Sabtu.
20 Disember 2014.
Hari ini ada dua kenduri kahwin yang cadangnya memang
ingin dihadiri. Satu di sekitar Tandop, rumah rakan samatua. Satu lagi, di
Lorong 8, Tok Pasai, Kuala Kedah. Lorong masuknya di kiri jalan berhampiran
dengan lorong masuk ke Pulau Gezambo [PG] di kanan jalan. Rumah keluarga En.
Mansor, yang membuat undangan lisan ketika bertemu di bawah khemah pada kenduri
di PG pada 29 November lalu.
Mengikut plan, kenduri di rumah En. Mansor itu akan
dihadiri pada pukul 2 petang, sama dengan waktu saya dan Wira kunjungi kenduri
di PG pada 29 November lalu. Waktu puncak.
Namun, itu hanyalah plan. Ketentuan Allah tidak
terjangkakan…
Pagi itu, saya bersarapan di Gerai Gulai Termenung Hj. Jamil, di
Batas Paip. Mulanya bersama Wira. Kemudiannya, secara berperingkat - dalam
waktu berbeza - disertai Zairi, Cikgu
Siti Khadijah, Saiful Adly, Nazri, Sazaziz dan Malek. Ada yang ikut bersarapan
nasi bergulai ikan termenung [ikut
bahasa yang Hj Jamil tulis pada papantanda kedainya – sedangkan maksudnya ikan
temenung atau ikan kembung…], ada yang hanya minum dan menikmati kuih [pulut
sekaya dan bengkang serta tepung talam] yang dijual di pintu utama kedai, dan
ada yang cuma mengambil minuman. {Ada ceritanya pada episod lain }.
Saya dan Wira mula berada di situ sejak pukul 8.30.
Mereka yang datang kemudian , terlebih dahulu pulang atau beredar dengan sebab
tersendiri. Sehingga jam 12.00 barulah kami beredar. Empat yang terakhir adalah
saya, Wira, Malek dan Nazri. Dua yang terakhir itu tidak mendapat undangan dari
keluarga En. Mansor. Maka kami berdualah – Wira dan saya – yang akan terus ke
rumah orang kuat Lorong 8 itu.
Tiga jam setengah kami berdua berada di kedai Hj Jamil.
Satu rekod baru dicipta untuk acara menyoghok!
Kami berdua telah menghabiskan empat ekor gulai
temenung dan sepiring sambal sotong untuk digandingkan bersama sepinggan nasi
semasa sarapan itu. Jangkanya, menjelang jam dua petang, dengan saya sempat
balik berehat dua tiga jam di rumah, kantung perut tentulah mempunyai ruang
yang cukup bersedia untuk menerima habuan di rumah En. Mansor.
Namun, dalam keasyikan berbual pelbagai tajuk dari
beberapa kepala itu, saya rasa tidak sempat lagi untuk mengikut perancangan
awal. Ketika jam 11.00, saya sudah menjangkakan plan asal tidak akan terjadi…
Maka itulah, tanpa perlu balik dahulu untuk datang
kemudiannya, yang di segi masa dan koyakan minyak motor, sememangnya tidak
berbaloi, kami memutuskan untuk pergi terus ke rumah kenduri. Berpisahlah kami
dengan Malek dan Nazri pada tengah hari itu…
Wira pulang dahulu ke rumahnya, barangkali untuk
memaklumkan kepada samatua, yang tidak melihat wajah si suami semenjak
menghantar bungkusan makanan untuknya beserta anak-anak pada awal pagi…
Saya pergi melalui jalan utama, untuk mengongsi
sebentar tandas di kiosk minyak Petron, tidak jauh dari Restoran Awie yang amat
sinonim dengan Malek dan rakan-rakan…
Kami bertemu semula di muka lorong ke rumah kenduri.
Telah ada beberapa tetamu mula pulang berdasarkan bimbitan buah tangan, tatkala
berseliasih dengan kami. Di muka jalan itu, saya terpandang wajah manis
pengantin – Liza – dan pasangannya – Din – terpampang pada banner yang
digantung bersama penunjuk arah ke rumah kenduri.
Kami memarkir motor masing-masing di depan sebuah
rumah, tidak jauh dari rumah kenduri. Suara dj sudah jelas kedengaran menjemput
kami dan tetamu lain. Sebagai lelaki berhemah, Wira memberi salam kepada tuan
rumah tempat kami singgah itu, untuk meminta izin menumpangkan motor berteduh.
Seorang gadis manis muncul, dan Wira lantas menyatakan hasratnya yang segera
direstui oleh si gadis yang sedikit tersipu…
Ketika melangkah, saya rasa kekok masih berjaket lalu
bertanyakan Wira kesesuaian berkeadaan begitu menuju ke khemah. Peneman itu
sekadar melontarkan kembali soalan: “tak panaih ka pakai lagu ‘tu?”
Saya menjawab secara diam – berpatah balik sambil
menanggalkan jaket lalu diperosok ke dalam bonet
motor…Mahu bersilat di meja makan
rumah kenduri mesti dalam keadaan bersiap siaga dan selesa!
Di depan rumah En. Mansor, dua orang lelaki sopan
sedang dengan tertibnya menyediakan meja untuk rombongan pengantin. Menjeling
ke kiri sedikit, di hujung bahagian depan rumah itu, dengan tabir di
belakangnya menghalang pandangan orang yang datang dari arah kami tadi, ada
pelamin ringkas berwarna krim. Di hujung kiri pelamin itu, berdekatan dinding
rumah ada meja comel yang di atasnya terletak cantik buku peringatan untuk ditulis oleh tetamu yang
sudi…
Khemah untuk tetamu perempuan terletak di sisi rumah
En. Mansor manakala untuk tetamu lelaki, khemahnya terletak bertentangan, di
pisahkan oleh jalan tar mini. Demikian makluman yang dj uarkan. Dj sendiri
berada di depan sebuah rumah jiran En. Mansor yang terletak betul-betul
menghadap ke arah yang kami lalui tadi. Sudut pandangannya cukup sesuai untuk melihat
keadaan di khemah kiri dan kanannya serta arah utama datang dan pulang tetamu.
Di depan dj, di depan rumah kenduri, memisahkan dua
kategori khemah untuk tetamu lelaki dan perempuan itu, didirikan satu khemah
besar. Di tengah-tengahnya ada dua buah meja. Satu meja kosong dengan satu
kerusi yang diduduki oleh isteri En. Mansor yang mungkin tidak betah berdiri.
Satu meja lagi dipenuhi beg kertas berisi buah tangan atau cenderahati untuk
tetamu yang mahu pulang.
En. Mansor berdiri di antara dua meja itu. Dia dan
isteri memakai baju sedondon berwarna biji kundang.
Saya mencuitnya yang kebetulan sedang menghadap ke arah
dj. Dengan gaya melatah dia menoleh dan hampir berlaga dengan saya. “Ya,
sahabat…”katanya ramah sambil menyambut huluran salam saya. Peneman salam dari
saya dipindahkan ke tangannya. Kemudian dia menyalami Wira pula, yang juga
memindahkan peneman salam. “Pi makan dulu…sat lagi mai ambik BR1M sorang
satu tang
ni…”sambungnya, menunjukkan meja yang dipenuhi beg kertas tadi. Hampir serentak
kami ketawa, sambil tangannya dimasukkan ke dalam poket baju Melayunya.
Saya memanggil Mazlan yang kebetulan berada sejarak
tiga meter dari situ – sedang melihat-lihat di antara dua khemah. Dia menyalami
saya dan separuh memeluk.
“Saja mai awai….”kata saya ketika dia melepaskan
genggaman.
“Awai baguih…boleh pilih ikan elok-elok…”balasnya pula
sambil menyambut tangan Wira.
Kemudian dia memegang bahu saya. “Cikgu mahu dak kepala
ikan?”bisiknya.
Saya orang Melayu. Seperti kelaziman bangsa saya,
tidaklah saya menjawab serta-merta walau di dalam hati luapan keinginan amat
tinggi. Saya tersenyum.
“Cikgu tunggu noo..”katanya memutuskan apabila saya
masih teragak-agak untuk menjawab. Sekejapan itu juga Mazlan menghilang.
Gamaknya ke bahagian tukang masak bertugas.
Saya dan Wira terus ke meja yang di atasnya diletakkan
lauk-pauk. Masing-masing menyenduk nasi lalu membuat pilihan lauk apa yang mahu
dijodohkan dengan nasi. Ada gulai ikan kelapa-kelapa. Kepala ikan kelapa-kelapa
inilah gamaknya yang Mazlan maksudkan tadi. Ikan kelapa-kelapa itu sengaja saya
reka namanya. Nama berdaftarnya ikan nyok-nyok.
Selain itu ada ayam – dengan sos tiga rasa. Ada daging yang dimasak hitam.
Kalau ada yang lain lagi, maaflah tidak dicatat, kerana saya tidak jeling pun.
Saya jodohkan nasi di pinggan dengan seketul kepak
ayam. Daging pula, supaya tidak terasa dipinggirkan, saya ambil kuahnya sahaja,
dalam sesudu besar. Saya mencedok seketul ikan nyok-nyok yang dipotong cantik –
tiga segi seperti kuih kacang yang selalu emak buat dahulu. Tetapi belumpun
sempat ketul itu menyentuh nasi, seorang petugas mahu menuangkan setengah timba
isi dan kuah ke dalam bekas gulai. Saya
meletakkan kembali ketul ikan di dalam senduk untuk menyertai kumpulannya di
dalam bekas. Selesai petugas itu menuang, dengan senduk masih di tangan, saya
terus mencedok ketulan ikan yang baru, yang masih berasap. Akan ketul ikan yang
disenduk mula tadi, entah di mana letaknya, ditenggelami kuah yang juga
bergumpal asapnya…Saya hanya mengikut kelaziman rakyat Malaysia. Semasa di
kedai akhbar, dalam timbunan akhbar yang baru sampai, kita tetap mengambil
akhbar yang terletak di lapisan bawah sedikit, walaupun tahu akhbar yang di
atas itu tetaplah naskhah akhbar yang sama nama dan edisinya.
Cadangnya, mahu dicedok seketul tambahan, tetapi
mengingatkan mahu pula bergelumang dengan kepala ikan yang bakal Mazlan bawa,
cadangan itu saya urungkan. Cukuplah dengan hanya seketul ikan.
Saya memilih meja di tengah khemah berkembar dua itu
untuk memarkir punggung. Wira sedang mengisi dua gelas sirap di penjuru khemah
depan. Merasakan tidak sesuai di situ, saya bangun pula lalu memilih berpindah
ke bahagian paling hujung khemah. Tempat tidak ramai tetamu duduk. Senanglah
jika mahu meratah kepala ikan bersama Wira… Tidak lama kemudian, Wira datang
bersama dua gelas sirap yang hampir tumpah kerana dalam dua tangan yang sama
ada pula pinggan nasinya…
Kami mula makan. Walaupun baru tiga jam setengah yang
lalu kami menyantap nasi bergulai ikan temenung dan bersambal sotong, prestasi
kami di meja kenduri itu tetaplah boleh dibanggakan. Sesekali saya menjeling ke
depan khemah, mencari-cari Mazlan…
Dj memainkan lagu yang disadur dari sebuah lagu Hindi, Aaja
Tujh Ko, dipetik dari filem Geet. Ramai pernah merakamkan lagu dalam versi
bahasa nusantara itu. Penyadur asalnya dari Negara seberang Selat Melaka. Di Indonesia sahaja tidak
kurang dari 4 orang yang pernah saya dengar – termasuk Muchsin dan Tiar Ramon.
Di Malaysia, pernah dirakamkankan oleh Dato M Daud Kilau. Lucu sedikit, Raja
Gelek kita itu menyebut Magdalela bagi yang di lirik asalnya disebut Magdalena.
Sesetengah penyanyi menggantikan Magdalena dengan Kekasihku. Sebenarnya pun
Magdalena bermakna kekasih. Magdalela? Itu kena tanya Dato kita itulah…
Mazlan tidak muncul. “kalau dia bawa mai kepala ikan time ni, tempat ni sesuai sangat
la…”kata saya kepada Wira. Saya merujuk kepada sudut agak terpencil dari orang
lain. Nasi yang di pinggan juga makin susut…Wira hanya tersengih.
Dj memainkan pula lagu Cek Mek Molek dari suara asal
Dato’ M Daud. Nampaknya dj tidak terikat sangat akan relevannya lagu dengan
majlis. Hentam sahaja mengikut selera.Seronok dan ceria sekali saya lihat dan
dengar suara dj. Mungkin orang tempatan. Dalam usia sekitar hujung limapuluhan
atau awal enampuluhan, dia mengenali kebanyakan tetamu yang baru datang atau
yang mahu pulang. Disebut nama mereka secara mesra dan santai. Ada seorang lagi
pembantu dj yang sesekali mencelah.
Sehingga saya membuat suapan terakhir, Mazlan tidak juga
muncul. Kepala ikan entah di mana. Selepas tangan dibasuh, saya mencapai
mangkuk polisterin yang terikat uncangnya di tiang khemah depan. Saya masukkan
dua ketul serawa labu. Asap berkelun ketika saya bawanya ke meja, tempat Wira
baru mahu menamatkan suapan. Kuah serawa manis tetapi isi labu – walaupun sudah
empuk - belum menghisap lagi kemanisan kuah. Belum mesra mereka di dalam bekas – tidak seperti serawa labu di rumah keluarga
Md Rautin di Kg Gajah Mati dua minggu terdahulu.
Wira bangun mencuci tangan dan tidak berpatah balik ke
situ. Saya habiskan dua ketul serawa labu itu secara solo. Setelah selamat
semuanya mendarat di usus, saya bangun dan ternampak Wira sedang berbual dengan
seseorang di luar khemah. Saya mengajaknya beredar. Teman pengiring itu akur
lalu menamatkan perbualannya.
Kami bersalam dengan En. Mansor yang terus menghulurkan
bungkusan BR1M setiap
satu kepada kami. Dua tiga kali dia mengucapkan terima kasih.
Mazlan sedang sibuk berhampiran khemah tetamu
perempuan. Saya mendapatkannya untuk bersalam dan pamit. Dia tersengih. Tangan
saya tidak dilepaskannya. “Minta maaf cikgu. Saya ni ibarat layang-layang terputus
talinya….” Katanya, “sana depa panggil, sini depa panggil…tak dan….”
Saya mengangguk. Faham. Ini kenduri besar, bukan
kenduri laksam untuk geng Falah di Pulau Gezambo, di mana Mar Isma dan ZulSham
boleh melayan pemintaan kami dengan mudahnya. Minta satu bekas abu rokok, dapat
dua bekas. Minta kopi, dapat kopi dan sirap sarsi. Minta tambah laksam,
ditambah sama kacang goreng… Ini kenduri besar. Kenduri kahwin. Susun atur
persiapan belum sempurna. Tetamu sedang mula berduyun datang. Mazlan pula anak
lelaki tertua tuan rumah. Saya faham. Kepala ikan bukan rezeki kami hari ini…
Mazlan mengheret saya ke depan rumah.
“Na!”panggilnya. Muncul Mazlina, adiknya. Mazlan mengisyaratkan
sesuatu sambil tangan mengunjuk ke arah saya. Mazlina mengangkat tangan
kanannya separas kening. Macam mengangkat tabik. Memfokus ke arah saya dan
sedetik kemudian tersenyum dan
mengangguk lalu berpusing masuk ke dalam rumah.
“Dekat macam ni pun dah tak nampak ka?”Tanya saya,
tergelak.
“Silau tu , cikgu…”balas Mazlan, tersenyum.
Muncul pula Masni, kakak kepada Maslina, melangkah
keluar dari pintu utama. Tersengih melihat saya. “Laa… cikgu…tunggu
sat….”katanya sambil mengisyaratkan tangannya. Dia juga kemudiannya berpusing
lalu masuk ke rumah.
“Cikgu tunggu sat no…”kata Mazlan, lalu beredar entah
ke mana. Benarlah dia dipanggil sana-sini. Layang-layang terputus tali…
Maslina keluar bersama dua beg kertas. Dihulurkan
kedua-duanya kepada saya sambil mengisyaratkan agar satu darinya diserahkan
kepada Wira yang berdiri agak jauh dari kami. Saya serba salah. Ada dua tiga
tetamu yang baru sampai tertinjau-tinjau muka saya. Agaknya tertanya siapa diri
ini yang menerima hingga dua beg kertas sekali gus… Dua lelaki sopan yang
sedang dengan tertibnya menyediakan meja untuk rombongan pengantin pun,
demikian pula.
“Cikgu, tunggu sat…”kata Masni yang berdiri di muka
pintu. Isyarat tangan disertakan juga “Kak nak jumpa…”
Riuh sedikit. Terdengar kemudian Masni memanggil
Maslina, memberitahu Mazlan sedang memanggilnya. Maslina bergerak ke arah
Mazlan yang kemudiannya membisikkan sesuatu.
Saya faham akan ayat “Kak nak jumpa…” tadi. Ada seorang
lagi anak En. Mansor yang saya belum nampak kelibatnya di situ.
Saya bergerak sedikit ke arah meja kecil dengan buku
peringatan di atasnya. Tidaklah menjadikan ruang depan rumah itu yang telah
diwartakan sebagai tempat rombongan pengantin menyantap - sesak dan kalut. Saya
membelek buku peringatan berkulit tebal. Menyelaknya sekali lalu. Belum
bertulis apa-apa. Di kulit luar ada nama penagntin – nama manja masing-masing:
Liza & Din. Saya ingin menulis sesuatu, malangnya tidak dijumpai sebatang
pun pena. Di dalam bekas yang terletak di atas meja yang sama hanya ada bilah
buluh yang di satu hujungnya dilekatkan kertas yang tertera beberapa patah kata
dan beberapa symbol seperti hati, kek dan cincin. Mungkin akan dicacakkan bilah
itu pada mana-mana tempat nantinya…
Muncul Mazura, anak sulung En Mansor. Dia
tergocoh-gocoh keluar. “Cikgu!” katanya sambil menghampiri saya. Sebelum dia
sampai terus saya berkata, “Takdak pen…macam mana nak tulis ‘ni…” sambil menunjuk kea rah meja
comel di sisi saya. Mazura menepuk dahinya sekali, tergocoh-gocoh berpatah
balik, masuk ke dalam rumah.
Wira berbual seketika dengan Masni. Rupanya mereka
saling kenal dahulunya. Masni muda dari Wira. Cuma hari ini, Wira tidak
perasan, setelah lama tidak berjumpa.
Mazura keluar memegang dua pena lalu menyerahkannya
kepada saya. Saya lantik Wira sebagai jurufoto. Beberapa kali dia mengelik
entah di sudut apa dan mana lensanya difokuskan. Mazlina muncul bersama empat
peket pulut kacau. Rupanya itu yang Mazlan bisikkan tadi. Beg kami
masing-masing mendapat tambahan isi – dua peket pulut kacau yang hitam
kekoko-kokoan itu. Sibuk sekali Mazlina.
“Mengaji di Falah juga ka?”Tanya Wira kepada Mazura.
Hairan gamaknya pengiring merangkap jurufoto melihat ketiga-tiga anak En.
Mansor itu ramah amat menyapa saya.
“Ha la..”balas Mazura, tergelak “…dan la dua tiga tahun
mengacau Cikgu Din..”
Kami menyuruh jurufoto mengabadikan detik saya bersama
tiga beradik tersebut. Dua kali dikeliknya dan saya menyerahkan kepada
kemahirannya tanpa melihat hasil foto berkenaan. Kemudian saya membuka buku
peringatan dan menjadi orang pertama menulisnya. Semua mereka menjadi saksi dan
jurufoto segera merakamnya. Dikeliknya tiga empat kali.
Cadangnya mahu dituliskan sebuah pantun tetapi ilham
tidak tiba dengan mudah. Suasana macam terdesak begitu, tidak memungkinkan saya
mencari pembayang apa lagi maksud pantun yang relevan. Mahu tuliskan puisi,
hanya dua puisi yang saya hafal:
Janggut
adalah sejemput rumput
yang tumbuh di bawah dagu.
dan
Selama hati
bernama hati:
Berhati-hatilah!
Mana ada relevannya untuk pengantin, walaupun yang
kedua itu – karya Hilmi Rindu, di dalam majalah Sarina – agak universal
sifatnya…Akan yang pertama itu saya baca di dalam majalah Dewan Sastera pada
tahun 70-an dahulu – saya lupa nama penyair dari Kelantan yang menulisnya-
tiada sangkut-paut dengan janggut milik jurufoto peribadi saya!
Selamat Pengantin Baru diikuti dengan
tandatangan, nama penuh, dan kalimat AlFalah, Kangkong serta tarikh di bahagian
bawah. Merasakan terlalu luas ruang kosong yang tinggal, saya tokok lagi satu
frasa klise di bawah ucapan selamat tadi: Semoga berkekalan hingga ke Jannah.
Selepas menulis itu saya berbual sebentar dengan Mazura
sebelum dia meminta diri. Saya tidak menyimpan semua yang dibualkan namun ingat
bahawa dia bertanya tentang Cikgu Non yang dalam dua kenduri terdahulu datang
bersama saya. Saya katakan mungkin guru matematik mereka itu akan datang pada
sebelah petang.
Tinggal Maslina dan Masni. Sempatlah bertanya bilangan
anak masing-masing. Masni punya empat cahayamata, manakala Maslina dikurniakan
tiga anak.
Dalam berbual itu, Masni mengetuk tingkap di belakang
kami. “Adik, buku ‘tu dah ada orang tulih…”katanya, “Cikgu kak yang mula…”
Ada suara dari dalam rumah. Sebentar kemudian tingkap
itu dibuka. Muncul wajah pengantin. Tersenyum manis. Tanpa disuruh jurufoto
saya terus menghalakan lensa ke situ. “Nak ambik gambaq sat..”katanya. Entah
apa balasan kata dari dalam, cuma saya mendengar ujaran si jurufoto, “Takpa,
kut ‘ni pun boleh aih…”
Ada lagi kata dilontar dari dalam yang tidak saya
dengar. Masni menyampaikannya kepada saya. “Adik nak keluar, ambik gambaq di
luar, dengan cikgu…”
Saya tepilanjat!
“Tak payahla…”kata saya. Kata mulut saya. Kata hati? Saya
kan orang Melayu…
“Takpa aih. Dia dah siap dah. Memang rombongan lelaki
pun dah nak sampai…”balas Masni.
Masliza, si pengantin keluar. Sesiapa juga yang boleh
melihatnya hatta dari dua khemah dan dari tempat dj pasti tertanya-tanya siapa
saya…
Liza, nama yang tertulis di banner dan di beg cenderahati,
terus berdiri di sisi saya, membelakangkan pelamin dan menyisi meja buku
peringatan. Wira sudah mahu mengelik sebelum ditahan oleh Masni. Dua gadis
kecil pengiring pengantin mahu bergambar sama. Setelah itu barulah Wira
mengelik. Saya bertanyakan Liza akan tempat asal suaminya. “Kg. Hampar,
Pendang…”katanya, lembut. Selepas beberapa soalan lagi, saya pun mengucap
selamat kepadanya yang kemudian bergerak masuk semula ke dalam rumah. Puluhan
pasang mata memandangnya. Sebanyak itulah juga gamaknya yang memandang saya…
Dua gadis kecil pengiring pengantin tadi menyalami saya, sebelum ikut berlalu.
“Cikgu mak ni…”kata Masni.
Sayang sekali, dalam sibuk, Mazlan tidak dapat
bergambar sama tadi.
Saya mengajak Wira berundur ketika dia masih mahu
berbual dengan Masni. “Lama tak tengok,
tak cam dah. Renung lama baru cam…”kata Wira.
“Dia cam tang tahi lalat ‘tu…”kata saya. Masni
tersenyum.
Kami pamit.
Ketika melangkah, kami terserempak dengan PakNjang Hj
Saad Hj Pendek, orang sekampung saya. Isterinya, yang saya panggil Njang Ta
[terlupa nama sebenarnya] menegur saya. Anak
mereka, Suharnie, adalah BF generasi pertama penjenamaan semula AlFalah pada
tahun 1983. Dia masuk sebagai pelajar Tingkatan Tiga [akademik]Belajar di situ
hingga peringkat SPM pada tahu1985.
Saya tahu Njang Ta memang berasal dari Kuala Kedah dan
setahu saya merupakan ibu saudara kepada Shukri Wahab dan adik-adiknya
Norhayati dan Mohd Radzi, BF yang berasal dari
Lorong 6 atau 7. Dengan keluarga En. Mansor?
“Depa ni cucu penakan Njang la…”kata Njang Ta kepada
saya. “Tok depa dua beradik dengan Njang.”sambungnya.
“Kira bukan orang
la ni..”balas saya melawak.
“Ha…bukan orang la…”Njang Ta tergelak bersama PakNjang
Hj Saad, sebelum berlalu. Masni yang masih di sisi saya ikut tergelak.
Saya meminta Wira memperlahankan langkah. Biarkan Toksu
kepada Masni dan adik-beradiknya itu bergerak dahulu hingga hilang dari
pandangan.
Setelah itu, barulah kami bertolak pulang.
Masing-masing menjinjing beg cenderahati yang padat dan berat.
“Untung mai dengan orang yang orang kenai ‘ni…”bisik
Wira semasa beriring pulang itu. Saya tersengih sebelum bercerita tentang YB
yang datang ke kenduri emak saudara pada Sabtu sebelum itu. Bermacam-macam yang
diberi kepadanya yang semuanya saya lihat dimasukkan kemudiannya ke kereta
pengiringnya…
Wira tertawa.
Empat anak teratas En. Mansor pernah
belajar di AlFalah.
Mazura masuk pada tahun 1986 di
Tingkatan Tiga [Akademik]. Saya masih ingat kelasnya yang terletak di tengah
bangunan melintang berhadapan dua pokok palma. {Tidak lama kemudian kelas itu
dijadikan pejabat dan bilik pengetua sekolah} Tidak ramai pelajar di kelasnya
pada tahun itu. Yang saya ingat – dan sangat rapat dengan Mazura – adalah
Salmah Saad, yang rumahnya menunggal di Jalan Yan – Batas Paip, tidak jauh dari
pondok menunggu bas di tepi jalan utama itu. Rumahnya boleh dilihat dari pintu
kelas mereka…
Mazlan masuk ke Kelas Peralihan
pada tahun 1988. Di antara rakan sekelasnya pada tahun itu yang masih saya
ingat adalah Rohana Jalil, Rosdi Mansor, Burhanudin Talib [Allahyarham], Helwi
Syahril Ariffin, Rosmawati Mohd Jamil [Allahyarhamah], Abu Bakar Zainol, Husin
Lateh, Zulkifli Shamsudin, Asmah Zain dan Shabani Mohd Salleh. Mazlan
meninggalkan AlFalah setelah mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1993.
Masni pula hadir di bumi AlFalah
sebagai pelajar Kelas Peralihan pada
tahun 1991. Di antara rakan sekelasnya ketika itu adalah Anuar Shafie, Saadiah
Yusof, Aznan Abd Jalil, Zaleha Zakaria,
Zarina Zain, Zairul Anuar Ismail, Azman Lateh, Najib Hashim dan Fazlan
Abd Rashid.
Ketika kehadiran Masni yang bertahi lalat di pipi kanan itulah, saya gelarkan adik-beradik
mereka sebagai Quinary M. Nama itu
adalah nama sebuah kumpulan muzik adik beradik yang dianggotai oleh Mazlan, Mahyon, Mahani, Maznah dan Mazuin, yang pernah mengeluarkan
dua tiga album.
Masni yang mulanya seperti tidak
menggemari panggilan itu [saya sebutkan
nama itu pada hari pendaftaran – itulah tahun tunggal tulisan saya
digunakan untuk menulis di buku besar pendaftaran pelajar],akhirnya dapat
menerima. Saya katakan Quinary M mereka lebih tulen sebab berbapakan Mansor, manakala Mazuin dan adik
beradiknya berayahkan Hamzah…
[Quinary dikatakan bermaksud perlimaan dalam bahasa muzik..tapi saya apa peduli!}
Mazlina masuk ke AlFalah pada tahun 1993, sama tahun dengan kehadiran Siti Khadijah Othman sebagai guru AlFalah. Di antara rakan sekelasnya termasuklah Azren Lateh, Aswad Abdul Rahim, Khomariah Lazim, Rose Midya Yahya, Mohd Subki Hj Ali, Kholijah Othman, dan Siti Aishah Chik.
Mazlina masuk ke AlFalah pada tahun 1993, sama tahun dengan kehadiran Siti Khadijah Othman sebagai guru AlFalah. Di antara rakan sekelasnya termasuklah Azren Lateh, Aswad Abdul Rahim, Khomariah Lazim, Rose Midya Yahya, Mohd Subki Hj Ali, Kholijah Othman, dan Siti Aishah Chik.
Saya dan Cikgu Non sering mengunjungi Allahyarham Paklong
Senapi, konduktor bas sekolah ke AlFalah ketika itu, di mana pemandunya adalah
Pak Jan dan kemudiannya Pak Mi [mertua Husin Lateh kini]. Rumah Paklong Senapi
[bapa saudara En Mansor] terletak di belakang rumah En Mansor, berselang satu
atau dua buah rumah lain. Kalau tidak ada di rumahnya, Paklong Senapi biasanya
boleh ditemui di rumah En. Mansor. Maka keraplah pula kami mengunjungi sama
rumah En. Mansor. Sebab itulah, gamaknya, kami menjadi mesra apabila bertemu…
Rumah Paklong Senapi kini didiami oleh Maslina [kalau tidak silap saya]
berdasarkan wasiat Allahyarham..
Trivia:
Surau AlFalah, asalnya bertangga kayu,
dengan dua jalan anak tangga – untuk lelaki dan perempuan – terletak di sebelah
utara, menghadap rimbunan pokok pisang dan telaga buruk. Di situlah tempat
pelajar tertentu biasanya makan dan berbual pada waktu rehat …dan waktu
ketiadaan guru di dalam kelas yang terletak di bawah surau.
Setelah beberapa tahun, tangga itu
diruntuhkan. Dibina pula tangga baru – tangga konkrit – kali ini menghadap ke
selatan, bertentangan dengan rumah Maklong/Maklang dan berdekatan hujung jalan
mini menuju ke asrama dan kediaman Ustaz Man.
Runtuhan tangga kayu dan binaan tangga
konkrit dilakukan oleh En. Mansor dan rakan-rakannya dari Kuala Kedah…
4 comments:
bila bole ratah ikan temenung....
Balikla bila-bila pun PN...Allah ciptakan temenung di Selat Melaka dengan banyaknya....
Kita rai pawang
mazlina mansor sekelas dr sekolah rendah lg....smpi abis al falah..
Post a Comment