19 November 2012

Mango Lassi.....



Dalam tempoh sebulan ini, sudah dua kali saya bersama Cikgu Non bertemu Nazri Hashim. Pertamanya malam ketiga Hari Raya Korban dan terbaru pada malam 18 November.

Sengaja tidak saya catatkan sepenuhnya pertemuan awal itu. Dikeranakan oleh beberapa kerana.

Pertama dan utama, perjumpaan itu terjadi ketika bapanya sedang dirawat di hospital. Walaupun masih dalam musim orang kita meratah puas daging korban, dia tidak begitu ceria kerana sedang menemani bapa di wad. Dia hanya menyelinap keluar untuk berjumpa kami ketika abangnya bergilir di hospital.

Kedua, kami bernostalgia tentang AlFalah juga namun kebanyakannya terpaksa off-record buat sementara. Eleh, sedikit hal-hal asyik-mahsyuk saja antara si fulan dengan si fulanah, Mr X dengan Miss X serta Taruna [bukan nama sebenar] dengan Dara [bukan nama sebenar], sekadar yang kami tahu.

Ketiga, kami bercerita tentang keseronokan pertemuan 24 Oktober dengan Pawang Nujum. Mengandaikan Pawang sedang memandu untuk pulang ke Jerantut, kampungnya, ketika  kami berbual itu, tidaklah mahu saya membayangkan dia tersedak tatkala namanya disebut. Mana tahu, dalam banyak tersedak itu, tidak dijumpai pula jalan pulang, sedar-sedar sudah ada di Tanjung Piai di hujung Johor serta hujung tanah besar Eurasia itu....


Keempat, inikan blog saya? Suka hatilah saya hendak catatkan atau tidak akan pertemuan di sebuah restoran makanan negara di utara Semenanjung Malaysia itu.....hehehehe.

Pertemuan terbaru juga berpaksi restoran yang sama, di Jalan Lencong Barat, Tandop. Nazri mulanya teringin hendak mencari kuetiau Iman, tapi kuasa veto Cikgu Non menolak resolusi itu. Bahasa mudahnya untuk malam itu: tiada karan menelan kuetiau. Maka Nazri terpaksa menelan liur...

Memandangkan sekarang musim peperiksaan, tidak payahlah saya catatkan apa yang kami layan. Takut pula terliur pembaca yang sibuk menghadapi peperiksaan kini. Yang menghadapi peperiksaan di dewan sekolah boleh tahan lagi, tapi saya kasihan kepada yang menghadapi peperiksaan di klinik bidan......

Tidak banyak yang kami bualkan sebenarnya. Kami merujuk saya dan Cikgu Non di satu pihak dan Nazri berseorangan di satu pihak. Pihak pertama memanglah banyak bersembang - sebagai satu pasukan, tetapi antara pihak pertama dengan pihak kedua yang bermain secara single itu yang tidak banyaknya. Pihak tersebut asyik menekan butang pada hapenya. Malah sambil menyuap dengan tangan kanan, tangan kiri masih leka menekan butang-butang itu. Adalah sekali saya silap menghantar kata, "Hang Tuah tidak sesibuk itu semasa makan". Pihak solo itu membalas bola tanggung tersebut dengan menjawab, "La 'ni bukan zaman Hang Tuah...." Saya pun tunduk macam pengantin zaman dulu, menyudu makanan dan menghantarnya ke mulut yang sedia ternganga....

Setelah makan berulamkan minuman pertama, kami meminta minuman kedua. Sambil itu, Cikgu Non memperingatkan untuk kami singgah mencuba 'Mangoes' di Restoran Haji Ramli, Simpang Empat - sesuatu yang sejak kedatangan Pawang Nujum dahulu lagi, ingin dinikmati bersama. Malangnya ketika itu, Haji Ramli sedang bercuti raya....

"Lassi, ka?" tanya Nazri.

Cikgu Non memberi bayangan bentuk 'mangoes' idamannya. Nazri berkali-kali menyebut 'lassi'. Apa-apalah!

"Tang mana nak bubuh lagi 'ni?" tanya Nazri sambil tersenyum. Mengisyaratkan tangan ke arah sisi perutnya. Agaknya tidak menyangka kena singgah mencuba 'mangoes', setelah memesan minuman kedua - secangkir besar teh tarik berbusa tinggi.

Selepas menyambung berbual sebentar, kami pun berangkat ke Simpang Empat.

"Kita pekena 'mangoes" Cikgu Non masih tidak lupa ketika memasuki kereta.

Di Simpang Empat, Nazri dipesan agar tidak terlajak. Dia memarkir kereta di bahu jalan.

Orang tidak ramai di restoran itu. Dua tv yang digantung di dewan utama telah dimatikan. Tinggal satu lagi di sisi restoran yang masih terpasang, menayangkan sebuah drama melayu yang sekian kali diulang siar. Cikgu Non meluru dan saya serahkan kepadanya untuk memesan kerana tahu pesanan itu pastilah sama. Nazri meluru lagi laju, memotong langkah Cikgu Non. Rupanya dia terus ke tandas.......

Kami duduk. Terus Cikgu Non menggamit pelayan.

"Mangoes tiga!" Cikgu Non memesan.

Tiga kali pula lelaki pelayan itu bertanya sambil mengerutkan kening. Tiga kalilah juga Cikgu Non mengulang pesan. Pelayan berlalu. Bercakap sesuatu kepada gadis pembancuh minuman. Kemudian dia berpatah balik ke arah kami.


"Tak dak! Habis!" katanya sambil mengisyaratkan dengan tangan kanan.

Ada dengusan kehampaan di pihak saya. Tetapi saya tahu dengusan itu lebih kuat dari seberang meja, di pihak sahabat yang beria-ia sejak malam 8 Zulhijjah lagi......

"Tak dak pulak ........" keluhnya perlahan. Saya pun mengeluh dengan frasa kata yang hampir serupa.

Lama kemudian, Nazri muncul dari tandas. "Kesian, kawan usaha prepare nak rasa 'mangoes'....." kata saya.


Belum pun Nazri sampai dekat, Cikgu Non memberi isyarat tangan dan saya menterjemahkannya secara kuat, "Tak dak!"

Nazri tersenyum. Tidaklah dapat diterjemahkan makna senyuman itu, sama ada lega atau hampa.

Ketika kami mahu beredar saja, ada panggilan dari  dalam restoran, tepatnya dari tempat bancuhan minuman. Seseorang memberitahu bahawa pesanan kami sedang disediakan. Kami duduk semula. Sahlah lelaki pelayan itu tidak faham pesanan Cikgu Non atau tidak faham jawapan dari gadis pembancuh minuman.Atau kedua-duanya sekali. Dia sekadar menyampaikan sebutan Cikgu Non yang tidak difahaminya dan menerima jawapan dari gadis pembancuh minuman yang tidak dimengerti. Apa-apalah!

Yang pasti 'dia' ada! Alhamdulillah.......

"Lassi la tu..." kata Nazri sebaik tiga gelas mendarat di meja kami. Tersenyum kerana agakannya betul.

"Mangoes..." kata Cikgu Non sambil mencedok dengan sudu plastik kecil, menghantar ke mulutnya. Tersenyum kerana beroleh idamannya.

Saya juga tersenyum tetapi rasanya tidak semanis mereka. Saya terkenang Pawang yang berada di Jerantut, kampungnya....

"Ambik gambaq. Hantaq kat Pawang..." kata Cikgu Non. Ahli nujum juga rupanya sahabat saya ini kerana seperti tahu apa yang ada di benak saya.

Dia menghalakan hapenya lalu mengelik. Dia meminta nombor Pawang, lalu dihantarnya. Sambil itu kami terus berbual dan perlahan mengurangkan kandungan di dalam gelas....

Nazri juga berbuat begitu lalu mengunjukkan hasilnya kepada saya. Saya meminta dia mengambilnya sekali lagi sambil mengisyaratkan supaya menyertakan wajah Cikgu Non. Dalam tersenyum dia menurut.

"Pawang tidoq kut...." kata Cikgu Non setelah tiada apa-apa respon dari negeri Pahang. Saya melihat jam pada skrin. Baru beberapa minit masuk ke dinihari. Saya tahu Pawang masih berjaga. Saya yakin tentang itu.

"Tak pa. Sat gi kita pemasuk dalam facebook...." Cikgu Non memujuk hati kami....

Kemudian muncul sepupu Cikgu Non yang dari tadi berada selang semeja dengan kami. Dia duduk di sebelah Nazri. Kami mempelawanya minum tetapi dia menolak dengan alasan biasa.

"Mangga ka?" tanyanya tanpa mengharap jawapan. Sekadar basa-basi. Samalah dengan orang yang sedang mengurat insan yang keseorangan dengan soalan, "Sorang saje ke?"........

Kuinin @ Konen
"Dak aih! Buah konen [kuinin]!" kata saya. Nazri tergelak deras. "Kalau konen......" Oleh kerana dia tidak menghabiskan ayat itu, tidaklah saya tahu akan akhirannya....


Sepupu Cikgu Non dan saya saling mengenali. Abangnya sekelas dengan saya dari SK sampai SM. Adiknya pula pernah belajar di AlFalah pada tahun 1986-1988. Malah di depan rumahnyalah saya bersama guru lainnya bermain badminton, seperti yang dicatatkan dalam entri Ketika Lee Chong Wei Masih Kecil. Kerana itulah saya boleh berkata demikian untuk bercanda. Kalau tidak, silap-silap ada orang disimbah mango lassi ketika itu.....

Cikgu Non menggamit pelayan. Dari jauh diisyaratkan meminta satu lagi 'mangoes'.... Pelayan berpatah balik dan memberitahu kepada gadis pembancuh minuman. Saya nampak dua tiga kali gadis itu memandang ke meja kami. Agaknya hairan kerana selain teh dan kopi, jarang ada orang minum seragam seperti itu. Atau agaknya dia berbangga kerana kisarannya telah berjaya menyesuaikan diri dengan selera pelanggan....


Perbualan diteruskan. Banyak sub topik. Lebih rancak apabila pengawal restoran itu - yang juga kami kenali - datang setelah dipanggil oleh Cikgu Non. Dia mengeluarkan daun rokok beserta tembakau. Nazri teruja. Memang pendek umur betul daun rokok itu. Beberapa minit sebelum itu Nazri ada berkata teringin pekena rokok daun. Maka tidaklah terlalu lama masa yang diambilnya untuk mencapai berkas daun dan membalut tembakaunya. Kemudian dia mencucuh hujung lalu menyedut dalam-dalam. Terpejam matanya mendapat nikmat yang tak terungkapkan....

Ketika gelas keempat sampai ke meja kami, saya menjangkakan itu untuk sepupu Cikgu Non. Sebaliknya sepupu kepada sepupu Cikgu Non yang menyambutnya. Maka dua gelaslah sahabat saya itu memaksa tekaknya menelan 'mangoes'. Agaknya dia mengqada apa yang tidak tertunai pada malam 8 Zulhijjah lalu. Atau mungkin juga dia mewakilkan dirinya menelan bagi pihak Pawang Nujum.....

Nazri mencapai satu lagi daun rokok. Pucuk nipah yang dikeringkan itu dilipat setengah inci lalau disentap bahagian itu, menghasilkan bebulu kalus. Dia masukkan ke dalam telinga lalu menggerudi. Seketika matanya terpejam, menikmati kenikmatan yang juga tidak mungkin terungkapkan.....

Kemudian kami beredar.

Di rumah Cikgu Non, di dalam fb Alumni AlFalah  saya muatkan gambar yang Cikgu Non dan Nazri ambil di restoran tadi. Ada kelibat Pawang yang baru menerima Farihah Abdullah menjadi kawannya. Saya beritahu kepada Cikgu Non. Dia tersenyum. Hanya beberapa saat mucullah komen pertama dari Pawang Nujum: Mana Aci....

Kami tertawa bersalut simpati!

1 comment:

pawangnujum said...

tak aci