29 November 2014.
Sabtu.
Ada kenduri di rumah sahabat
baik di Taman Seri Kota. Tiga ribu lebih undangan khabarnya.
Ada kenduri juga di Pulau
Gezambo. Rumahnya berkongsi salah satu dinding dengan rumah pasangan Mariam
Ismail-Zulkifli Shamsuddin. Mar Isma – ZulSham.
Selalu terbaca nama tempat
dan pasangan itu di blog ini?
Di situlah beberapa kali
saya menikmati jamuan , terutamanya laksam, bersama beberapa budak Falah dan
bekas rakan setugas.
Selalu diceritakan. Selalu
diuar-uarkan. Selalu dijadikan bahan. Selalu...
Kalau SELALU, alangkah tidak
moleknya jika kenduri di situ saya abaikan. Memang bukan di rumah pasangan berkenaan,
tetapi semua warga PG bukan orang!
Semuanya bersaudara.... Tambahan pula, Shabani Baat
- salah seorang anak tuan kenduri - adalah budak Falah juga. Shabani dan Mar
sepupu.
Satu rumah sahabat. Satu
lagi rumah yang kepulauannya SELALU saya
kunjungi.
Tiada masalah setakat dua
kenduri, sejalan dan di kawasan parlimen yang sama pula.
Cuma masalah menjadualkan
masa. Tetapi, dalam apa-apa hal, seribu daya jika hendak...
Tidak perlulah saya
perincikan kerja buat saya untuk majlis di rumah sahabat berkenaan. Untuk
kesesuaian isi blog ini, biarlah hanya dicatat tentang kenduri di PG...
Saya pergi dengan admin grup
WhatsApp AlFalah merangkap salah
seorang admin grup fb Alumni AlFalah - Wira Osman.
Tepat jam dua, dalam saling
bertukar mesej, saya sampai di jalan masuk ke rumahnya. Dia sedia menunggu di
atas motor, bersama anak kedua dan ketiga.
Waktu puncak.
Kelihatanlah ramai tetamu
keluar masuk Pulau Gezambo ketika kami memarkir motor di tepi jalan masuk ke
PG. Di atas titi, kami terserempak dengan Zarini Omar, berjalan pulang mungkin bersama
ibunya. Tersipu malu BF itu sebaik berselisih dengan kami. Agaknya dia
kehilangan kata-kata, berbanding agak ramah tatkala saling bertukar kata semasa
baru muncul di laman fb Alumni AlFalah pada satu peringkat dahulu. Sejak dia
meninggalkan AlFalah, itulah kali pertama saya melihatnya semula. Meski
sekilas, dan tanpa suara, namun cukuplah sebagai penawar...
Di luar khemah, selain dj
yang mempersilakan tetamu secara umum, Shabani Baat - yang dipanggil Pakngah
oleh anak buah dan kaum kerabat - menerima huluran salam kami. Senyum pun
menguntum segar.
Kami ke meja makanan.
Sebagai bapa mithali, Wira mengutamakan anak-anaknya. Sebagai bapa tunggal
ketika itu, saya mengutamakan anak tekak sendiri...
Sejak bersarapan dengan nasi
baryani berlaukkan kurma kambing di dapur ketika membantu memasak pada awal
pagi untuk rumah sahabat, saya tidak makan apa-apa lagi. Sengaja, supaya dapat
betul-betul menikmati nasi dan lauk di PG. Wira tertawa apabila saya nyatakan
hal itu ketika berjalan sebaik turun dari motor tadi.
Ada kurma ikan. Ada kerabu
nangka. Ada ikan goreng. Ada lagi yang lain. Tapi kurma ikan dan kerabu nangka
itulah yang saya utamakan.
Kata Mar di dalam bualan di WhatsApp semasa mengundang kami, ikan
tongkol a.k.a mambu akan dimasak kurma. Ada rakan bertanya sedapkah kurma ikan?
Saya pula, segera teringatkan emak. Rasanya, kecuali tamban, semua ikan yang
biasa berkunjung ke rumah kami, pernah emak masak kurma. Temenung, pelata,
seludu... Dengan kuah yang pekat, banjir, membalut setiap butir nasi, ikan yang
hanya seketul cukup untuk membuatkan saya memakan lebih dari sepinggan. Kena
pula kalau isinya ikan tongkol. Bahagian hitam di tengah itulah yang cepat
memercikkan selera...
Di dalam dua tray,
diletakkan kurma ikan. Kebanyakan seperti hancur, dengan ketulan yang tidak
cukup sifat, tidak lengkap seketul. Tapi warna kuahnya saja sudah amat mengecurkan
liur, lalu
membangkitkan ingatan
terhadap kuah kurma dari air tangan emak...
Dalam mengais sekali dua,
saya merasa bertuah apabila terjumpa seketul yang sempurna. Sudah rezeki saya,
gamaknya. Tidaklah besar, mungkin
bersaiz kepala plug.
{Kepala plug? Ya, ketika menulis ini, saya
mencari apa bendanya yang boleh menunjukkan saiz ketul ikan itu. Seketika
mencari, saya nampak kepala plug. Itulah....}
Saya golekkan sedikit lagi
ketul itu supaya lebih terbalut kuahnya. Kemudian saya cedok kuah tambahan, cedok kerabu nangka dan sedikit ikan goreng.
Yang lain saya tidak peduli.
Saya mencari tempat memarkir
punggung. Terjumpa lima enam kerusi kosong di meja paling hampir dengan bangsal
parkir kereta di depan rumah Mar-Zul, yang hari itu bertukar menjadi ruang
makan rombongan pengantin.
Saya memilih kerusi paling
hujung, membelakangkan rombongan pengantin. Wira memilih tiga kerusi
bertentangan dengan saya untuknya tiga beranak. Di atas meja kami ada dua
pinggan kuih.
Semasa mahu duduk itu, saya
terserempak dengan Rohana Jalil @ Abd Halim, anak saudara Mar, yang
bersama adiknya, Aznan, juga adalah BF. Rohana kelihatan sibuk, mungkin
menguruskan bahagian rombongan pengantin, maka tidak pastilah dia perasan atau
tidak dengan kewujudan saya di dalam khemah di PG itu. Biarlah.
Emak saudaranya, Mar juga
sama sibuknya. Mengarah itu ini kepada anak buahnya. Dia tidak perasan akan
kehadiran saya pada mulanya, dengan bersuara lantang di belakang saya, atau
tepatnya seperti di atas kepala saya sahaja. Tersipu sedikitlah akhirnya hamba
Allah itu kemudiannya, apabila terperasan ada muka ini... .
Bertepatan dengan kami
hendak memulakan suapan, dj yang ramah berceloteh menghentikan omelan.
Dimainkannya sebuah lagu Hindi yang malar segar - An Evening In Paris. Saya menguit
kaki makhluk di depan saya, peminat tegar Shakh Rukh Khan. Dia yang mengaku
adik sedikit sahaja dengan SRK dalam bab mengalirkan aimata, tersenyum.
"Ni yang nak gedik kaki ni..."katanya perlahan sambil tersenyum.
Petang itu – sepanjang kami
di situ - tidak kurang enam lagu Hindi dimainkan, termasuk dalam versi karaoke.
Amat kenalah dengan selera rakan semeja saya – sambil menyuap pun telinganya
terpasang untuk menghayati irama Bollywood klasik itu. Karaoke lagu Melayu juga
boleh tahan bunyinya dialunkan dengan nada dan suara tersendiri, tidak langsung
terikat untuk meniru suara penyanyi asal. Itu memang saya puji. Ada satu dua
lagu Melayu. Paling saya ingati adalah persembahan artis dari Pahang. Puak laghak Mar itu tentulah seorang
yang cukup rapat, berbakat dan mesra serta bertuah. Pada kenduri terdahulu,
seperti yang pernah saya catatkan sebelum ini, orang Pahang juga menyertai kuiz
yang dj sediakan dan membawa pulang hamper...Kali ini ada suara pula
disumbangkannya. Sejarah bagi saya - dan saya nyatakan kepada Wira - mendengar lagu Gadis dan Bunga,
nyanyian asal Rahimah Rahim, dilagukan oleh
seorang lelaki!
Berlenggang dia berjalan
Si gadis tersayang manja
Jelingan yang manja
Menuju dia ke kota
Di tangannya penuh bunga
Di hati penuh cinta
Berbagai macam bunga di bawa
Untuk dijual di gerai mama
Matanya lirik-lirik selalu
Rupanya manis-manis ayu
Ramai orang membelinya
Bunga-bunga jualannya
Si ayu, gadis ayu
Datang seorang pemuda
Dapat melebur hatinya
Memetik oh cintanya
Kini berjalan dengan pasangan
Tak hirau lagi dengan jualan
Matanya lirik-lirik selalu
Rupanya manis-manis ayu...
Si gadis tersayang manja
Jelingan yang manja
Menuju dia ke kota
Di tangannya penuh bunga
Di hati penuh cinta
Berbagai macam bunga di bawa
Untuk dijual di gerai mama
Matanya lirik-lirik selalu
Rupanya manis-manis ayu
Ramai orang membelinya
Bunga-bunga jualannya
Si ayu, gadis ayu
Datang seorang pemuda
Dapat melebur hatinya
Memetik oh cintanya
Kini berjalan dengan pasangan
Tak hirau lagi dengan jualan
Matanya lirik-lirik selalu
Rupanya manis-manis ayu...
"Satgi kita nyanyi karaoke
pulak, Wira!" kata saya. Insan di depan saya mengangguk sambil tertawa.
"Kalau ada lagu Negaraku
la..."makin kuat tawa Wira selepas saya katakan begitu.
Semasa makan barulah saya
perasan bahawa ketulan ikan kurma tadi bukanlah ikan tongkol. Tidak terdapat
pun isi hitam di tengah. Putih sahaja isinya. Kemudian barulah saya tahu bahawa
itu ketul ikan cencaru...
Maka macam kempunanlah untuk
memakan kurma ikan tongkol. Tetapi dek laparnya perut, cencaru-pun cencarulah.
Saya gaul sepuasnya nasi sehingga semua disaluti kuah kurma, saya kuis masuk
kerabu nangka sedikit dan secubit isi ikan kurma dan ikan goreng menjadi
sejemput padu lalu menyuap. Not bad! kata orang Scotland...
Suapan demi suapan. Muncul
Mar berbual seketika dengan kami. Dialah yang memberitahu bahawa ikan cencaru
yang berada di dalam pinggan saya itu. Rasa lapar yang melampau agaknya
memudarkan perhatian pada ketulan lauk tadi. Memang ikan cencaru dan tongkol
selamanya dihiris/dipotong dengan ketebalan berbeza...
Dalam berbual, sempat Wira
mencapai sejemput kerabu di dalam pinggan saya, tanpa meminta izin. Mar
kedengaran berisy-isy di belakang saya. Kata Wira, semasa di meja lauk
tadi disangkanya bukan kerabu nangka, mungkin kerana silau mata atau melampau
juga rasa laparnya setelah menyenduk lauk untuk dua anaknya... Sedap, katanya
lagi seraya meminta Mar mengambil sedikit kerabu dari meja makanan. Kami
bertukar sengihan tatkala Mar melangkah laju ke meja lauk. Seronok rupanya jika
ada kabel dalam apa-apa hal di dunia
ini!
Mar kemudiannya datang
bersama sepinggan kerabu bergaul sotong berhiris itu. Macam perli...bisik Wira.
Dan sepinggan kerabu itu hampir habis kemudiannya kami kerjakan, termasuklah
diratah begitu sahaja. Maklumlah, kombinasi bahan dan rasanya amat
menyelerakan: selak sotong baru nampak nangkanya dan pada waktu lain, selak
nangka baru nampak sotongnya...
Sebagai balasan kepada
perbuatan Wira tadi, tidak lama kemudian, dengan izinnya, saya mengambil
seketul ikan tongkol yang tidak lengkap dari pinggannya. Supaya tidaklah
kempunan nanti...Sedap amat rasanya menikmati kutilan isi ikan tongkol yang
agak gebu diresapi kuah, berbanding isi ikan cencaru yang seperti kedap enggan
bermesra dengan kuah. Ah, cencaru...selamanya engkau istimewa sebagai ikan yang
dibakar samada digaul dengan garam berkunyit atau dibelah belakang, dimasukkan
inti kelapa....
Demikianlah.
Di depan khemah, saya
terpandang Mazlan
Mansor sekeluarga sedang tertinjau-tinjau mencari tempat duduk.
Ditinggalkan isteri dan anak-anaknya sebaik nampak saya dan Wira. Keadaan
tangan kami yang berpalut kuah, mebuatkan tiada huluran salam dari ustaz itu.
Dia menepuk belakang saya dua tiga kali dan berbual beberapa ketika sebelum
kembali ke meja makanan. Tidak lama kemudian dia datang semula dengan nasi dan
lauk yang kuantitinya tidak sampai setengah dari yang saya ambil tadi. Patutlah
badan dan perutnya dicemburui oleh badan dan perut saya...
Maka bertigalah kini kami
berbual. Kata Wira, semasa kami berada di hujung jalan dari rumahnya tadi, dia
telah ternampak Mazlan di dalam kereta, sedang membuat pusingan U dan tentulah
kemudiannya mencari-cari ruang parkir di tepi jalan utama.
Banyak subtopik dalam
perbualan kami. Itu ini situ sini. Saling mencelah. Saling mengangguk.
Yang paling saya ingat, detik
Mazlan menguit saya menunjukkan ke pintu rumah kenduri.
“Mai kita teka....”katanya,
“yang tu anak Rohana ka adik Rohana...”
Dia tentulah merujuk
kepadaseorang gadis berbaju hijau muda – warna tema keluarga tuan kenduri –
yang sedang berurusan di muka pintu. Saya tertawa kecil. Tajam juga mata ustaz
ini dan tajam pula fikirannya mengajak saya bermain teka-tekaan itu.
Mazlan [kanan] |
Melihat rupa macam Rohana
Jalil, anak saudara Mar, saya pun meneka tentulah anak BF sezaman Mazlan
tersebut. Saya pernah berjumpa Rohana di depan Restoran Dinalang – Ais Kacang
Salji – Simpang Empat tidak lama dahulu yang dalam perjalanan pulang mengambil
anaknya dari asrama sebuah sekolah di daerah Yan. Saya yakin itu adalah anak
Rohana. Saiz badan anak... Anak saya
yang tiga orang pun bila-bila masa boleh memakai baju menantu emak – hampir
sebaya di segi saiz badan walaupun yang ketiga belumpun mengambil UPSR...
Mazlan pula tidak pasti mahu
meneka itu anak atau adik Rohana. “Frame muka, frame Rohana...” katanya separuh berbisik, dan saya yakin Wira di
depan kami tidak mendengarnya “...tapi nampak lembut sikit. Rohana muka garang
sikit...”
Saya tertawa. Mujurlah
ketika itu Wira sedang menyua sotong yang diambilnya di dalam kerabu kepada
anak ketiganya, maka tidaklah dia pedulikan punca tawa saya. Mazlan tersengih.
Mungkin itu pernyataan peribadinya yang jujur kerana dia dan Rohana enam tahun
sekelas di AlFalah...
Dan akhirnya, saya sahaja
yang meneka sedangkan Mazlan membiarkan jawapannya tergantung.
Di udara sedang berkumandang
lagu Hindi nyanyian seorang artis tempatan dengan suaranya yang khas - garuk
semacam – dengan lenggok yang lain amat dari suara Mohd Rafi, penyanyi asal.
Ada pertukaran lirik lagi ke Bahasa Malaysia yang dibuat secara bebas. Lari
terus dari makna sebuah lagu cinta.
Selamatlah datang
Makan kenduri
Jangan segan-segan
Ambik sendiri
Kita makan kenduri..........
Sebelum terlupa, Mazlan
mengundang kami ke kenduri di rumah ayahnya pada 20 Disember. Saya mencongak.
Sudah tidak sampai sebulan. Hari Sabtu, kata Mazlan. Saya mencongak lagi. Sabtu
ini di Pulau Gezambo. Sabtu depan di Gajah Mati [rumah keluarga Md Rautin],
Sabtu berikutnya di Selarong Batak [rumah Chik Mila], Sabtu selepas itulah di
rumah keluarga Mazlan. Ah, Sabtu... Hari popular bersama Ahad untuk kenduri
–kendara...
Kenduri terakhir, kata
Mazlan. Perkahwinan adik bongsunya. Saya teringat kepada kata Md Rautin
beberapa minggu sebelumnya. Kenduri terakhir di rumah ayahnya kerana setelah
ini tiada lagi adik yang belum berkahwin.
Di tengah-tengah perbualan itu, muncul Aznan, anak saudara Mar. Dia
berdiri di tengah-tengah di hujung meja, di kanan saya dan di kiri Wira. Selain
mempersilakan kami makan dan menambah, sempatlah pula berbual banyak perkara.
Maklumlah, walaupun dia tinggal di Taman Bersatu, dan bekerja di sekitar
Tandop, lama juga kami tidak pernah bersua. Mungkin sudah lebih dua tahun. Itu
pun ketika saya terserempak dengannya di tempat kerjanya.
Dia berkisah tentang
pertukaran kerja dari Modenas Gurun, ke pekerjaan sekarang, tentang tempat asal
mertuanya, tentang anak-anak dan sedikit tentang rumah yang dibelinya.
Aznan [kiri] |
Lama juga dia berdiri di
sisi kami. Sempatlah Wira mengelik sekali mengambil fotonya dari sudut sukar –
secara mendongak – dan sempatlah saya tanyakan tentang gadis berbaju hijau di
muka pintu tadi. Mazlan memasang telinga dengan penuh minat.
“Tu adik saya...”kata Aznan.
Ertinya adik kepada Rohana juga.Tersasar sekali tekaan saya. Mazlan tidak boleh
tersenyum menang kerana dia tidak meneka apa-apa...
“Ingatkan anak
Rohana...”kata saya. “Nampak kecil sahaja...”
Aznan tertawa. Katanya adiknya
yang berumur awal duapuluhan itu memang kalah di segi saiz berbanding anak
Rohana yang masih di pertengahan belasan tahun. Saya mengangguk. Mazlan pun
sambil matanya kembali ke arah pintu tadi...Selepas melihat arah matanya, mata
saya pun terarah ke pintu itu sekali lagi...
Saya teringat kepada Sazaziz Saad,
BF yang masih solo. Itukah antara calon dari Pulau Gezambo yang Mar pernah
katakan boleh direkomenkannya kepada anggota tentera berpangkalan di Sungai
Petani it? Saya tersenyum dan amat tahu tiada sesiapa yang di sekeliling saya
mengerti punca senyuman berkenaan...
Matanya lirik-lirik selalu
Rupanya manis-manis ayu...
Rupanya manis-manis ayu...
Aznan kemudian meminta diri.
Siap bersalam dengan kami. Mungkin memikirkan semasa kami berangkat balik
nanti, dia tidak berada di sekitar khemah...
Ruang yang ditinggalkan
Aznan tidak lama kemudian diisi ZulSham. Tidak sepatah kata pada dua tiga detik
awal kemunculannya. Mukadimahnya dalam bentuk senyum... Dia menepuk bahu saya.
“Tambah lagi...” katanya. Mungkin menujukan saranan itu kepada Mazlan yang
masih bersisa nasi di pinggan. Saya dan Wira serta anak-anaknya telah lama
kering air di tangan.
Di udara sedang berkumandang
lagu Hindi lagi – kali ini Chaleja Chaleja
[entah betul atau tidak ejaan ini], juga lantunan suara dari artis tempatan.
Sesekali terfikir juga, apakah lingua
franca di Pulau Gezambo? Melayu atau Hindi? Banyak sangat lagu klasik Hindi
muncul sepanjang kami berada di situ...
ZulSham tidak lama bersama
kami. Gayanya seperti sibuk di bahagian dapur atau tempat basuh pinggan. Kami
memberi setelah dia meminta dirinya...
Kemudian muncul Encik Mansor,
ayah Mazlan, yang datang berasingan, berseorangan. Menyapa saya dengan isyarat
tangan dari jauh, saya membalas dengan mengikut rentaknya. Setelah menegur sapa
beberapa orang di sekitar khemah, barulah dia menghampiri kami. Dia tidak mahu
makan apa-apa, kerana katanya, baru sahaja datang dari satu lagi rumah kenduri
di Lorong Mayat, berhampiran rumah Mohd Yusri Haron a.k.a Babuji. Dia sempat
bergurau dengan Wira yang mengacahnya supaya berkaraoke. En. Mansor berkata dia
sedang menjaga suara untuk pertandingan berzanji...
En. Mansor , seperti Mazlan
tadi, menjemput saya dan Wira ke rumahnya pada 20 Disember. Kad jemputan masih
belum diedar, maka jemputan lisan itu kami terima dengan terbuka.
Dan setelah seminit dua
kemudian, En. Mansor beredar. Mazlan pula selesai makan, membiarkan anak-anak
dan isterinya menunggu di meja berhampiran. Kami terus berbual. Wira memanggil
seseorang yang sedang menguruskan meja
pengantin yang baru dikosongkan. Maka dapatlah kami menikmati ais bandung sisa
dari rombongan pengantin, bagi melamakan kami duduk-duduk di situ.
Selepas dua tiga topik
perbualan dan berkira-kira mahu beredar, kami ternampak kelibat perantau dari
Mantin, Negeri Sembilan. Amatlah tidak kena untuk kami meninggalkan khemah
ketika tetamu dari jauh itu baru sahaja mahu memasukinya. Mohd Muzammil Soliheen Musa a.k.a Men dan
samatuanya, Nor
Asyiqin Hasan [kedua-duanya BF] serta anak-anak mereka hampir
sederet menghampiri meja makanan.
Saya tahu menu di meja
bukanlah kegemaran Men, maka tidak hairanlah hanya sebentar kemudian dia sudah
berada di kalangan kami. Duduk menyapa dan bersenda dengan Mazlan serta Wira.
Anak-anak mereka menjadi saksi bagaimana kasar dan kerasnya bahasa yang
digunakan mereka semasa saling menyakat. Ketiga-tiga mereka saling bertanyakan
nas mana yang diambil ketika berhujah tentang pemakaian jam, tentang janggut
dan jambang dan entah tentang apa lagi... Saya menjadi moderator yang gagal
mengawal suasana...sehingga ke akhir tiada kesepakatan. Hanya senyuman Mazlan,
yang sesekali mencuit peha saya ketika
berhujah, sengihan dan kernyihan Wira, serta kekehan Men menunjukkan mereka
bukan berkelahi... Aduss...Senda gurau yang amat membingitkan!
Seketika kemudian, di meja
di belakang Men ada objek lain yang menarik perhatian – Ayam Masak Merah!
“Ini tidak adil!” kata saya
sambil memandang Wira, meminta sokongan. Mar yang baru meletakkan piring berisi
tiga empat ketul ayam yang menyelerakan itu tersengih. Memang kami tahu, Men
bukanlah peminat lauk ikan, dan ayam itulah alternatifnya, tetapi mengambil
aura perbualan yang hangat sebelum itu, saya pun mengambil kesempatan untuk
menyakat. Apa lagilah setelah mendapat sokongan dari Wira dan dokongan dari
Mazlan...
“Nampak sangat rendahnya
taraf kami....”kata saya.
“Lain sangat layanan kat
hang...” kata Wira.
“Kami orang tak jamu pun
ayam...”kata Mazlan.
Semuanya saya hentam lebih
kurang saja. Saya sudah tidak ingat siapa yang berkata begitu. Besar
kemungkinan semuanya datang dari mulut saya... Namun semua kata-kata itu
tertuju kepada seorang sahaja: Men...
Men tercari-cari kata-kata.
Mar tersengih kerana
pencerahannya tentang selera Men yang tumpul tehadap ikan sejak lama, seperti
tenggelam oleh nada bantahan kami.
ZulSham pula muncul.
Mendukung anaknya, Sulaiman. Ini juga peluang saya...
“Tengok...” kata saya,
menjuih mulut ke arah ZulSham yang tidak tahu apa-apa lagi. “...tadi Zul mai
kat kami sorang saja...nampak Men, dia mai bawa anak!”
ZulSham tersengih, tidak
berkata apa-apa dan tentulah tidak tahu apa yang kami bualkan.
“Nampak sangat lainnya
layanan kat Men...”sambung saya lagi. “Jom Wira kita balik!”
Saya bangun. Mazlan ikut.
Demikian pula Wira. Melihat muka telefon barulah terkesan: lebih sejam
sebenarnya kami berada di dalam khemah itu. Mengomel dan berbual. Memang
selayaknyalah kami berundur diri. Biarlah Men dan keluarganya menikmati makanan
dengan tenang.
Dan kami tinggalkan khemah
itu, setelah bersalam dengan Men dan ZulSham, sambil sengaja meriuhkan suasana.
Memberi alasan perbezaan layanan yang kami terima berbanding yang diperoleh
Men... Dua lelaki BF yang bersamatuakan BF sekelas itu tersengih. Ada lontaran
suara dari Men menyanggah ujaran kami, tetapi semuanya sengaja dibelokkan dari
membekas di minda... Kami memulakan langkah meninggalkan meja dengan rasa
puas...
Bersemuka dengan Mar, selain
berterima kasih, sebelum pamit, saya sempat membisikkan, “Kes ayam ini akan
dimasukkan ke dalam blog!”
Mar tersengih dan berisy-isy...
Ketika melangkah lebih jauh
sebelum keluar khemah, kami berselisih dengan Asyiqin. Malangnya, atau anehnya,
tidak sepatah pun dia menegur atau menyapa kami. Gamaknya dari jauh tadi dia
melihat betapa kami seperti membuli samatuanya> Sebagai pasangan sehati
sejiwa, sedikit sebanyak hati dan jiwanya tentu ikut terasa....
Biarlah. Sememangnya tiada
yang perlu kami kisahkan....
Saya dan Wira kembali
mengenderai motor. Sama-sama melatam ban bertar yang boleh membawa kami terus
ke rumahnya.Niat ingin menghadiri semula kenduri di rumah sahabat baik Di Taman
Seri Kota membuatkan saya melakukan sesuatu yang hanya kita di Malaysia boleh
melakukan dan mengatakannya: mengoyak
minyak...
Dalam memecut dalam ritma
pilihan saya,Wira bersama du anaknya menjadi saksi. Ketika melakukan belokan
pada satu simpang, seketul batu menggelincirkan tayar depan motor saya. Hampir
saya hilang kawalan dan nyaris sahaja terjatuh dengan kemungkinan kecederaan
yang bukan sedikit... Tapi Allah melindungi saya. Kalau tidak, saya mungkin
terpaksa hanya melintasi Taman Seri Kota untuk ke hospital...
Beberapa minit setelah
sampai ke rumah sahabat baik tadi, ketika menikmati cokodok yang panas dan
rangup, Wira menghantar mesej di grup WhatsApp. Nadanya macam lucu mengulas
belokan maut di depan matanya tadi namun saya tahu semasa kejadian, hatinya
sekecut hati saya...
Allah memberi ruang untuk
malamnya saya selesa dan sihat bersama Wira dan Men di Restoran Kuetiau Iman di
Taman Pandan – bersembang santai sehingga jam 1 pagi. Nada dan corak perbualan
sambil menikmati kuetiau dan dadih, jauh berbeza dari sewaktu di dalam khemah
di Pulau Gezambo.
Budak Falah, demikianlah...
2 comments:
palaugezambo...mung tunggu..aku datan
Mai PN
Post a Comment