waktu persekolahan... sementara nak tunggu kelas tambahan bermula, kami ramai2 pakat p umh kawan2 yg dok area sana..... p makan nasi tengahari.... serius saya cakp, masakan mak dia mmg sedapppp!! masakan kampung.... ikan sepat dijadikan lauk utama digoreng garing, habis diratah oleh kami mcm keropok.... itulah 1st time saya makn ikan darat... rupanya mmg sedappp!! sampai sekrang pun kalau mkn ikan sepat ronggeng x sama dengan keenakan yg pnh saya makan.

Yaya Comey kenangan ketupat yg dibalut oleh mak Zabarina menggunakan sejenis daun.... yg pasti bkn daun palas.... mmg sedap dah comeil..... teringat kenangan waktu tu kami pinjam moto CG Mohd Zainon Puteh..... ingat x kisah kita Emzeq'Lina Saad..... moto panjat pokok nyiokkkk!!!!
 
Aswad Lorongmayat Sy xdak tertunggak sbb sy dah jelaskan ms ambik sijil berenti sklh..semoga suami zab cepat sembuh...amin 
 
Siti Khadijah Osman suami zabarina sakit apa....apapun moga cepat sembuh 
 
Yaya Comey xcident ngan lori.... tulang tangan retak teruk... ciann... tangan tu lah punca rezeki keluarga depa... suami dia tuh pomen... bila dah ditarik sedikit nikmat Allah kepada mereka.... jd terpaksalah berusaha dgn cara lain. mcmana pun dia tetap bersyukur kerana suami dan anak2 selamat 
 
Siti Khadijah Osman oo ya ka sabar lah ujian tuhan

No comments: