25 December 2014

Kristal Di Mata



Samatua dan anak-anak akan ke Pahang, Melaka dan KeyEl selama seminggu. Melawat saudara-mara serta menghadiri satu kenduri di negeri Tok Gajah manakala dua tempat lagi demi menyahut seruan Cuti-Cuti Malaysia

Seminggu itu akan hanya berakhir dengan persinggahan pada satu kenduri lagi di Pulau Mutiara.

Seminggu.

Tujuh hari.

Panjang pendek masa itu bergantung kepada individu. Bagi sebahagian insan, seminggu dirasakan cukup singkat. Gini-gini saja, kata Ed Osmera melalui wataknya sebagai Pengurus Purnama Recording Company ketika menyatakan sekejapnya masa lima tahun bagi Osman Bakar menandatangani kontrak dengan syarikatnya. Apalah sangat dengan hanya tujuh hari…

Bagi seorang perindu, tujuh hari bersamaan dengan tujuh tahun. Maklumlah, sehari dirasa setahun, seperti di dalam lirik lagu nyanyian anak saudara Leng Hussain [pemegang watak Apek tukang jayyit kasut – bukan jayyit olang - dalam filem Ali Baba Bujang Lapok] – Rose Iskandar…

Bagaimana dengan saya? Ghosiala…meminjam kata yang sering digunakan di dalam WhatsApp oleh Husin Lateh, BF yang kini menjadi ustaz dan tukang rumah. Maksudnya, rahsialah

Tapi hidup mesti diteruskan. Tujuh hari itu perlu diisi.

Tengahari, tatkala gerombolan samatua dan anak-anak disertai tiga lagi keluarga ipar-duai bertolak, saya isi dengan menghadiri satu kenduri di Taman Desa Kamela. Mengenangkan anak isteri yang baru saja berangkat, dalam hiba yang belum reda, dengan airmata dan mukus hidung yang baru diseka, saya makan secara ala kadar: sepinggan nasi ayam, sebiji roti arab berkuah sardin, semangkuk comel bubur jagung serta dua tiga biji kuih di meja dj, kenalan saya. Dua gelas air limau kasturi menjadi pengiring.

Petang sekitar jam tiga, ketika sedan masih ada sedikit di dada, saya ke Alor Pulai, untuk satu lagi kenduri. Kali ini di rumah seorang BF, Rohani Hamid. Undangannya diterima melalui seorang lagi BF, Saiful Adly Hassan, anak saudara suaminya melalui WhatsApp/telefon seminggu dua sebelumnya dan melalui kad tiga empat hari sebelumnya…

Rohani Hamid.

Dia muncul di AlFalah pada tahun 1985. Pada tahun tersebut kemasukan pelajar Peralihan lebih kurang 20 orang. Di antara rakan sekelasnya adalah Siti Hawa Shamsudin [dari Kg Lahar Buaya], Mustaffa Ismail [Kola Kedah], Mashitoh Md Ariff dan Nurezzini Md Nayan [Telok Bulang] serta Allahyarham Mohd Zamri Mohd Sehak [Kg Perigi, Yan].

Anak sulungnya yang menjadi pengantin pada hari Khamis 18 Disember itu merupakan bekas pelajar SMA Sungai Limau. Tamat belajar di situ pada tahun 2010. Ertinya, dia turut belajar dengan dua bekas guru emaknya di AlFalah yang bertukar ke Sungai Limau – Cikgu Non dan Ustaz Zahari…

Maka undangan kepada Cikgu Non [serta Cikgu Rahim Daud] dititipkan kepada saya, manakala kepada Ustaz Zahari disampaikan terus oleh anak saudaranya tadi..

Saya sampaikan undangan tersebut pada satu pagi Jumaat minggu sebelumnya, ketika kami – Cikgu Non, Cikgu Rahim dan saya - bertemu dan bersarapan di gerai roti canai di Simpang Empat. Undangan dengan kesahihan tarikh disampaikan sekali lagi setelah Saiful memberikan kad pada satu pagi lain di sebuah gerai roti canai lain pula…

Sejujurnya, saya tidak tahu lokasi rumah Rohani, walaupun saya memang asalnya anak kariah Masjid Alor Pulai. Saya tidak pernah bertanyanya baik semasa di AlFalah dahulu mahupun ketika berjumpanya ketika sama-sama menghantar dan mengambil anak sulung masing-masing di SK Kangkong. Saya kenal ayahnya, tapi sekadar menyapa di luar, tidak juga tahu di mana rumahnya.

Saya ke Alor Pulai melalui Kg Sungai Nonang, melintasi kawasan yang dilanda ribut pada bulan Oktober lalu. Saya lihat rumah bapa saudara Otai AlFalah, Pawang Nujum – antara mangsa bencana itu – telah siap dipasang bumbung baru. Masuk ke Kg Alor Pulai, saya lintasi rumah Ustaz Ghausillah yang baru menerima menantu pada 1 Disember lalu. 

Melepasi Masjid Alor Pulai, barulah saya nampak deretan kereta dan orang di tepi jalan. Ada kenduri tentunya. Saya melihat, secara sepintas lalu,satu banner yang digantung pada jalan masuk ke rumah kenduri. Ada wajah pengantin dan di penjuru kanan atasnya ada nama Rohani. Sahlah bukan kenduri rumah Rohani Hamid, fikir saya. Masakan anak dara Rohani bernama Rohani juga…

Saya teruskan bermotor hingga keluar dari sempadan Kg Alor Pulai, berhadapan sebuah pusat tahfiz yang beralamat Kg Kuala Kangkong. Tiada rumah kenduri lain. Saya berpatah balik dan berhenti sebentar. Saya keluarkan kad jemputan dari poket. Mengikut plannya, rumah kenduri terletak di antara Masjid Alor Pulai dengan pusat tahfiz itu. Libang-libu juga hati. Masakan rumah tadi…

Saya hubungi Saiful. Kali pertama telefonnya tidak diangkat. Kali kedua barulah dia menjawab. Dia sedang di khemah kenduri, mahu memulakan suapan. Saya tanyakan lokasi rumah bapa saudaranya. Dia mengesahkan rumah kenduri tadilah rumah Rohani. Tapi ….

“Memang dia bubuh nama tuan rumah sama di situ…”begitu lebih kurang ujar Saiful. “Cikgu masuk ke dalam…ikut lorong tu..”

Ooo. Silap sayalah kerana tidak memerhatikan dengan teliti banner yang tergantung tadi. Tidak pula teringin bertanya sesiapa yang berderet datang atau pulang…

Saya pun mengoyak minyak. Terus ke lorong  yang dikatakan, memarkir motor sehampir mungkin dengan laman didirikan khemah…

Di depan sebuah rumah, ada sekumpulan perempuan saling bersalaman dan berlaga-laga pipi. Tidak pula saya nampak kelibat Rohani. Di depan rumah itu adalah khemah untuk tetamu lelaki. Nampak Saiful sedang mengangkat tangannya. Dalam melangkah itu barulah saya perasan rumah Rohani terletak di belakang lintangan khemah tersebut, manakala khemah untuk tetamu perempuan didirikan di sebelah rumahnya. Dari jauh saya nampak Rohani tersenyum manis menyalami tetamu sejenisnya.

Saya tidak kenal suaminya. Nantilah saya tanyakan pada Saiful. Maka saya putuskan untuk terlebih dahulu mencedok nasi dan lauk di meja khas ditempatkan makanan.

Sebaik mencapai pinggan, saya perasan seseorang yang saya kenali sejak tahun Rohani berada di Kelas Peralihan AlFalah sedang menghadap bekas berisi daging rebus. Dia kelihatan membalik-balikkan daging sebelum menyenduknya beberapa hirisan.

“Cukup ka banyak ‘tu….?” Kata saya sambil menyigung sedikit lengannya.

“Hehe…Cikgu Din…Baru sampai jugak ka..?”tanyanya, tersenyum.

Saya mengangguk, mencapai senduk yang dihulurkannya. Dia mencedok pula sedikit air asam pencecah.

“Cukup ka banyak ‘tu….?” Tanya saya sekali lagi. Dia tersenyum terus.

“Cukupla…padanla cara perut tua-tua ‘ni…”balasnya perlahan sambil berlalu.

Saya rasa terpukul. Lauk dan nasi yang dibawanya tadi hanya separuh dari kuantiti yang ada di pinggan saya…

Saya ingin duduk di meja Saiful di bahagian tepi khemah. Tetapi insan yang mengambil hanya sedikit nasi dan lauk tadi sudah pun meletakkan pinggannya di meja tengah sebelum bergerak sedikit untuk membasuh tangan. Maka saya pun memarkir punggung dan pinggan semeja dengannya.

Ustaz Zahari Ahmad.

Dia merupakan salah seorang pelajar di Madrasah AlFalah pada hujung tahun 60-an. Semasa AlFalah masih seperti kebanyakan sekolah agama rakyat lain yang lebih menekankan pelajaran agama dan Bahasa Arab. Dia berada di situ pada zaman kemuncak AlFalah.

Sempat menyambung pelajaran di Kelantan, anak kelahiran Kg Pisang itu mendapat tugas sebagai guru naungan Majlis Agama Islam Kedah pada hujung tahun 70-an dan beberapa tahun ditempatkan di Langkawi – mengajar di satu-satunya sekolah agama rakyat di pulau legenda itu. Di sekolah tersebut, ada seorang lagi guru yang juga merupakan BF sezamannya – Allahyarham Ustaz Sokhawi Mohamad. Dia bertukar ke AlFalah pada tahun 1985, selepas kematian Ustaz Hj Azizan Hj Mustaffa, pengasas dan mudir AlFalah, yang juga bekas gurunya, pada awal tahun berkenaan. Ustaz Sokhawi, adik ipar seorang lagi pengasas bersama AlFalah, Almarhum UstazHj Mohd Fauzi Hj Mustaffa, ditakdirkan juga dapat bertukar ke AlFalah tidak lama kemudian…

Di AlFalah selama lebih 15 tahun, Ustaz Zahari menjadi Penolong Kanan, selain mengajar seperti biasa. Bermula tahun 1985 jugalah saya mengenalinya. Kini, dalam usia awal 60-an, dia mengajar secara kontrak di SMA Sungai Limau.

Walaupun jarak di antara kediaman saya dengan rumah Ustaz Zahari hanyalah tiga batu, dan masih di dalam DUN dan Parlimen yang sama, kami telah lama tidak bertemu. Kali terakhir mungkin pada suku pertama tahun ini, pada majlis kenduri anak saudara Ustaz Fairose di bumi AlFalah. Itupun hanya sempat berbual dalam beberapa ratus patah kata sahaja.

Takdir menemukan kami hari itu.

Maka, di meja kenduri rumah Rohani inilah dapat kami berbual lama, sambil mengunyah nasi bercecahkan daging rebus…Ada beberapa menu lain, sebenarnya, tetapi hanya itu pilihan kami.

Ustaz Zahari menyentuh tentang tanah wakaf AlFalah, tentang kemelut yang tidak terungkaikan mengenai kedudukan tanah tersebut, tentang tiada undangan ke kenduri di rumah Ustaz Ghausillah, tentang baki kontraknya mengajar, tentang anaknya yang tinggal seorang yang belum lepas, dan tentang tugasannya sebagai imam Masjid Kota Sarang Semut.

Saya pula menyentuh tentang AlFalah yang masih terjajah, tentang Ustaz Mohamad Abdullah yang bertukar sekolah, tentang beberapa pelajar Falah yang saya dan Ustaz Zahari kenal. Ketika memandang Saiful yang baru menyelesaikan suapan, Ustaz Zahari bertanyakan samada Budak Taman Bersatu itu tahu kemelut yang melanda AlFalah suatu ketika dahulu. Saya nyatakan bahawa generasi sezaman Saiful tidak sempat tahu tentang itu dan entah apa yang lucu muncul di mindanya, Ustaz Zahari tertawa seorang. Saya tidak bertanya, sebaliknya hanya tahu tawa itu ada, diakhiri dengan ustaz menggeleng kepala, sebelum kembali menyuap dan mengunyah…

Saiful datang dan bertanyakan minuman yang kami mahukan – sirap atau sederetan minuman lain. Kami memesan air yang manis masin. Saiful pergi dan datang semula dengan dua gelas minuman.

“Enta kenai yang ‘tu?” Tanya Ustaz Zahari kepada saya sebaik ternampak Nurrezini Md Nayan yang baru sampai  bersama suami dan anaknya.

“Awat tak kenai…”balas saya. Cuma saya memang itulah kali pertama melihat wajah suami Nurrezini – Chef Zubir, mengikut namanya di dalam akaun Facebook.

“Nama apa…?”Ustaz Zahari separuh bertanya pada dirinya. Seperti tercari-cari nama Nurrezini. Saya membantunya dan ustaz itu mengangguk-angguk. Mula teringat, gamaknya…

“Depa sekelas masa di Falah dulu…”kata saya. Ustaz mengangguk lagi.

Entah siapa lagi rakan sekelas yang Rohani jemput. Tentu seronok jika detik mendapat menantu ini dikongsi bersama rakan-rakan sekelas dahulu…

Kami terus berbual dengan disertai sama Saiful. Ada dua lagi tetamu yang duduk semeja dengan kami. Kedua-duanya diam, menyuap nasi, sekadar mendengar perbualan kami tanpa tahu hujung pangkal. Sesekali Ustaz Zahari terjeling-jeling dua bekas pelajar dari Sungai Limau yang makan di meja yang ditinggalkan Saiful tadi. Seorang darinya berjambang yang dijaga rapi. Mungkin sekelas dengan anak Rohani dahulu, fikir saya.

Ustaz Zahari [kanan]
Saya mengisyaratkan Saiful agar mengelik foto kami berdua. “Bukan senang nak dapat gambar Ustaz ‘ni….”kata saya yang membuatkan Ustaz Zahari tersenyum namun dalam keadaan bersedia untuk bergambar. BF generasi hujung dekad 90-an di depan kami segera mengeluarkan gajetnya. Mengubahsuai fungsi gajet lalu mengelik tiga kali. Kali pertama mungkin tidak menjadi. Kali kedua tangan Ustaz Zahari bergerak sedikit sehingga menutupi bahagian muka. Kali ketiga barulah menjadi, walaupun pencahayaan yang tidak begitu memuaskan di bawah khemah itu.

Setelah agak lama berbual, kami mahu mengundur diri. Saya dan Ustaz Zahari bangun untuk berjumpa dengan tuan rumah. Ketika bangun itu Ustaz Zahari ditegur dan kemudiannya berpelukan dengan dua bekas pelajar dari Sungai Limau tadi, termasuk yang berjambang terjaga rapi. “Pakat besaq belaka ‘dah…”kata sang ustaz. Dua bekas muridnya tersengih. Entah apa yang dibualkan mereka dalam setengah minit itu, tidak saya dengar. Saya memerhatikan dengan mata yang berkristal. Pertemuan antara guru dan bekas murid begitu adalah momen yang sering menyentuh hati saya…

Rohani tersenyum dan sedikit tunduk dan mengangguk menyambut sapaan saya. Kami bersalaman dengan suaminya, Mohd Faridul Atrosh Zain. Wajahnya tidak asing kepada saya, sering ditemui di majlis kenduri sekitar kariah. Cuma hari itulah baru saya tahu dia adalah samatua Rohani dan bapa saudara kepada Saiful. Namanya mengingatkan saya kepada penyanyi dari bumi Mesir Farid Al Atrash. Mungkin bapanya, datuk Saiful,  merupakan peminat penyanyi lagu irama padang pasir itu, fikir saya.

Pada masa yang sama, kami terserempak dengan keluarga Nurrezini yang juga mahu beredar. Kami bersalaman dengan Chef Zubir yang diperkenalkan oleh isterinya. Mereka kemudiannya menemui pasangan tuan rumah yang sedondon berbusana warna biru.

Pengantin perempuan, disertai suaminya, keluar untuk ditemukan dengan Ustaz Zahari. Episod ini tidak berkaitan dengan saya, maka saya membawa diri jauh sedikit ke tepi khemah semula. Ustaz Zahari mungkin memberikan ucap selamat dan tahniah kepada pasangan berkenaan. Saya memerhati dengan mata yang kembali berkristal…

Azura & Saiful
Selepas adegan pertemuan tersebut, saya dan Ustaz Zahari diperkenalkan pula dengan biras Rohani, En. Hassan Mat. Dia yang kelihatan sibuk memantau bekas berisi lauk-pauk sejak kami mula sampai tadi, bersalaman dengan kami. Tersenyum sambil diperhatikan oleh anaknya, Saiful. Selain kami berdua sebagai bekas guru AlFalah, Ustaz Zahari turut diperkenalkan oleh Saiful sebagai imam Masjid Kota. Menantu En. Hassan, seorang lagi BF – Azura Ayob – memerhatikan kami dari jauh, setelah awal sedikit ikut berdiri di sisi Rohani melihat kami menerima buah tangan dari  En. Faridul…

Semasa beriringan melalui lorong keluar, kami sempat berbual dengan Nurrezini. Ustaz Zahari bertanyakan tentang Yasmin, kakak Nurrezini. Saya pula bertanya bila gamaknya Nurrezini akan mendapat menantu?

“Lambat lagi…”kata Nurrezini, pembekal sebahagian makanan pada dua perjumpaan raya Alumni AlFalah di Dewan Taman Bersatu. “Baru 19 tahun…”

“Tak lambat dah tu…” ujar saya pula.

“Lelaki cikgu oi…lambat lagi…”balas Nurrezini. Saiful ada tanyakan siapa Nurrezini ketika datang tadi dan saya jelaskan bab pembekal makanan itu serta nama akaun fb suaminya.

“Ooo…sama dengan saya la…empat lima tahun lagi la…”balas saya pula. Nurrezini tersenyum, mengiakan sambil mengangguk.

Kami berpecah di simpang jalan.

Mengharungi jalan masing-masing.

Menjalani kehidupan masing-masing.

Saya pulang ke Simpang Empat melalui Kuala Kangkong. Di rumah, dalam sunyi ditinggalkan sendirian, saya letakkan badan di ruang depan dalam posisi menelentang. Posisi yang bagus untuk merehatkan perut dan minda. Kepala saya lapikkan dengan jaket hitam yang digumpal.  Mata dihalakan pada kipas siling yang berpusing pada kelajuan sederhana.

Malam nanti ada perancangan mahu bertemu pula dengan seorang dua BF di Batas Paip.

Kami perlu bersedia untuk menyambut kepulangan Mohd Zairi Mohd Arif dari ElKey. Aturcara mesti disusun kemas agar tidak berlaku sebarang pertindihan. Tidak juga hingga mencacatkan jadual tugas hakiki masing-masing.

Saya terlelap ketika mengingat empat kali sarapan bersama yang Zairi janjikan dua tiga hari sebelum itu…

Dan wajah samatua serta anak-anak datang di celah bilah kipas dalam mimpi pada lelap tersebut.

Berputar-putar…






No comments: