Pagi yang indah.
Saya dan Ustaz
Zahari Ahmad sedang berbual di dalam pejabat sekolah. Suasana sekeliling
tidaklah riuh. Kedua-dua kelas yang bersebelahan pejabat agak tenang
berdasarkan suara lantang guru masing-masing. Dua kelas di bawah asrama perempuan
demikian juga halnya.
Di depan kami, Shahrom
Saud, sang kerani sekolah sedang menaip sesuatu di mejanya. Sesekali dia
menyampuk perbualan kami.
Ketika itulah kami mendengar ucapan salam dari
luar pintu. Muncul seorang lelaki berjambang tipis, berkulit hitam manis, menghadiahkan
sebuah senyuman kepada kami.
“Headmaster?”
tanyanya sebaik menjabat tangan Ustaz Zahari. Ustaz yang baru beberapa tahun
bertukar dari sebuah sekolah agama di Langkawi itu memandang saya. Meminta
nyawa…
“No.”
Saya memberi nyawa itu. Walaupun hanya
dihulurkan sepatah kata, ternyata Ustaz Zahari kelihatan lega.
Tangan saya pula dijabat.
“Headmaster
…… out……” Saya hentam sahaja, sambil muka dipalingkan ke arah pintu.
Lelaki itu mengangguk. Senyumannya masih tidak
terpadam.
“May
I…..”
“Yes. …
sure…sure…. Err.. Insya Allah”
Cepat saya memintas cakapnya. Saya tahu kalau
dibiarkan dia menyambung ayat pun, maksudnya tetap saya faham.
Anggukannya berterusan. Senyumannya juga
demikian.
Dia menjinjing sebuah beg kanvas sebesar peti
tv 14 inci. Di bahunya tergalas sebuah beg lagi, yang lebih kecil. Juga
diperbuat dari kanvas. Ustaz Zahari mempersilakan lelaki itu duduk di kerusi
yang baru saja dikosongkannya.
“Ada juai apa agaknya ‘ni?” Tanya Ustaz Zahari,
lembut. Tetapi saya tahu pertanyaan itu hanya ditujukan kepada saya dan
Shahrom.
Lelaki itu cuma tersengih. Beg yang besar
diletakkan di atas lantai.Beg yang disandang diletakkan di atas ribanya.
Sambil mengekalkan sengihan, perlahan-lahan beg
itu dibuka. Perlahan-lahan pula dia mengeluarkan sekeping kertas keras siap
bersalut plastik. Perlahan-lahan lagi diunjukkannya kepada Ustaz Zahari.
Perlahan-lahan pula Ustaz Zahari membaca sepintas lalu. Perlahan-lahan juga diserahkannya
pula kertas itu kepada saya. Perlahan-lahan saya membaca sekadar untuk
pendengaran sendiri. Perlahan-lahan juga saya menterjemahkan secara kasar surat
berbahasa Inggeris itu. Perlahan-lahan saya bisikkan kepada Ustaz Zahari, “Ini
orang Benggala. Dia ‘nak buat demo sikit.” Perlahan-lahan, sambil mengerutkan
dahinya, Ustaz Zahari membalas bisikan itu, “Habaq suruh tunggu Ustaz Pirud
‘mai….” Perlahan-lahan ustaz yang datang ke sekolah dengan motor Honda C70
bernombor plat KM9317, bergerak ke arah pintu pejabat,
seraya berkata “Ana ada kelas…….”
Kelibatnya hilang.
“Wait
a moment. Headmaster will be here soon….”
Saya hentam sahaja lagi. Tapi saya tahu hamba Allah itu faham sebab dia
mengangguk dalam sengihannya.
Shahrom, yang saya panggil Ohm, terpinga-pinga. Nampak
kegelabahannya ketika melihat saya mencapai buku yang tadinya ditumpangkan di
penjuru mejanya.
“Cikgu Din nak pi mana?” Tanya Ohm sambil
matanya mengisyaratkan ke arah tetamu
awal pagi itu. Saya faham makna pergerakan keningnya yang bertahi lalat besar
itu. Dia bimbang ditinggalkan berdua bersama lelaki itu.Tapi, patutkah saya
menunggu sedangkan….
“You too.
Wait here. I want to inform HM about…..” saya melangkah keluar dari
pejabat. Sebenarnya ayat tersebut tidak pun saya habiskan. Malah tidak tahu pun
dari mana datangnya susunan ayat itu. Yang sempat saya nampak hanyalah senyuman
dari tetamu yang terangguk-angguk serta wajah cemas Ohm yang sekali pandang
seperti sedang menahan kepedasan meratah sambal belacan yang mengandungi cabai
kampung……
Di luar, di hujung bangunan itu, menghadap ke
padang sekolah, saya terjumpa Ustaz Zahari yang menekup mulutnya sebaik
ternampak saya. Badannya terhinggut-hinggut.
“Kata ada kelas……” saya mencuitnya.
“Loceng mana bunyi lagi….” Ustaz Zahari masih
menekup mulutnya, menahan tawa.
“Dah ‘tu blah buat apa lagi?”
“Nak mampuih? “Tu baghu tunjuk sughat.
Dibantainya bercakap panjang, ‘nak jawab apa?”
Kami sama-sama tertawa tapi dalam nada yang
cukup terkawal…..
“Cikgu Din keluaq buat apa?” Tanya Ustaz
Zahari.Matanya masih separuh terpejam menghabiskan sisa tawanya.
“Saya faham tapi takut dia tanya banyak-banyak.
Mana ‘tau jawab…..”
Kami kembali mengawal tawa.
“Ohm kata apa?”
Saya tidak menjawab. Dalam ketawa itu saya
teringat rakan yang tergawang-gawang di pejabat itu. Kasihan dia, namun apalah
daya kami……
Mujurlah ketika itu muncul Ustaz Fairose, yang
baru keluar dari rumah bondanya.
Berdiri di tengah jalan mini menuju ke pejabat,
cepat-cepat Ustaz Zahari memberitahu hal itu. Ustaz
Fairose a.k.a Ustaz Pirud yang
mulanya tersenyum tiba-tiba mengerutkan kening. “Demo apa?” tanyanya.
“Err…. Demo apa, Cikgu Din?” Ustaz Zahari
membalikkan soalan itu kepada saya.
“Demo …… demonstrasi…” Kata saya.
“Demonstrasi apa?” Tanya Ustaz Fairose lagi.
Makin keliru. Kedua-dua ustaz itu memandang ke muka saya.
“Mana ‘tau. Tapi dalam surat ‘tu ada perkataan
‘demonstration’….”
Ustaz Fairose berlalu ke pejabat manakala saya
dan Ustaz Zahari berlalu pula ke kantin…..
Demikianlah.
Saya agak malang dalam soal bahasa Inggeris. Malang
itu sebahagiannya terbawa-bawa hingga kini….
Akhbar The Star saya baca dan
faham tetapi janganlah meminta saya menceritakannya di dalam bahasa bekas
penjajah itu.
Novel Falling Star karangan Diana
Dempsey kepunyaan adik telah tiga
kali saya ulang baca. Ceritanya menarik dan saya memahami kemelut dunia penyiaran yang dipaparkan pengarang
dari negara Pakcik
Sam tersebut. Novel bertulisan kecil setebal 408 muka surat itu tentulah
dalam bahasa Inggeris.
[Berada di tempat menunggu di
sebuah klinik mata, saya dapat mendengar perbualan di dalam bilik pemeriksaan.
Seorang wanita tua berkerusi roda
sedang diuji. Saya mendengar, secara lembut doktor bertanyanya adakah dia mampu membaca kad yang
dipegang oleh seorang jururawat. Wanita
tua itu tidak menjawab.
“Makcik boleh nampak huruf-huruf
pada kad itu?”
Tiada jawapan.
“Makcik nampak huruf-huruf yang nurse pegang?”
Tiada jawapan juga.
“Makcik nampak berapa jari nurse yang memegang itu?”
Pun tidak kedengaran sebarang
jawapan.
“MAKCIK NAMPAK NURSE ITU?”]
Di atas itu adalah satu terjemahan bebas dari senda
yang terpapar di dalam majalah Readers Digest edisi bahasa Inggeris yang pernah saya
baca. Saya tersenyum kecil ketika sebaik membacanya. Ertinya saya memahami apa
yang cuba disampaikan….
Beberapa lagu sayu dalam bahasa itu juga tidak
perlu diterjemahkan ke bahasa Melayu untuk saya serapi rintihnya.
Saya menonton filem Endhiran lakonan Rajinikanth [gambar kanan] yang
bersarikatakan bahasa Inggeris namun memahami setiap dialog Tamilnya.
Beberapa blog yang saya gemari juga ditulis
menggunakan bahasa Inggeris namun saya dapat menghadamkan hampir seluruhnya.
Tapi saya tewas jika disuruh bercakap dalam
bahasa ibunda Wayne
Rooney dan John Lennon itu. Walaupun mempunyai
perbendaharaan kata yang banyak dalam bahasa tersebut, saya gagal jika diminta
menggunakannya untuk berbual. Hanya seseorang yang sabar sahaja mampu menunggu
saya menyusun ayat……
Saya kira tidak keseorangan memiliki kelemahan
ini…..
Demikianlah.
Sepuluh minit di kantin, Ohm muncul mencari
saya. “Ustaz Fairose panggil!” katanya dari jauh ketika merasakan suaranya
dapat saya dengari. Ketika saya menghampirinya yang tercegat di bangunan
berhampiran kantin, saya nampak mukanya yang berasid. “Amboi! Pada
Cikgu Din noo!!” katanya sambil menggayakan ingin menumbuk muka saya ketika
melintasinya dan bersama berjalan ke arah pejabat.
“Awat?” saya bertanya sambil tersenyum.
“Tak pa. Tak pa. Tunggula….” Balas Ohm serius
sambil tangannya mengarahkan agar saya cepat masuk ke pejabat.
Di pejabat, sudah menunggu Ustaz Fairose
bersama tetamu dari sebuah negara Teluk Benggala tadi. [Barang diingat,ketika
itu istilah orang Bangla bagi warga Bangladesh belumlah popular……] Sekali lagi
saya bersalaman dengannya. Mungkin kali ini lebih formal sebab diperkenalkan
oleh Pengetua.
Dia memperkenalkan diri. Dia bercerita tentang
tujuan kedatangannya serta sedikit sejarahnya mencari nafkah. Dia menggunakan
bahasa Inggeris yang baik meskipun tajwidnya masih berbaur dengan slanga bahasa
Urdu. Paling saya ingat, kalau orang kita sedapat mungkin ingin menyebut
seperti orang di Manchester perkataan OUR, hamba Allah itu dengan selamba menyebut AUR
. Maka our country menjadi aur kauntri.
Saya hanya mendengar sambil mengangguk. Kalau terdapat kerutan pada dahi saya,
cepat-cepat Ustaz Fairose ikut menyampuk, menghuraikan apa yang diperkatakan
oleh tetamu tersebut.
Dia akan
membuat satu demonstrasi menggunakan kepingan kertas bagi menghasilkan beberapa
corak dan bentuk. Kemudian dia akan menjual buku kecil tipis yang mengandungi
gambaran langkah demi langkah bagi diikuti untuk menghasilkan corak serta
bentuk berkenaan dan beberapa lagi.
Dua puluh lima peratus dari hasil jualannya
akan diberikan kepada pihak sekolah.
Dalam bahasa yang kanak-kanak pusat asuhan pun
faham, saya memberitahunya bahawa pelajar AlFalah tidak lebih dari 200 orang.
Dia mengangguk dan menghalakan ibu jari tangan kanannya beberapa kali ke arah
Ustaz Fairose. Mafhum isyarat itu adalah dia telah mengetahuinya dari perbualan
dengan sahabat saya, Pengetua itu…. Sedangkan kalau mahu ditafsirkan, maksud
ayat saya adalah berapa sangatlah yang akan sekolah perolehi jika kesemua
pelajar membeli buku kecil tipis itu, pada harga sebuah hanyalah dua ringgit.
“Hang tolong dia sat!” kata akhir Ustaz Fairose
sebelum dia keluar untuk satu urusan di pejabat Majlis Agama Islam Kedah di
Alor Setar.
Awang Benggala, saya namakan begitu, mengikut
saya ke luar dari bilik Pengetua.
“Kacau!” rungut saya sambil menggamit seorang
pelajar yang kebetulan datang mengambil kapur tulis di pejabat.
Saya tidak ingat siapa guru bahasa Inggeris
ketika itu. Kalau tidak silap, Cikgu Norhashimah Mansor. Hairannya tidak pula
dia diberi peranan mengendalikan kes itu. Mungkin kerana saya dari gender yang sama dengan Awang Benggala, saya meneka
sendiri.
“Padan muka!” kata Ohm. Walaupun saya tidak
memandang wajahnya, saya tahu dua patah kata itu cukup memuaskan hati Ohm.
Saya membongkok, menuliskan ‘Semua pelajar
berkumpul di tapak perhimpunan sekarang’ pada sekeping kertas, lalu
menyerahkannnya kepada pelajar yang saya gamit tadi, sambil berpesan, “suruh
depa cepat sikit!!”
Budak itu mencapai kertas yang saya serahkan
dan pantas bergerak, meninggalkan lima batang kapur tulis yang baru diambilnya
dari dalam kotak di meja usang bersebelahan meja Ohm.
Lima minit menunggu semua pelajar berkumpul
rasanya cukup lama. Awang Benggala bertanya beberapa soalan dan saya menjawab
semuanya. Tetapi terus terang saya tidak tahu apa yang ditanyanya dalam slanga
Urdu itu. Juga saya tidak tahu apa yang saya jawab dalam slanga Melayu…. Janji
ada komunikasi dua hala!
Ohm saya lihat tersengih sambil meletakkan
sekeping kertas taip untuk cuba menyembunyikan mulut. Ustaz Zahari yang muncul
di sisi saya mengisyaratkan ingin tahu hal sebenar. Saya mengarahkan pandangan
kea rah Ohm. Ustaz Zahari merapati meja Ohm. Bertanya sesuatu yang saya tidak
mampu dengar dan Ohm menjawabnya, juga tidak mampu sampai ke telinga saya.
Hanya kumat-kamit dari bibir Ohm menceritakan bahawa banyak juga yang dijawab
oleh kerani yang peramah itu.
Pelajar berhimpun menghadap tiga tiang bendera
yang terletak di tengah-tengah laman AlFalah. Batu empat persegi yang ditanami
tiang besi bulat itu saya jejaki bersama
si Awang Benggala. Beberapa guru berdiri di kaki lima bangunan menghadap
pokok palma diraja, memerhatikan kami.
Saya perkenalkan Awang Benggala kepada semua.
Mudah sahaja sebab semuanya menggunakan bahasa ibunda tercinta. Semuanya faham
dan teruja untuk melihat demonstrasi. Kemudian, ‘pentas’ saya serahkan kepada
Awang Benggala.
Dia membongkok seperti seorang ahli silap mata.
Memberi salam. Dijawab secara harmoni oleh pelajar. Kemudian bermulalah
demonya. Beberapa keping kertas dikeluarkan. Dengan menggunakan gunting, dia
menunjukkan kemahiran. Sambil bercakap dalam bahasa Inggeris slanga Urdu, dia
memotong kertas berwarna merah. Terhasillah bentuk bunga mawar. Ramai pelajar
bertepuk, terutamanya pelajar perempuan dan sekumpulan mat bunga….
Awang Benggala makin teruja. Agaknya
berkepul-kepul simbol ringgit menerawang di atas kepalanya. Dia memegang
beberapa keping kertas berlainan warna. Meminta pelajar memilih warna yang
digemari. Biasalah, selera manusia bukannya sama. Maka terjadilah keriuhan. Ada
yang memilih warna hijau, ada yang memekik ‘biru!’ dan ada yang melaungkan
‘merah!’
Awang Benggala seronok. Dia mengangkat kertas
warna hijau. Pelajar yang memilih warna itu bersorak girang. Awang Benggala
mengangkat gunting. Pelajar bersorak. Diguntinglah secara ahli akan kertas itu.
Hasilnya…. seekor burung apakenama! Pelajar
bertepuk. Awang terbongkok-bongkok ala ahli silap mata yang berjaya menipu
audien…..
Dikeluarkan pula kertas warna emas. Diangkatnya
tinggi dengan tangan. Pelajar bersorak, tidak sabar menanti hasil guntingan
seterusnya. Awang Benggala mengangkat gunting dengan tangan kiri. Pelajar
bersorak lagi. Awang berdemo lagi, menggunakan kemahirannya. Akhirnya
terhasillah sepokok emas seperti bentuk ufti yang dihantar oleh negeri jajahan
Raja Siam dahulu. Pelajar bertepuk, berdecit mengagumi kemahiran Awang
Benggala.
Ketika sebahagian pelajar menjeritkan ,
“More!More!”, Awang menutup begnya dan mengucapkan salam. Saya meminta pelajar
yang tidak berpuashati itu bersabar. Menyuruh mereka balik ke kelas
masing-masing dan berjanji akan membawa Awang Benggala ke semua kelas. Mereka
kembali bersorak sambil bergerak mengikut barisan menghala ke kelas.
“Come!”
Saya mengajak Awang ke kelas pertama, di bawah asrama perempuan. Dia membawa
kedua-dua begnya bersama.
Awang meletakkan kedua-dua beg di atas meja.
Pelajar yang teruja, bersinar mata menanti aksi Awang. Beberapa pelajar dari
kelas bersebelahan berdiri di tepi tingkap kedua-dua belah kaki lima bangunan.
Saya mengisyaratkan mereka agar menunggu di dalam kelas. Danmereka bergerak
dengan gaya tidak berpuas hati. Biasalah….
Awang mengeluarkan sekeping kertas dari beg
kecilnya. Mulutnya tidak berhenti bercakap. Apabila berhenti, dia menoleh
kearah saya. Rupanya dia meminta saya menterjemahkan butir bicaranya tadi.
Bayangkan seekor semut hendak mengutip sejumlah bertih yang bertabur di atas
lantai!
Saya meminta Awang mengulang semula. Dia
kelihatan kesal tetapi terpaksa juga mengikut permintaan itu. Ada bunyi ‘Cit’
pada permulaan ulangan itu….
“Perkara ini mudah sahaja…..” saya terjemahkan
begitu pada hujung ucapannya sekitar seminit.
Awang memerhati muka saya. “Continue!” kata saya kepadanya.
Dua minit lagi dia menerangkan bahawa pelbagai
bentuk boleh terhasil dengan hanya menggunakan kertas dan gunting. Awang
mengeluarkan gunting dan menjolok-jolok udara. Kemudian dia memandang muka
saya.
“Sapa-sapa pun boleh buat ……” kata saya sambil
memandang muka seorang dua pelajar yang terlopong.
Awang Benggala lagilah terlopong. Sebiji macam
aksi Ramlee atau Ajis
dalam filem Pendekar
Bujang Lapok ketika dikelentong si Sudin
apabila ditanyakan bagaimana ‘bacanya’ tulisan pada sekolah buta
huruf di Kampung Pinang Sebatang. Tulis
punya banyak, bacanya cuma ZOO!?
Agaknya Awang
dan pelajar pun terfikir, bersembur liur bercakap bahasa Inggeris, saya
terjemahkan menjadi empat patah kata sahaja!?
Awang Benggala jelas tidak berpuas hati. Tetapi
sempat tersenyum pahit apabila saya menunjuk ke arah beg besarnya. Dia membuka
beg itu lalu mengeluarkan hampir sedozen buku kecil tipis berkulit pelbagai warna.
Dia memegang satu daripadanya, lalu menghalakan
helaian bahagian dalam kepada seluruh kelas. Riuh seketika. Awang terus
bercakap. Seorang dua pelajar memanggil saya, meminta ditunjukkan buku kecil
tipis itu.
Saya mencapai satu buku di atas meja. Membelek-belek.
Ada lebih kurang dua dozen bentuk yang ditunjukkan cara langkah demi langkah,
bagi membuatnya, dengan hanya menggunakan gunting. Cetakan terus dari
Bangladesh itu tidak terlalu bermutu. Ada satu masalah yang saya kesan:
Walaupun banyak rajah yang disertakan,panduan di dalam buku berkenaan dalam dwi
bahasa – bahasa Inggeris dan Urdu [agaknyalah berdasarkan pintal-pintal
hurufnya].
Awang terus bercerita. Sengaja
membolak-balikkan helaian buku, membuatkan beberapa pelajar terus teruja.
Paling kerap disebutnya adalah ‘two
dollars’ dan ‘only’. Sambil itu
matanya melirik ke arah saya.
“Kamu ‘nak beli ka?” saya bertanya. Riuh lagi.
Ada yang siap memegang duit dua helai. Awang Benggala tersenyum.
Dia ‘berceramah’ lagi. Menceritakan betapa di
beberapa sekolah lain, pelajar beramai-ramai mengubah wajah kelas dengan
menggantung dan melekatkan beberapa bentuk yang terhasil dari guntingan kertas
yang ditunjukcara di dalam buku yang dijualnya. Betapa cantiknya bilik darjah
atau malah bilik di rumah dihiasi kraftangan dari kertas berwarna itu. Betapa
orang yang tidak berpeluang membeli buku itu akan mengagumi hasil kerja yang
ditunjukkan……
Dia menoleh kepada saya sebaik dirasakan
ucapannya sudah memadai. Meminta saya menterjemah lagi.
“Kamu ‘nak beli ka?” saya mengulangi. Yang
memegang duit, siap mengunjukkannya. Awang Benggala melebarkan senyumnya sambil
menjeling saya.
“Saya rasa tak berbaloi kut…..”
“Awat, cikgu?” salah seorang yang siap memegang
duit bertanya. Kerana dia berdiri, duit itu diambil oleh Awang lalu ditukarkan
dengan sebuah buku kecil tipis.
“Awat, cikgu?” dia yang bertanya tadi,
mengulang tanya. Awang Benggala tersenyum.
“Awat, cikgu?” Tanya pula beberapa pelajar
lain. Awang Benggala tersenyum terus..
“Saya rasa beli satu ‘tu cukuplah …..”
“Dah ‘tu… kami ‘ni….? Tanya beberapa pelajar.
Awang Benggala tersenyum.
“Bukan payah sangat. Kita S. A. L. I. N. la….”
Saya mengeja perkataan salin sambil meletakkan tangan kanan berhampiran bibir
kanan. Awang Benggala tersenyum.
“Jenuhla kalau ‘nak salin?” terdengar beberapa rungutan. Awang Benggala tersenyum.
Apa
punya budak aku’ni….. gerutu hati saya.
“Kita buat secara elokla……. Sebiji macam yang
‘ni!” Saya mengangkat buku tipis kecil
ke udara. Awang Benggala tersenyum.
“Berapa duit?” Tanya pula seorang pelajar
paling belakang sambil mengangkat tangan kanan dan menggosokkan ibu jari dengan
jari telunjuk beberapa kali. Awang Benggala tersenyum.
“Murahla. Kupang-kupang saja. ‘Ni dua ringgit.
Tak baloi…..” Saya seakan berbisik pada dua perkataan terakhir itu. Awang
Benggala tersenyum.
“Buat macam mana, cikgu?” Tanya budak paling
belakang tadi. Awang Benggala tersenyum.
Hai….
Tak faham-faham!
“Adalah caranya…. Beli satu ‘tu sudahla….” Saya
tersenyum mengulum bengang. Awang Benggala tersenyum juga. Makin lebar.
“Kita fotostatla, cikgu noo….!” Kata seorang
budak di tengah-tengah kelas. Memang dia faham maksud saya tapi tidak pula
mengharapkan dia mengungkapkan begitu…..
Awang Benggala melempar jauh senyumnya. Enam
belas otot yang digunakan sebelum ini untuk tersenyum ghaib entah ke mana.
Kalau digunakan kertas litmus sekalipun, pH keasidan mukanya tidak akan mungkin
dapat dibaca!
Dia menghampiri
saya. Baru saya tahu dia mempunyai saiz biji mata yang agak besar,
terlindung di dalam tengkoraknya…..
Dia bercakap dalam dwi bahasa: Inggeris dan
Urdu! Nadanya tinggi, pitchingnya
lari!
Saya terpempan. Buah butir bicaranya tidak saya
peduli. Yang kelihatan hanyalah simbol tulang ikan, tukul, unggun api, penumbuk
besar dan seumpamanya …….. menerawang di ataskepala Awang Benggala.
Dia mengambil buku di tangan saya. Memasukkan
semuanya ke dalam beg besarnya. Berkata sesuatu lalu keluar dari bilik kelas itu.
Saya masih terpempan. Mata saya menjeling
pelajar yang cukup memahami saya tadi…..
Saya tidak tahu untuk berkata apa lagi lalu
keluar dari kelas itu sambil tersenyum! Beberapa pelajar mengekori saya hingga
keluar sambil berculang-caling menyebutkan perkataan “Awat?”
Beberapa pelajar dari kelas sebelah kemudian
turut menyebut perkataan itu tetapi rasanya dieja dengan huruf besar semuanya!
Di pejabat, saya berjumpa dengan Ustaz Zahari
yang sedang duduk mengiring di kerusi berhadapan dengan meja Ohm.Siku kanannya
di letakkan di atas penyandar kerusi itu, sambil tangan memegang kopiah putih,
memekup mulutnya.
“Awat, Cikgu Din?” dia bertanya hampir serentak
dengan Ohm.
“Mana kawan tadi ‘tu?” Tanya saya tanpa
menjawab soalan mereka.
”’Tu!” muncung Ustaz Zahari menghala ke pintu
pagar sekolah. Di situ, Awang Benggala sedang melangkah keluar dari kawasan
sekolah, menuju ke tempat menunggu bas, nun, di tepi jalan raya.
Saya cuba memanggilnya tapi mengingat saiz biji
matanya, suara saya hilang……
“Jadi lagu mana, Cikgu Din?” Ustaz Zahari masih
menunggu versi cerita saya.
“Dapat berapa komisyen?” Tanya pula Cik Ohm
sambil tersengih.
Dua tiga guru, termasuk Ustaz Man muncul di
kaki lima pejabat.
Saya menarik kerusi berhampiran di sebelah Ustaz Zahari lalu
duduk menghadap ke arah pintu.
Saya menarik nafas dalam-dalam.
Saya pun berkisah…..
No comments:
Post a Comment