6 Disember 2014.
Sabtu.
Ada kenduri di rumah keluaga Md Rautin Md Desa di Kg Gajah Mati, Pendang.
Kenduri terakhir, kata Md Rautin dalam panggilan undangannya pada satu petang,
pada pertengahan November.
Terakhir, sebab tiada lagi adik-adiknya yang belum berpunya. Terakhir, bagi
saya, dari Kg Gajah Mati, kerana selepas ini tiada lagi kenduri yang bakal
menyertakan saya sebagai undangan. Adik
beradik Yeh {Elias Hj Awang] semuanya telah berumahtangga. Adik beradik PakMid
[Basri Zakaria] pun gamaknya demikian pula. Hanya tiga keluarga ini yang pernah
mengundang saya ke majlis mereka, walaupun ada empat lima lagi keluarga di
kampung nan indah itu yang ahlimya pernah berada di bumi AlFalah...
Md Rautin mewakilkan saya untuk mengundang seberapa ramai Budak Falah ke
kenduri itu. Saya menyanggupi berdasarkan panggilan itu tidak semestinya dari
pintu ke pintu. Cukup dengan hebahan di laman fb dan WhatsApp. Saya
melaksanakan amanat itu. Berapa orang yang menerima undangan secara begitu,
tentulah di luar pengetahuan saya.
Undangan buat Cikgu Non juga diwakilkan kepada saya, manakala untuk Cikgu
Rahim, Md Rautin sendiri telah menghubunginya. Ketika disebutkan tarikh kepada
Cikgu Non, pantas muncul decitan - bertembung dengan urusannya mengendalikan
temuduga pelajar baru ke SMA Sungai Limau... Kalaupun boleh pergi, katanya,
mungkin pada waktu malam.
Dua tiga kali saya ingatkan tarikh berkenaan di dalam WhatsApp dan dua kali
di dalam laman fb. Termasuklah sehari sebelum majlis berlangsung.
Mar Isma dari Pulau Gezambo yang mempunyai 7 undangan makan kenduri pada
hari Sabtu, mengajak beberapa orang untuk bersamanya dan samatua - Zul Sham -
sekereta ke majlis kenduri di Kg Gajah Mati itu. Saya termasuk dalam senarai.
Bagaimana pun, tiada yang menerima ajakan itu, mungkin dengan sebab-sebab
tersendiri. Saya cuma mengharapkan, rumah Pakcik Md Desa di Kg Gajah Mati itu
ada dalam senarai kenduri yang mahu Mar Isma sekeluarga hadiri...
Malam sebelum majlis itu, saya bertemu dengan Wira Osman dan Husin Lateh di
sebuah kedai masakan a la Thai yang sering kami singgahi di Batas Paip. Sofia,
nama restorannya. Dalam perbualan sekitar hanya dua jam itu, acara ke Kg Gajah
Mati telah dimasukkan sebagai salah satu menunya.
Husin mengajak saya bersamanya
berkereta, pada jam yang ditentukannya, kerana masih ada satu dua kenduri yang
perlu terlebih dahulu dihadiri. Saya akur, tetapi berkali-kali mengingatkan
Husin jangan tak jadi, kerana saya memang tidak mahu terlepas kenduri terakhir
itu. Wira, dengan alasan yang boleh diterima, berkemungkinan besar tidak dapat
ikut serta.
Kepada Mar Isma, keputusan itu dinyatakan pada pagi hari Sabtu.
Ada dua kenduri untuk saya. Yang pertama itu segera saya hadiri - setengah
jam lebih awal dari yang tercatat waktu makannya di dalam kad undangan. Ketika
membasuh tangan penyudah, Husin menelefon, memaklumkan lagi sejam akan datang
mengambil saya. Ketika itu dia baru beredar dari Haro Inn, Telok Bagan, tempat
kenduri pertamanya. Saya akur. Dan melihat jam.
Dalam pukul satu setengah kalau mengikut perjanjian itu, Husin akan sampai. Saya anggarkan dalam pukul
dualah, mengambil kira waktu untuk kami bersolat Zuhur....
Tepat jam dua, saya sudah menunggu di tepi jalan di luar kawasan kejiranan.
Berhampiran jalan utama, kerana Husin menyatakan tidak tahu mana satu jalan
masuk ke rumah saya. Saya duduk di gerai minuman yang dikendalikan seorang
jiran. Dua akhbar tabloid berjaya dikhatam. Dua gelas minuman berjaya disedut
masuk ke tenggorok, Husin tidak juga muncul.
Malu untuk memesan gelas ketiga, saya bergerak pulang ke rumah.
Maaf Husin, saya telah meramalkan sesuatu yang memang saya tidak mahu ia
berlaku.
Malam tadinya saya telah berkisah kepada Wira dan Husin betapa telah dua
kali dalam beria-ia untuk pergi bersama kawan sekampung ke majlis kenduri rakan
kami yang tinggal di kampung mertuanya yang agak jauh, di luar P10. Penantian
hingga awal petang berakhir dengan hanya saya seorang yang pergi.Salah satunya
akan saya ingat selama minda tetap stabil. Saya sampai ketika tukang masak
memang telah lama pulang, pak penanggah sedang menghisap puntung rokok percuma
yang terakhir dan para pekerja sedang diagihkan buah tangan sebagai tanda
khidmat dihargai. Tuan rumah? Tuan rumah sedang bersandar di satu penjuru
khemah, duduk di atas kerusi tunggal sambil mencongak berapa kali telah
mengosongkan poket dan sambil juga
merenung poket pada baju melayu
yang telah disangkutkan pada satu tiang khemah berhampirannya. Dia hanya
bersinglet, dengan seluar yang telah dua kali dilipat pada bahagian kaki.......
Saya tidak mahu itu berulang. Tidak mahu ada imej penumbuk, tukul, tulang
ikan, api dan pisau di benak saya, seperti yang sering dilakar kartunis jika
sedang marah....
Di rumah, anak memaklumkan di hapenya, ada panggilan dari Husin.
Saya membelek hape sendiri. Ada panggilan dari Husin, seminit lalu, yang tidak
saya dengar, terhalang oleh deruan enjin motor, gamaknya...Saya membuat
panggilan balas. Husin berkata dia akan mengambil saya sebentar lagi. Ketika
itu dia sedang berkereta di sekitar Tebengau... Saya keluar semula ke tempat
awal sebelumnya, menunggu. Malu dengan jiran penjual minuman tadi, saya berdiri
jauh sedikit dari pandangannya.
Husin.....Husin.... Mujur! Dua tiga minit saja lagi kalau saya tidak pulang
tadi, akan ada imej penumbuk dan seangkatannya mula keluar....
Saya telah nekad, sambil merangkak pun akan pergi ke kenduri terakhir itu!
Saya pernah menguruskan 4 kenduri perkahwinan adik-adik,
termasuk satu ketika arwah ayah sudah sakit-sakit. Saya menjelajah banyak
daerah bagi menghantar undangan, terutama adik beradik baik sebelah ayah atau
emak. Setiap keping kad dihulur, saya berharap agar mereka dapat datang ke
kenduri kami.
Maka kalau pula
orang mengundang, saya membayangkan apa yang mereka harapkan dari
saya.... Sebuah kehadiran!
Sebab itu, jika boleh, dalam keadaan sekarang, meski
sekejap, saya akan cuba memenuhi undangan.... lainlah kalau terlalu jauh dan
pada hari yang tersangat banyak undangan atau ketika ada kenduri di kalangan
keluarga terdekat....
Husin tiba sekitar lima belas minit kemudian. Melihat wajahnya sahaja,
penumbuk menjadi salam, tukul menjadi senduk gulai, tulang ikan menjadi gulai
tulang, api menjadi sirap dan pisau menjadi pinggan!
Manis sungguh senyum anak Neloofa Batas Paip itu. Tenang pula menceritakan
sebab musabab kelewatan. Neelofa Batas Paip [rujuk entri Ada Apa Dengan Neelofa untuk mengetahui secara lanjut
bagaimana gelaran digunakan], yang sama ke Haro Inn awal tadi - mengajaknya ke
satu lagi kenduri sebelum pulang. Samatuanya juga ikut serta. Dengan alasan
sedemikian, Benjamin Netanyahu yang tidak berhati perut itu pun rasanya akan
menerima dengan dada terbuka. Maklumlah, Husin memenuhi ajakan ibu tercintanya
dan isteri tersayangnya...
Tidak banyak yang kami bualkan sepanjang perjalanan. Sedikit bab grup
WhatsApp yang kadangkala terlalu biru harunya dalam senda dan giatan sesama
ahli, sedikit bab kenduri yang dihadiri dan sedikit tentang kampung yang akan
kami datangi.... Sedikit lagi Husin bercerita tentang Mar Isma telah pun sampai
di situ, siap menyertakan foto di ruang WhatsApp....Tidak pastilah foto Mar
Isma sendiri atau foto suaminya, ZulSham. Saya memang tidak menjengah ke laman
itu sejak meninggalkannya pada pagi berkenaan.
Kami sampai di rumah Pakcik Md Desa ketika memang tidak ramai orang
memenuhi khemah. Agak santai keadaaannya. Kelihatan banyak meja tidak
berpenghuni. Ada tetamu yang mahu pulang dan baru sampai tetapi tidaklah
sesibuk masa puncak.
Pakcik Md Desa menggawang tangannya mengarahkan kami terus ke meja makanan.
Tidaklah kami melawan arahannya walaupun ghalibnya saya akan berjumpa tuan
rumah dahulu sebelum beroperasi di meja makan....
Md Rautin |
Tapi ada tuan rumah kedua menyambut kami. The
Only Md Rautin! Dia yang sedang berbual dengan sekumpulan lelaki
yang jauh lebih senior darinya, menerpa ke arah kami. Menyalami kami dan
sedikit memeluk saya. Memandu arah kami walau budak tadika pun tahu di mana
duduknya meja tersedianya nasi dan lauk pauk.
Sebelum itu, ketika bersalam dengan Husin, saya bertanyakan samada otai
AlFalah itu kenal atau tidak tetamu yang datang bersama saya. Husin tersenyum.
Manis seperti selalu. Mengulum. Menunggu jawapan Rautin. Rautin meminta sedikit
masa. Nyata ingatannya masih kuat. Disebutnya nama Husin dengan lancar dan
yakin. Mereka berdua tersenyum bahagia...dan kembali bergerak ke meja buffet.
Saya membuka termos nasi yang tersusun tiga sederet. Termos pertama berisi
pulut! Memang menyelerakan apabila terpandang bahagian pulut kuning, tetapi
melihat waktu, rasanya tidak sesuai mengunyah keliatan pulut dengan ikan
kering. Saya membuka termos kedua. Ada nasi. Nasi kukus - berdasarkan Apollo yang tergantung dua meter di luar
khemah berdekatan kami. Mengandaikan termos ketiga mustahillah pula berisi
emping atau tapai, maka saya mencapai pinggan dan mencedok nasi dari termos
kedua itu. Husin mengajuk perbuatan saya.
Di atas meja, ada ikan kering goreng, ada air asam bergaul tomato berhiris
dan satu dua lagi. Saya tidak peduli sangat. Saya hanya mencedok dua sudu air
asam. Saya lebih teruja kepada separa gulai di bekasnya yang besar. [Saya sebut
separa gulai kerana bukan gulai sepenuhnya sebab masih boleh isinya dicicah
dengan air asam... Tidak tahulah nama apa... separa sup pun boleh...gamaknya]
Selain daging, ada tulang dan perkakas dalam.
Disebabkan tidak perlu berebut, saya bebas memilih bahagian mana yang saya
inginkan... sedikit daging, dua ketul tulang, dan beberapa ketul perkakas dalam
- limpa, jantung dan hati... Kuah banjir.....
Sekali lagi, Husin mengajuk perbuatan saya. Cumanya, kuantiti tidaklah
diajuk sama...
Saya teringat ketika mempromosikan kenduri itu di ruang WhatsApp,
disebutkan kali sebelum ini betapa enaknya menokak daging di rumah keluarga Md
Rautin. Wira bertanya, adakah sama dengan tokakan kami di Changlon, ketika
menghadiri kenduri terakhir di rumah keluarga Sofiahmad Din dan Hazliza Ahmad
dua tahun dahulu. Saya katakan, kalau pun tidak lebih, mungkin setara. Hanya
yang pernah merasakannya dapat mengerti maksud saya...
Ketika mahu duduk, selepas membasuh tangan, saya disalami oleh seseorang,
yang dibawa ke depan saya oleh Md Rautin. Lelaki beruban sepenuhnya itu
menanyakan khabar saya. Saya menjawab seadanya sambil tercari siapa lelaki itu.
Md Rautin hanya tersengih, tidak pun memberi sedikit pembayang. Saya mencari.
Cuba menghitamkan rambutnya dalam pemikiran, saya nampak satu wajah....
"Ayah Rafida...kan?" tanya saya.
Lelaki beruban sepenuhnya itu mengangguk,
makin erat menggenggam tangan kanan saya yang basah. Hampir memeluk
saya, tetapi sedikit terhalang oleh gelas sirap yang di tangan kiri.
"Cikgu ingat lagi noooo...."kata ayah Rafida, "lama sungguh
tak tengok......"sambungnya.
Alhamdulillah, saya masih ingat. Selain rambutnya yang kini putih sepenuhnya,
demikian pula misai dan jangggut, tidak banyak perubahan pada wajah ayah Rafida
itu. Mungkin sedikit kedutan pada kulit wajah.
Rafida Mohd Saad adalah kumpulan kedua yang datang ke AlFalah selepas
penjenamaan semula 1983. Dia datang dari Kg Gajah Mati bersama emak saudara,
Mariam Hj Awang, sepupu, Norhashimah Ismail dan dua lagi rakan sekampung, Basri
Zakaria serta Siti Norliza Abdul Hamid. Mereka menjadi sebahagian pelajar kelas
Peralihan 1984. Dari kampung itulah tahun-tahun kemudiannya datang pula adik
Mariam - Elias -, anak saudara mereka Nasaruddin Abdullah, adik-adik Basri -
Helmi [arwah], Jamani dan Mazlan - dan
adik- adik Siti Norliza - Siti Masliza dan Siti Marhamah. Ada lagi beberapa
orang termasuk Mohd Nizam Kholib dua beradik, Mohamad Daud, Rizaki Othman,
Zakaria dan Mahathir Fazil..... Mereka membentuk satu komuniti Gajah Mati yang
membuatkan kami -guru-guru lelaki terutamanya - amat dekat dengan kampung
mereka...
Saya bertanyakan khabar Rafida, tempat tugasnya, tempat tugas sama tuanya.
Selain menjawab soalan itu En. Mohd Saad juga menunjukkan arah terletaknya
rumah Rafida. Berdasarkan arah, rasanya rumah Rafida berada tidak jauh dari
rumah paksunya - Elias. Mungkin di atas tanah pusaka Hj Awang...
Selepas berbasa-basi sedikit lagi, termasuk mempelawa ke rumahnya, En. Mohd
Saad meminta diri...dan saya berikanlah diri itu.....
Kemudian saya duduk dengan tangan kanan mula mengering.
"Kerbau tu...."kata satu suara ketika saya membuat suapan
pertama. Saya menoleh. Yang bersuara itu sedang mengheret kerusi mendekati meja
saya lalu duduk. Saya tersenyum. Memandang Husin yang duduk di hadapan saya.
Wajahnya seperti pernah dilihat, tapi di mana, ya?
Saya tercari-cari. Siapa yang makin hampir dengan meja kami ini. "Awak
ni siapa?" kurang adab sangatlah kalau saya bertanya begitu kepada empunya
diri... Maka teruslah saya tercari-cari. Mahu bertanyakan Md Rautin pun tidak
juga bertambah adabnya....
Akhirnya, selepas agak lama berbual barulah saya teringat. Itulah abang
Mashitah Hussain, budak Falah {SPM 1989} yang kini mengajar di sekitar Rawang.
Abang Mashitah ini berkahwin dengan kakak Elias dan Mariam Hj Awang, dan
bermastautin di kampung berkenaan...
Sudah banyak kali saya berjumpa, tapi tidak pernah saya tahu nama abang
Mashitah tersebut. Di rumah Md Rautin
yang terletak agak jauh dari rumah Pakcik Md Desa pun rasanya sudah dua kali
dan tidak hairanlah dia kenal saya dan duduk di situ sehingga kami pulang!
Md Rautin, setelah melihat itu ini, termasuk di tempat memasak, akhirnya
datang duduk di sebelah saya.
"Cikgu kita dulu ni...." katanya kepada sekumpulan lelaki
senior yang ditinggalkannya sebaik menyambut kami tadi... Husin membelakangi
mereka.
Semua mata mereka tertumpu ke arah saya. Tersipu-sipulah sedikit kawan
ni...
"Masa di Falah dulu ka..."tanya salah seorang dari mereka.
Saya mengangguk mengikut gaya Md Rautin. Dalam hati ada rasa haian dan
bangga. Mereka tahu Alfalah....
Barulah selesa menikmati nasi berlaukkan daging itu. Setiap suapan berisi
seketul daging manis yang dibenamka sekejap ke dalam air asam. Meski set
geraham tidak lagi berkuantiti normal, saya mengunyah juga agar tidak dimarahi
usus yang terpaksa melakukan kerja lebih kuat bagi menghaluskan siatan daging
hampir 300 gram itu menjadi selumat-lumatnya tatkala mahu dipindahkan ke lubang
tandas kelak...
Md Rautin bercerita tentang kehadian Basri a.k.a PakMid. Dia pantas meminta
seorang budak yang sedang menghidupkan motor untuk ke kedai, aga singgah ke
rumah PakMid, nyatakan cikgu datang
.....
Suapan demi suapan..... saya tidak pedulikan Husin. Telinga mendengar
perbualan tetapi tumpuan mata terarah kepada setiap ketulan daging, hirisan
tomato air asam dan nasi.
Satu masalah timbul akibat kuah banjir tadi. Ketika kuah masih banyak dan
lauk juga ada beberapa ketul, nasi pula kehabisan di dalam pinggan. Tak eloklah
meratah sahaja di situ, di depan abang Mashitah yang merupakan tauke daging
itu.
Maka, saya bangun menambah nasi. Terasa terlebih pula nasi, sedang kuah dan
krul daging nampak agak kurang. Terpaksalah saya bergerak sedikit ke bekas
aluminium berisi gulai itu. Ditambahlah sedikit kuah lagi serta sesenduk daging
dan seketul tulang. Ketika berpatah balik, sebelum duduk, saya terperasan
bahawa nampak macam lauk dan kuahnya pula banyak, tidak padan dengan nasi...
Ah, sudah! Nanti tentulah saya kena ulangi sekali lagi proses menambah...
Apalah daya saya yang tidak bijak mengagak ini...
Abang Mashitah berkisah sedikit tentang Mashitah. Adiknya itu akan
berangkat mengerjakan umrah pada 10 Disember, kalau tidak silap. Hal pemergian
itu sebenarnya telah saya ketahui berdasarkan mesej dari Mashitah sekitar
seminggu sebelumnya.
Cuma saya, dan mungkin Husin juga, amat tertarik tentang cerita si abang
berkenaan adik bongsu yang cukup meminati durian. Di luar musim pun menangis
mahukan durian. Mulanya saya menjangkakan cerita tentang sikap ibu mereka
ketika mengandung...Biasa saja. Kiranya tentang adik sendiri. Cerita si abang,
kerana minat yang mendalam itu, dengan buah yang terpaksa mengikut musim,
mereka akhirnya membuat lempuk durian ketika musimnya bagi memenuhi permintaan
di luar musim...
"La ni mudah...Takdak sini, durian Siam ada selalu..." tutup
abang Mashitah tentang nostalgia waktu kecil adiknya.
Kemudian dia bertukar tajuk pula. Tentang jualan daging. Banyak yang
disentuh berdasarkan pengalamannya. Tetapi saya, dan kali ini cukup yakin Husin
juga, tertarik pada satu hal. Ada seekor kerbau tertambat di atas ban
berdekatan titi yang memisahkan kampung besar Gajah Mati dengan kampung yang
berumah tunggal Pakcik Md Desa itu. Ketika sampai tadi pun sudah saya tunjukkan
kepada Husin akan kerbau berleher bulat dan gemuk itu.
"Tu memang cadang nak disembelih pagi tadi..."kata abang
Mashitah. "Tapi tak jadi..."
"Awat?" saya tidak ingat soalan itu dari saya atau Husin. Mungkin
serentak berdua.
"Yang sembelih awal tu pun cukup dah..."jawab Md Rautin, "
dapat lima kawah!"
"Ikut pengecaman orang tua... "tokok pula abang Mashitah.
Inilah bahgian yang menyebabkan saya yakin Husin cukup berminat. Pengecaman
orang tua. Malam tadi pun dihurainya bab pengecaman orang tua, apabila Wira -
si kaki tanya itu - asyik bersoal ada nas atau tidak pada beberapa tindakan dan
kebiasaan orang kita... Husin punya hujah yang cukup bernas untuk mengepak
tunas giatan Wira yang memang sengaja itu...
Saya, dan tentu lagi Husin, menunggu lanjutan pencerahan dari abang
Mashitah.
"Lepas disembelih tadi, kerbau itu macam memanggung sedikit
kepalanya...."kata abang Mashitah. "ikut orang tua-tua, kalau macam
tu, toksah bimbang la... lauk mesti cukup punya...."
"Dia panggung dok haba [khabar] tu...."kata Rautin ,
sedikit tergelak.
Husin tentu tertarik. Ada bahan baru dalam pengetahuan. Saya mengangguk sambil hati berasa lega. Ada
hikmahnya Wira tidak datang sama. Kalau tidak harulah jika kaki tanya itu
mengeluarkan soalan: Ada dalam nas dak?
Topik bertukar lagi. Husin makin selesa. Rokok daun dibalutnya. Berdasarkan
gaya, tanpa melihat ke bawah meja, saya tahu peha Husin saling bertindih dengan
sedikit goyangan...
Ada ternampak dua termos besar dekat tiang khemah paling depan ketika masuk
tadi. Kata Md Rautin di situ ada bubur kacang dan serawa labu. Untuk mulut yang
tidak merokok ini, saya bangun mencapai mangkuk kecil di sisi termos itu lalu
mencedok tiga ketul labu berkulit yang ceria warna isinya. Ada sama butian sagu
kecil seperti telur katak. Kuahnya pekat.
Pakcik Md Desa yang duduk di dalam khemah paling depan itu tersenyum.
Mengangguk mesa apabila saya mengisyaatkan mengajak menikmati serawa. Entah
kenal atau tidak lagi ayah Rautin akan diri ini...
Di tempat duduk tadi, Husin sedang bersembang terus dengan abang Mashitah.
Rautin khusyuk membalut rokok daun.
Saya menyudu secubit labu yang dipisahkan dari satu ketulan.
Membalik-balikkan sebentar ke dalam kuah kerana berdasarkan asap yang tipis di
atas mangkuk, serawa itu agak panas. Kemudian saya angkat dan menghembus dua
tiga kali sehingga yakin mulut dan tenggorok sudah boleh menerima darjah
kepanasannya. Lalu dimasukkan ke dalam mulut. Deria rasa bahagian manis pada
permukaan lidah terus menghantar impuls ke otak untuk ditafsirkan...
Emmmm....
"Tak mau try Husin? Sedap
ni..."kata saya sambil mengunjukkan sudu ke arah ustaz yang mahir
bertukang rumah itu. Husin mengulum senyum... Tidak, kata mulutnya. Namun
beberapa minit kemudian, hatinya berkata ya, kerana setelah hampir separuh isi
mangkuk saya berkurangan, dia bangun. Mengajuk perbuatan saya tadi di khemah
depan itu... Abang Mashitah dan Rautin tersenyum.
"Pakmid..." tiba-tiba kata Rautin sambil mengarah muncungnya ke
khemah depan. Saya mengikut arah itu dengan ekor mata.
Pakmid bagai sedang menerpa ke arah kami. Sudu kecil di tangan kanan saya
terpaksa diletakkan di dalam mangkuk di tangan kiri apabila mahu bersalam
dengan Pakmid. Dia mencium tangan saya, dan tidak melepaskan genggaman sehingga
saya terpaksa bangun. Dia memeluk saya yang tidak mampu bertindak sama kerana
terhalang oleh mangkuk serawa itu.
Beberapa detik kemudian barulah dilepaskan
saya duduk sambil dua tiga kali
ditepuknya belakang saya. Senior yang bersama Rautin awal tadi sekali lagi mendapat penerangan dari
Pakmid. "Ni cikgu saya dulu....." Sekali lagi lagi tersipu-sipulah
diri ini seketika....
Pakmid duduk di kerusi yang dikosongkan oleh Rautin. Anak tuan rumah itu
berdiri di belakang Pakmid beberapa ketika sebelum beredar ke beberapa arah
melihat dan melayan tetamu.
Pakmid.
Pakmid |
Basri Zakaria, nama sebenarnya. Bagi yang mengikuti blog ini, apalagilah
jika memang Budak Falah, tentu mengenali Pakmid. Dia belajar di situ pada tahun
1984-1989. Selepas itu pun dia masih rapat dengan AlFalah, malah satu ketika
pernah sekejap menggantikan seorang dua ustaz mengajar di situ. Menjadi ketua
murid, ketua asrama, ketua majlis muhadhoroh....jika ada pelajar yang sepatutnya mengambil bahagian ponteng
pada hari muhadhoroh [kerana takut atau segan menyertai], Pakmidlah yang akan
mengisi slot yang dikosongkan itu. Berkhutbah, bersyarah, bernasyid, bersajak,
malah berlawak! Terlebih sangatkah huraian ini? Tidak, kerana memang begitu.
Malah bukan jarang, selepas dia bersajak, dia juga muncul bersyarah
kemudiannya, semata-mata memenuhi slot yang telah ditetapkan. Mengisi ruang
orang ponteng yang mungkin sedang bersiar di pekan sehari di Simpang Empat...
Inilah pertemuan kedua kami pada tahun ini. Pertama dahulu, tentulah semasa
kematian adiknya Helmi Zakaria pada awal bulan Ramadan lalu [rujuk entri bulan
Ramadan]. Sebelum itu, lamalah juga kami tidak bertemu. Makan empat lima tahun
pula...
Makan banyaklah yang dibualkan, yang tentunya mustahil dapat ditumpahkan di
sini.
Tentang alFalah pastilah ada. Tetapi banyaknya tentang kehidupannya
sekarang. Dia seorang yang berjaya dalam hidup kini. Dan bergaya. Serta sibuk.
Malam dia mengajar menggunakan kitab kuning di beberapa masjid sekitar
kawasan parlimen Bukit Gantang. Ada ketika, terlibat dalam pengisian slot qiyamullail di kawasan berkenaan. Pendeknya, malam memang
terisi jadualnya begitu.
Siang, pagi dia menguruskan pusat rawatannya, terutama melibatkan kepatahan
tulang. Ada juga tentangurutan tradisional yang diwarisi ilmunya dari arwah
ayahandanya.
Petang, antara jam 3 hingga lima, dikhususkan untuk rawatan resdung.
Kebolehannya tentang ini saya ketahui semenjak dia masih belajar di Alfalah.
Ramai juga telah dirawatnya waktu itu. Saya sendiri beberapa kali ditawarkan
tapi menolak dengan baik. Eeee, tidak tahan melihat mukus panjang keluar dari
hidung,hampir setempurung! Bagus untuk menjaga suara, katanya waktu itu.Saya
tetap menolak dengan baik. Saya tidak pernah bercita-cita menjadi seperti insan
sebaya berasal dari Tapah, Jamal Ubaidillah Ali. Saya bukannya mahu merakamkan
suara ke dalam album...
Kini, dengan bantuan beberapa pekerja, dia merawat secara komersial.
Kaedahnya boleh dilakukan kepada 10-atau 15 orang serentak. Bentuk rawatan
terkininya tidak pula saya tanyakan. Tentulah tidak banyak berbeza dengan yang
dulu. Kerana boleh dibuat serentak itulah, maka ditetapkan masa rawatan. Supaya
orang berhajat dapat dikumpulkan, tidaklah datang ikut kehendak hati, tidak
kira tengah malam atau tengah hari bolong....
Seorang dikenakan RM10+. Saya menghitung mudah. Sehari dua puluh orang....
Fuh... Ubat susulan dijual berasingan... fuh... itu baru resdungnya... Patah
riuk, mengurut...fuh....
Pakmid hanya tersengih melihat saya mencongak dan mengefuh itu, mempamerkan
lesung pipitnya....
Malam nanti, katanya, dia akan
pulang kerana besoknya ada empat pesakit kepatahan mahu membuka balutan...
Kosnya? Pakmid tersenyum lagi. Berlubang lagi pipinya. "Rezeki
anak-anak..."katanya perlahan sambil menggosok lutut saya yang hampir
berlaga dengan lututnya.
Memang dia sibuk. semasa berbual dengan saya pun, lima enam kali juga
telefonnya meminta dijawab. Jawapannya pun berisi dengan kalimat bila dia akan
berada di kediamannya semula... Ada sekali, dia terpaksa bangun, berbual panjang
di hujung khemah berdekatan sawah di belakang rumah Pakcik Md Desa. Lama. Dan
pastilah serius keadaannya.
Tetapi sebelum bangun itu, ada satu bahagian yang
sehingga kini masih saya mencongak dan mengandai...
Pagi tadi, selepas acara menyiang daging dan sementara
menanti lauk dan nasi dapat dijamah, dia berbual bersama sekumpulan orang
kampung, termasuklah Nasaruddin Abdullah a.k.a Dino, anak saudara Elyas dan
Mariam, yang telah bersara dengan TLDM.
Salah satu isu yang dibincangkan adalah makanan
mengandungi bahan dari tubuh babi. Macam-macamlah yang timbul da dibangkitkan
berdasarkan pengetahuan dan pendengaran dan pemahaman masing-masing. A kata
makanan itu ada lemak babi, B tokok makanan ini pun ada bahagian babi, C
mencelah makanan lain yang juga mengandungi unsur babi... pendeknya, hampir
semua orang dari kumpulan itu bersuara. Ada banyak yang munasabah dan tidak
kurang juga yang sekadar khabar angin yang dilandaskan pada 'depa kata'...
Menjelang waktu makan, barulah diperolehi kesimpulan,
yang membuatkan semua cepat-cepat bangun mencapai pinggan.
Kata Pakmid, " Kalau dah itu ada babi, ini ada babi,
banyak yang ada babi...dah kita tak tahu...tengok pada umur kita....rasanya
campur semua yang pernah dimakan, seekor babi dah lebih dah dalam
badan kita ni....
Pakmid tertawa ketika bercerita itu. Saya pun ikut.
Husin? Entahlah, kerana dia seperti sedang tertarik pada bualan dengan abang
Mashitah...
Saya teringat, lalu lepaskan kepada Pakmid. " Kata
seorang kawan, baca tulisan di kotak rokok, bahan nu sekian peratus, bahan tu
sekian peratus.... tar pula sekian peratus.... ikutkan lama aku hisap
rokok ni...luas juga tar yang boleh diguna buat jalan
mini....kikiki"
Saya tertawa ketika bercerita itu. Pakmid pun ikut. Abang
Mashitah? Entahlah, kerana dia seperti sedang tertarik pada bualan dengan
Husin...
Selepas reda sedikit tawanya, Pakmid menambah kata. Tepat
ketika saya mahu menyuap serawa yang masih berbaki, yang sudah pun sejuk.
"Macam hingus resdung la..." katanya.
Hingus resdung? Appaaraaa...
Saya mengacau-ngacau kuah serawa. Pakmid tertawa lagi.
"Makan la....takpa la...."katanya, tersenyum pula.
Mungkin Pakmid menyangka saya akan terbantut selera
mengenangkan hingus resdung yang pekan bertali itu. Dia silaplah kalau
bersangka begitu. Kalau pun hingus resdung diletakkan di dalam mangkuk dan
mangkuk itu pula diletakkan di sisi mangkuk serawa saya, serawa itu tetap
selamat dilalukan melalui kerongkong saya!
Maka saya menghirup kuah serawa sambil tangan kiri
mengisyaratkan agar dia terus bercerita.
Rupanya Pakmid mahu menghubungkan cerita babi dan tar
dalam rokok tadi.
Di belakang rumahnya, dia mengorek satu lubang empat
persegi lima kaki x lima kaki sedalam lima kaki juga. Di situ, dimasukkan
plastik berisi hingus atau kahak atau mukus resdung orang yang datang membuat
rawatan. [Ada sebahagian kecil yang membawa balik plastik berisi bahan berlendir itu]. Sejak dia merawat dan
membuat lubang atau telaga itu, isinya
telah melimpah menjadi lapan kaki tinggi. Ertinya, lima kaki di dalam tanah dan
telah tiga kaki melebihi permukaan tanah. Sebuah lubang baru mesti dikorek...
Maksudnya, setelah lama dan setelah sering ditambah -
apa-apa pun - yang sedikit boleh menjadi banyak....
Kami tertawa dan saya berjaya menerbalikkan mangkuk
serawa setelah semua isi di dalamnya saya telan....
Md Rautin yang ke sana ke mari, menghampiri kami, ikut
tersengih walaupun tidak tahu apa yang kami bualkan...
Husin mengisyaratkan telah tiba masa
untuk kami beredar. Saya mengisyaratkan pula kepadanya supaya tunggu sebentar
kerana nampak Pakmid sedang berbual serius menerusi telefon di hujung khemah
ketiga. Kurang manis kami pulang tanpa mengucapkan salam perpisahan kepada otai
AlFalah itu.
Pakmid namapak makin serius dan rancak berbual dengan sesekali menggerakkan
tangan kanannya ke pelbagai arah. sekejap dia duduk, sekejap lagi berdiri.
Apabila dia duduk semula, saya pantas bergerak ke arahnya. Dia terus bercakap
hampir dua minit.
Saya mahu bersalam dengannya dan memberitahu untuk beredar. namun huluran
tangan saya dibalas dengan huluran kerusi plastik...
"Nak pi mana... duduk dulu bersembang...."kata Pakmid.
"Bukan selalu..."
Sudah!
Husin |
Saya terpukau dengan katanya itu lalu duduk. Menghadapnya. Saya mengerling
Husin yang memang membelakangi kami di khemah tengah tadi. Dia kelihatan sedang
terus berbual dengan abang Mashitah. Bahasa badannya saya faham sedikit. Sedang
terpukau pula dengan topik yang hanya mereka berdua yang tahu...
Maka berbuallah saya dengan Pakmid hampir duapuluh minit pula. Banyak patah
kata saling diungkapkan. Dua tiga subtopik pula. Tapi semuanya cerita milik
peribadi kami. Off-record...
Setelah berjanji akan bertemu lagi, dengan dia sendiri akan mencari saya,
untuk bersembang hingga ke cerah, seperti
yang pernah kami lakukan enam tujuh tahun lalu, barulah Pakmid melepaskan saya.
Kredit harus diberikan kepada abang Md Rautin. Dia membawa sepinggan nasi penuh
berlauk, lalu duduk di meja tidak jauh dari tempat duduk kami. Dia mempelawa
saya dan Pakmid makan. "Makan pukul sebelas tadi, ni rasa lapar
pula..."kata abang Md Rautin yang kerap juga melihat dan melawat adiknya di asrama pada
era perFalahan dahulu.
Saya menolak dengan isyarat tangan, sambil menepuk perut yang memang
kekenyangan. Pakmid juga menepuk perut. "Rasa nak makan
pulak..."katanya. Saya tersenyum lega. dengan segera saya menyokong
kehendak perutnya dengan bangun membongkok memeluk Pakmid yang masih duduk,
beberapa kali menepuk belakang dan sekali menepuk perutnya. Pakmid mencium tangan
saya sebelum berlalu ke meja nasi dan lauk.
Saya kembali ke meja Husin dan abang Mashitah. "Let's jom..."
kata saya di dalam hati. Cantiknya, isi hati saya dapat difahami Husin. Dia
bangun bersalam dengan table-mate kami tadi - abang Mashitah, ketika Md
Rautin baru saja duduk semula di sisi meja tersebut. Sekalilah kami bersalam
dengan Md Rautin.
Pakmid yang membawa sepinggan nasi penuh berlauk berselisih dengan kami
ketika dia menuju menemani abang Md Rautin yang sedang berselera menyuap...
Saya melambainya sekali, sebaik dia membuat suapan pertama. Husin
menghulurkan sampul kepada Md Rautin manakala saya bergerak menuju ke khemah
depan, mencari Pakcik Md Desa, yang sedang melayan seorang ketua sekumpulan
tetamunya yang dengan kuat bercerita dia tersesat jalan walaupun bukan sekali
dua ke rumah itu.
Saya bersalam dengan Pakcik Md Desa yang tersenyum mesra. Sampul saya
selitkan ke poket baju melayunya.
Wajah yang cukup akrab dengan bumi Falah suku abad lalu, kini dimamah masa.
Kedutan di mana-mana, tetapi kerana bentuk tubuh yang tidak berubah sejak
dahulu, Pakcik Md Desa kelihatan muda sedikit dari usia sebenarnya...
"Tanya dia kenai dak?" saya tidak perlu menoleh. Itu suara
anaknya, Md Rautin dari khemah tengah. Saya tahu Pakmid dan abang Mashitah
serta beberapa tetamu lain sedang memerhatikan kami.
Saya pun kemukakan soalan popular itu. Pakcik Md Desa tidak berfikir lama
untuk menjawab. Ikhlas dituturkannya: " Isy, memang tak ingat..memang tak
kenai..."
Saya pun memperkenalkan diri. "Cikgu Din masa sekolah Falah
dulu...."
"Laaaa... Cikgu Din
ka...." senyum berulas di bibirnya. "Minta maafla... saya tak kenai
sungguh...."
Pakcik Md Desa sedikit tersipu kemudiannya. "Gemuk la
Cikgu..."katanya yang sering bergurau dengan saya baik semasa ke AlFalah
atau sesekali saya dan guru lain mengunjungi kampungnya.
"Gemuk? tang ni saja yang lebih....."kata saya sambil menepuk
perut. Pakcik Md Desa tertawa. Ketua tetamu yang tersesat jalan tadi, mendongak
dan ikut ketawa.
Saya menepuk bahu Pakcik Md Desa dua kali sebelum melangkah ke luar khemah.
Husin mengekori.
"Ali!" terdengar suara Pakcik Md Desa. Saya tahu dia memanggil Md
Rautin. Memang di kalangan keluarga dan sebahagian orang kampungnya memanggil
Ali kepada Md Rautin. Entah apa sebabnya, terlupa pula ditanyakan walaupun
hampir sedekad Md Rautin di AlFalah.
Ada beberapa suara, termasuk Pakcik Md Desa dan Alinya memanggil saya dan
menyuruh tunggu.... Sahihlah tadi Pakcik Md Desa mengisyaratkan sesuatu pada si
Ali...
Sebagai orang Melayu, saya tetap melangkah, walau hanya setengah tapak,
sehinggalah terdengar panggilan lagi, termasuk dari meja paling depan khemah
pertama. Saya berhenti. Mereka menyruh saya menunggu. Husin meniru.
Keterikan mentari petang yang menyilaukan, menyuruh saya bergerak semula,
mencari tempat berlindung. Banyak langkah juga diperlukan untuk sampai ke ban
yang terdapat pokok rimbun. Maka berkalilah panggilan supaya menunggu sebentar
kedengaran.
Saya berteduh di bawah bayang pokok. Husin meniru.
Sebentar kemudian, Ali....errrr....Md Rautin datang separuh berlari membawa
dua beg plastik berisi nasi dan lauk. Berat juga isinya. Lebih sekilogram.
Dengan tangan terbuka, saya menerima satu beg. Husin meniru lagi. Saya ucapkan
terima kasih kepada Md Rautin. Husin meniru terus...
Kami balik dengan senang hati. Perjalanan hingga ke Simpang Empat terasa
pendek sahaja. Hampir tidak saya ingat alngsung apa yang kami bualkan semasa
pulang itu.
Husin menurunkan saya di tapak bazar Ramadan Simpang Empat, dengan janji
akan bertemu lagi dalam masa terdekat...
Terima kasih, Husin.
Di rumah, saya memisahkan nasi dengan bungkusan lauk. Tidak hanya
separa-gulai daging kerbau memenuhi uncang plastik 4" x 9",
disertakan juga dalam plastik lain bersaiz sama, air asam pencicahnya....
Maka malam itu, saya terlupa masakan negara Gajah Putih di Restoran Sofia,
Batas Paip. Saya sudah ada masakan Kg Gajah Mati, Pendang...
Tetapi ada sesuatu yang tetap saya ingat ketika menghadap juadah istimewa
selepas solat Isyak. Cerita hingus resdung...
Saya tersenyum setiap sebelum menyuap
dan selepas menelan.
Samatua kehairanan sambil ikut menyuap. Ditanyanya apa yang macam seronok
sahaja gayanya. Saya katakan tentulah seronok apabila ada orang mengingati dan
mesra dengan kita... Samatua tidak bertanya lagi. Lega...
Demi kemaslahatan meja makan, apa yang sedang saya ingat itu, tidak saya
luahkan....
2 comments:
rafida
masitah
pakmid...
my friends...
Akhirnya, selepas agak lama berbual barulah saya teringat. Itulah abang Mashitah Hussain, budak Falah {SPM 1989} yang kini mengajar di sekitar Rawang. Abang Mashitah ini berkahwin dengan kakak Elias dan Mariam Hj Awang, dan bermastautin di kampung berkenaan...baru tau...dan x pernah tau pun sebelum ini....he he he
Post a Comment