Pagi Jumaat terakhir tahun 2014, saya minum bersarapan
bersama Wira di depan Taman Restu, Batas Paip. Hanya gerai roti canai dan
minuma dibuka.
Pagi itu saya berpeluang bertemu beberapa BF dari
beberapa generasi.
Mulanya, disapa Abdul Latif Ismail, BF dari Kg Perlis.
Dia bersama keluarga sengaja datang bersarapan di situ.
Kemudian muncul Mohd Yusri Haron bersama isteri dan dua
anak. Dalam perjalanan pulang dari pasar, mereka singgah di situ untuk membeli
roti canai.
Kemudian lagi, datang Saiful bersama anak tunggalnya.
Mereka makan di situ dengan anaknya begitu asyik bertumpu ke gajet.
Dalam sejam lebih di situ, Wira meminta diri untuk ke
pasar bersama isteri. Sebaik dia hilang dari pandangan dan saya berkira-kira
untuk pulang, Husin datang bersama anak pokok pisang bunga. Saya tidak
menjangkanya, sebab tidak pun saya pesan
begitu di dalam WhatsApp kepadanya. Saya hanya pesankan dia membawa
pendrive bagi menyalin klip video budakfalah yang belum ditontonnya.
Setelah bersembang sedikit dengannya serta Saiful, saya
pun berundur. Mahu menanam pisang itu sebelum solat Jumaat serta berjanji akan
mengembalikan pendrive itu secepat mungkin – malam nanti atau esoknya.
Malamnya, saya mahu menghantar pendrive yang telah saya
masukkan lebih dua dozen klip video garapan seorang yang buta tentang
pembikinan klip, tetapi bolehlah ditonton setakat mana yang ada…
Saya dihubungi Husin, setelah dua panggilan awal saya
tidak dijawabnya. Melalui Wira gamaknya dia tahu panggilan yang tidak berjawab
itu.
“Cikgu mai Kola…”katanya.
Sudah! Jangkaan saya mahu bertemunya sekitar Batas Paip
sahaja. Gerimis mengundang….errr…bertandang ketika itu.
“Tang mana?”Tanya saya. Kalau tempat dia selalu
menyembang dengan kawan-kawannya, saya tidak akan pergi. Saya tidak mahu
berjangkit virus sembang mereka…
“Mai tang rumah mertua saya…”balas Husin, “mertua saya
pun ada ni…”
Apalah agaknya yang sedang Husin alami sehingga
menyuruh saya ke situ? Memang saya pernah ke rumah berkenaan bersama Husin bagi
bertemu bapa mertuanya, tetapi malangnya orang yang ingin saya temui itu tiada
di rumah.
Sedang sakitkah
bapa mertuanya?
Tentu ada sesuatu. Jika tidak, baik bertemu saja di
Batas Paip…
Jangan-jangan ada jamuan kecil-kecilan…
Jangan-jangan ada kambing panggang…
Gerimis saya redah. Jalan sunyi. Rumah Hajah Roselah,
bekas kerani AlFalah dahulu, kelihatan sunyi dan kelam. Restoran Awie pun sunyi
walaupun cerah. Balai polis nampak sepi. Masjid lama Kola lagi sunyi.
Lampu isyarat pun seperti malas nyalanya. Agaknya jemu
dengan rutin sendiri. Lepas merah, hijau. Lepas hijau, kuning. Lepas kuning,
merah. Gamaknya akan cerialah kalau pertukaran warna itu diubah sesekali….
Saya melintasi Pulau Gezambo dengan perlahan dan berhati-hati.
Takut enjin motor saya mengganggu Mar Isma atau ZulSham yang mungkin sedang
diulit mimpi. Malam itu tentu mereka tidur awal. Tiada rancangan gusti – sukan
kegemaran ZulSham - di mana-mana saluran tv.
Masuk ke lorong rumah mertuanya, dari jauh saya sudah
nampak kelibat Husin. Dia baru keluar dari rumah berkenaan, gamaknya kenal
dengan suara motor saya.
“Ada apa suruh saya mai sampai sini?”Tanya saya.
“Sajala…”katanya dalam suara yang cukup lembut.
Laaa….
Yang lain saya tak tahu. Yang saya nampak ada kambing
tanpa kepala dan kulit, berlumur perencah khas, sedang terbang di atas kepala,
di bawa angin timur menuju ke pintu kuala…
Husin membuka pintu sekadar memberitahu kehadiran saya.
Samatuanya menjenguk, tersenyum, lalu mempersilakan saya duduk di kusyen di
depan rumah. Husin menjenguk ke dalam lagi. Memberitahu mertuanya yang berdua.
Ibu mertuanya menjenguk sepintas.
“Sapa?” terdengar suara lelaki di dalam rumah.
“Cikgu Din…. Hak mengajaq di Sekolah Falah dulu
nuuu…”balas Husin.
“Oooo…”terdengar suara lelaki itu. Sepatah tetapi dalam
empat harkat.
Sebentar kemudian muncul wajah yang empunya suara itu.
Tidak berbaju.
Azmi bin Hj Mohd Nor.
Berusia 67 tahun. Ayah kepada tujuh anak, seorang
daripadanya telah meninggal dunia ketika sudah berusia 30 tahun. Ada dua lagi
anaknya yang belum berkahwin. Seorang perempuan, kerani di sebuah sekolah
sekitar Kola dan seorang lelaki, imam muda di sebuah masjid sekitar Permatang
Pauh, selain menjadi guru di pusat tahfiz.
Dua puluh tahun dahulu, dialah pemandu bas sekolah dari
Kola ke AlFalah. Sebelumnya, bas itu dipandu oleh Pak Jan dari Taman Seri
Putera, Kola. Mereka mempunyai seorang konduktor – Allahyarham Paklong Senapi –
datuk saudara kepada Quinary M [Mazura, Mazlan, Mazni dan Maslina
Mansor dari Lorong 8].
Pak Mi atau bagi saya, Bang Mi cukup rapat dengan saya,
Cikgu Non dan Ustaz Fairose semasa di AlFalah dahulu. Banyak kali kami ke
rumahnya, sebanyak kali kami ke rumah Paklong Senapi.
Di sekolah, jika tiada kelas, dan kebetulan Bang Mi
serta Paklong Senapi sudah sampai bersama bas separuh umur, di atas bas itulah
kami bersembang dan bermesra. Bercerita seadanya. Tentang Kola. Tentang
keluarga. Tentang sekolah. Tentang anak-anak AlFalah, penumpang bas mereka.
Paklong Senapi peminat bolasepak. Kerap juga kami
menonton siaran langsung bola domestic di rumahnya. Seronoknya melihat gelagat
Paklong Senapi melentokkan kepala menuruti pergerakan bola. Kalau serangan di
lakukan ke arah kanan, mata dan kepalanya akan dilentokkan ke kanan hingga
kadang kala melepasi peti tv… Begitulah pula jika sebaliknya arah serangan…
Itulah antara yang kami kenang bersama ketika berbual
pada malam itu. Kami bagai terpelanting ke masa lalu. Husin yang berada di sisi
kami menjadi tidak wujud sekejap…
Saya lahirkan kesalan kerana tidak mengetahui kematian
Paklong Senapi. Hanya selepas beberapa lama kami dimaklumkan.
Bang Mi sendiri bermasalah dengan matanya. Itulah puncanya dia tidak lagi memandu bas.
“Berhenti dari bawa bas ke Falah, saya batalkan terus lesen bas, lori…”katanya.
“Allah….tak taulah….”desahnya.
[Di sebalik usia yang bertambah dek
perjalanan masa, penglihatan yang tidak seperti dahulu, ada dua tiga perkara
yang saya dapati tidak berubah pada Bang Mi: Sosok tubuh, keramahan dan desahan
sebegitulah.
Tubuh bang Mi setegap dahulu – dua dekad
dahulu. Dia tidak berbaju, maka tidaklah saya minta Husin mengelik sekali wajah
mertuanya untuk tatapan BF yang pernah mengenalinya.
Meski lebih sedekad tidak bertemu, Bang Mi
masih berbual seperti dahulu dengan saya, seperti perbualan kami di atas basnya
sementara menunggu loceng akhir AlFalah dibunyikan…
“Allah…tak tahulah…”sejak dahulu juga telah
ada di mulut Bang Mi. Setiap kali kalimat terhenti dalam lima enam detik, atau
selesai sesuatu topik perbualan, itulah yang Bang Mi sebut.
Malam itu sahaja, saya sempat menghitung
setakat sepuluh kalai desahan sebegitu diluncurkan dari bibirnya….]
Kini dia hanya
menggunakan satu mata untuk melihat. Mata kanannya telah lama kehilangan
fungsi. Bagaimana pun dia masih boleh memandu kereta ke merata tempat. Ke rumah
kenduri atau menziarahi keluarga. [Saya baru tahu ada adik kandungnya tinggal
di Simpang Kangkong – Batas Paip. Jalan menghala ke rumah Cikgu Rahim di Kg Hj
Jamal.] Cuma sesekali masalah muncul. Antaranya, dengan menggunakan kereta
menantunya, Husin, dia pernah terlajak ke longkang di Taman Bersatu.
“Biasalah…”kata saya. “Yang dua dan empat mata pun kadangkala terbabas juga…”
Bang Mi tergelak.
Kini Bang Mi bersara sepenuhnya dari sebarang kerja
rutin. Ada penyakit kencing manis dan darah tinggi dihidapi. Namun saya
tertarik apabila dinyatakan tidak pernah memakan sebarang ubat dari klinik atau
hospital. “Ada caranya…”kata Bang Mi. Dia hanya menggunakan cara kampung. Saya
terpesona pada jenis daun yang dimakan dan dos yang digunakan. Semudah ABC bagi
Bang Mi. Ketika dia bercerita itu, saya nampak menantunya mendengar dengan
teliti.
Samatua Husin muncul di balik pintu, menghulurkan dulang yang mengandungi tiga
cawan kopi. Bang Mi mempelawa saya minum sebelum dia sendiri meneguk buat kali
pertama. Saya hanya mengangguk serta mahu membiarkan kopi o panas itu suam
sedikit. Husin memang tidak banyak bercakap, berbanding ketika bersama saya dan
Wira atau kawan-kawan lain di mana-mana tempat kami berkumpul.
“Minumla…”kata Bang Mi sekali lagi.
Saya mencapai cawan. Mahu membuat hirupan. Belumpun
sampai ke mulut, satu soalan Bang Mi muncul.
“Bini hang hak dulu mati nooo…”kata atau tanyanya.
Saya letakkan kembali cawan kopi ke dulang. Bukan
sangat mahu bercerita tentangnya, tetapi lebih kepada rasa terkedu. Ingat lagi
Bang Mi kepada almarhumah isteri saya.
Saya mengiakan sekali.
“Ada depa habaq kat saya… Sapa tak tau…Lama dah
la…”kata Bang Mi tanpa melihat ke wajah saya.
“Anak kami dah sembilan belas tahun…”kata saya.
“Lama dah nooo…”kata Bang Mi pula.
Kami terdiam seketika selepas itu. Barangkali Bang Mi
mengira jarak masa yang berlalu. Saya pula tiba-tiba teringat kepada permata
pertama saya itu…
Dahulu, Bang Mi ada sebuah rumah di tanah rezab tali
air di tepi laut Alor Ibus. Rumah separuh siap itu pernah saya kunjungi. Kini
tapak rumah itu telah berpindah ke tangan orang lain. Dijualnya. Lama sebelum
Husin menjadi menantunya. Hasil jualan itu digunakan untuk membeli tanah di
daerah Pendang. Setelah tanah itu dibersihkan, datang tuantanah menunjukkan
gerannya. Sah, Bang Mi dan kawan-kawannya ditipu sindiket… Dan, di depan saya,
Bang Mi masih boleh tertawa tatkala bercerita…
Sempat saya singgung bagaimana Bang Mi boleh menerima
Husin sebagai menantu. Husin tersenyum. “Nak buat macam mana…”kata Bang Mi
dalam gelaknya.
Husin adalah salah seorang penumpang bas sekolah yang
Bang Mi pandu. Agaknya dari situlah mereka berkenal dan timbul rasa berkenan di
hati Bang Mi. Tetapi entahlah. Tidak sempat saya tanyakan pada mereka berdua…
Husin lebih banyak diam dalam pertemuan kami pada malam
itu. Dia banyak bersuara hanyalah apabila Bang Mi berkisah tentang anak
bongsunya yang mahu pulang ke Kola. Bagi Bang Mi, biarlah dia di Seberang Perai
sana. Balik ke Kola, katanya, anak itu tidak akan dipandang. Memang begitulah
lumrah manusia. Tidak dinilai kebolehan oleh orang tempatan tetapi di mata
orang luar cukup tinggi kedudukannya. Saya memberikan pendapat berdasarkan
banyak pemerhatian dan Husin mencelah dengan direndangkan hujahnya.
Banyak lagilah yang kami bualkan dalam masa yang cukup
padat itu. Sayang, kerana terlalu lewat waktu bertandang, tidaklah dapat
berlama di situ. Di Restoran Sofia, Batas Paip, Wira telah lama menanti. Ada
perlawanan bola Liga England melibatkan pasukan kesayangannya – Manchester
United.
Ada rasa kesal pula menghentikan perbualannya yang
sedang rancak, semata-mata untuk mengundur diri. Dia seperti kehairanan melihat
saya bangun begitu sahaja, bersalam. Menantunya turut meminta diri. Malam itu
dia mahu tidur bersendirian di rumah. Samatuanya dan anak-anak ditinggalkan di rumah
Bang Mi.
Bang Mi masih boleh bersembang hingga jauh malam.
Itulah sebabnya ketika kami datang dahulu dia tiada di rumah – bertandang ke
rumah kawan bualnya. Dia mempelawa saya datang lagi dan saya pula berjanji
untuk itu dan mahu mencabar Bang Mi berjaga…
Demikianlah.
Bang Mi bukan guru di AlFalah. Tetapi dia tetap
memainkan peranan tersendiri ikut membangunkan AlFalah…
Sehingga waktu menulis ini, saya masih teringat beberapa
ayatnya di tengah perbualan kami, ketika saya tanyakan umurnya. Dia menjawab:
“Saya dah 67. Adik-adik pun ada dah yang diambik balik…Tinggai berapa beradik
saja lagi…”
Bang Mi bertanyakan usia saya pula. Saya sebutkan
angkanya dengan jelas, termasuk usia pada tahun depan.
“Hang muda lagi….”katanya, “Saya dok tunggu masa saja
la ni…”
Saya muda lagi?
Allah…Tak tahulah…
2 comments:
nostalgia
Muda.. Allahhh.. Tak tahulah
Post a Comment