30 December 2014

Allah...Tak Tahulah...



Pagi Jumaat terakhir tahun 2014, saya minum bersarapan bersama Wira di depan Taman Restu, Batas Paip. Hanya gerai roti canai dan minuma dibuka.

Pagi itu saya berpeluang bertemu beberapa BF dari beberapa generasi.

Mulanya, disapa Abdul Latif Ismail, BF dari Kg Perlis. Dia bersama keluarga sengaja datang bersarapan di situ.

Kemudian muncul Mohd Yusri Haron bersama isteri dan dua anak. Dalam perjalanan pulang dari pasar, mereka singgah di situ untuk membeli roti canai.

Kemudian lagi, datang Saiful bersama anak tunggalnya. Mereka makan di situ dengan anaknya begitu asyik bertumpu ke gajet.

Dalam sejam lebih di situ, Wira meminta diri untuk ke pasar bersama isteri. Sebaik dia hilang dari pandangan dan saya berkira-kira untuk pulang, Husin datang bersama anak pokok pisang bunga. Saya tidak menjangkanya, sebab tidak pun saya pesan  begitu di dalam WhatsApp kepadanya. Saya hanya pesankan dia membawa pendrive bagi menyalin klip video budakfalah yang belum ditontonnya.

Setelah bersembang sedikit dengannya serta Saiful, saya pun berundur. Mahu menanam pisang itu sebelum solat Jumaat serta berjanji akan mengembalikan pendrive itu secepat mungkin – malam nanti atau esoknya.

Malamnya, saya mahu menghantar pendrive yang telah saya masukkan lebih dua dozen klip video garapan seorang yang buta tentang pembikinan klip, tetapi bolehlah ditonton setakat mana yang ada…

Saya dihubungi Husin, setelah dua panggilan awal saya tidak dijawabnya. Melalui Wira gamaknya dia tahu panggilan yang tidak berjawab itu.

“Cikgu mai Kola…”katanya.

Sudah! Jangkaan saya mahu bertemunya sekitar Batas Paip sahaja. Gerimis mengundang….errr…bertandang ketika itu.

“Tang mana?”Tanya saya. Kalau tempat dia selalu menyembang dengan kawan-kawannya, saya tidak akan pergi. Saya tidak mahu berjangkit virus sembang mereka…

“Mai tang rumah mertua saya…”balas Husin, “mertua saya pun ada ni…”

Apalah agaknya yang sedang Husin alami sehingga menyuruh saya ke situ? Memang saya pernah ke rumah berkenaan bersama Husin bagi bertemu bapa mertuanya, tetapi malangnya orang yang ingin saya temui itu tiada di rumah.

 Sedang sakitkah bapa mertuanya?

Tentu ada sesuatu. Jika tidak, baik bertemu saja di Batas Paip…

Jangan-jangan ada jamuan kecil-kecilan…

Jangan-jangan ada kambing panggang…

Gerimis saya redah. Jalan sunyi. Rumah Hajah Roselah, bekas kerani AlFalah dahulu, kelihatan sunyi dan kelam. Restoran Awie pun sunyi walaupun cerah. Balai polis nampak sepi. Masjid lama Kola lagi sunyi.

Lampu isyarat pun seperti malas nyalanya. Agaknya jemu dengan rutin sendiri. Lepas merah, hijau. Lepas hijau, kuning. Lepas kuning, merah. Gamaknya akan cerialah kalau pertukaran warna itu diubah sesekali….

Saya melintasi Pulau Gezambo dengan perlahan dan berhati-hati. Takut enjin motor saya mengganggu Mar Isma atau ZulSham yang mungkin sedang diulit mimpi. Malam itu tentu mereka tidur awal. Tiada rancangan gusti – sukan kegemaran ZulSham - di mana-mana saluran tv.

Masuk ke lorong rumah mertuanya, dari jauh saya sudah nampak kelibat Husin. Dia baru keluar dari rumah berkenaan, gamaknya kenal dengan suara motor saya.

“Ada apa suruh saya mai sampai sini?”Tanya saya.

“Sajala…”katanya dalam suara yang cukup lembut.

Laaa….

Yang lain saya tak tahu. Yang saya nampak ada kambing tanpa kepala dan kulit, berlumur perencah khas, sedang terbang di atas kepala, di bawa angin timur menuju ke pintu kuala…

Husin membuka pintu sekadar memberitahu kehadiran saya. Samatuanya menjenguk, tersenyum, lalu mempersilakan saya duduk di kusyen di depan rumah. Husin menjenguk ke dalam lagi. Memberitahu mertuanya yang berdua. Ibu mertuanya menjenguk sepintas.

“Sapa?” terdengar suara lelaki di dalam rumah.

“Cikgu Din…. Hak mengajaq di Sekolah Falah dulu nuuu…”balas Husin.

“Oooo…”terdengar suara lelaki itu. Sepatah tetapi dalam empat harkat.

Sebentar kemudian muncul wajah yang empunya suara itu. Tidak berbaju.

Azmi bin Hj Mohd Nor.

Berusia 67 tahun. Ayah kepada tujuh anak, seorang daripadanya telah meninggal dunia ketika sudah berusia 30 tahun. Ada dua lagi anaknya yang belum berkahwin. Seorang perempuan, kerani di sebuah sekolah sekitar Kola dan seorang lelaki, imam muda di sebuah masjid sekitar Permatang Pauh, selain menjadi guru di pusat tahfiz.
 
Dua puluh tahun dahulu, dialah pemandu bas sekolah dari Kola ke AlFalah. Sebelumnya, bas itu dipandu oleh Pak Jan dari Taman Seri Putera, Kola. Mereka mempunyai seorang konduktor – Allahyarham Paklong Senapi – datuk saudara kepada Quinary M [Mazura, Mazlan, Mazni dan Maslina Mansor dari Lorong 8].

Pak Mi atau bagi saya, Bang Mi cukup rapat dengan saya, Cikgu Non dan Ustaz Fairose semasa di AlFalah dahulu. Banyak kali kami ke rumahnya, sebanyak kali kami ke rumah Paklong Senapi.

Di sekolah, jika tiada kelas, dan kebetulan Bang Mi serta Paklong Senapi sudah sampai bersama bas separuh umur, di atas bas itulah kami bersembang dan bermesra. Bercerita seadanya. Tentang Kola. Tentang keluarga. Tentang sekolah. Tentang anak-anak AlFalah, penumpang bas mereka.

Paklong Senapi peminat bolasepak. Kerap juga kami menonton siaran langsung bola domestic di rumahnya. Seronoknya melihat gelagat Paklong Senapi melentokkan kepala menuruti pergerakan bola. Kalau serangan di lakukan ke arah kanan, mata dan kepalanya akan dilentokkan ke kanan hingga kadang kala melepasi peti tv… Begitulah pula jika sebaliknya arah serangan…

Itulah antara yang kami kenang bersama ketika berbual pada malam itu. Kami bagai terpelanting ke masa lalu. Husin yang berada di sisi kami menjadi tidak wujud sekejap…

Saya lahirkan kesalan kerana tidak mengetahui kematian Paklong Senapi. Hanya selepas beberapa lama kami dimaklumkan.

Bang Mi sendiri bermasalah dengan matanya.  Itulah puncanya dia tidak lagi memandu bas. “Berhenti dari bawa bas ke Falah, saya batalkan terus lesen bas, lori…”katanya.

“Allah….tak taulah….”desahnya.

[Di sebalik usia yang bertambah dek perjalanan masa, penglihatan yang tidak seperti dahulu, ada dua tiga perkara yang saya dapati tidak berubah pada Bang Mi: Sosok tubuh, keramahan dan desahan sebegitulah.

Tubuh bang Mi setegap dahulu – dua dekad dahulu. Dia tidak berbaju, maka tidaklah saya minta Husin mengelik sekali wajah mertuanya untuk tatapan BF yang pernah mengenalinya.

Meski lebih sedekad tidak bertemu, Bang Mi masih berbual seperti dahulu dengan saya, seperti perbualan kami di atas basnya sementara menunggu loceng akhir AlFalah dibunyikan…

“Allah…tak tahulah…”sejak dahulu juga telah ada di mulut Bang Mi. Setiap kali kalimat terhenti dalam lima enam detik, atau selesai sesuatu topik perbualan, itulah yang Bang Mi sebut.

Malam itu sahaja, saya sempat menghitung setakat sepuluh kalai desahan sebegitu diluncurkan dari bibirnya….]

 Kini dia hanya menggunakan satu mata untuk melihat. Mata kanannya telah lama kehilangan fungsi. Bagaimana pun dia masih boleh memandu kereta ke merata tempat. Ke rumah kenduri atau menziarahi keluarga. [Saya baru tahu ada adik kandungnya tinggal di Simpang Kangkong – Batas Paip. Jalan menghala ke rumah Cikgu Rahim di Kg Hj Jamal.] Cuma sesekali masalah muncul. Antaranya, dengan menggunakan kereta menantunya, Husin, dia pernah terlajak ke longkang di Taman Bersatu. “Biasalah…”kata saya. “Yang dua dan empat mata pun kadangkala terbabas juga…” Bang Mi tergelak.

Kini Bang Mi bersara sepenuhnya dari sebarang kerja rutin. Ada penyakit kencing manis dan darah tinggi dihidapi. Namun saya tertarik apabila dinyatakan tidak pernah memakan sebarang ubat dari klinik atau hospital. “Ada caranya…”kata Bang Mi. Dia hanya menggunakan cara kampung. Saya terpesona pada jenis daun yang dimakan dan dos yang digunakan. Semudah ABC bagi Bang Mi. Ketika dia bercerita itu, saya nampak menantunya mendengar dengan teliti.

Samatua Husin muncul di balik pintu,  menghulurkan dulang yang mengandungi tiga cawan kopi. Bang Mi mempelawa saya minum sebelum dia sendiri meneguk buat kali pertama. Saya hanya mengangguk serta mahu membiarkan kopi o panas itu suam sedikit. Husin memang tidak banyak bercakap, berbanding ketika bersama saya dan Wira atau kawan-kawan lain di mana-mana tempat kami berkumpul.

“Minumla…”kata Bang Mi sekali lagi.

Saya mencapai cawan. Mahu membuat hirupan. Belumpun sampai ke mulut, satu soalan Bang Mi muncul.

“Bini hang hak dulu mati nooo…”kata atau tanyanya.

Saya letakkan kembali cawan kopi ke dulang. Bukan sangat mahu bercerita tentangnya, tetapi lebih kepada rasa terkedu. Ingat lagi Bang Mi kepada almarhumah isteri saya.

Saya mengiakan sekali.

“Ada depa habaq kat saya… Sapa tak tau…Lama dah la…”kata Bang Mi tanpa melihat ke wajah saya.

“Anak kami dah sembilan belas tahun…”kata saya.

“Lama dah nooo…”kata Bang Mi pula.

Kami terdiam seketika selepas itu. Barangkali Bang Mi mengira jarak masa yang berlalu. Saya pula tiba-tiba teringat kepada permata pertama saya itu…

Dahulu, Bang Mi ada sebuah rumah di tanah rezab tali air di tepi laut Alor Ibus. Rumah separuh siap itu pernah saya kunjungi. Kini tapak rumah itu telah berpindah ke tangan orang lain. Dijualnya. Lama sebelum Husin menjadi menantunya. Hasil jualan itu digunakan untuk membeli tanah di daerah Pendang. Setelah tanah itu dibersihkan, datang tuantanah menunjukkan gerannya. Sah, Bang Mi dan kawan-kawannya ditipu sindiket… Dan, di depan saya, Bang Mi masih boleh tertawa tatkala bercerita…

Sempat saya singgung bagaimana Bang Mi boleh menerima Husin sebagai menantu. Husin tersenyum. “Nak buat macam mana…”kata Bang Mi dalam gelaknya.

Husin adalah salah seorang penumpang bas sekolah yang Bang Mi pandu. Agaknya dari situlah mereka berkenal dan timbul rasa berkenan di hati Bang Mi. Tetapi entahlah. Tidak sempat saya tanyakan pada mereka berdua…

Husin lebih banyak diam dalam pertemuan kami pada malam itu. Dia banyak bersuara hanyalah apabila Bang Mi berkisah tentang anak bongsunya yang mahu pulang ke Kola. Bagi Bang Mi, biarlah dia di Seberang Perai sana. Balik ke Kola, katanya, anak itu tidak akan dipandang. Memang begitulah lumrah manusia. Tidak dinilai kebolehan oleh orang tempatan tetapi di mata orang luar cukup tinggi kedudukannya. Saya memberikan pendapat berdasarkan banyak pemerhatian dan Husin mencelah dengan direndangkan hujahnya.

Banyak lagilah yang kami bualkan dalam masa yang cukup padat itu. Sayang, kerana terlalu lewat waktu bertandang, tidaklah dapat berlama di situ. Di Restoran Sofia, Batas Paip, Wira telah lama menanti. Ada perlawanan bola Liga England melibatkan pasukan kesayangannya – Manchester United.


Ada rasa kesal pula menghentikan perbualannya yang sedang rancak, semata-mata untuk mengundur diri. Dia seperti kehairanan melihat saya bangun begitu sahaja, bersalam. Menantunya turut meminta diri. Malam itu dia mahu tidur bersendirian di rumah. Samatuanya dan anak-anak ditinggalkan di rumah Bang Mi.

Bang Mi masih boleh bersembang hingga jauh malam. Itulah sebabnya ketika kami datang dahulu dia tiada di rumah – bertandang ke rumah kawan bualnya. Dia mempelawa saya datang lagi dan saya pula berjanji untuk itu dan mahu mencabar Bang Mi berjaga…

Demikianlah.

Bang Mi bukan guru di AlFalah. Tetapi dia tetap memainkan peranan tersendiri ikut membangunkan AlFalah…

Sehingga waktu menulis ini, saya masih teringat beberapa ayatnya di tengah perbualan kami, ketika saya tanyakan umurnya. Dia menjawab:

“Saya dah 67. Adik-adik pun ada dah yang diambik balik…Tinggai berapa beradik saja lagi…”

Bang Mi bertanyakan usia saya pula. Saya sebutkan angkanya dengan jelas, termasuk usia pada tahun depan.

“Hang muda lagi….”katanya, “Saya dok tunggu masa saja la ni…”

Saya muda lagi?

Allah…Tak tahulah…



2 comments:

pawangnujum said...

nostalgia

wiraosman said...

Muda.. Allahhh.. Tak tahulah