Dia memeluk erat Cikgu Rahim. “Terima kasih,” bisiknya dalam
sebak. Berkali-kali dia menyeka air yang bertakung di penjuru matanya.
Dia mendakap kemas Cikgu Non. “Terima kasih, cikgu!”
bisiknya perlahan tapi bergetar. Penjuru mata yang masih diairi disekanya lagi.
Saya melihat setiap geraknya dengan mata sendiri terasa
senak. Mencuba mengawal kelenjar airmata dari merembeskan hasilnya.
Sebelum itu, sebaik masuk ke dewan dia menerpa ke arah saya.
Memeluk erat, dia mengucapkan frasa yang sama – “Terima kasih, cikgu!” Saya
yang terkejut dan terharu melihat kemunculannya, cuba menyembunyikan rasa itu
dengan berseloroh, “Perut berlaga perut…..” Ungkapan itu juga saya niatkan untuk merendahkan tahap kehairanan insan sekeliling yang sedang ikut terkejut memerhatikan kami, yang bagaikan tidak dipedulikannya..
Dia tidak melepaskan pelukan, sebaliknya sekali lagi
mengucapkan terima kasih. Ibu jari dan telunjuknya menekan penjuru mata, cuba
menyekat air jernih keluar.
“Mai berapa orang?” Saya bertanya sekadar untuk
mengawal gelora jiwa. Dia melepaskan
pelukan seketika untuk menoleh dan menunjukkan ke arah keluarganya – isteri dan anak-anak. Kemudian
dia kembali memeluk saya sambil sekali lagi mengucapkan terimakasih dan sekali
lagi juga cuba menyekat air mata dari keluar. Saya menepuk-nepuk bahunya, cuba
menenangkan dirinya sedang kerongkong sendiri seakan tersekat....
Saya hanya mampu meneka bahawa pelukan itu demikian kerana
sejak meninggalkan AlFalah dalam dua dekad, itulah pertemuan pertama kami.
Pelukan yang berulang seakan melepaskan rindu yang tidak dapat dijumpai
kata-kata untuk menghuraikannnya. Ucapan terima kasih itu mungkin mengingat
akan sumbangan kami mengasuh dan membimbingnya semasa di sekolah dan asrama….
Mohd Rafidi Romli.
|
Semoga tekaan itu mendapat peratusan ketepatan yang tinggi….
Mohd Rafidi Romli.
Entah dari mana saya pernah mendapat nombor telefonnya satu
ketika dahulu. Ketika itu khabarnya dia baru pulang ke Semenanjung setelah bertahun-tahun ditugaskan di Sarawak. Saya
pernah menghubunginya beberapa kali, bertanya khabar dan mengetahui tempat dia
bertugas. Itu sahaja.
Tapi kenangan terhadapnya, seperti pelajar lain yang membekas
di hati, tidak pernah hilang. Paling diingati adalah saat dia bermain bola di padang ‘kita’ itu.
Dia sering menyebut – dengan penuh bangga - dirinya sebagai Mohammad Ramli,
merujuk pemain pertahanan kental Kedah pada era awal 90-an, setiap kali turun
bermain, terutama setelah melakukan satu sepakan padu….. Pertalian antara
mereka adalah nama bapa yang serupa!
Setiap kali bernostalgia bersama bekas rakan setugas atau sengaja
mengimbas masa lalu pada waktu-waktu senggang di rumah Maklang/Maklong, misalnya, nama Mohd Rafidi akan
muncul jika berputar kepada empat kata kunci: Budak
Baling, Budak Asrama, Pemain Bola Di Padang ‘Kita’ dan Budak Falah Yang Menjadi
Guru.
Demikianlah.
Takdir menentukan pada perjumpaan hari raya Aidilfitri 1433,
pada 23 Ogos itu, kami bertemu. Dewan SK Taman Bersatu rupanya menjadi saksi pertemuan semula dengan Cikgu Abd Aziz Hussin, Cikgu Siti Khadijah Osman dan Puan Hjh Roselah Hj Ahmad serta ramai pelajar era 80-an dan 90-an yang berbelas tahun terputus khabar. Itulah hikmah yang saya syukuri hingga kini.
Dalam keasyikan bergerak menyapa tetamu ke segenap pelosok dewan, tidak banyak yang saya dapat bualkan dengannya dalam pertemuan itu. Selain sesi
berpelukan tersebut, sempat juga bertanyakan tempat bertugasnya sekarang, serta
khabar ayahnya yang dulu sering datang menjenguknya di asrama. Saya bertanyakan
juga tentang rakan sekapalnya dari Baling – Masnun Che Daud, Mohd Nazri Aziz dan Annuar
Ismail selain saya memberitahunya tempat kerja Mohd Fazli Tahir, rakan asrama
sedaerah.
Ketika dia
menunjukkan ke arah isteri serta anak-anaknya tadi, saya tidak sempat pun
menyimpan ke dalam memori. Rasa kesal timbul tapi apalah daya. Dalam meraikan
ramai bekas pelajar itu, hal demikian tidak dapat dielakkan. Semoga saya
berpeluang berjumpa lagi dan berkenalan dengan mereka…..
Tatkala bertembung sekali lagi dalam kitaran majlis itu, dia
menyentuh tentang tulisan saya dalam blog ini, khasnya dalam entri King Cup: Sebuah 'Piala' Tak Tergapai.Dia ada tokokan versi sendiri kisah semasa di asrama. Dia mengimbas seraya meminta saya tuliskan.
Ketika masalah air paip/terawat begitu meruncing, pelajar
asrama terpaksa menggunakan air dari telaga yang digali di belakang rumah Tok
Ndak Mat/Pah, ayah dan emak Ustazah Rodziah. Air telaga itu amat keruh. Untuk
memasak, dia terpaksa mencedok lalu menakung air itu dan menunggu sehingga
bening sebelum dikaut lalu digunakan. Kekeruhan tidak dapat dihapuskan, cukuplah sekadar mengurangkan keladak....
Pernah sekali dia menggoreng sekerat ikan kering lalu disorokkan di bawah banir/batang pokok - saya rasa pokok pukul lima yang besar berhampiran dapur asrama itu. Puncanya: dia malu kepada kawan-kawan tentang menunya untuk hari berkenaan...... Saya seperti dapat membayangkan bagaimana dia menahan air mata dari berladung ketika menikmati juadah itu.....
Demikian antara kenangannya dalam laluan yang pernah ditempuhi semasa bergelar pelajar AlFalah...
Ketika berbual pada ketika lain di dewan, sambil mendukung seorang anaknya, dia seolah mendendami kesenangan anak-anaknya kini.
"Depa bukan percaya bahawa ayah depa pernah susah dulu...." katanya. Ungkapan itu terlalu melekat di hati hingga terbawa-bawa ke rumah semasa berkisah tentang perjalanan majlis kepada anak-anak dan umi mereka. Apa yang dialami oleh anak-anak Rafidi bukanlah satu hal terpencil sebenarnya!
Saya tidak pasti sama ada ketika berkata begitu atau sesi bergambar di atas pentas adalah kali terakhir saya melihat kelibatnya.
Semoga dia sekeluarga terus bahagia di bawah rahmat Ilahi. Semoga kami akan berjumpa lagi, dan tidak perlu menunggu hingga dua dekad lain!
Harapnya dia mampu pula mengumpulkan rakan-rakan lain untuk majlis hari raya pada masa depan.....
Malam itu, ketika bertukar kata dan cerita dengan pihak pengelola majlis, saya berkisah juga tentang Rafidi. Rasanya sepanjang hayat, ucapan terima kasih darinya di dewan pada petang itu adalah yang paling tulus pernah saya dengar......Melihat kedatangannya sekeluarga, apatah lagi dengan kehadiran Ahmad Sofi Ahmad sekeluarga - kedua-duanya bertolak dari Baling - serta kemunculan Mohd Ashadi Ibrahim dari Bukit Selambau, menguatkan keyakinan saya bahawa majlis seumpamanya pada masa hadapan akan terus berkembang.
Dan mengingat air jernih di penjuru matanya, saya sukar mencari kata-kata bagi memulakan catatan. Dada menjadi sebu. Sebak menyerbu. Pandangan kelabu. Hati libang-libu.
Kerana itu, catatan dedikasi untuknya ini hanya dapat dizahirkan setelah lebih seratus dua puluh jam pertemuan itu berlaku.....
No comments:
Post a Comment