[i]
Lee Chong Wei baru berusia dua tahun ketika itu.
Tiga budak muda, berumur awal dua puluhan, sedang bermain badminton di dalam bangunan sekolah AlFalah yang menghadap ke bendang dan jalan raya itu. Suasana agak riuh kerana turut ditonton oleh beberapa budak Falah yang tinggal di asrama.
Tiga budak muda itu berseluar pendek. Kain pelikat yang mereka pakai sebelumnya disangkutkan pada alang bangunan itu - berjuntai bersama-sama baju mereka.
Hari itu hari Sabtu. Semua meja dan kerusi diletakkan di tepi dinding.
Di tengah-tengah kelas itu diatur memanjang empat meja pelajar. Empat kerusi pula diletakkan secara mengiring di atas deretan meja tersebut. Itulah 'jaring' yang digunakan untuk permainan itu.
Seorang bertindak sebagai pengadil duduk di atas kerusi, betul-betul bersambung dengan meja 'jaring' itu. Dua lagi bertarung di gelanggang. Sesekali berlaku pertengkaran apabila bola melambung terlalu tinggi hingga terkena bumbung 'stadium', lalu jatuh tanpa sempat dipukul pihak lawan. Ketika itu, pengadillah yang berperanan menentukan samada servis perlu dibuat semula atau mata dikira - bergantung penilaian kepada 'niat' pemukul.....
Badan dua pemain dibasahi peluh. Habis set tersebut, pengadil tadi akan bertindak sebagai pemain pula, manakala pemain yang kalah sebelumnya akan menjadi pengadil. Begitulah sistem penggiliran yang dipersetujui. Kalau mahu membalas dendam, inlah waktunya....
Setiap pagi Jumaat dan Sabtu, itulah yang dilakukan oleh tiga budak muda itu - sejak tahun sebelumnya, sejak umur Lee Chong Wei baru satu tahun. Mula-mula kain pelikat dilambung ke alang bangunan, kadangkala bersekali dengan baju, kemudian terus masuk ke gelanggang. Budak asrama hanya memerhati dan menumpang bermain jika tiga budak muda itu berehat - sesuatu yang amat jarang berlaku....
Kelas paling kanan di fotolah tempat yang dimaksudkan! |
Penunggang motor itu turun dari motornya, menanggalkan topi keledar sambil memakai songkok hitam yang diambil dari raga motornya. Membetulkan kacamatanya, dia melafazkan salam. Semua yang ada menjawab serentak. Kemudian dia bersalam dengan setiap yang ada. Tiga budak muda yang hanya berseluar pendek, tidak berbaju, kelihatan tersipu-sipu menyambut huluran tangan tetamu berkenaan.
"Ana Tajuddin. Ustaz Tajudin. Ana nak berjumpa dengan mudir. Ana ditukarkan ke sini mulai esok......"
Begitulah lebih kurang pengenalan Ustaz Tajudin yang agak terperinci. Semua yang ada mengangguk-angguk. Rupanya inilah ustaz baru yang dikatakan dihantar oleh Majlis Agama Islam Kedah, seperti yang dinyatakan oleh Ustaz Azizan, Khamis lepas.
"Ustaz Azizan tak mai lagi. Selalunya pagi esok baghu dia mai dari Alma, BM. Ahad hingga Khamis saja dia dok sini....." kata salah seorang anak muda itu, yang berambut agak keriting, juga agak terperinci.
Ustaz Tajuddin mengangguk sambil mulutnya menyebut 'O' tanpa berbunyi. Matanya meliar melihat keadaan bangunan yang menjadi gelanggang itu. Tiga anak muda itu hanya diam memerhati ustaz baru itu atas bawah.
Seperti tahu ketidakselesaan pemain-pemain badminton tidak berbaju itu, akhirnya Ustaz Tajudin meminta diri.
"Tak apalah. Esok sajalah ana jumpa mudir," katanya ketika bersalaman sekali lagi dengan semua, "Mai 'ni pun 'nak tengok jalan sama - senang esok-esok...."
"Ustaz duduk di mana?" anak muda berambut sedikit keriting menunjukkan ramah.
"Langgar," jawab Ustaz Tajudin sepatah.
"Ooo," balas semua yang ada. Sebahagiannya tidak pun menghasilkan bunyi....
Selepas ustaz baru itu berlalu, permainan yang tertangguh tadi bersambung.
Besoknya, setelah berjumpa mudir, Ustaz Tajudin dibawa ke bilik guru. Alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati tiga anak muda yang berlengas badan dengan berseluar pendek kelmarin, adalah guru-guru di AlFalah. Salah seorang, yang berambut agak keriting, rupanya anak kepada mudir.........
[ii]
Lee Chong Wei berumur 3 atau empat tahun.
Di depan rumah Maklong, berhadapan bangunan dewan AlFalah, kami memacakkan kayu-kayu hingga terbenam lalu menarik tali rafia di antaranya bagi menghasilkan bentuk yang cukup untuk bernama gelanggang. Lampu di luar rumah, dan kedudukan yang terlindung dari angin, membolehkan kami bermain dengan selesa. Namun kerana lantainya adalah tanah biasa, petang atau malam berhujan adalah musuh kami....
Tapi, keseronokan bermain di situ tidak akan dapat digambarkan. Lebih-lebih lagi apabila saya dan Cikgu Rahim Daud bertentang dengan beregu adik-beradik Ustaz Fairose-Ahmad Amminy. Perlawanan beberapa set itu biasanya berlarutan hingga tengah malam - atau sehingga budak-budak asrama pulang dari bermentelaah di kelas. Mereka akan singgah dan ada yang berdecit-decit melihat perlawanan yang cukup sengit dan klasik itu...
Besoknya, kami akan ke sekolah seperti biasa hinggakan Cikgu Ramlah Johari, warden asrama puteri pernah bertanya, "bila masa hangpa letih?"
Kami tidak tahu letih dan ketika itu Lee Chong Wei baru mula pandai bercakap!
[iii]
Saya, Cikgu Rahim dan Ustaz Fairose mendapat peluang bermain badminton di atas gelanggang simen apabila seorang pelajar Mohd Jamil Abdul Razak menawarkan laman rumahnya. Laman bersimen itu biasanya digunakan untuk menjemur padi.
Ketika itu, Lee Chong Wei berusia sekitar lima atau enam tahun.
Maka kami, setelah meminta izin ayah Jamil untuk penggunaan elektrik juga, telah menyiapkan garisan gelanggang dan memasang tiang lampu. Kedudukannya cukup sesuai. Di bahagian barat adalah rumah Pak Ndak Razak [ayah Jamil] manakala di bahagian timurnya, selepas jalan tar kampung, ada rumpunan pisang dan pokok mempelam. Jadi, dari arah manapun angin bertiup, dengan lindungan itu, tiada masalah untuk kami bermain. Lainlah kalau hari hujan.....
Maka setiap malamlah kami akan pergi ke situ - Kg Kuala Kangkong, jalan ke Kuala Sala. Tidak kira besoknya sekolah cuti atau tidak. Bermain sepuasnya dan selepas itu, sekitar jam sebelas, akan berarak pula ke Simpang Empat - pekena apa yang patut di gerai-gerai di tepi jalan menghala ke Kangkong. Ketika itu mereka yang merokok akan membeli rokok Kingsway yang taglinenya adalah Sinarilah Malam! Di antara gerai tersebut, ada seorang gadis penjaga yang manis di mata kebanyakan pengunjung. Kerana itu, setiap kali kami selesai bermain dan bertanya ke mana selepas itu, pasti ada yang berkata: Sinarilah Malam! Fahamlah semuanya......
Ada ketikanya, datang pemain dari luar terutamanya pekerja Syarikat Bas Kota Ekspres, kerana kebetulan abang sulung Mohd Jamil, Mohd Saad, bekerja di situ. Mohd Saad pula kebetulan lagi merupakan rakan sekelas saya di SK Kangkong dan SM Simpang Empat. Makin meriahlah suasana.
Sesekali ada juga dua orang Cina - Oh Unn, pemilik bengkel motorsikal di Kangkong dan anak Ong Ei, tauke kedai barang lusuh di situ - akan datang menumpang bermain. Walaupun belum ada slogan 1Malaysia, kami tidak kisah sangat, apatah lagi mereka tidak datang bersendirian, selalunya bersama bulu tangkis yang banyak dan minuman sejuk.....
Kalau tiba musim mempelam, sedang kami bermain, kerap terdengar bunyi buah gugur di seberang jalan. Ketika rehat, buah itulah yang kami lulur......Manisnya buah itu serta waktu itu!
Ketika bermain di Kangkong itulah kami ditakdirkan berkenalan dengan sepupu Mohd Jamil, yang tinggal di rumah bersebelahan. Dia sering menyertai kami memerah peluh di situ. Tidak banyak bercakap tetapi menunjukkan komitmen yang tinggi semasa di gelanggang. Dia muda dan bertenaga serta mempunyai smash yang hebat. Kerap juga saya berpasangan dengannya dan dengan bantuan tenaga serta smash kuatnya, kerap pulalah kami memenangi perlawanan. Setelah beberapa kali bertukar-tukar pasangan, akhirnya sepupu Mohd Jamil itu menjadi pasangan tetap saya. Selalunya dia menguasai bahagian belakang gelanggang dan saya mengawal di depan, termasuklah mengawasi bulu tangkis di jaring.
Keserasian kami tidak hanya di gelanggang malah berlarutan hingga di luarnya. Dan tidak hanya pada masa itu.... Apa lagilah setelah pada satu hari dia muncul di AlFalah, membawa surat arahan bertugas di situ dari Majlis Agama Islam Kedah, setelah lulus temuduga di MAIK......bermula sebagai guru Matematik. [Sila juga rujuk di sini]
Ketika itu, Lee Chong Wei yang lahir pada 21 Oktober 1982 baru hendak memasuki tadika......
No comments:
Post a Comment