Hari Kedua [Sabtu 20 Disember]
Beberapa minit melepasi jam 8 pagi, Wira selaku
urusetia penjadualan bersarapan bersama Zairi, menelefon saya, bertanyakan
lokasi terkini. Selain daripada itu dia memaklumkan tempat menyoghok pagi itu: Kedai Ikan Termenung Hj Jamil, Batas Paip.
Saya yang memang sedang menunggang motor segera
terbayangkan kedai yang popular bagi pencinta gulai ikan kembung, terutamanya,
terletak di antara pagar sempadan Kompleks Bernas dan
pejabat MADA A-IV Batas Paip. Di depan arah utara , bersebelahan jalan
masuk ke kompleks tersebut terletaknya Kompleks Perniagaan Nakhoda – lokasi
salah satu premis kegemaran kami adalah Kedai Mee Abbas… Di depan arah timur
adalah jalan Yan-Batas Paip.
Kedai itu telah lama beroperasi. Lama sebelum Kompleks
Perniagaan Nakhoda didirikan. Kini, selain penambahan meja dan menu, ada satu tarikan lain. Di depan kedai itu ada
gerai menjual aneka kuih pengatan –
pulut sekaya hijau dan hitam, pulut kacau, dua jenis bengkang dan tepung
talam. Di belakang sedikit, menghala masuk ke Kompleks Bernas, ada seorang
peniaga pelbagai hasil laut yang dikeringkan, berurusan dari boot
keretanya.
Lima belas minit selepas dihubungi Wira, saya sudah
sampai ke situ. Tercari-cari sosok tubuh insan nan lampai itu. Tiada kelihatan
di mana-mana meja – luar atau dalam. Saya hubunginya. Katanya, dia sedang
menanti tempahan roti canai di gerai yang terletak berhadapan Taman Restu,
salah satu tempat pujaannya di Batas Paip. Merasakan kekok berdiri untuk diperhatikan pelanggan Hj Jamil yang sedang
beratur mendapatkan gulai temenung atau yang sedang menjamu selera di meja,
saya tunggang semula motor untuk ke tempat Wira berada. Seratus meter sebelum
sampai, saya nampak kelibatnya sedang menunggang motor menghala pulang. Dia
mengisyaratkan saya supaya berpatah balik, sebelum menghentikan motornya
menunggu saya membuat pusingan U. Di dalam bonet motornya ada beberapa
bungkusan, dan sudah pastilah ikut serta roti canai. Dia mahu pulang sebentar
ke rumah bagi menghantar bungkusan makanan itu. Peristiwa membiarkan
anak-anaknya ‘kelaparan’ seperti pagi sebelumnya tidak mahu diulangi…
Saya kembali ke Kedai Hj Jamil. Mencari tempat duduk
paling sesuai untuk berlama – meja paling hujung, berdekatan pagar sempadan,
tidak jauh dari abang penjual hasil laut yang dikeringkan itu.
Saya meminta teh o ais kepada pembantu kedai yang
datang mengambil pinggan dan gelas yang baru ditinggalkan pelanggan di meja
berdekatan. Ketika minuman itu baru diletakkan di depan saya, Wira pun sampai.
Sekejap benar dia menghantar bungklusan makanan ke rumahnya.
“Takdan masuk rumah dah apa…”saya menyakatnya yang
sekadar tersenyum sambil mencapai kerusi, sambil memesan Nescafe ais kepada
pembantu kedai. Sebaik punggung diparkir, dia terus membuka telefonnya,
membelek grup WhatsApp. Tenggelam dalam ayat-ayat di di situ dan sesekali dia sendiri menaip ayat.
Saya lemah semangat, terasa keseorangan…
Semangat saya pulih sebaik nampak kelibat Zairi yang
mahu melintas jalan dari Kompleks Perniagaan Nakhoda. Keretanya diparkir di
tepi blok rumah kedai itu.
Zairi duduk di sebelah saya, membelakangkan Kompleks
Bernas. Dia meminta minuman panas. Wira masih tenggelam bersama telefonnya.
Entah apa yang ditulis rakan-rakan dan apa pula yang dibalasnya.
Setelah membangkit sedikit tentang pertemuan di PG
malam tadi, barulah keadaan kembali normal. Wira memberitahu Mar Isma di antara
rakan yang sedang di dalam talian.
Saya dan Wira bangun untuk mendapatkan nasi dan gulai
temenung. Zairi bangun ke gerai kuih. Katanya, dia baru sahaja bersarapan nasi
lemak bersama keluarga di rumah.
Ikan temenung yang entah fasa giliran keberapa
dimasukkan ke dalam tiga periuk kuah gulai masih belum elok masaknya. Pelanggan
berderet menunggu. Seorang lelaki Cina, yang mungkin ahli keluarga pekedai tua
bersetentang kedai Hj Jamil yang mati dua tiga hari lalu, memesan 25 ekor ikan.
Saya menoleh ke meja yang diduduki rakannya. Ada dua orang sedang menunggu
dengan tiga pinggan nasi kosong dan dua tiga piring lauk lain – mungkin sotong.
Seorang lapan ekor? Fuyyo…. Saya dan Wira hanya bercadang untuk mengambil empat
ekor…Pelanggan lain belum tahu lagi jumlah yang dikehendaki. Tentu lama
menunggu, fikir saya. Lantas saya mengambil sepiring sotong sambal yang telah
berderet diisi oleh pekerja. Setiap piring ada lima enam ekor sotong bersaiz
ibu jari.
Saya lihat adik Hj Jamil sedang mencungkil sedikit isi
ikan temenung dengan sudu bagi melihat elok atau belum masaknya. Adik Hj Jamil
itu memang kenalan Wira, sama-sama berminat dengan kuliah agama di
masjid-masjid sekitar Kola. Dia membalik-balikkan ikan yang diangkat seekor
dari periuk besar. “Api tak boleh kuat…”katanya kepada lelaki Cina yang meminta
25 ekor ikan tadi. Lelaki itu mengangguk, menelan liur.
Saya melihat kepada deretan penunggu. Ada lima enam
orang di depan saya. Saya jangkakan lama lagilah untuk sampai ke giliran kami.
Saya mengisyaratkan kepada Wira supaya menunggu manakala saya bergerak bersama
sepiring sotong sambal dan dua pinggan nasi. Saya ambil juga lima biji bendi
celur bersaiz jari manis untuk pinggan sendiri serta sesudu sambal belacan.
Wira pula mengambil seketul ikan talang kering goreng, diletakkan di atas
nasinya.
Saya letakkan pinggan dan sotong itu di atas meja.
Belum pun tetap duduk saya, Wira sampai bersama empat ekor ikan temenung gulai
yang berasap kuahnya. Wira tersengih. “Untung orang ada kabel ni…”kata saya.
Sengihan Wira makin lebar…
Wira duduk. Zairi datang bersama tiga jenis kuih –
pulut sekaya kepala hijau, pulut sekaya kepala hitam/tepung talam dan bengkang.
Saya dan Wira mula menghadap nasi, ikan temenung dan
sotong sambal. Ambil masa juga untuk habiskan seorang dua ekor ikan, sambil
berbual itu. Tapi mengenang tiga pelanggan Cina tadi, yang tentunya juga
berbual sambil menghadap seorang lapan ekor ikan, apalah sangat yang kami
hadapi…
Seperti biasa, bahan bualan cukup rencam. Sukar mahu
dibuat transkripsi. Maaflah ya.
Zairi membelek WhatsApp. Wira pun demikian. Mar Isma
terliur kuih yang dipamerkan. Ada lagi yang mencelah tapi kerana saya tidak
melihat skrin, tidaklah saya tahu siapa-siapa… Fokus saya cuma pada suara Wira
dan Zairi serta tentunya pada nasi dan teman-temannya…
Lama berbual, tiba-tiba Zairi menyatakan Cikgu Deja Man
bertanyakan lokasi kami. Zairi memperincikan plan ke situ. Kata Zairi, Cikgu
Deja Man akan datang. Dia mahu mengambil ikan dari Malek untuk dibuat kuah
laksa bagi acara di rumahnya besok.
Beberapa kali Zairi memperincikan plan. Siap dengan
mercu tanda, apa yang diingat. “Kami tunggu…”katanya.
“Dia dok tang mana?”Tanya satu mulut yang sedang mengunyah
nasi.
“Dia baru bertolak dari rumah…”balas Zairi.
Laaa….
Sudah jam sembilan lebih, kak…Saya perlu balik awal.
Jam dua petang nanti akan muncul lagi di sekitar situ untuk menyertai Wira ke
rumah keluarga Ustaz Mazlan Mansor. Ada kenduri kahwin adik bongsunya. Undangan
telah diterima pada 29 November lalu di PG…
Itu kata hati saya. Tetapi kerana hati ini ada banyak bilik,
itu hanya kata di salah satu bilik hati. Kata dari bilik hati yang lain,
tentulah lain pula…
Wira pula melalui WhatsApp mungkin sedang mengusik Mar
Isma selain mengundang Saiful dan Sazaziz menyertai kami pagi itu.
Saya sempat membaca apa usikan Wira dan apa pula
balasan Mar Isma. Namun yang paling berbekas adalah tatkala bergurau tentang
kuih-muih yang kononnya bakal dihantar kepadanya, Mar membalas: Eloklah..selama ini mai tak pernah bawa apa
pun…Sampai ke tulang sum-sum oooo meski kemudiannya Mar tambah
dengan kikikiki….
Memang pun itu hakikatnya. Dalam laksamfest di PG, kami hanya membawa perut atau yang lebih kecil,
anak tekak…
Dalam pada itu Zairi menghubungi Nazri. Tan Sri di
kalangan BF itu seperti pagi kelmarin, sedang berkayuh juga. Berada di kawasan
Telok Bagan. Entah apa yang mereka bualkan, tetapi tentulah termasuk sama
tentang tempat kami bertiga berlabuh…
Sebentar kemudian Saiful Adly sampai. Dia tentunya
menunggu masa untuk menyertai ahli keluarga lain bagi acara bertandang.
Sepupunya yang bernikah dengan jejaka sekitar Jenun akan dibawa ke rumah mertua
pada tengah hari nanti. Kenduri sepupu Saiful itu – anak BF Rohani Hamid – saya
hadiri pada hari Khamis lalu, di Alor Pulai.
Saiful memaklumkan Sazaziz ada di Dewan SK Taman
Bersatu. Sojar berpangkalan di SP itu sedang
meninjau persiapan kenduri bapa saudaranya di dewan berkenaan esoknya.
Sambil bercerita itu, dengan air minuman baru sahaja
sampai, Saiful menghabiskan tepung talam yang masih bersisa di atas meja. Zairi
telah lama membiarkan kuih itu di situ. Saya dan Wira pula yang sedang
kekenyangan tidak mahu lagi mendera perut. Lebih kurang empat jam lagi, perut
yang sama akan diisi dengan nasi berlauk di Lorong 8, Kola Kedah…
Muncul kemudiannya Sazaziz, jejaka harapan bapa
saudaranya yang tidak mempunyai anak lelaki. Dialah yang menolong memastikan
susun atur kenduri bapa saudaranya esok – serta jamuan keluarga malam nanti –
tidak bercelaru…
Sazaziz seperti malu-malu. Mula-mula… Almaklumlah, di
antara yang ada di situ, dia saja yang kekal berstatus solo. Tambahan di dalam
grup WhatsApp, statusnyalah yang kerap dijadikan bahan. Dan dia tabah menerima
sebarang libasan…Gamaknya pagi itu juga dia menjangkakan statusnya bakal
diutarakan lagi, terutama dari Zairi…Namun sehingga minumannya sampai, hal lain
yang dibangkitkan. Usikan di alam maya tidak dibawa ke meja pertemuan.Malu-malu
mula-mula tadi lenyap perlahan-lahan…
Cuma adalah sekali yang terbabas. Sazaziz menyatakan
dia perlu menolong bapa saudaranya itu kerana semua sepupunya perempuan. Saiful
mengusik, “Tah dalam hati pak penakan hang tu ada hasrat untuk ambik hang jadi
menantu….” Huih! Balas
Sazaziz. Bulat matanya merenung Saiful. Kebanyakan
kami menumpang kekeh atau senyum.
Kami terus berbual berbual berbual. Pelanggan Hj Jamil
di dua tiga meja berhampiran meja kami telah dua kali bertukar.
Di celah-celah itulah, dalam sembang yang bersambung,
kami nampak kelibat Cikgu Deja Man di
dalam keretanya, baru melepasi kereta abang penjual hasil laut yang dikeringkan
itu.
Wira terus mengangkat telefonnya. Menyentuh ikon kamera
pada ruang WhatsApp. “Mai dekat saja, teghuih tangkap gambaq…”katanya.
Benarlah, selepas Cikgu Deja Man sejarak tiga meter
dari meja kami, satu klikan dibuat Wira. Berisy jugalah cikgu itu sekali…
Cikgu Deja Man duduk di kerusi bersebelahan Wira.
Tersipu-sipulah sedikit admin grup WhatsApp nan pemalu itu…
Saya tidak ingat ada pelawaan atau tidak supaya Cikgu
Deja Man makan nasi bergulai ikan temenung. Yang pasti minumannya dipesan. Kemudian
Zairi tunjukkan gerai kuih di depan kedai, yang selama ini hanya dilihat cikgu
itu hasil layuran kami di alam maya. Cikgu Deja Man bertanya sepatah dua
tentangnya, dijawab berbelas-belas langkah oleh Zairi. Bimbang bakal kehabisan,
dia pergi ke gerai itu. Sebentar kemudian Zairi datang bersama empat bekas
polisterin. Tanpa membukanya saya mengagak tentulah empat jenis kuih berasingan
ada di dalam bekas-bekas berkenaan.
Lamalah juga kami berbual. Tidak terdaya insan nan
lemah ini mencatat setiap tajuk.Sesekali
saya menjeling jam di telefon. Sempatkah untuk balik, berehat sekejap dan
datang semula selepas solat Zuhur nanti?
Tahu-tahu Cikgu Deja Man mahu mengundur diri. Mahu
mengambil ikan selayang di rumah Malek, katanya. Tengah hari nanti mahu ke
majlis kenduri pula bersama keluarga.
Timbul ‘mentol’
di kepala seseorang. Malek dihubungi Zairi dan tauke ikan yang memang sedang
menanti Cikgu Deja Man bersedia untuk datang ke tempat kami berkumpul itu.
Cikgu Deja Man kembali duduk. Kembali berbual.
Lia punia
ati punia lalam ata manyiak sinang ooo…Gamaknyalah.
Saiful bangun mengambil nasi serta lauk-pauknya –
terutama gulai ikan temenung…Ada pula tomato yang di dalam gulai – sesuatu yang
tidak saya dapati dari gulai yang Wira bawa tadi. Berselera dia mula makan
setelah mempelawa setiap kami.
Tan Sri kita pula sampai. Berpeluh-peluh. Dihantar oleh
iparnya dengan motor. Katanya, keretanya sedang diselenggara di sebuah bengkel.
Dia yang baru sekejap duduk di sebelah saya bangun untuk ke gerai kuih. Datang
semula bersama tiga jenis kuih. Dia mempelawa Cikgu Deja Man makan. Cikgu itu
menunjukkan empat bungkusan yang masih di dalam beg plastic di atas meja, yang
Zairi bawakan tadi.
“Tu nak bawa balik rumah…. Kita makanla yang ni…”kata
Tan Sri. Tersenyum. Matanya hilang. Keh123x.
Cikgu Deja Man akur. Dia menggunakan sudu plastik di
dalam gelas minuman bagi mencubit bengkang untuk dihantar ke mulutnya. Saya
melihat Wira menghalakan lensa ke arah
Cikgu itu. Entah sempat dikliknya atau tidak, tidaklah dapat saya pastikan
kerana sebentar amat kemudian dia kembali membelek WhatsApp tanpa ada tanda
menekan butang hantar.
“Mmm. Macam orang buat nooo…”kata Cikgu Deja Man,
mengulas ikhlas rasa kuih yang baru ditelannya setelah mengunyah dan mengambil
masa untuk membuat pemarkahan…
“Memang orang yang buat…”balas saya. Tergelak. Wira di
depan saya meniru. Saiful pun. Sazaziz tersenyum. Zairi meniru Sazaziz sedikit.
Tan Sri dengan kehnya. Tapi tidak banyaklah. Sekitar 2x…
Tidak perlu pencerahan. Saya memang sengaja membalas
begitu. Tetapi Cikgu Deja Man tetap mahu memaknakan maksud katanya tadi. Memang
saya pun akui, rasa kuih di situ seperti kuih yang orang masak untuk dimakan
sekeluarga. Tidak dikurangkan kandungan resipi asal. Selalu dijumpa pulut
sekaya atau tepung talam yang kalau diterbalikkan bekasnya pun tidak berganjak
kepala – punyalah keras! Yang Cikgu Deja Man baru rasa itu, berhinggut meja
sedikit, kepala kuih itu sudah bergegar. Menyelerakan!
Saya menyapa Tan Sri sudah berapa lama kembali berkayuh
saban pagi. Lama juga, katanya. “Tak nampak perubahan pun…”kata saya sambil
memegang perutnya. Tan Sri tertawa sehingga hilang mata…Keh 123x.
Perbualan bersambung.
Malek pula sampai, tersenyum sambil melangkah
menghampiri meja kami. Ikan yang dibawa dibiarkan di dalam bonet motor yang diparkir di tepi jalan. Tidaklah dapat selayang
pandang pun kami lihat ikan selayang itu.
Perbualan bersambung.
Oleh kerana Malek juga hanya memesan minuman, tidak
dapatlah saya mencatat panjang lagi tentangnya…Bab apa yang dibualkan memanglah
tidak terpemenai banyaknya jumlah kata.
Perbualan berterusan sehinggalah kemudianya beberapa
orang mula mahu mengundur diri.
Cikgu Deja Man dengan alasan mahu menghadiri kenduri
nanti. Alasan itulah juga yang digunanya tatkala saya katakaa jamuan laksa itu
dibuat pada hari tersebut pun boleh – dengan syarat meminta Mar Isma datang
awal untuk membantunya memproses kuah…Malek bangun mengambil ikan di dalam
bonet motor untuk diberikan kepada Cikgu Deja Man. Saya menggunakan telefon
Wira mengelik situasi itu. Sempat Cikgu Deja Man menoleh dan berisy sekali.
“Salam perpisahan”tulis saya sebagai caption
foto yang dimuatkan di dalam WhatsApp.
Zairi dengan alasan mahu ke Juru nanti bagi meneruskan
penyeliaan di tapak pameran di situ. Malam nanti, kalau boleh dia akan
menyertai kami di Restoran Sofia. Beberapa minit kemudian, sempat lagi dia mengelik beberapa bahan membuat cucur
udang, sebaik sampai di rumah emaknya
bagi diperagakan kepada ahli grup. Sabariah yang terpesona di dalam talian akan
bahan-bahan itu, disakat melalui telefon Wira. Telefon Wira tetapi
sebahagiannya menggunakan jari saya…Dan Wira hanya tersengih apabila saya
tunjukkan ayat marah Sabariah…
Saiful pula dengan alasan yang memang boleh diterima.
Seperti dinyatakan awal tadi, dia mahu menyertai keluarganya ke majlis
bertandang ke rumah pengantin lelaki, menantu kepada bapa saudaranya di sekitar
Jenun. “Nama kampung taktau, tapi dekat dengan stesen keretapi, “katanya,
“nanti sampai saya hantaq dalam wasap…”
Sazaziz mahu kembali melihat sekitar dewan SK Taman
Bersatu. Tugasannya belum selesai, gamaknya. Lebih-lebih lagi persediaan untuk
acara malam nanti, khabarnya dengan menu utama berlaukkan kambing…
“Nak balik pun tak padan dah aih…”kata Wira ketika saya
juga mahu menjadi pengundur, “Dekat pukoi 11 dah ni...”
Benarlah. Masakan dalam tiga jam sempat berehat dan
datang kembali. Perjalanan pergi balik sahaja, hodoh-hodoh pun, mahu 40 minit…
Maka tinggallah saya bersama Tan Sri, Malek dan Wira di
kedai Hj Jamil.
Apa yang kami buat?
Berbuallah lagi. Topik yang menjadi pilihan Malek dan
Tan Sri, terutamanya, adalah kereta kereta dan kereta. Saya menjadi pendengar
dengan Wira sesekali mencelah. Tetapi lebih banyak masanya Wira gunakan
membelek telefonnya. Kadang kala dia tersenyum sendiri. Ada masa diunjuknya
muka telefon supaya saya berkongsi belek, berkongsi senyum.
Hampir sejam juga kami mampu bertahan di situ, begitu.
Menghampiri pukul 12, saya memutuskan untuk pergi terus
ke rumah kenduri. Tidak perlu dfikirkan lagi selepas ini. Balik nanti boleh
rehat dengan lebih lama dan selesa. Wira akur.
Kami berpecah. Malek dan Tan Sri ke kedai tempat kereta
Tan Sri dipulihkan. Wira pulang dahulu ke rumahnya, mungkin untuk memaklumkan
kepada samatua plan kami ke rumah keluarga Mazlan telah bertukar. Kena
diawalkan dua jam.
Saya menggunakan jalan utama ke Kola. Singga sebentar
di kiosk minyak tertua di kawasan itu, berhampiran Restoran Awie.
Semasa menunggang itu, saya teringat bahawa satu rekod peribadi
saya – dan mungkin Wira - telah tercipta hari itu. 8-30 pagi – 12 tengah
hari. Pertama kali duduk bersarapan di
kedai selama tiga
jam setengah!
*********
Akan hal kenduri itu sila rujuk entri Quinary M
*********
Zairi akan sampai di Sofia sekitar jam 11. Demikian
yang Wira maklumkan pada awal malam itu.
Saya baru saja menyalin baju di rumah adik. Perut masih
kenyang dengan nasi kenduri di Lorong 8 tadi. Saya koyak minyak dengan perlahan
sekali kerana masih banyak masa untuk mencapai angka 11 pada jam di telefon.
Saya ke Batas Paip dengan melalui Jalan Lencong Barat
dan seterusnya Jalan Kola. Dalam perlahan itu saya melintasi SMK Tun Sharifah
Rodziah. Saya terkenang betapa satu malam, bersama Cikgu Non dan Cikgu Rahim,
menerima tetamu dari Jerantut, Pawang Nujum. Ketika melintasi depan sekolah
itu, atau kerana mula masuk ke jalan berkenaan, Pawang bagai terpelanting ke
masa sila. Dia teringat menaiki bas MARA dari AlFalah ke Alor Setar vice versa….
Hilang wajah Pawang, saya nampak kelibat Tan Sri.
Betapa satu malam, kami – Zairi, Wira
dan saya, mahu bersembang di Jalan Pegawai, Tan Sri yang ditemani Malek,
terlupa jalan, sehinggalah kami berjumpanya di depan sekolah itu, bertanyakan
kenapa tidak ke Jalan Pegawai. Akhirnya, kami singgah di Taman Pelangi dan
berbual di gerai minuman 24 jam itu sehingga jam 3, dengan Zairi terbelek-belek
jam, kerana siangnya dia mahu bertolak ke Elkay…
Dua situasi itu saya garap dalam entri di blog ini. Pengikut
setia tentu pernah membacanya…
Demikianlah saya. Setiap tempat yang pernah disinggahi
akan segera menggamit kenangan. Saya lintasi Rakok. Saya lintasi Samila. Dua
kedai masakan ala Thai. Saya terkenang beberapa pertemuan dengan BF bersama Cikgu
Non dan sekali dua disertai sama Cikgu Rahim.
Melintasi rumah keluarga Allahyarham Dato Hj Ismail
Hashim, qari legenda, saya teringat kepada Cikgu Khamariah, anaknya yang
beberapa tahun mengajar di AlFalah. Teringat akan hari pernikahannya yang
meriah. Melintasi jalan mini ke Kg Toktong [saya tidak tahu nama lain bagi
kampung itu, jika ada] saya teringat pada Sarimah Ismail, BF tahun 1983 – 1988,
dari situ. Saya terkenang perihnya berulang awal pagi dengan bas dengan perlu
meredah embun di atas batas bendang terlebih dahulu, sebelum sampai ke Jalan
Yan-Batas Paip. Dia menunggu bas di sekitar Alor Ibus, kalau tidak silap saya.
Ada dua tiga jalan masuk ke kampung tersebut sebenarnya. Dari jalan Kola, Jalan
Batas Paip dan Jalan Kg Pergam.
Demikianlah.
Saya hubungi Wira menyatakan telah hampir ke Restoran
Sofia. “Sat…”kata Wira. Mungkin mahu menidurkan anak ketiganya yang sentioasa
mahukan belaiannya sebelum terlena. {Saya teringat Wira bercerita tentang anak
itu. Selalu kata anak kepada si ayah, “Ayah nak pi kerja, jom peluk aku
sat..” Selepas dua tiga minit dalam pelukan, anak itu pun terlena. Entah urat
lena mana yang si ayah picit…sebab mudah sangat lelapnya] Mungkin dalam fasa
akhir mendodoikan bayi kembarnya. Mungkin pula sedang menyanyikan satu lagu Hindi
buat samatuanya…
Saya benar-benar sampai. Dan saya benar-benar terkejut.
Zairi telah ada di situ. “Baru sampai…”katanya yang memilih meja berhampiran
jalan untuk kami bersidang.
Kami berbual seperti biasa. Tentang siapa yang mungkin
ada di sekitar BP. Tentang tugasannya di Juru. Tentang admin grup WhatsApp yang
sentiasa sibuk.
Sepuluh minit kemudian barulah Wira, si admin grup,
sampai. Tersengih melihat Zairi.
Kami berbual terus. Tolong jangan tanya tajuk, boleh
tak? Hehehe. Memang tidak ada skima. Apa saja yang terlintas, itulah yang
dibualkan.
Zairi memesan makanan. Sup tulang, telur dadar dan nasi
putih. Saya masih kekenyangan. Wira pun. Tetapi, supaya Zairi dapat berjemaah
semasa makan, saya minta sup sahaja. Supaya tidaklah senang sangat si tukang
masak bekerja, saya tidak mahu sup tulang atau daging lembu. Saya minta sup
ayam.
Berbual lagi…
Sambil makan, saya mengelik – atas nama Wira – wajah
Zairi dengan menu pilihannya sebagai props. Saya terus menyertai Zairi menikmati
sup masing-masing. Saya tidak dapat melihat kerongkong Wira naik turun atau
tidak kerana asyik menghirup dan memasang telinga serta sesekali mengeluarkan
suara, menumpang berbual. Namun, sedang dalam satu fasa menghentikan hirupan
bagi menarik nafas, Wira mencapai satu mangkuk kecil dan mencedok sup di
mangkuk saya. Dia menghirup sup itu
dengan gaya yang cukup selamba. Rupanya telah dua kali dia bertanyakan sedap
atau tidak sup itu…
Saiful sampai. Seperti pagi tadi, dia juga memberi
laporan tentang sahabatnya, Sazaziz. Teruna AlFalah itu sedang di dewan SK
Taman Bersatu, menyertai keluarganya menikmati nasi berlaukkan kambing… Saiful
ada menghubunginya menyatakan dalam perjalanan ke Sofia untuk bersama kami.
Sazaziz, dengan keadaan yang agak sibuk di dewan, berjanji akan cuba datang.
Saiful juga bercerita tentang majlis di rumah pengantin
lelaki, menantu bapa saudaranya tengah hari tadi. Dijelaskan lokasi dan nama
kampung, tetapi saya tidak sempat menyimpannya di dalam minda.
Husin pula muncul. Tersenyum manis ketika duduk di sisi
kiri saya setelah menyalami kami semua.
Berkilas kaki, dia mula membuka telefon dan membuka daun rokok…
Saya mengelik foto untuk wajahnya. Tidak begitu
menjadi. Saya klik sekali lagi untuk hasil yang cukup memuaskan lalu menaikkan
ke grup. Sejak akhir-akhir ini, saya kena berhati-hati memilih fotonya. Mesti
yang comel.
Selalunya foto di grup sembang itu saya muatkan pula di grup FB BF sebagai
arkib. Ada pemerhati khusus sekarang, katanya.
Kemudian sekali barulah muncul Sazaziz. Juga dalam
senyum menyalami kami. Dia duduk di sisi kanan saya.
Sazaziz memakai baju t hitam yang mula dipakainya pada
31 Ogos lalu –di bahagian belakang tertera tema Hari Kebangsaan tahun ini – Di
Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Baju itulah yang pada malam hari Merdeka tersebut,
dipakainya di PG ketika bekas guru dan senior AlFalah dalam acara memakan
laksam. Dua tiga kali, Zairi, dari Elkay, yang melihat foto di dalam WhatsApp,
menyuruh Sazaziz menyalin baju…
Saya terkenang hal itu, serta terkenang malam riuh di
PG itu. Saya pegang lengan Sazaziz. Pejal dan besar ototnya. Sazaziz tersenyum.
Saya toleh ke kiri. Husin sedang
mengembut rokok daun. Pehanya bersilang, bertindihan. Saya pegang lengan Husin.
Husin membiarkan dengan rela.
Saya bandingkan kedua-dua lengan itu. Amat jauh beza
saiz dan kepejalannya. Saya tertawa ketika memberitahu penilaian saya kepada Husin. Seorang peminat Sazali The Body Builder Samad dengan
seorang tukang rumah tipikal…
Husin selamba sahaja menghembus asap rokoknya. Kemudian
dia membelek telefonnya. Ruang grup sembang diteliti kerana telah
mengabaikannya sejak sejam yang lalu. Lama kemudian dia tergelak sendiri. Dia
tunjukkan foto Zairi yang saya klik tadi. “Bersinaq. Meghelit aih kepala hang
kena cahaya…” Dia unjukkan juga kepada Wira yang terkekeh tertawa. Subjek yang
sedang diperkatakan hanya tersenyum…
Dia terus melihat lagi. Membaca apa yang sahabat lain
sempat tulis dan komen. Tiba-tiba dia tergelak lagi. Kami semua memerhati
wajahnya. Awat
pulak dengan ustaz ni?
Rupa-rupanya dia terjumpa fotonya pula yang saya klik
tadi. “Laa..dahi aku pun meghelit juga kena cahaya nooo….”
Pecah tawa semua kami…
Demikianlah.
Kami terus berbual. Dalam subjek yang rencam. Bercanda.
Bergurau.
Zairi yang keletihan meminta diri. Kami berikan apa
yang diminta.
Saya sendiri
keletihan. Wira pula perlu masuk bertugas di Kola. Husin perlu
menunaikan hajat kawannya yang lain untuk bersembang lagi. Sazaziz dan Saiful
juga demikian.
Belum pun hilang Zairi dari pandangan, kami semua pula
meminta diri. Kali ini Sofia yang berikan apa yang kami minta itu….
Berpecahlah kami semua. Menuju destinasi masing-masing.
Saya mengoyak minyak
perlahan-lahan. Lampu kereta Zairi telah hilang dari pandangan. Biarlah.
Saya tidak perlu bergegas. Di rumah pun saya akan
keseorangan – anak-anak dan ummi mereka baru masuk hari ketiga berada di negeri
Tok Gajah…Tiada sesiapa menunggu di rumah.
Entah embun, entah gerimis yang menemani perjalanan
saya itu.
Lagi tujuh jam, saya akan ke BP semula.
Bukankah Zairi mahu bersarapan dengan kami selama empat
hari?
Tujuh jam lagi, baru sarapan pagi ketiga…
2 comments:
Nasib baik 4hari ja ...Klu Smggu
mengkala seminggu.....tak tau laa
Post a Comment