4 October 2012

Isabella vs Fumakilla


Terdapat pula lagu yang liriknya dari sesuatu bahasa tetapi apabila dinyanyikan oleh penyanyi lain, walaupun masih mengekalkan bahasa yang sama, namun bertukar lirik. Saya bukan orangnya yang dapat memberitahu di dalam kategori mana lagu ini dimasukkan.

Demikian yang saya catat dalam entri  Imam Bawa Cahaya Torchlight….. . Seorang pembaca memberitahu, perkataan  yang digunakan untuk apa yang saya maksudkan itu adalah parodi (dari bahasa inggeris: Parody).  Terima kasih atas perkongsian tersebut.

Saya terus meminta tolong Abang Google kita. Sebuah blog berkaitan kamus dari Indonesia memudahkan saya memahami dengan mentafsirkan begini:

Definisi 'parodi'

1.karya sastra atau seni yg dng sengaja menirukan gaya, kata penulis, atau pencipta lain dng maksud mencari efek kejenakaan;

me·ma·ro·di·kan v menjadikan parodi

Ini bermakna lagu Eat It dari Al Weird Yankovic adalah parodi kepada lagu Beat It oleh Michael Jackson.

Patutlah, Abang Wikipedia pula menyatakan bahawa MJ mengizinkan lagu Beat It itu dan Bad nyanyiannya didendangkan dalam mood jenaka oleh Yankovic tetapi meminta tidak diparodikan  lagu White and Black ciptaannya kerana menghormati mesej penting lagu tersebut.

Patutlah juga Herman Tino marah kerana tanpa izinnya ada penerbit memparodikan lagu ciptaannya, Di Sini Saja kepada satu lagu jenaka oleh Isma Aliff

Saya sering membelek majalah satira Gila-Gila [GG] terbitan Creative Enterprise sejak awal penerbitannya pada tahun 1978 hinggalah penghujung alaf  lepas. Salah satu ruangan yang saya gemari adalah yang memarodikan lagu-lagu popular semasa. Paling saya ingati adalah lagu Mawarku Bukan Milikku nyanyian Razis Ismail. Bayangkan bait awalnya mawar oh mawarku ditukarkan kepada makwe oh makweku….. Antara yang lucu pula adalah parodi lagu nyanyian Kazaruddin Saisi [Kazar] a.k.a Degawan, Tiap Waktu Terluang. Namun saya terlupa bagaimana senikata itu dicoret penulis GG. (Walaupun kartunis popular ketika itu, termasuk Ramzahurin dan Boy PJ, menubuhkan Grup GG dan pernah menghasilkan album, aneh dan sayangnya mereka tidak mengeluarkan lagu parodi yang terkandung di dalam majalah humor itu……)

Seorang budak Falah teringat kepada Paksu Yeh yang saya catatkan itu. Katanya, sebenarnya dua kali geng Gajah Mati itu muncul bernasyid di dalam Muhadhoroh. Seingatnya, ada satu lagi, selain ‘imam bawa cahaya torchlight’. Tertendanglah memori saya ke suatu masa. Ingatan budak Falah itu benar. Paksu Yeh pernah mengetuai persembahan  a la nasyid lagi, mewakili pelajar asrama. Tetapi seingat saya dalam dua majlis!

Pertama, kumpulannya menyampaikan lagu Pinta dan Doa dari nyanyian asal Asmidar Darwis bersama Orkes El Suraya, Medan yang pernah dirakamkan semula oleh Dato’ M Daud Kilau. Saya pernah mengimbas sekali akan nasyid itu dalam catatan lama dahulu [sila rujuk entri Nasyid Oh Nasyid] - betapa dia tersilap dalam bait pertama kerana menghafal lirik berdasarkan pendengaran sahaja. Maka jadilah sezarah kepada sezar sahaja.Ini berlaku kerana bunyi muzik yang sedikit bising ketika penyebutan penyanyi asalnya. Iktibar yang baik supaya kita lebih teliti dalam mendengar….. Paksu Yeh berlapang dada mendengar teguran saya – suatu sikap yang bukannnya dimiliki oleh semua budak Falah…..




Oh Tuhanku yang telah jadikan
Diriku dari segumpal darah
Engkau jua yang mematikan
Menilai amalku walau sezarah

Kali kedua pula, lagu yang dipilih adalah yang dipetik dari filem Tiga Abdul lakonan P Ramlee, S Kadarisman dan Hj Mahadi. Lagunya adalah Tolong Kami Bantu Kami yang dibawa oleh Udo Omar [Hj Bakhil] dalam adegan bersama anak-anak  yatim yang berarak meminta derma itu – sebenarnya suara untuk lagu tersebut adalah milik arwah Tan Sri P Ramlee sendiri.

Sesuai dengan suasana hidup di asrama, senikata lagu itu ditukar sedikit. Penukar lirik itu adalah sang pencatat ini yang dirujuk setelah jawatankuasa majlis Muhadhoroh menyenaraikan acara untuk budak asrama…… Maka jadilah alunan Paksu Yeh seperti berikut:

a]

Tolong kami bantu kami
Anak-anak di rantauan
Hidup kami di AlFalah
Tak beribu tak berbapa

Aduhai insan-insani
tolonglah kami……
Allah akan beri rahmat 
pada orang yang membantu

b]

Kalau tuan hati mulia
Bantu kami dengan rela
Agar dapat kami rasa
Nikmat makan bak di rumah…..

Seperti ketika bersama
ibu dan bapa......

Allah tidak akan lupa
pada orang yang menderma




Demikianlah.

Bergenang  mata sebahagian ustaz / ustazah tatkala mendengar ‘raungan’ mersik suara Paksu Yeh dan rakan-rakan itu. Budak-budak asrama, terutama yang terpaksa berjimat dengan hanya bermenukan ikan tamban kering setiap hari, lagilah…. Maaf sekiranya catatan ini mengganggu emosi anda kini….

Selain Elias [Paksu Yeh], seingat saya kumpulan penasyid asrama itu turut  disertai oleh Md Rautin Md Desa, yang menyumbangkan suara jantannya di bahagian korus. Imbauan ini hanya menambahkan ketebalan rindu saya kepada keduanya dan semua budak Falah serta masa silam….......

Seorang lagi budak Falah, sebaik membaca entri yang sama,  teringat bahawa di dalam kelasnya yang terletak bersebelahan pejabat arah mentari jatuh, saya pernah memparodikan satu lagu. Saya pun membuka arkib di minda setelah diberitahu begitu.

Ada seorang ustazah kini, yang belajar di dalam kelas itu, boleh mengesahkannya. Pada hari itu di dalam tingkatan empat/lima , di blok lain saya baru mengajar pelajaran Kesusasteraan Melayu - drama. Ketika memasuki kelas berkenaan, saya petik satu dialog dalam drama yang baru dibincangkan di tingkatan atas itu, tulisan Kalam Hamidi, yang dipetik pula dari ayat suci: Alfitnatu asyaddu minal qatli [fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh...]. Bakal ustazah itu berkata: Eceh...... Masih jelas hingga kini.... Kemudian baru terkeluar cerita parodi ini:

Seperti yang saya pernah catatkan, sesuatu lagu pada masa dahulu hanya akan popular setelah kerap tersiar di radio [bayangkan juga tanpa stesen radio swasta seperti kini]. Maka tatkala lagu Isabella ciptaan lirik Bob Lokman mula diterbitkan, ia tidak terus meledak. Mengambil masa yang lama untuk peminat rock kapak sekalipun  menyenangi nyanyian  Suhaimi Abdul Rahman dari kumpulan Search itu.



Di AlFalah, lagu itu juga masih asing, apa lagilah kepada penghuni asrama yang ketandusan siaran radio.
Satu hari saya terbaca liriknya yang dimuatkan di dalam ruangan ulasan lagu pada sebuah akhbar . Timbul hasutan makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan untuk saya menulis lirik lain bagi melodi yang pernah saya dengar di kaset di rumah Ustaz Fairose.  Maka bertukarlah Isabella menjadi Fumakilla!

Saya tidak mengingat sangat akan senikata ciptaan itu sepenuhnya. Cuma bait awal dan korusnya masih melekat di kepala ini. Kepada sesiapa juga termasuk yang sudah pencen dari  menjadi pengikut dunia seni, sesekali marilah kembali kepada melodi yang pernah singgah di hati kita dulu. Biar sekadar di dalam hati, buat salah satu terapi jiwa, lagukanlah melodi Isabella dalam lirik Fumakilla ini……

Fumakilla

a]

Fumakilla adalah
kisah lara di asrama
kenapa dia  menjelma
hanyalah untuk  menyeksa
siang kira OK                                                                            
yang seksanya waktu malam
dalam kegelapan
menjelmalah penghisap darah..

b]

Dia Fumakilla
Lambang gajah di kotaknya
Terkenal kerana
Kesan yang ketara
Nyamuk gugur semua
Budak-budak pun terlena……

(akan lirik penuhnya, anda ciptalah sendiri……hehehe)


Kenangan ini sekadar penyendal ….

1 comment:

Anonymous said...

Dah ingat dah.....
Budak asrama selalu nyanyi lagu fumakilla tu