
Wira Osman yang masih segar dengan lesen besar keluar malam sebelumnya, menelefon saya pada pukul 20:41. Saya yang kebetulan berada di pekan Simpang Empat dimaklumkan akan kunjungannya bersama Hamzah Yahya.Sebagai tanda berhemah saya bersetuju saja..... Dua puluh tiga minit kemudian dia menelefon semula mengesahkan sedang bertolak dari rumahnya.
Jam 21:26, mereka muncul di depan BSN Simpang Empat seperti yang dijanjikan dan mengekori saya ke rumah, membelah gerimis malam, tempias hujan sepanjang Jumaat.
Di rumah, saya menghubungi Cikgu Non pada jam 21:34, yang saya tahu sedang melayan tetamunya, memaklumkan kedatangan Wira dan Hamzah. Dia mengalu-alukan dan menunggu di rumahnya.
Selepas itu, kami bertiga berbual manakala menantu emak saya meminta izin untuk keluar kerana urusan peribadi di luar daerah bersama adiknya, yang kebetulan sedang menunggu di kereta. Secara tidak langsung, jimatlah gula, kopi/teh dan air panas di rumah saya......
Kerana kami bekas warga AlFalah, apalah daya untuk mencari topik perbualan selain dari hal perjumpaan hari raya di dewan SK Taman Bersatu pada 23 Ogos itu....
Banyak yang kami sentuh termasuk hal-hal di belakang tabir yang semuanya manis untuk dikenang. Ada yang boleh dikongsi umum dan ada juga termasuk dalam kategori off record.......Maka kami sekadar berkongsi ketawa.
Namun hakikatnya semua berpuashati dengan perjalanan dan pencapaian majlis tersebut. Lancar dan tidak mengecewakan. Bagaimanapun, sesiapa juga tidak akan boleh berpuashati setakat itu sahaja. Terdapat ruang yang tentunya memerlukan penambahbaikan pada masa hadapan. Inilah yang kami bualkan sepanjang berada di rumah saya di samping bersela dengan cerita malam sebelumnya mereka dan Fahrulruzi menunggu kemunculan Mohd Hafizi Manaf di Kedai Kuetiau Iman, Alor Setar.
Takut Wira berdehem kering kerongkong, saya mengajak mereka ke rumah Cikgu Non pada jam 22:25. Kami menunggunya yang keluar sekejap kerana hal sendiri.
Setelah masuk ke rumah Cikgu Non, skrip di rumah saya tadi dibaca semula. Dan pastilah dengan pertambahan yang bukan sedikit di sana-sini. Cerita dan komen dari empat versi semakin rancak apabila menantu emak Cikgu Non mengangkat minuman diikuti bekas kuih raya. Saya yang pertama turun dari sofa menyambar bekas kaca berisi simpulan berinti serunding........

Mencadangkan menu tetap dan sampingan untuk tahun mendatang. Mencari jalan menghapuskan titik perbezaan di antara kelompok-kelompok bekas pelajar. Mencari denai bagi merapatkan hubungan di antara sesama suami/isteri dan keluarga anggota yang hadir. Mencari lorong terbaik bagi aturcara sepanjang majlis.
[Walaupun saya mencatatkan dalam tujuh baris, tetapi perbualan kami sebenarnya menggunakan 987,345 patah kata! He he he]
Demi memberi ruang kepada nasi ayam nanti, saya ke tandas - membuang sedikit kandungan usus kecil. Ketika kembali ke meja, saya difahamkan ayam masih bercuti raya, maka terpaksalah saya dan Hamzah menukarkan hidangan kepada nasi goreng padprik.....
Sementara menunggu tempahan siap, malah sewaktu mengunyah makanan dan menanti ia dihadamkan pun, perbualan kami berulang balik kepada topik tadi - majlis hari raya bekas penuntut AlFalah yang baru lalu dan akan datang. Jemu? Kami terlupa seketika akan perkataan itu. Basi? Selama melibatkan AlFalah, tiada istilah itu di dalam kamus hati.....
Setelah membazirkan sekitar 567,321 patah kata - he he he he - tentang hal itu, barulah kami bertukar sedikit kepada kedudukan AlFalah yang mutakhir. Digaulkan pula dengan sedikit nostalgia, kami berjaya mengheret juruwang restoran itu hanya bertumpu ke arah kami - kumpulan terakhir yang berada di situ, selain dua encik polis yang singgah minum di meja kakilima kedai. Ketika skrin tv besar dimatikan, kami masih buat-buat tidak faham, malah Cikgu non sempat ke kereta mengambil notebooknya. Saya tahu, kalau pelukis kartun melihatnya mesti dalam bayangan watak pekerja restoran itu akan diletakkan tulang ikan, tukul, penumbuk dan seumpamanya...... Ketika salah seorang pekerja datang membawa dulang kosong meminta izin mengutip gelas dan pinggan, kami pun bangun. Ayam buta mata pun akan faham bahasa badan pelayan itu....
Pukul 2:15 kami sampai ke rumah Cikgu Non semula. Mulanya, dua budak tua AlFalah itu tidak mahu keluar dari kereta. Namun setelah Cikgu Non berkali-kali berkata 'awal lagi...' dan saya menjanjikan sebuah cerita eksklusif, mereka terpaksa akur.....
Di dalam rumah, kami melihat laman fb Alumni Sek Men Agama Al-Falah, Kedah. Membaca komen pada setiap foto perjumpaan raya yang dipaparkan. Sementara itu, Cikgu Non ke dapur, sambil membaca mentera ketika membancuh 175ml kopi o panas. Mentera itu cepat meresap kerana Hamzah dan Wira seperti kehilangan rasa kantuk!

Selepas itu kami kembali bertukar-tukar idea untuk majlis akan datang. Tentang menu lagi, kelompok fokus, persediaan untuk anak-anak agar tidak bosan....dan lainnya. Paling lama dibahaskan adalah cadangan Wira agar kali berikutnya diadakan di sebuah restoran di jalan Kola. Walaupun kami membantah, namun setelah mendengar rasionalnya, kami sepakat menyuruhnya membuat semakan kos. Bimbang juga Hamzah dan AJK lain akan menghadapi kos tersembunyi, tatkala Wira pula sedang beraya sakan di rumah mertuanya di Kelantan ketika itu.....
Apabila Hamzah melihat jamnya, dia mengisyaratkan Wira untuk beredar. Masih belum tamat tempoh lesen tetapi termasuk menghantar Wira pulang, dia menjangkakan akan sampai ke rumah sekitar jam 4:30, seperti pagi sebelumnya.
Sebagai bangsa berhemah, kami cuba menahan. Eleh, bukan haus pun lidah untuk berkali-kali berkata 'awal lagi'.........
Mereka benar-benar meminta diri dengan harapan itu bukan kali terakhir kami berbual panjang. Saya pula menitipkan salam kepada isteri masing-masing. Harapnya, itu bukan kali terakhir mereka diberi lesen besar untuk bersama kami.......
No comments:
Post a Comment