10 October 2012

NAH dan NAUM!


Dua kali saya menyaksikan siaran langsung perlawanan bolasepak Piala Malaysia tahun ini di satu tempat – kedai makan berhampiran Stesen Minyak Petronas Batu 4, Tandop.

Pertamanya, ketika perlawanan di antara Angkatan Tentera Malaysia [ATM] dengan Negeri Sembilan [NS], pada peringkat suku akhir kedua di Paroi.

Ada lebih sedozen penonton ketika saya sampai. Perlawanan telah bermula selama beberapa minit dan tuan rumah sedang mendahului 1 – 0.

Sebaik duduk, saya memesan segelas minuman berais. Supaya berbaloi pelayan kedai membawa buku nota tebal untuk mengambil pesanan, saya minta juga nasi goreng barang sepinggan….

Sambil menunggu pesanan sampai mata saya melekat pada skrin tv. Selain suara pengulas dan keriuhan sorakan penonton di stadium, telinga saya tertarik kepada satu suara yang dimiliki oleh seorang penonton di kedai itu. Kami dipisahkan oleh dua meja plastik empat segi. Dia bersama 3 rakan manakala saya ditemani oleh 3 kerusi.

Setiap kali Marlon Alex James mendapat bola, dia akan bersorak, “Kuda tua, Kedah bodo!”

Marlon
Demikianlah. Itu-itu juga yang diulangnya sepanjang perlawanan berlangsung. Ketika ATM menyamakan kedudukan menerusi suami pelakon, bekas pemain NS, tidak pula ‘dia’ bersorak seperti kebanyakan penonton berkecuali di dalam kedai itu. Setelah perlawanan bersambung dan komen pengulas amatur di sekelilingnya reda,barulah terdengar semula suaranya, terutama apabila Marlon mendapat bola. “Score kuda tua…..Kedah bodo…!”soraknya.

Saya terpesona dengan gelagat sahabat sekedai yang seorang itu. Sehinggakan ketika minuman dan kemudiannya nasi goreng diletakkan di hadapan, saya masih menggilirkan pandangan antara skrin tv dengan sahabat itu.

Masakan a la Thai oleh tukang masak a la Melayu jati itu  memang sedap. Tetapi kuantitinya …… cuma dalam sekitar 25 suapan, nasi itu telah habis! Tinggallah minuman yang kian jernih, bersendirian melayan tekak saya sekali-sekala.

Sahabat tadi terus bersuara. Kemuncaknya, dia menepuk meja sekuat hati, sebaik Marlon menjaringkan gol buat ATM. “NAH! Tenyeh! Kedah kata dia kuda tua….. ‘Tu la…. Kedah bodo!” katanya dengan kuat. Kawan-kawan yang masih terkejut dengan tepukan pada meja membiarkan dia bermonolog. Semuanya faham ilmu psikologi. Kalau ditongkah cakapnya, silap-silap muka kawan pula ditepuknya…..
Nelson

Ketika pemain berehat di bilik persalinan stadium, sahabat tadi malah kian bersemangat. Diulasnya kemerosotan pasukan Kedah pada musim ini, diimbaunya zaman kegemilangan tatkala Marlon bersama skuad Hijau Kuning dan dihentamnya pihak pengurusan dan jurulatih yang menolak kehadiran semula Marlon dan Nelson Sam Martin yang membentuk gandingan digeruni semasa di bawah kendalian jurulatih Mohd Azrai Khor Abdullah dahulu.

Semua, termasuk saya, menyetujui komen dan hujahnya. Seperti dia, kami juga orang Kedah, yang kecewa melambai pasukan Kedah bertukar ke Liga Perdana pada tahun 2013…..

Ketika perlawanan bersambung, sahabat tadi tidak pula berehat. Semakin galak dia menyokong Marlon setiap kali pemain berusia 35 tahun itu mendapat hantaran bola. Kemuncaknya  lagi, dia menepuk meja juga tatkala Marlon menyudahkan hantaran rakannya. “NAH! Tenyeh lagi! ‘Tu la….depa kata hang tua Marlon oiiii!!  Kedah bodo! Aku kata ‘dah!”

Saya tidak melihat ulang tayang jaringan tersebut. Mata saya mengikut pergerakan sahabat itu. Sambil mengulang frasa yang sama, dia bangun menuju ke kaunter. Membayar minumannya dan melompat ke motornya yang terletak di bawah pokok pukul lima di depan kedai. Sambil menunggang motor, mulutnya tidak berhenti mengata pasukan Kedah!

Ketika perlawanan separuh akhir pertama antara ATM dengan Lions XII di Singapura, sekali lagi saya ke kedai yang sama, memilih meja yang sama dan memesan benda yang sama, sambil memerhatikan setiap meja, jika sahabat hari itu muncul.  Tiada. Saya sedikit hampa tapi tidak lama.

“Marlon main ‘dak?” terdengar suaranya sebaik turun dari motor, menyertai 4 rakan di meja paling hampir dengan tv. Seorang dua rakannya menjawab perlahan. “Ada tak pa. Kita tengok ‘kuda tua’ ‘tu lagi. Kedah yang kata. Aku tak kata…..”katanya, seolah sebuah mukaddimah bagi ulasan yang seperti malam perlawanan terdahulu.

“Tenyeh! NAH!” Dia memekik beberapa saat sebelum dan selepas melihat jaringan awal oleh Marlon. “Aku kata ‘dah! Huh, depa kata kuda tua…. Kedah bodo!”

Selepas itu suaranya mula menenggelamkan ulasan dari pengulas tv. Bersorak dan sesekali mengulang komennya tentang Kedah seperti sebelum malam itu.

Sebaik pengendali skuad ATM, B Sathianathan, mengeluarkan Marlon, dia bertepuk tangan sambil berlalu ke kaunter. Membayar minumannya dan melompat ke motornya yang terletak di bawah pokok pukul lima di depan kedai. Sambil menunggang motor, mulutnya tidak berhenti mengata pasukan Kedah!

Jika ATM berjaya ke final, saya pasti akan menontonnya di kedai itu. Tentu suasana lebih menarik. Semoga sahabat itu juga berbuat demikian…..

Di rumah, ketika menghadap komputer, mencari bahan untuk blog ini, saya masih teringat akan sahabat di kedai makan itu. Saya tersenyum mengenang gelagatnya, terutama ketika melihat Marlon menjaringkan gol. “NAH!” atau “Tenyeh!” sentiasa berlari di bibirnya.


…………………………………………………………



1984. Jun.

UEFA Euro 1984 logo.svgPiala Eropah, pertandingan bolasepak antara negara peringkat benua Eropah [kini dikenali sebagai kejohanan EURO] diadakan di Perancis. Ketika itu, pertandingan bolasepak yang kedua terhebat selepas Piala Dunia FIFA, hanya disertai oleh 8 pasukan termasuk tuan rumah yang layak secara automatik. Tujuh pasukan lagi terpaksa melepasi pusingan kelayakan. Bermula tahun 1996, 16 pasukan bermain di pusingan akhir, sebelum bakal diubah lagi kepada 24 pasukan mulai tahun 2016 nanti.

Malaysia adalah di antara puluhan negara luar Eropah yang turut menyiarkan perlawanan kejohanan itu di tv. Sebagai rakyat Malaysia, saya tidak terkecuali dari ikut mengikuti perkembangan dan pertembungan  bolasepak benua asing pada bulan Jun itu.

Sebagai warga AlFalah, saya tidak berseorangan. Bersama beberapa pelajar tingkatan Tiga dan Empat, kami membentuk satu komuniti kecil.

Kesemua mereka adalah grup yang belajar bermula pada tahun 1983, seperti pelajar Peralihan. Tetapi mereka terus memasuki tingkatan Tiga, berasal dari sekolah menengah biasa, untuk mengambil semula peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran [SRP].  Pada tahun 1984, mereka yang lulus naik ke tingkatan Empat di AlFalah, manakala yang gagal terpaksa mengulang juga di tingkatan Tiga, untuk mencuba SRP sekali lagi. Pada masa itu tidak dibenarkan secara terus pelajar tingkatan Tiga ke tingkatan Empat pada tahun berikutnya, seperti sekarang.

Akan komuniti kecil yang saya nyatakan tadi mempunyai satu tempat khas bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Eropah tersebut. Tempat itu cukup selesa dikunjungi dan cukup indah dikenang…..

Kampung Haji Jamal. 

Jalan Yan - Alor Setar. 18 kilometer dari bandaraya.

Cikgu Rahim
Di situlah terletaknya rumah Cikgu Abdur Rahim Daud. Dia yang masih solo tinggal bersama emaknya, Roknah Shafie, yang kami panggil Makngah. Ketika itu adik perempuannya belajar di sekolah berasrama, manakala kakak dan abang-abangnya telah berkeluarga dan membawa haluan hidup masing-masing.


Selalu juga kami, guru lelaki dan pelajar putera bertandang ke rumah itu. Makan-makan dan minum-minum. Pelajar yang rajin semuanya akan menjadikan ruang dapur sebagai milik mereka. Mereka akan membahagikan tugas – mencari ikan, menyiang ikan, mengupas kelapa, memasak, membancuh minuman dan kemudiannya mencuci peralatan yang digunakan. Makngah akan memerhatikan sahaja sambil menggobek sirih pinang. Sesekali dia akan bersuara, jika dirujuk oleh grup yang memasak.

Selepas makan, biasanya kami akan ke bahagian atas rumah. Melepak sambil menonton tv atau mendengar kaset atau main dam. Tidak pasti pula permainan carom ada atau tidak…..

Begitulah. Kalau hujung minggu, selalunya di situlah pula kami bermalam…..

Maka tidak hairanlah, semasa pertandingan Piala Eropah itu berlangsung, kebetulan cuti pertengahan tahun, di rumah itulah kami bermastautin! Lagi pula, mereka sedang menempuh musim rehat di tingkatan Empat.

Banyaklah juga habis beras dan lauk di situ. Gula kopi tidak usah dihitunglah…..

Saya tidak ingat berapa orang semuanya ahli komuniti kecil itu tetapi tidak jauh dari 10. Di antara anggotanya [jika ingatan saya tidak menipu] adalah Saidin Saad [abang Norlizah], Abdullah Hashim, Mohd Fadzil Bakar a.k.a Mat Jin, Latiff Rahim@Ibrahim [abang Jamilah], Fazli Hj Mahmud dan Zakaria Nayan.

Tumpang tanya: Hidupkah lagi spesies guru – murid semacam itu? Hehehe.

Perlawanan semuanya berlangsung pada awal pagi waktu Malaysia. Maka berjagalah kami sepanjang malam.
Platini
Pasukan tuan rumah, terutamanya Michel Platini dan tiga rakannya– Luis Fernandez, Jean Tigana dan Alain Giresse – yang digelar Segiempat Ajaib, menjadi idola kami. Bayangkan dalam lima perlawanan, peringkat kumpulan [tiga perlawanan], separuh akhir dan akhir, Platini meledakkan 9 gol, termasuk dua kali hatrick, dan satu gol masing-masing pada peringkat separuh akhir dan akhir. Legenda Perancis yang kini memegang jawatan Presiden UEFA itu, masih memegang rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Eropah – dalam satu kejohanan sahaja! Cristiano Ronaldo hanya menjaringkan 6 gol dalam 14 perlawanan pada 3 kejohanan manakala Wayne Rooney baru menjaringkan 5 gol dalam kemunculan 6 kali pada dua kejohanan….

Saya tidaklah mahu mencatatkan perjalanan kejohanan tersebut. Anda boleh merujuk kepada sapedia-sapedia kalaupun malu untuk merujuk Wikipedia.

Cikgu Rahim mempunyai seorang bapa saudara yang tinggal di Kuala Kangkong. Shamsuddin Shafie namanya, yang dipanggil Pakndak Din @ Sudin. Seorang lagi bapa saudaranya yang agak rapat dengan AlFalah adalah Md Isa Shafie @ Paktam Cha yang saya catatkan dalam entri Hantu Punya Hantu dahulu.

Pakndak Sudin kerap terserempak dengan kami kerana kerap muncul di rumah kakaknya itu. Lebih merapatkan hubungan yang sedia erat itu, Pakndak dan Makngah berbesan – kakak Cikgu Rahim berkahwin dengan anak Pakndak.

Ketika kami makan-makan sekali-sekala di rumah separuh kayu dua tingkat itu pun boleh berjumpa dengan Pakndak Sudin, apatah lagi setelah kami mendapat taraf pemastautin tetap……

Maka, tiga empat kali juga  Pakndak Sudin akan bersama kami menonton perlawanan bola di tv. Walaupun jarang menonton sepenuh perlawanan, gelagatnya cukup mencuit hati. Setiap percubaan ke arah gol akan dijeritkannya “Naum!” Jadi berkali-kalilah dia ‘menaum’ sepanjang perlawanan berlangsung. Kadangkala terdengar dari bilik rumah bawah, suara Makngah, “Apa Pakndak hangpa ‘ni….?”

Kami pula memiliki dua pilihan – ketawa atau tersengih – melihat dan mendengar dia ‘menaum’ sambil beraksi dengan dua tangan digerakkan seolah orang menghalau ayam, menyuruh pemain merembat.

“NAUM!”

Pekikan kuat Pakndak Sudin akan memecahkan kebekuan awal pagi sekiranya ‘nauman’nya berjaya diterjemahkan menjadi gol oleh pemain.

Saya masih teringat bagaimana Pakndak Sudin berdiri ketika melihat Michel Platini mengambil sepakan bebas di luar kotak penalti. Telah dua kali pada perlawanan terdahulu, sepakannya dalam posisi itu.menghasilkan gol. Pakndak Sudin menggenggam kedua-dua tangannya, sambil mulut berkata, “Naum! Naum!Naum kali ‘ni…”

“NAUM!”

Pekik Pakndak Sudin sebaik bola menerjah jaring sambil belakang seorang anggota komuniti kami menerima debukan dua tangannya!

“Naum! Aku kata ‘dah…” ucapnya sambil menggosok belakang hamba Allah tadi……

Pada perlawanan selepas itu, walaupun Pakndak Sudin tidak bersama, auranya masih ada. Setiap percubaan ke arah gol, apa lagi jika terhasil jaringan, akan ada seorang dua memekik ‘Naum!’ menggantikan ‘Gol!’

Kejohanan tahun itu akhirnya dimenangi oleh Perancis yang menewaskan pasukan Sepanyol, dua gol tanpa balas.

Demikianlah.

Melihat gelagat sahabat yang mengagumi Marlon Alex James pada dua ketika, maka menghadap komputer kali ini saya teringat Pakndak Sudin. Bezanya, Pakndak Sudin tidak mengata sesiapa sebagai ‘bodo’….

………………………………………………………………….

Kini Makngah, Pakndak Sudin, anaknya,Ghazali[ sepupu serta ipar Cikgu Rahim]dan Paktam Cha telah lama kembali ke Rahmatullah. Namun sekelumit atau beberapa kenangan bersama mereka kekal terukir. Ya Allah, semoga semua amal dan kebaktian mereka diterima dan segala dosa mereka diampunkan.Semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama roh orang yang beriman. Amin.

Akan sampai masanya untuk kita……

No comments: