Dua hari berturut-turut saya teringatkan Cikgu
Aziz, selepas satu petang, ketika bertemu Ustaz Wan Osman nama cikgu berkulit
hitam manis itu timbul. Macam digaru-garu.
Pernah dahulu, pada tahun 1990-an, ketika dia mengajar di AlFalah, saya
ke rumahnya. Tetapi, setelah lebih 15 tahun, walaupun nombor lot tapak rumahnya
masih kekal sebagaimana asalnya di atas
rekod di Pejabat Tanah, perubahan fizikal rumahnya tentulah amat ketara.
Sementelah setelah sedekad dia berkelana di Negara Brunei Darussalam. Maka saya perlukan seorang jurutunjuk
merangkap jurupandu untuk ke rumahnya kali ini.
Siapalah lagi di seluruh kawasan Parlimen Kuala
Kedah ini yang bersedia untuk bersama saya, jika tidak Wira. Lagi pula Wira
pernah ke rumah Cikgu Aziz pada bulan Ramadan lalu kerana menghantar sendiri
undangan bagi menyertai Majlis Jamuan
Aidilfitri Alumni AlFalah. Maaflah jika sekali lagi saya terpaksa berkisah
dengan memasukkan watak dia. Dia yang itu-itu juga…..
Saya hubunginya pada hari Khamis, menyatakan
niat. Seperti selalu, dia siap siaga. Jumaat atau Sabtu pun boleh. Dikeranakan
oleh beberapa kerana saya memilih hari Sabtu.
Pagi Sabtu, ketika sekitar 40000 rakyat Kelantan
berbondong-bondong menuju ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan final bolasepak
Piala Malaysia 2012, ramai pula yang bertandang ke laman saya. Ada yang baru
dikenali. Terpaksalah saya melayan terutamanya kebanyakan bercakap tentang
terliur melihat orang Kelantan sedang sakan bersiap itu. Malah ada yang
berkata, kalaulah boleh ditukarkan warna merah putih kepada hijau kuning……
Setelah dengan perlahan-lahan menutup pagar
laman, jam sudah menunjukkan pukul 1115. Menantu emak sudah dua tiga kali
merungut tentang ketegaan pihak Celcom menyekat hubungannya dengan rakan-rakan
dan keluarga sejak malam tadi. Demi menjaga hati kedua-dua pihak – menantu emak
dan Celcom – terpaksalah saya segera menyelesaikannya di Simpang Kuala.
Ketika itulah saya menghubungi Wira. Rupanya dia
sedang berada di pejabatnya di Kuala Kedah bagi menguruskan tugas luar jadual.
Saya mencadangkan kami ke rumah Cikgu Aziz sekitar jam 1200. Lima minit sebelum
jam itu, saya sampai di perkarangan pejabatnya. Telefonnya tidak berjawab. Ah,
sudah! Siapalah lagi di seluruh kawasan Parlimen Kuala Kedah ini yang bersedia
untuk bersama saya, jika tidak dia. Kini, dia tidak mahu menjawab pula…
Mujurlah saya datang dari Parlimen Kuala Kedah
juga. Kalaulah saya dari Parlimen Sandakan atau Labuan, agaknya meraunglah jawabnya
jika diperlakukan begitu!
Saya berpatah balik. Singgah di kedai minyak
untuk menemani motor bersarapan dan makan tengah hari, saya menghubunginya
sekali lagi – cubaan terakhir bagi memastikan Wira benar-benar tidak mempunyai
masa bersama saya. Kali ini, dia menjawab. Dia beralas bahawa panggilan saya
tadi tidak masuk! Lalu menyuruh saya berpatah balik ke pejabatnya. Kalau kami –
saya dan Celcom – mahu menjadikan Wira meraung cukup mudah waktu itu. Kami
boleh menyaman malu kepadanya beberapa juta ringgit. Pertama, dia telah memperlekehkan
sebuah jenama besar komunikasi bahawa panggilan saya tidak masuk ke telefonnya.
Kedua, dia juga telah menyuruh saya berpatah balik, ertinya membuatkan saya
termalu-malu berpusing-pusing di tempat yang sama….
Di pejabat,Wira menunggu saya bersama satu jag teh
ais – agaknya diimport dari kedai berdekatan jalan masuk ke situ. Kami berbual tentang
persekitaran kerja di situ sambil-sambil dia menyelesaikan beberapa tugas di
mejanya. Saya pula mengambil kesempatan menghubungi Cikgu
Aziz. Mulanya saya menyamar sebagai anak kariahnya yang mahu mengambil borang nikah….Selepas
cikgu yang khabarnya menjadi calon imam masjid
Kubang Rotan itu seolah percaya terpaksalah saya memperkenalkan diri serta
menyatakan hajat. Cikgu Aziz menyatakan sedang dalam perjalanan pulang dari
Padang Hang dan meminta saya datang dalam setengah jam lagi.
Babuji |
Babuji kebetulan berada di kedai teh di hujung Jambatan
Tok Pasai. Siap berkata menunggu saya di situ, dan mematikan telefonnya sebelum
sempat diberitahu tujuan saya memanggilnya. Babuji!
Kami ke kedai tersebut. Babuji sedang berbual
dengan dua rakannya. Wira menggamit Babuji keluar manakala Babuji beria-ia pula
membalas gamitan untuk mengajak kami minum. Dua gol berbalas satu! Akhirnya
Babuji terpaksa meminta izin rakan semeja untuk mendekati kami yang masih di
atas motor. Selepas bersalaman, kami mengajaknya ke rumah Cikgu Aziz. Babuji
meminta maaf kerana baru balik dari berniaga di pekan sehari di Pokok Sena.
Lagi pula di rumahnya ada mertua yang baru datang semalam. Lagi pula dia terpaksa
menghadiri satu jamuan kenduri di Kampung Batin, Mergong, selepas Zohor nanti, juga
bersama mertuanya. “Mertua pun kena jaga juga….”kata Babuji bergurau sambil
tersenyum menyembunyikan kedua-dua biji matanya di sebalik dua pasang kelopak.
Saya terdiam. Sayu hati mengenang diri yang menjadi menantu yatim-piatu sejak
mula berkahwin lagi. Wira pula mungkin hiba mengenang mertua yang nun jauh di
Ketereh, Kelantan.
Babuji yang tidak dapat meraba gelodak di dada
kami kemudian menjemput saya ke rumah emaknya sebulan lagi kerana melangsungkan
perkahwinan seorang adiknya. Babuji baru sahaja cuba menghubungi Cikgu Non
tetapi gagal. Wira menyuruh Babuji mewakilkan saya sahaja menjemput Cikgu Non
tetapi Babuji tetap mahu menjemputnya sendiri. Terkekeh-kekeh Wira tertawa
sebelum meninggalkan kami untuk pulang mengambil kereta.
Tinggallah saya bersama Babuji di situ.
Keramahannya tidak pernah pudar. Saya menelefon Cikgu Non yang sedang di Sungai Petani, memberikannya peluang bercakap dengan pembaca doa ketika majlis jamuan raya dahulu... Saya sempat mendengar Babuji menjemput Cigu Non untuk ke majlis di rumah emaknya nanti. Setelah telefon diserahkan kepada saya, kami berbual berdua kembali. Babuji bercerita tentang perniagaan seminggu
sekalinya di Pokok Sena, tentang majlis kenduri yang bakal diadakan dan tentang
tugas mengajar di Kompleks AlBukhary. Saya mencelah tentang Ustaz Man yang
gembira mengetahui Babuji bakal menjadi imam dan mengimbau bagaimana ustaz dari
Pattani itu memuji Babuji yang rajin mengikutnya ke majlis tahlil,
mengendalikan rutin fidyah, menemaninya ke majlis ilmu di pelbagai surau dan
masjid. Ustaz Manlah yang menyuruh Babuji menghafal surah AsSajadah dahulu, dan
kini ternyata kepatuhan Babuji tidak sesekali merugikan….. Sepanjang bercakap
tentang Ustaz Man itu hampir tiada kelihatan langsung biji mata Babuji, yang
teserlah hanyalah sengihannya. Babuji mulanya hendak menitipkan salam kepada
mentornya itu, tetapi saya syorkan dia sendiri mengunjungi Ustaz Man di Kampung
Perlis lalu diakurnya.
Lama berdiri di luar kedai, saya terpaksa masuk
dan duduk bersama dua rakan Babuji tadi. Saya menolak apabila dipelawa minum
kerana teh ais tadi masih terasa di pangkal tekak. Kami berbual tentang jualan mereka di Pokok Sena dan menu pada majlis kenduri
kelak.
“Mana Wira yang pi ambik kereta Wira ‘ni!” saya
merungut perlahan tanpa menduga tujuh patah kata itu akan menyebabkan tersembur
air dari mulut Babuji. Sekali lagi biji matanya hilang! Luculah ‘tu….
Lima minit kemudian Babuji mencuit saya. “’Tu,
Wira dok tunggu ‘tu”.
Melihat Wira di dalam kereta di bahu jalan, saya
terpaksa menebus diri. Lagi pula Cikgu Aziz sudah menelefon bertanya lokasi
terkini dan memaklumkan dia sudah sampai di rumah.
Di dalam kereta, saya ceritakan betapa Babuji
tersedak tertawa tentang tujuh patah kata tadi kepada Wira. Rupanya, ada dua
cerita menarik tentang Wira dari tuan empunya nama tersebut. Selama
ini saya sangkakan bahawa ramalan bahawa dia akan popular dalam Sukan Komanwel
1998 dahulu itulah sahaja ceritanya – betapa apabila diumumkan pada tahun 1996
bahawa Wira adalah nama maskot sukan yang bakal dianjurkan di Malaysia, dua tahun lagi, saya
terus menyatakannya sedang pelajar sekelas, termasuk Wira, yang mendengarnya ternganga
kehairanan….
Pertama, ketika kereta yang kami naiki itu diuruskan pinjamannya
di Bank BCB [kini CIMB Bank] di Alor Setar, dua kali kerani bertanyakan
namanya. Dua-dua kali dijawab, “Wira”. Kerani itu mendongak dan menyebut bahawa
dia tahu kereta itu Proton Wira; yang ditanyanya adalah nama pembelinya! Wira
menjawab’ “Nama saya Wira bin Osman…” Terkedu kerani itu manakala rakan-rakan
sekerja di meja berdekatan yang
mendengar tersenyum-senyum!
Kedua, ketika bertugas dengan seorang tokoh
korporat terkenal. dia diminta mengambil seorang peguam yang sedang menunggu di
satu tempat. Kata bosnya, kurang lebih,” Kau tunggu di situ. Nanti Wira datang ambil…”
Maka Wira pun pergi ke tempat yang dimaklumkan.
Lama dia menunggu sebelum akhirnya dia menegur seseorang yang dirasanya juga sedang
menanti seseorang. “Encik ‘ni, Encik ********, ‘kan?” Orang itu mengangguk dan
Wira pun mempelawanya naik ke kereta. “Lama saya perhatikan awak,”kata peguam
itu. “Tapi awak bawa Satria, bos awak kata Wira….”
“Wira itu nama saya….”
“Ooo….”
Demikianlah adanya.
Kerana dua kisah itu, saya terpaksa mencatat
nama sebenar Wira di sini. Jika tidak, saya akan membiarkan dia membuat
penyamaran…..
Kami sampai ke rumah Cikgu Aziz pada pukul 1247
setelah lama juga tercari-cari pagar rumahnya yang menjadi pengecaman Wira.
Masuk ke rumah setelah berpelukan sekejap di
muka pintu, Cikgu Aziz terus bertanya, “Jadi, enta mai ‘nak ambil boring nikahla….?
Saya jawab, kalau setakat borang nikah saya
boleh ambil di Kuala Kedah sahaja, dari Babuji….
Sebenarnya, saya cukup teringat pada Cikgu Aziz
sehari dua ini. Itulah yang saya lafazkan di depannya. Kemudian kami berbual
tentang anak-anak dan keluarga serta rakan-rakan. Sedikit sahaja. Yang
banyaknya adalah tentang ALFALAH. Apa isi perbualan itu tidak perlulah saya
perincikan. Memadailah jika dikatakan bahawa Cikgu Aziz juga sependapat dengan
bekas warga AlFalah yang lain: AlFalah mesti dihidupkan! Bagaimana? Hanya Allah
yang akan membantu…..
Setelah melepaskan sedikit rindu itu, dan waktu
Zohor juga sedang melintas, dengan menghabiskan titisan terakhir teh o dari
cawan, kami menebus diri pula dengan janji akan berjumpa lagi dalam waktu
terdekat. Insya Allah.
Dari rumah Cikgu Aziz, kami pulang ke Kuala
Kedah dan sengaja melewati rumah Ustazah Mariam Ismail dan suaminya, Zulkifli
Shamsuddin. Saya menelefon satu nombor yang diberikan oleh Wira. Tidak
berjawab. Rupanya itu adalah nombor telefon Mariam. Saya meminta nombor Zul,
yang memaklumkan sedang berada di Sik. Terpaksalah kami hanya melihat dinding
rumah sahaja….
Wira mengajak saya memboroikan perut di sebuah
gerai di Taman Restu,Jalan Batas Paip-Yan, sebelum Taman Bersatu. Mungkin gerai
kesukaannya ketika tiada selera makan tengah hari di rumah. Lauk ala kampung,
kata Wira. Kami pun makan sambil berulamkan teh o ais. Lauknya? Malaslah untuk
dicatatkan…. Kerana sudah bukan waktu kemuncak di gerai itu. Ala, ala-ala kampunglah...
Untuk berlaku adil, sebenarnya Wira ada mengajak saya ke rumahnya bersekali mengajak makan nasi di situ, tetapi saya menolak. Pertamanya, adegan makan di rumahnya tidak terdapat di dalam skrip asal kami. Keduanya, dia mengajak makan nasi sahaja sedangkan saya tidak biasa makan nasi tunggal. Ketiganya – dan paling penting - saya takut tersasul. Manalah tahu, tengah atau selepas sedap-sedap makan terkeluar cerita saya menyokong ATM [hanya kerana adanya Marlon Alex James di dalam pasukan itu – rujuk entri NAH dan NAUM]. Tidak dapat dibayangkan bagaimana Wira menjegil saya, sedangkan dia dan isteri adalah penyokong tegar pasukan Kelantan…Tak baik 'tau selepas makan terpaksa pula menelan kata-kata sendiri.....hehehe.
Selepas makan, kami balik lalu singgah di Masjid
Tunku Abdul Rahman Putera untuk solat Zohor. Kemudian kami terus ke Kola
sebelum berpisah menjelang jam 3 dengan harapan bertemu lagi ….
Demikianlah.
Sementara menunggu beberapa perantau yang
berjanji akan menemui saya pada Aidil Adha nanti…..
No comments:
Post a Comment