28 November 2012

Kenduri Oh Kenduri.........




November dan Disember. Biasanya bulan-bulan cuti persekolahan. Biasanya juga bulan-bulan yang dipenuhi dengan kenduri  -  seluloinya  kenduri kahwin atau kenduri bersunat. Kata seorang sahabat, jika ada seseorang yang tidak menerima walau satu pun kad jemputan ke majlis kenduri sepanjang dua bulan ini, kenalah banyak dia bermuhasabah tentang hubungannya sesama insan!

Alhamdulillah. Saya sekeluarga masih ada hubungan dengan manusia! Banyak juga kad kenduri yang diberi orang. Ada dari saudara mara jauh dan dekat, keluarga sendiri dan mertua, kawan atau kenalan sendiri dan rakan taulan menantu emak.

Selalunya, kalau sehari lebih dari dua jemputan, kami membahagi tugas. Jika di sebelah menantu emak,dialah yang pergi, begitulah juga sebaliknya. Hal ini dikeranakan oleh beberapa kerana. Pertamanya, misalnya,dalam keluarga atau rakan ‘dia’, tentulah kemunculannya diharapkan oleh tuan rumah. Maka dimasukkanlah ke dalam daftar kehadiran mereka. Keduanya, saya hanya menjamu selera perut di rumah kenduri, manakala menantu emak – dan spesiesnya – ada tambahan jamuan lagi, yang wajib, untuk mata terutamanya, di dalam rumah – teristimewa bilik pengantin.  Maka biarlah ‘dia’ menjamu sepuasnya tanpa takut diajak beredar awal sebelum acara wajib tersebut. Ketiganya, kalau berjumpa rakan lama atau orang sekampung misalnya, saya sukar sedikit untuk menghulurkan tangan meminta diri. Maka, dari ‘dia’ tertunggu-tunggu, bukankah elok kami ikut selera dan jalan sendiri? Peringatan: Tidak digalakkan anda meniru kaedah ini melainkan anda dan ‘dia’ telah lama saling memahami!

Sesuai dengan konsep blog , setakat ini, telah tiga kenduri di rumah keluarga bekas budak Falah saya hadiri.

-Kenduri SATU-

Khamis. Cuti sempena Awal Muharram 1434. 15 November 2012.

Saya ke rumah Mohd Nizam Ramli di Kampung Permatang Ibus.  Menantu emak pergi berasingan, bersama anak-anak, kerana rumah itu terletak tidak jauh dari rumah mertuanya. Saya berada di situ lebih awal untuk ikut memeriahkan acara menyiang daging, bergosip dan meratah jamuan sorok-sorok bersama masyarakat sekampung.

Mohd Nizam dan abangnya, Mohd Amin Ramli pernah belajar di AlFalah. Nizam sama tahun dengan Yusri Haron & The Gang, manakala Amin, yang di dalam kelas, selalu saya panggil M Amin [nama pengarah filem], sama tahunnya dengan Ahmad Sofi Ahmad & Co. Bagi yang pernah tinggal di asrama setelah penjenamaan semula AlFalah pada tahun 1983, terutama sekitar hujung dekad tersebut, tentu mengenali ayah mereka, arwah Ramli Ahmad, yang kami panggil Wak sahaja. Dari rumahnyalah, kami menggunakan getah yang amat panjang untuk menarik air paip tatkala krisis air terawat di AlFalah pada masa itu. [Sila rujuk entri Krisis Air Terawat]. Wak juga beberapa kali membantu membaikpulih bangunan sekolah dan asrama. Kalau ada kenduri-kendara, Wak termasuk dalam golongan utama membantu – terutama bahagian memasak nasi.

Di majlis perkahwinan anak perempuan bongsu arwah, kali ini, saya cukup teruja dapat bertemu dengan beberapa bekas budak Falah. Kebanyakannya memang agak lama tidak saya temui meski tinggal tidak jauh dari AlFalah. Oleh kerana tidak banyak berbual, melainkan bertanya khabar, serta bertanya berapa anak dan berapa isteri, tidaklah dapat saya mencatat apa-apa untuk tatapan anda. Cukup untuk makluman peribadi.

[Pada kenduri sebelumnya, setahun lalu, saya telah berkesempatan berbual lama dengan Ishak Othman, budak Falah yang kini tinggal di negeri  jiran di selatan Kedah].

Saya juga nampak kelibat Mahadzir Jamaluddin [Tebengau], segenerasi dengan Pawang Nujum ketika di AlFalah. Malangnya, saya tidak sempat menyapa atau mengesahkannya kerana dipanggil oleh seorang bekas teman sekampung, yang juga tergesa-gesa untuk pulang……. Saya sedang mencari Nizam kini untuk membuat pengesahan……

-Kenduri DUA-

Petangnya, jam 1720, saya bersama Cikgu Abdur Rahim Daud,sebagai dijanjikan beberapa hari sebelumnya, mengunjungi rumah keluarga Norlizah Saad, di Kampung Alor Ibus. Saya tidak menjangkakan dapat pergi setelah selewat itu, kerana tugas Cikgu Rahim yang belum selesai di Pendang. Setelah beres, barulah dia menghubungi saya. Seorang sepupu yang kebetulan singgah selepas balik dari rumah Nizam, tertawa apabila saya memberitahunya masih akan ke rumah kenduri pada jam begitu. Dia tertawa lagi apabila saya menyatakan di dalam kad mungkin tertulis : Jamuan dari jam 12.00 hingga 6.00 petang…..

Saya berkata mungkin kerana jemputan untuk saya dibuat melalui panggilan telefon dari Norlizah.

Ketika kami sampai, suasana lengang. Di muka jalan tergantung plastik rentang  yang mengalu-alukan tetamu majlis hari tersebut. Ada gambar besar  Norlizah dan pasangannya, sedondon berpakain putih. Cikgu Rahim memarkir kereta di hadapan rumah bapa saudara Norlizah – tapak khemah untuk tetamu lelaki yang telah dirobohkan. Ada besi rangka khemah tersusun di tepi laman rumah itu. Kami berjumpa  Pakcik Saad, ayah Norlizah, sedang mengangkat tong gas yang telah digunakan untuk memasak pada awalnya. Kami bersalam dengannya dan bertanyakan Saidin, abang Norlizah yang juga menuntut di AlFalah, bermula dengan Tingkatan Tiga [Akademik] pada tahun 1983.

Pakcik Saad memberitahu Saidin mungkin berada di dalam rumah, serta mempelawa kami ke khemah di depan rumahnya untuk menjamu selera.

Ketika bersalam itu saya memerhati wajah Pakcik Saad. Tidak berubah rautnya. Cuma bilangan kerutan yang bertambah, sesuai dengan peningkatan usia. Satu lagi, rambutnya memutih. Walaupun mesra mempersilakan kami, saya tahu dia tidakmengenali kami lagi – guru AlFalah yang pernah berkunjung ke rumahnya beberapa kali, termasuk dengan berkonvoi pada hari raya, tiga puluh tahun lalu…. Mungkin dia mengira kami rakan-rakan Saidin kerana bertanyakan anaknya itu. Ketika melangkah kemudiannya, saya berbisik kepada Cikgu Rahim, “Tiga puluh tahun ‘dah kita tak pijak sini….”

Khemah itu pada awalnya mungkin dikhususkan untuk kaum ibu. Terdapat sebuah meja panjang memisahkan dua bahagian khemah berkembar itu. Di atasnya tersusun beberapa bekas lauk dan buah. Di hujung meja terdapat dua bekas berisi nasi.

Saya menyenduk nasi. Mencedok gulai daging dan beberapa ketul ikan talang kering dipotong dadu dan digoreng bersama bawang. Menu lain tidak saya jamah. Mata melirik ke arah rumah. Mencari-cari kelibat Saidin yang telah tiga dekad tidak saya temui.

Di bawah khemah, hanya ada seorang lelaki. Berdasarkan gayanya, dia telah lama selesai makan. Tersenyum ke arah kami. Walaupun masih banyak meja lain, Cikgu Rahim yang tidak mahu makan nasi memilih untuk duduk bersama lelaki tersebut. Saya menurut. Sambil menyuap, mata masih lagi tercari-cari sosok yang mungkin saya kenal….

Saya menoleh ke belakang apabila mendapati lelaki tadi dan Cikgu Rahim melihat ke arah itu. Norhayati Ismail [berasal dari Kg Chegar, Pendang] rupanya yang muncul. Dia tersenyum. “Anak murid pun dah tua…..” katanya lalu duduk di samping lelaki tadi. Rupanya itu suaminya….. Norhayati bertanya sama ada saya kenal atau tidak dirinya. Insya Allah, kenal. Dia menyebut nama dua adik lelakinya  yang pernah belajar di AlFalah,mungkin untuk saya lebih jelas… Sekali lagi dia mengulang frasa pertama itu. Saya membalas, “Kalau anak murid rasa dah tua, guru anak murid itu lagilah tua…..” Suaminya tersenyum.

Berturutan dengan kemunculan Norhayati  Ismail itu adalah seorang lagi Norhayati – Norhayati Ramli. Dia telah saya temui buat pertama kali, sejak berpuluh tahun, ketika datang menyerikan majlis jamuan hari raya Alumni AlFalah di SK Taman Bersatu dulu. Bersamanya ketika itu adalah Norlizah, Che Hasnah Derani serta ditemani iparnya.

Norhayati Ramli berdiri di belakang antara saya dan Cikgu Rahim. Dia memberitahu pasangan pengantin telah keluar untuk bergambar kenangan entah di mana. Saya menjangkakan mungkin ke Seberang Kuala Kedah, atau perkarangan Masjid AlBukhori, atau bangunan terbengkalai Maahad Dini di Jalan Suka Menanti – berdasarkan beberapa kali ternampak pasangan pengantin bergambar di situ…… Tak apalah. Ini hari gembira Norlizah.

Norhayati Ramli memberitahu tentang kedatangan Cikgu Non dan isterinya  lebih dua jam yang lalu. Cikgu Rahim bergurau tentang kedatangan kami tanpa ditemani isteri….

Norhayati Ramli sezaman dengan Ahmad Sofi Ahmad & Co [SPM 1988] manakala Norhayati Ismail sama eranya dengan Zurinah Chin, Norazimah Ahmad, Mazlan Mansor  & Group [SPM 2002], kalau tidak silap. Hati tertanya-tanya bagaimana dua generasi berbeza ini boleh saling mengenal. Mungkinkah kerana kuatnya aura AlFalah, atau kerana sama-sama berkerjaya sebagai penghasil pakaian? Hampir waktu balik barulah saya tahu mereka sering bertemu di Hospital Sultanah Bahiyah – setiap bulan – kerana membawa anak masing-masing mendapatkan rawatan bagi penyakit talasemia.

Ketika kami berbual tentang kerja buat masing-masing, saya ternampak kelibat Che Hasnah Derani di sisi rumah Pakcik Saad, menyingsing lengan membantu keluarga jirannya itu menyimpan apa yang patut. Tidak disedarinya akan kehadiran kami dan tidak juga kami mahu mengganggunya…..

Norhayati Ramli pergi sekejap ke rumah pengantin dan datang semula bersama sepinggan kuih puspa nama. Mungkin kasihan melihat Cikgu Rahim membiarkan saya seorang menyuap dan mengunyah lauk bernasi. Kami terus berbual. Saya tidak pasti sama ada Cikgu Rahim mengenali Norhayati Ismail sepanjang di AlFalah. Tetapi atas nama AlFalah, seakan tiada sekatan untuk terus berbual. Kebetulan Norhayati Ismail dan suaminya bermastautin di Kampung Charok Kudong, Pendang, berjiran dengan seorang yang asalnya dari kampung saya manakala pembinaan rumah jiran mereka itu melibatkan tenaga kerja Cikgu Rahim… Maka makin rancaklah perbualan. Suami Norhayati Ismail – bernama  Sesuatu‘Din’[saya lupa] merupakan seorang pembuat langsir.

Sebentar kemudian muncul Saidin. Tiga dekad tanpa perubahan di segi saiz dan senyuman… Kami kehilangan kata-kata untuk seketika tatkala bersalam…

Pemain bolasepak dan sepak takraw kebanggaan AlFalah pada pertengahan dekad 80–an; peroboh bangunan Fajar Islam, Kg Baru, Alma,untuk dibawa pulang ke AlFalah; peserta aktif Sukan Rakyat AlFalah kali pertama hingga ketiga [‘83/’84/’85]; penghuni ‘asrama sementara’ ketika mengambil peperiksaan SRP 1983; tukang siang ikan merangkap tukang masak ketika berkumpul di rumah Cikgu Rahim semasa Euro ’84 – lihat entri Nah dan Naum  atau sewaktu menjelang SPM 1985; peserta konvoi berhari raya ke hampir semua rumah rakan sekelas – Latiff Rahim, Mat Jin, Lah Hashim, Fazli Hj Mahmud, Zakaria Nayan, Sharifah Ishak, Suharnie Hj Saad, Zaini Haron, Solehah Hj Hamid, Ismail Hamid, Rohaniah, …. Namakan saja, dia pasti ada.

Maka berbuallah kami, bertukar khabar. Saidin merupakan pembantu kapten bot pengangkut [kontena], berulang-alik antara Kuala Kedah – Langkawi. Seminggu hanya dua kali bertugas. Kerana banyak masa senggang, dia membeli perahu untuk keluar ke laut. Perahu itu diletakkannya di Kuala Tebengau. Kadang-kala hasil tangkapannya dijual di tepi jalan Tebengau. Di situlah dia bertemu Cikgu Rahim pada satu petang tatkala cikgu itu singgah untuk membeli ikan.

Bukan jauh Tebengau dari rumah saya..Rumahnya pula hanya di belakang rumah ayahnya. Sayangnya tidak ada lorong untuk kami berjumpa, sehinggalah petang itu!

Norhayati Ismail dan suaminya serta Norhayati Ramli kemudian meminta diri untuk beredar. Sebelum itu sempat pula Norhayati Ramli membawakan sebuah beg plastik berisi bunga telur dan kotak gula-gula untuk kami. Semoga kita akan berjumpa lagi……….

Kami yang tinggal terus berbual sehinggalah Cikgu Rahim membisikkan ada urusannya yang wajib diselesaikan segera. Kami berundur, juga dengan harapan  - untuk Saidin - akan lebih kerap bertemu. Di tangga rumah saudara tempat Cikgu Rahim memarkir kereta, kami bersalaman dengan Pakcik Saad. Dia tersenyum dan mengucapkan terima kasih atas kehadiran kami. Bagaimana pun saya yakin, dia tidak mengenali kami….

-Kenduri TIGA-

Sabtu.  10 Muharram 1434 bersamaan 24 November 2012. Tiga majlis kenduri untuk saya, dua untuk menantu emak yang tinggal bersama saya….

Di Taman Seri Kota, Taman Desa Kamela dan Lorong Mayat, Kuala Kedah.

Bermula jam 1145, dua jam setengah di rumah sahabat di Taman Seri Kota, lima belas minit di rumah kenalan di Taman Desa Kamela.

Cikgu Non telah memaklumkan bahawa kami akan ke Lorong Mayat sekitar jam 1530. Sehingga itu, saya bersendirian di rumah, mengurangkan sedikit kandungan usus serta menyegarkan semula badan, sebagai sebahagian persediaan ke situ.

Jam 1545 kami bertolak. Dari Jalan Kangkong, kami nampak di sebelah kanan, di kejauhan, langit memutih. Sahlah, sahabat saya di Taman Seri Kota sedang kebasahan melayan tetamunya ….

Di Lorong Mayat? Sahih Babuji juga kuyup……

Sepanjang jalan, bermula dari simpang Kg Pergam – Teluk Bagan, kami meredah hujan. Sampai di jalan masuk ke Lorong Mayat, hujan masih renyai. Lama juga Cikgu Non mengambil masa untuk masuk, undur dan masuk semula mencari tempat parkir yang sesuai. 

Keluar dari kereta, selain air dari atas, kami terpaksa  berhati-hati pula mengelak lopak  air yang banyak. Sampai di khemah penyambut tetamu [agaknya, berdasarkan saiz yang kecil, terletak paling depan, ada meja tempat meletakkan cenderahati…], kami berdiri mencari orang yang menjemput kami ke majlis itu -  Yusri Haron a.k.a Babuji. Tiada kelibat.

Bersalam dengan seorang yang dua dekad tua dari saya, dia teragak-agak tatkala kami bertanya tentang Yusri, tapi cepat pula menjawab apabila tahu yang kami maksudkan adalah insan yang dipanggilnya Ustaz. “Ada. Tadi ustaz ada tang ‘ni…” katanya. “Tadi? Memanglah!” kata saya. Dalam hati.

Kami bersalam pula dengan abang ustaz yang lengkap berbaju Melayu berwarna hitam. Dia mempelawa kami makan tanpa sempat kami bertanya tentang adiknya itu. Kami terus ke meja yang menampung beberapa bekas berisi lauk-pauk. Terletak bersebelahan khemah kedua tetamu. Malangnya, tiada sebiji pinggan pun berhampiran tong nasi. Dalam menunggu kedatangan pinggan, saya teringat pada kenduri adiknya, Hasliza sebelum ini. Ketika itu lauk dihidangkan di dalam dulang. Malah ketika ingin menambah lauk, saya hanya menggamit seorang makcik di rumah bersebelahan khemah. Evolusi kenduri kiranya telah menyerang Lorong Mayat….

Gulai ikan kayu/tongkol/mambu! Di letakkan di dalam dua bekas. Saya menggosok perut. Betullah kata Babuji ketika menjemput saya dahulu. Mesti ada gulai ikan….. Terima kasih kepada idea mengurangkan kandungan usus di rumah tadi….

Hujan kembali lebat. Petang menjadi semakin suram. Di bawah khemah kecil tempat diletakkan meja lauk dan nasi itu, hanya kami berdua bersama dua gadis yang juga baru sampai. Mereka menghulurkan senyum manis. Orang sudah hulur, maka kami balaslah apa yang patut. Tahu mereka juga sedang menunggu pinggan. Tiba-tiba……………………………..Eh, tak ada apa-apa! Hanya teringat kepada budak Falah dahulu. Jika membuat karangan BM, kalau ada senario seperti yang sedang kami alami itu, mesti ada perkataan ‘Tiba-tiba…” Hehehehe.

Sebaik utusan menghantar pinggan sampai sambil membuat apologi, tanpa mempedulikan dua gadis itu, saya terus mencapai pinggan paling atas. Terus mengisi nasi dan mencedok gulai. Teringat kepada arwah emak. Semasa kecil dahulu, bahagian hitam pada isi ikan kayu/tongkol/mambu itu emak sebut sebagai ‘hati’. Memang rasanya lain sedikit dari isi yang berwarna putih.  Digoreng selepas dilumur garam kunyit atau digulai, bahagian hitam itulah yang menjadi pilihan…..

Oleh kerana hanya dua gadis Kola,agaknya, yang manis, yang berada di situ, sementelah terdapat dua bekas berisi gulai, sementelah lagi yang di sisi saya adalah Cikgu Non, saya sengaja mengambil masa untuk memilih ketulan-ketulan yang mempunyai bahagian ‘hati’ itu. Empat ketul saya kaut. Ditambah dua cedokan kuahnya. Lauk lain? Maaflah, sampai hari ini saya tidak tahu kerana tidak pun menjeling ke arah bekasnya. Kena rujuk kepada Babuji : apakah menu lain pada hari itu.

Seseorang yang sedang makan bersama isterinya di bawah khemah bersebelahan khemah lauk mengesyorkan kami duduk di khemah paling hujung.  Barisan meja di dalam khemah yang didudukinya telah basah oleh tempias hujan manakala lantai barisan yang satu lagi telah digenangi air.

Di bawah khemah hujung terdapat dua orang sedang berbual kosong. Memang kosong kerana di hadapan mereka tidak ada pinggan atau gelas…. Dimulakan dengan bismillah, disuaplah gaulan nasi bersama kuah gulai serta secubit ‘hati’. Saya betul-betul teringatkan emak. Membayangkannya menghembuskan tangannya setiap kali setelah membahagikan ‘hati’ yang sedang panas selepas digoreng kepada kami adik beradik…..

Cikgu Non kemudiannya datang duduk di sebelah saya. Seperti saya, Cikgu Non juga mencedok hanya gulai ikan – beberapa ketul. Sambil menggaul, dia berkata, “kalau panas gulai ‘ni lagi sedap….” Saya mengiakan. Demikian juga dua orang di dalam khemah itu yang mendengar omelan Cikgu Non. Babuji masih tidak kelihatan. “Ada di masjid kut” kata Cikgu Non lalu kami memandang ke arah Masjid Tunku Ahmad Tajuddin yang terletak sekitar 100 meter di kiri kami.

Sambil menyuap dan mengunyah itu, kami berbual dengan pakcik di hadapan kami itu. Rupanya dia adalah mertua Hasliza. Darinyalah kami tahu Hasliza kini tinggal di Kepong.

Sambil itu saya menelefon budak Batas Paip, kerana ketika bertemunya di Kedai Mee Abbas 24 jam yang lalu, dia berkata akan ke majlis itu pada sebelah petang. Tiada jawapan. Saya faham. Apakah yang lebih mengasyikkan ketika hujan petang menyerkup jika berada di rumah? Matikan hubungan dengan dunia luar lalu masuk ke alam mimpi…..

Saya hubungi pula Ustaz Mazlan Mansor, budak Falah era awal 90-an yang satu kariah dengan Babuji, untuk mengetahui sama ada sudah memenuhi undangan bakal imam itu. Dia rupanya dalam perjalanan pulang dari satu kenduri di sekitar Pokok Sena dan belum lagi menjengah ke tempat kami makan itu. Dia berjanji akan ke situ apabila saya katakan kami baru memulakan suapan…. Dari perbualannya, saya jangkakan dia telah berada di mana-mana di Jalan Kuala Kedah.

Ketika itulah kami nampak  sosok Babuji. Penampilannya tidak jauh berbeza ketika di majlis jamuan hari raya Alumni Alfalah dahulu. Berketayap dan setia dengan beg sendengnya. Ustaz itu tidak nampak kami kerana sekali pun dia tidak melihat ke arah khemah yang kami duduki. Dia sibuk melayan tetamu yang akan balik dengan menghulurkan bungkusan kuih/bunga telur/gula-gula. Kepada beberapa pekerja atau saudara terdekat, agaknya, yang mahu pulang dihulurkan pula bungkusan nasi dan lauk.Agaknya dia bergilir dengan abangnya dalam hal itu kerana mereka saling bertukar tempat antara khemah penyambut tetamu dengan tempat pembungkusan nasi dan lauk.

Nasi di pinggan sudah habis, saya hanya meratah ketulan lauk yang masih berbaki. Cikgu Non bangun untuk menambah kandungan pinggannya yang hampir kosong.”Sedap pulak….” katanya.  Sebentar kemudian dia duduk semula, meletakkan pinggannya di tempat tadi. Kali ini, untuk melihat nasi terpaksalah ditolak ke tepi berketul-ketul ikan gulai…… Dia menggaul lalu menyambung menyuap.  “Kalau panas gulai ‘ni lagi sedap….” Macam pernah dengar sahaja ayat itu…..

Dari jauh saya nampak Ustaz Mazlan. Di khemah penyambut tetamu, dia bersalam dengan abang Babuji. Babuji sendiri ketika itu sedang berdiri melihat lauk di meja di bawah khemah kecil itu. Saya mengangkat kedua tangan apabila nampak Ustaz Mazlan seperti sahih sedang mencari kami. Dua kali saya berbuat begitu masih tidak mampu dikesannya sehinggalah isterinya mengunjuk ke  arah kami.Dia tersenyum lalu menghala ke khemah kami. Di tengah jalan dia menepuk bahu Babuji yang sedang berkata sesuatu kepada penjaga lauk-pauk yang sedang menambah sebarang kekurangan,agaknya.

Ustaz Mazlan dan isteri menghampiri kami. Ustaz Mazlan bercerita ‘azab’ yang ditempuhi untuk pulang ke Kola dari rumah kenduri yang dikunjunginya, di Pokok Sena. Puncanya kesesakan jalanraya akibat hujan lebat dan di beberapa tempat air sedang naik. Dua tiga jalan yang dimasuki, termasuk jalan ke rumah mertuanya di Kebun 500, demikian keadaannya. Akhirnya mereka terpaksa balik dengan melalui jalan jauh – keluar melalui Derang dan Kepala Batas. Isterinya tersenyum ketika saya katakan mereka ‘melawat’ seluruh kawasan pada hari itu….

Kemudian, Ustaz Mazlan menyuruh isterinya pergi berjumpa dengan emak Babuji. Kebetulan tuan rumah itu dengan isterinya ‘bukan orang’. Ada pertalian keluarga.

Tinggallah kami bertiga. Campur besan emak Babuji. Berbual seadanya. Rupanya, ayah dan emak Ustaz Mazlan ada menunggu di dalam kereta, yang diparkir dekat kubur di jalan luar. Mereka menjaga cucu. Ustaz Mazlan berjanji akan singgah sekejap sahaja untuk bertemu kami. Agaknya mereka sudah datang pada awalnya.

Ustaz Mazlan terkejut apabila kami nyatakan Babuji tidak kami temui lagi sejak tadi. Katanya, ketika menepuk bahu tadi, dia ada memberitahu Babuji, untuk bertemu kami.

Babuji sedang berbual dengan dua orang tetamu yang sedang makan di khemah tengah. Membelakangi kami. Kemudian saya nampak dia menjawab panggilan telefon. Idea muncul. Ustaz Mazlan tertawa melihat saya mencari nombor telefon Babuji. Dia tahu apa idea itu.

Sebaik Babuji menamatkan perbualan, terus saya menekan butang memanggilnya. Nampak dia membuka beng sendengnya, mengeluarkan telefon. Ustaz Mazlan berkongsi tawa dengan bapa mertua Hasliza melihat aksi dipantau itu.

Sebaik memberi salam, saya bertanya dua soalan : hujan atau tidak di situ dan masih adakah lagi lauk?

Pantas dijawabnya. “Tengah hujan ‘ni. Lauk ada lagi. Jangan takut.  Maila. Mai...”

Saya ingin terus menyakatnya, tetapi takut tidak mampu menahan tawa. Lebih-lebih lagi reaksi Babuji sedang diperhatikan dengan penuh minat oleh tiga lagi teman sekhemah….

“Cuba beralih tengok belakang ‘ni!” Saya ingin menamatkan permainan. Babuji seakan keliru. Tercari-cari.

“Tengok hala masjid…” Cikgu Non membantu dan kalimat itu saya ulang di telefon.

Babuji memusingkan badannya. Nampak kami, dia terus tersenyum. Nampak lesung pipitnya paling dalam dan hilang biji mata di sebalik senyum! Hantu sungguh depa ‘ni! Kalau saya di tempatnya, itulah yang akan saya kata, walaupun sekadar di dalam hati…

Babuji mendekati kami. Menggelengkan kepala sambil tersengih menyalami kami. Besan emaknya tersenyum. “Ana habaq kat enta tadi kata ‘nak jumpa Cikgu Din dengan Cikgu Non. Enta tak perasan ka?” Tanya Ustaz Mazlan,lembut sambil tersenyum. Babuji! Dia tidak terkata apa-apa. Cuma matanya sedikit terpejam menyerlahkan lagi lesung pipitnya.

“Budak Batas Paip mai dak?” Tanya saya. Jawapannya tidak berapa saya dengar atau memang saya tidak mahu dengar…

“Ustaz Man mai dak?” Tanya saya lagi mengingatkan dia rapat dengan ustaz berasal dari Pattani itu.

“Mai. Ustaz Man mai tengah hari tadi. Dia mai soghang-sogahng naik motor….”

“Rohimi mai dak?” Tanya saya lagi, mengingatkan dia dan Rohimi Md Isa, budak Falah berasal dari Sungai Tiang, bekerja satu bumbung. “Panggay dia dak?”

Panggay. Tapi tak mai lagi …”

Itu saja perkara berkaitan yang sempat terfikir. Hendak ditanya siapa dua gadis yang bersama kami di bawah khemah lauk tadi, tidak relevan sangat kut………

Kemudian Babuji menunjuk ke arah dua tetamu yang dilayannya berbual tadi. Mereka adalah rakannya semasa dia berkelana di Bukit Beruntung, Selangor beberapa tahun dahulu. Mereka bertolak pada pukul sepuluh pagi dan baru sampai sekitar jam tiga petang. Dia nyata berbahagia dengan kesudian dua rakan itu memenuhi undangannya. “Kendughi adik dulu pun depa mai….” Ujarnya.

“Hangpa semua beghapa beghadik?” Saya terlupa soalan ini dari siapa.

“Sembilan. Yang haghi ‘ni nombot lima. Ada empat lagi tak menikah…..” Laju sahaja Babuji menjawab.

Kalau masih diingati dan umur pula panjang serta jika tiada sebarang halangan, ertinya lagi empat kalilah …….

Setelah berbual lebih kurang seratus patah kata sahaja lagi, kami menyuruhnya pergi melayan rakan dari jauh itu. Lagi pula kami juga sudah mahu berundur.  Ustaz Mazlan menggamit isterinya yang sedang berbual dengan seseorang, dalam kami melangkah ke khemah penyambut tetamu. Sambil itu sempat Ustaz Mazlan membisikkan akan memanggil kami jika cadangannya untuk mengadakan kenduri di rumahnya kelak menjadi kenyataan. Insya Allah.

Bersalam dengan Ustaz Mazlan, saya menitipkan salam untuk ayahnya. Kami melepaskan pasangan yang berpakaian berwarna hampir sedondon meredah hujan. 

Babuji menyuruh saya dan Cikgu Non menunggu sebentar. Ada buah tangan, katanya. Saya nampak ada satu tong dipenuhi ikan kembung segar dekat pintu dapur rumah emaknya. Biar betul, fikir saya, takkanlah tauke ikan separuh masa ini hendak berbuahtangankan ikan kembung…

Lama juga kami menunggu. Ustaz Mazlan dan isterinya sudah hilang dari pandangan. “Tak payahlah kut,” kata Cikgu Non. Tidak pasti sama ada buah tangan yang difikirkannya sama dengan yang saya jangkakan.

“Tak pa. Ada. Benda banyak depa buat…” balas Babuji.  Dia melangkah semula ke pintu dapur. Bercakap sesuatu dengan isterinya yang menoleh ke arah kami lalu tersenyum.

Sebentar kemudian Babuji datang dengan tiga beg berisi bunga telur dan kotak bergambar wajah pengantin berisi gula-gula. Diberinya kami seorang satu. Satu lagi mungkin untuk Ustaz Mazlan yang ketika itu agaknya sedang membelok ke jalan rumahnya di Lorong 8….

Kami meredah hujan lagi yang sedang renyai….

Disember nanti ada banyak lagi kenduri. Rumah budak AlFalah ada dua tiga undangan. Tengoklah, kalau rajin, saya catatkan… Tetapi selalunya bulan akhir ini bulan malas……

No comments: