23 October 2012

Dua Keping Papan, Dua Guni Sekam


Ustaz Fairose Hj Azizan, Cikgu Abdur Rahim Daud, Ustaz Zubaidi Ariffin dan saya.
 
Pada tahun 1983, selain Ustaz Azizan Hj Mustaffa selaku ketua, kami berempat adalah guru lelaki di AlFalah. Campur dua guru perempuan – Cikgu Siti Ramlah Johari dan Ustazah Rodziah Ahmad – ada tujuh orang guru. Lama kemudian barulah ditambah dengan kemasukan Cikgu Norhashimah Mansor dan Cikgu Siti Khamariah Hj Ismail.

Kelas hanyalah empat – Dua Peralihan dan dua Tingkatan Tiga. Maka ketika empat guru berada di dalam kelas, yang selebihnya membawa dirilah …..

Ketika itu, bangunan asrama lelaki yang belakang itu masih berada di tapak asal, di tempat bangunan pejabat pengetua selepas itu. Ia dijadikan satu kelas untuk tingkatan Tiga. Satu lagi kelas tingkatan Tiga adalah di dalam bangunan melintang berhampiran jalan mini ke kampung itu.

Kelas Peralihan pula, kedua-duanya diletakkan di bawah bangunan dua tingkat, yang kemudiannya [mulai 1984]menjadi asrama puteri di bahagian atas. Di situlah juga majlis muhadhoroh peringkat awal diadakan. Kedua-dua kelas itu dipisahkan oleh kepingan papan lapis berengsel di atasnya. Jika akan digunakan sebagai dewan, dinding itu akan di’gantung’ ke lantai merangkap siling kelas berkenaan.

Oleh kerana bahagian atas masih kosong, di situlah selalunya kami – empat guru lelaki  -  menghabiskan masa sementara menunggu waktu mengajar. Saya terlupa bagaimana bahang bumbung zink ketika itu kerana kami tidak pernah merungut bab panas. Tiada bekalan elektrik, mustahil pula ada kipas angin…

Di atas lantai papan sekaki itulah kami sering berbaring. Meniarap, mengiring dan menelentang. Bergolek-golek dan bergelak-gelak.  Ketika itu, kantin sekolah  yang dikendalikan oleh Makndak Pah [Hajah Arfah],emak Ustazah Rodziah tidak menyediakan tempat duduk, hanya sebaris meja untuk meletakkan nasi lemak – tempatnya di bangunan kayu tidak siap, di tapak yang kemudiannya didirikan surau AlFalah merangkap kelas yang berkiblatkan tandas [sila rujuk di sini…….}

Ustaz Zubaidi sering menyakat saya. Semuanya menjadi bahan untuknya. Pakailah baju atau seluar warna apa pun. Nyanyilah perlahan lagu apa pun. Semua itu akan dijadikan bahan untuk dia menyakat saya. Masih diingat ketika lagu Hanya Nyanyian Dalam Sepi {Chris Vadham} masih begitu asing di telinganya, dia berkata , “Kesian. Hang memang tak dak apa-apa Din noooo…” ketika saya lagukan lirik berbunyi:

cintailah dirinya,
 kerana dia lebih sempurna,
 apalah ada padaku,
 hanya nyanyian dalam sepi….”

 

Bagi yang tidak sempat mengenali ustaz yang kini pegawai polis di Kelantan, beliau berbadan agak berisi. Padat dan sihat. Demikian juga dengan Cikgu Rahim. Saya dan Ustaz Fairose pula berada dalam kelas lain dari segi struktur badan – kering dan melidi. Pinggang pun cuma sekadar 26 dan 27 inci.

Satu hari, Khamis, sedang saya menelentang berbantalkan dua tapak tangan, Ustaz Zubaidi yang merupakan abang kepada Mohd Najib Ariffin, penuntut AlFalah era 90-an dari Alor Pulai, duduk bersila menghadap saya. Cikgu Rahim dan Ustaz Fairose pula berdiri di tepi tingkap sambil melakukan aktiviti senaman mulut – menyedut dan menghembus asap…

“Hang ‘ni Din, tidoq lagu ‘ni nampak macam papan sekeping….” katanya sambil tersengih.

“Kembaq dengan Pirud, dapatla dua keping papan….” Cikgu Rahim pula tumpang semulut. Pirud adalah panggilan kami untuk Ustaz Fairose.

Saya mengiring, membelakangi Ustaz Zubaidi. Dia memegang bahagian pinggang saya. Terdengar tawanya mengekek.

“Laaa. Kalau Pirud pula mengiring sebelah sana, boleh buat palung, buat tarik semai padi…..” katanya sambil menepuk-nepuk pinggang saya. Cikgu Rahim ikut ketawa. Ustaz Fairose yang sedang asyik mahsyuk dengan rokoknya hanya tersengih.

Ini sudah lebih, detak hati saya. Makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan menyuruh saya membalas. Insan yang lemah ini pun akur dan bersemangat.

“Hang ‘tu,”saya menelentang semula sambil merenung mukanya yang sentiasa mempunyai percikan kecil peluh pada hidungnya.

“Awat?” tanyanya, masih dalam sengihan menyakat. Menyakitkan hati betul, ‘kan? Jolok makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan. Hati saya mengiyakan dan lebih bersemangat.

“Hang ‘tu….. hang ‘tu… macam…macam err….” Saya kehilangan kata-kata. Sial, ilham tidak tiba.

“Macam apa? Hehehe” Ustaz Zubaidi terkernyih menanti saya menghabiskan ayat.

Makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan mencari-cari perkataan untuk saya hamburkan.

“….macam… macam guni sekam!” Ambik ‘kau!

Ustaz Zubaidi menyentap sengihannya seketika. Terdengar dekahan tawa Ustaz Fairose. “Elok ‘dah. Dok ada dua guni sekam tang ‘ni…..” katanya di hujung tawa.

“Sekam ada banyak guna ooo….” Ustaz Zubaidi kembali bersuara.

“Sekam boleh buat apa?” Saya yang mendapat suntikan semangat dari lontaran kata Ustaz Fairose  tadi, bangun, duduk berlaga lutut dengan Ustaz Zubaidi.

“Boleh buat mesin padi lintas parit……” katanya, tidak mahu mengalah.

“Boleh bakar, buat baja….” Tiba-tiba Cikgu Rahim pula menokok.

“Kalau macam ‘tu, papan lagi banyak gunanya….” Saya memperkukuhkan sila.

“Buat apa?”

“Kalau hang mati, boleh buat keranda….” Ustaz Fairose yang menjawab bagi pihak saya. Mungkin rokok di mulutnya memberikan inspirasi. Saya lagilah bersemangat. Rupa-rupanya ustaz yang turut mengajar Bahasa Inggeris ini telah lama ‘pedih’ dengan sindiran Ustaz Zubaidi akan kekurangan ‘isi’ pada badan kami berdua.

“Buat rehal pun boleh, Pirud nooo…..” saya mula menambah. Ustaz Fairose mengangguk sambil melemparkan sekeping senyuman.

“Eleh, masa bulan puasa, ketul ais orang simpan dalam sekam, tak bagi cayaq [cair]…” tingkah  Ustaz Zubaidi pula. Giliran Cikgu Rahim pula mengangguk, bersekali dengan menyengih.

“Papan ada juga dipanggil sayang, sekam ada orang sebut macam ‘tu?” Saya mematahkan hujah mereka setelah ternampak papan sayang bangunan itu yang penghubungnya menyerpih sedikit.

“Orang gila kut yang panggil sekam macam ‘tu….hehehe” Kata Ustaz Fairose. Saya kagum dengan kespontanan sahabat itu menyambung cakap saya. Makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan pastilah menari sakan!

Ustaz Zubaidi dan Cikgu Rahim kemudiannya membentuk regu untuk mempertahankan bahawa guni sekam mempunyai banyak gunanya. Saya dan Ustaz Fairose pula berpadu kepala menegaskan bahawa keping papan cukup pelbagai faedahya!

Demikianlah bermulanya satu perdebatan.

Semasa masuk mengajar kemudiannya, saya masih mencari beberapa kegunaan papan. Naik semula ke tempat tadi menjelang waktu tengah hari, telah bersedia adalah menunggu Ustaz Zubaidi. Kemunculan Cikgu Rahim dan Ustaz Fairose beberapa ketika kemudian melengkapkan set kami untuk berdebat lagi. Pelbagai hujah, sebahagiannya tidak akan diterima oleh akal budak darjah satu pun, dikemukakan. Hangat sunggguh kerana kedua-dua pihak tidak mahu dianggap mengalah.

Loceng akhir berbunyi.

[Loceng ketika itu adalah seketul besi bekas gandar lori yang mempunyai empat lubang sebesar ibu jari di sisinya, digantung pada kuda-kuda  paling hujung bangunan tengah yang menghadap ke padang. Pada salah satu lubang itu diletakkan satu batang besi skru sepanjang setengah kaki. Setiap kali cukup waktu, batang besi itu akan diketukkan ke ketul besi berkenaan – bilangan ketukan mengikut selera si tukang ketuk….]

Hujah masih muncul secara perlahan dari mulut kami ketika menuruni tangga untuk pulang. Cikgu Rahim menunggang motor Honda C70  manakala Ustaz Zubaidi menunggang motor Honda CB. Saya dan Ustaz Fairose menunggang kaki sendiri, menapak ke rumah.

Rumah Ustaz Azizan terletak di tapak rumah Maklang/Maklong sekarang. Rumah kayu itu tidaklah besar.  Empat persegi sekitar 40’ x 40’. Hanya ada satu bilik. Ada satu tambahan dapur pada bahagian menghadap matahari naik  [timur]. Tangga utamanya menghadap ke bangunan melintang sekolah manakala tangga dapur menuruni ke bilik air berdinding zink terletak menghadap surau . Tandas pula terletak lebih kurang 10 meter  di luar bilik air.

Rumah itu sekadar tempat persinggahan dan penginapan sementara bagi Ustaz Azizan sekeluarga. Beliau akan sampai ke AlFalah pada awal pagi Ahad dan bertolak balik ke Kg Baru, Alma, Bukit Mertajam, pada petang Khamis. Yang tinggal tunggal hanyalah Ustaz Fairose. Beliau menetap di situ sebahagiannya semenjak masih menuntut di Maktab Mahmud. Akan Ustaz Azizan dan ahli keluarga yang lain, demikianlah berulang alik setiap minggu. Hanya pada pertengahan tahun kedua AlFalah dibuka semula, barulah Ustaz Azizan berpindah dan menetap terus di situ.

Sepanjang Ustaz Fairose keseorangan, tukang catat inilah yang ikut menghuni rumah itu. Bertukar-tukar irama dengkuran suka sama suka. Berkongsi mi segera atau nasi lambat.

Pelajar asrama belum ada. Jadi petang-petang, kami meronda sekitar kawasan dengan motor. Malamnya keraplah Ustaz Zubaidi dan Cikgu Rahim bertandang – berbual-bual atau bermakan-makan  apa yang patut. Menonton tv? Minta maaflah. Kami masih muda dan waras ketika itu. Tidaklah mahu kami dikatakan gila dengan merenung peti tv sahaja, sedangkan untuk mendapat cahaya kami terpaksa memasang pelita minyak tanah. Tiada bekalan elektrik pada dua tahun pertama AlFalah dibuka semula…..

Oleh kerana hari terjadi perdebatan tentang sekam dan papan itu adalah hari Khamis, maka malamnya tinggallah saya dan Ustaz Fairose di rumah tersebut. Perasaan tidak puas dengan hujah-hujah siang tadi masih ada. Ustaz Fairose pula, sehingga Maghrib dia masih merungut tentang hujah pihak sebelah sana yang tidak munasabah…..

Rupa-rupanya demikian juga halnya pihak sebelah sana. Mereka tidak berpuashati.

Selepas Isyak, mereka datang ‘menyerang’ kami. Kali ini Cikgu Rahim datang bersama seorang saksi, iaitu sepupunya, Ismail  Omar. Kebetulan Ismail adalah rakan sekelas saya di SK Kangkong dahulu. Tidaklah lama masa yang diambil untuk Ismail menyerap dalam adat dan budaya kami. Barangkali pada peringkat awal dia agak terkejut melihat dan mendengar kami berhujah.

Saya dan Ustaz Fairose duduk di ruang dapur manakala Cikgu Rahim dan Ustaz Zubaidi bersila di pintu tanpa daun menghala ke dapur. Ismail duduk menjadi pemisah antara dua regu itu.

Seteko kopi terletak di tengah-tengah  bersama lima cawan. Ada sepinggan roti empat segi bulat di situ.

Bersaksikan props sebegitu, termasuk pelita minyak tanah yang dwifungsi - menerangi ruang dengan cahaya dan menyalakan puntung rokok dengan api - kami pun berhujah mempertahankan pendirian. Antara kegunaan papan dan manfaat sekam!

Ada hujah baru tetapi kebanyakannya hanyalah perulangan hujah siang tadi. Barangkali kerana kali ini ada saksi, maka hujah siang juga diguna semula. Bermula dari dua keping papan dan dua guni sekam , entah di mana ditukar menjadi papan dan sekam secara umum.

Ismail hanya memerhati dan mendengar. Sesekali tersengih melihat sepupunya bertikaml lidah denganrakan sekelas di sekolah rendah…..

Tidak perlulah saya perturunkan hujah kami di sini.

Yang nyata, makin tengah malam makin kuat suara kami berhujah dan mematikan hujah lawan. Saya yakin keriuhan empat suara itu sampai ke rumah emak ayah saya, apa lagi ke rumah Ustazah Rodziah. Ketika itu, tiada mat rempit, motor pun boleh dihitung dengan jari kaki dan tangan. Tiada juga kebingitan kenderaan lain. Tiada juga gema muzik dari mana-mana rumah.

Siapa yang menang?

Tiada. Sehingga jam 1.30 pagi tiada siapa yang mengalah. Ertinya tiadalah pemenang. Selesai hirupan terakhir dari teko ketiga – hasil bancuhan Ustaz Zubaidi – kami menutup acara. Regu lawan kami mahu balik……

Ketidakpuasan hati kami masih wujud hingga kini walaupun susuk badan [terutama perut] Ustaz Fairose dan saya sendiri tidak lagi boleh disinonimkan dengan papan nan sekeping. Sudah lebih dari sekam nan seguni …….

Demikianlah adanya kenangan itu.

Entah di mana Ismail Omar sekarang.

Ustaz Zubaidi pula khabarnya masih di Kelantan dan sedang berbahagia beristerikan Rubiah Baharom, murid kami dari generasi Peralihan 1983.

Cikgu Rahim, Ustaz Fairose dan saya, kalau pun tidak bersua muka, masih lagi bertelefon merisik khabar……

Cikgu Non? Semasa perdebatan itu berlaku, dia sedang berbulan madu sakan dalam tingkatan Empat, Sekolah Menengah Simpang Empat [kini SMK Tunku Abdul Aziz]……….(rujuk "Laaa....Hang Ka, Non!")

No comments: