Ini cerita lama. Cerita sebelum raya
haji yang lalu. Cerita biasa. Memang mahu dicatatkan juga tetapi asyik
tergendala. Ada satu urat di badan yang menghalang. Sebaik mahu dimulakan
sahaja, urat itu akan menghalang. Caranya: digeleteknya saya!
Dengan sebab demikian, maka lamalah
masa diperlukan untuk saya siapmuatkan cerita ini. Puas jugalah berkali-kali,
berminggu-minggu menanti urat itu terlena sekejap supaya tidak mengganggu pergerakan jejari di atas papan
kekunci……
Adapun, begini ceritanya:
Ketika balik dari rumah Cikgu Abdul Azid Husin
bersama Wira
Osman hari itu, 20 Oktober 2012 – seperti yang dicatat dalam entri mengenainya – saya meminta Wira
tunjukkan rumah pasangan bahagia Mariam Ismail dan Zulkifli Shamsuddin.
“Ooo. Di Pulau Gezambo….” kata Wira.
“Pulau Gezambo?” Tanya saya. Minda
pun terus teringat nama pulau dan lagu beserta tarian hulanya sekali, di dalam
filem Panggilan
Pulau, lakonan P Ramlee yang masih kurus
serta bintang-bintang di Jalan Ampas, Singapura, pada tahun
50-an dahulu.
“Kami panggil
Pulau Gezambo
kampung depa ‘tu….” Wira membuat pencerahan. Siapakah ‘kami’
yang menamakan kampung berkenaan sedemikian klasik, tidak pula diberitahunya.
Agaknya samalah dengan sesuatu cerita umum, seringnya disebut, “depa kata”. Jarang sesiapa bertanya siapakah ‘depa’ tersebut…… Maka terselamatlah orang yang baru berkata itu!
Kedudukan geografi kampung itu memang
saya tahu. Saya maksudkan agar Wira menunjukkan rumah pasangan sebaya tersebut. Yang mana satu supaya jika takdirnya saya
ke situ suatu waktu nanti, tidaklah tertanya-tanya atau tersalah
ketuk……
Alasan lainnya, saya ingin mengetahui lokasi rumah yang telah dua kali
berturut-turut menjadi tapak berkumpulnya para chef sekitar Kola, menyediakan
menu utama untuk majlis jamuan hari raya budak Falah…..
Selepas menuruni Jambatan Tok
Pasai, sekembali dari Kubang Rotan,
membelok ke kiri, Wira memandu kereta melintasi Pulau Gezambo. “Yang biru itu…”
ujarnya yang memperlahankan sedikit pergerakan
kereta. Saya memandang ke arah rumah tersebut lalu menanda ke dalam minda.
Mulut pula sempat melopong membentuk huruf ‘o’,
manakala kepala mengangguk perlahan.
Setelah melepasi Pulau Gezambo, Wira membelok ke jalan yang boleh membawa saya ke rumahnya.
Terkejut juga. Sedang di Pulau Gezambo pun kami
tidak singgah, tidaklah mahu saya dibawa singgah pula ke pulau
lain. Terlupa pula bertanya, apa pula yang depa panggil kepada
pulau kediamannya…….Saya menolak
walau kedengaran tulus suara tuan empunya rumah mempelawa. Dengan tulus juga
saya menolak. Seperti selalu, kalimat ‘lain kali’ sentiasa ada di tenggorok.
Setelah diyakinkan bukan ke rumah yang di
pinggir jalan itu sebagai destinasi kami, saya meminta nombor
telefon Zul. Sekurang-kurangnya
dapat bertanya khabar serta pula mengkhabarkan ‘lintasan’ yang baru kami
lakukan di sekitar rumahnya. Wira memberikan nombor telefon. Lama saya menanti setelah sepuluh digit yang
diberikan ditekan pada butang telefon barulah Mariam, agaknyalah, bersuara.
Belum sempat saya memberi salam, terus dijawabnya di dalam Bahasa Inggeris : This is mail box for number zero one …..bla…bla…bla
Please leave the message after the tone… Hehehehe……
Saya
menterjemahkan ucapan Mariam itu kepada Wira di mana mafhum dari ayat
tersebut diringkaskan menjadi: “Tak
angkat pun….” Hehehehe……….
“Ada dua
nombor. Tu nombor Yam kut….” Wira bersuara perlahan sambil membelek skrin
telefonnya. “Yam tak layan nombor yang dia tak
kenal kut….” Katanya pula seraya memberikan satu lagi nombor – kali ini tentulah
benar-benar nombor Zulkifli. Tiada kut-kut lagi.
Hari Sabtu. Mungkin Zul berada di
rumah. Memikirkan demikianlah maka saya meminta nombor Zul. Tetapi memang mahu
dijadikan cerita. Kalau nombor itu yang diberikan pada kali pertama tadi, sudah
pasti tiada deretan cerita lain…..
Sekali dua nada dail berbunyi, Zul sudah mengangkat
telefonnya. Rupa-rupanya dia sedang berada di luar kawasan menjalankan tugas.
Di tengah negeri Kedah. Walaupun sedikit terkejut tatkala saya sebutkan nama
penuh orang yang sedang menghubunginya, Zul cukup tenang.Saya ceritakan baru
saja menelefon isterinya tetapi tidak dijawab semasa kami berada di depan rumah
mereka. Zul kesal dan agak terkilan kerana lokasi terkininya terlalu jauh dari
kawasan Pulau Gezambo itu.. “Ingat ‘nak makan nasi di situ la….” Saya menyakatnya.
Kerana itu dia meminta kami datang lagi. Hari kelepasannya adalah pada penghulu
segala hari - Jumaat. Hanya perkataan Insya Allah menjadi pelapik
jawapan saya.Ketika bercakap dengannya itu , kami sudah pun berada di hadapan
pintu pagar SK
Seberang Nyonya, mahu membelok keluar ke Batas
Paip – menuju ke gerai pilihan Wira untuk makan tengah hari.
Tiada apa-apa.
Malamnya saya siapkan catatan tentang hari yang baru dilalui itu. Sepintas lalu
sahaja saya menyentuh
berkenaan lintasan hormat ke kawasan tersebut di
dalam entri.. Malah nama pulau itu pun tidak saya sertakan.
Tiada
apa-apa.
Pagi esoknya, 21 Oktober 2012, saya menghadap
komputer seperti
lazimnya– melayan fb, melawat blog orang, melihat blog sendiri. Di fb grup Alumni AlFalah, ada Emzeq’lina
dan Wira. Banyak yang dibualkan mereka sambil, mungkin, menjalankan tugas yang diamanahkan di pejabat. Saya menyampuk sekali sekala.
Lama juga mereka di situ. Saling mengusik dan bergelak.Banyak bab disentuh termasuklah bab ais
salji Simpang Empat…
Tiba-tiba Mariam muncul di fb grup berkenaan, melontarkan persoalan:
hati
tertanya 2 apakah gerangannya kedatangan chipher ke rumah
Chipher? Salah ejaan tersebut.
Sebetulnya CIPHER - kalau mahu
dimelayukan berbunyi SIFAR.
Timbul keinginan untuk menyakat Mariam. Saya
pun berbisik pantas kepada Wira:
yam masuk plak
dia tulis dalam
alumni da
tolong jawab sat kat
alumni tu....
kata nak makan
tghari
ada org habaq ada kenduri
Saya yakin
dengan kemampuan Wira untuk membantu saya bermain-main sebentar setelah sejak
pagi, penat menanti orang sudi masuk ke padang AlFalah ……
dah terlambat, balas Wira.
Saya kehairanan,lalu
bertanyanya, terlambat pasai apa,.
dah tulis pun, jawab Wira.
Saya tidak
memahami maksudnya, melainkan setelah melihat skrin fb Alumni AlFalah semula.
Ada tiga komen. Rupa-rupanya dia dengan lebih pantas telah memberikan respons
terhadap persoalan dari Mariam tersebut:
Wira
Osman hati sorg tua di kaki gunung..teringatkan ank2
Aswad
Lorongmayat jauh dtng 2...
Wira
Osman itu kelibat sorg seniman...bersama motor tuanya
Ada ka begitu, kalimat Wira? Memang senaklah rasa….. Tapi…tak pa, tak pa, saya membujuk hati ….. hehehehe.
Kemudian, saya nampak Wira menyertakan Mariam dan Ummu Nisak ke dalam grup sembang kami. Tergelak saya mendengar kemesraan Wira menyapa Mariam dan Ummu Nisak, ummu nisak dgn mariam ni..awat cek diam ja
Ewah-ewah! awat cek diam ja! Sah ada orang yang akan tersentak, fikir saya. Tidak lama lagi….. Lihatlah!
Mariam membalas, bukan diam tapi malas .sejak 2menjak ni xlarat sangat...lpas tu kalut ngan periksa budak2
Saya bertanya Wira melalui ruang mesej
peribadi: Hang
tau sapa Ummu Nisak ‘tu?
Mungkin
maksudnya kaum kerabat Norshahida Said,
yang kebanyakannya pernah belajar di AlFalah dahulu.
Sah dia akan
terkejut besar…. Saya tergelak
lagi lalu menekan 16 kali beberapa aksara: Bini Cikgu Rahim la
Allahu Akbar, balas Wira. Apalah yang mampu insan sedaif saya lakukan lagi
selain tersengih..Sehingga habis sesi tengah hari itu, Wira tidak sekali pun menyapa lagi
Ummu Nisak. Segan agaknya.Tidaklah saya pasti adakah isteri Cikgu Rahim itu mendengar perbualan
mereka sehingga habis….
yam ank hg mcmn, Wira menyambung tanya.
Sapa plak nak boleh plak nie, sampuk Emzeq’lina.
Dengan segera Wira membidik Emzeq’lina: maz ..la...smpai tak tau nk boleh ank menakan plak ni
Ya ka...tahniah la. patut dok tak larat ja, kata Emzeq’lina.
Wira menjawab, kata org, betul ke tidak tanya empunya badan
Mariam membuat dua jawaban serentak secara lebar:
tu la angin pun len ikut mood je...xlambat dah lpas tu anak nak kna bwa 1hb..ni klau ikut xmau pi tapi xleh nak elak ..takut 2 terberanak kat jalan
Wira membalas, Allahuakbar..sabar2...ssuai dgn namanya. Tidaklah saya tahu nama siapa yang dimaksudkannya itu. Saya menebak, barangkali anak Mariam bernama Sabariah. Kut-kut.
Ketika ini barulah Emzeq’lina teringat lalu menulis: mmg betoi la tu wira lupa hari tu jumpa ngan dia
Seminit kemudian
Mariam bertukar kepada bahagian yang lebih menarik. Dia bertanya, Wira kmarin cg
din mai ngan hg ka
yg ..peneman setia, jawab Wira. Tidak lama kemudian dia
menulis semula:
ralat..ya..bukan yg
Saya tersenyum
membaca keralatannya. Jauh juga ‘a’
dengan ‘g’ di atas
papan kekunci. Bagaimana boleh tersilap? Kalau ‘ys’, ‘yq’ atau ‘yz’, patutlah juga….. Hehehehe. Sah, ralat yang
disengajakan, untuk mengusik teman yang sedang gundah berfikir agaknya……Wira!
Orang sekelasnya pada awal 90-an dulu tahu sangat hobi menyakatnya…..
Mariam bertanya lagi, ada pa2 ka ..kut 2la
Nuu yam tanya tu, bisik Wira kepada
saya. Saya biarkan. Kurang elok jika saya yang menjawabnya. Akan rosaklah program! Soalan itu bukan ditujukan kepada saya
pun …..
Akhirnya Wira yang menjawab, ckgu rindu kat hgpa...aku ni rasa pelik jgk..tak pernah dia rindu kat aku..dia mai jmpa aku...baik hgpa minta maaf cepat
Saya
terkejut bercampur lucu dengan jawapan
begitu. Namun belum sempat saya menaip untuknya, di ruang peribadi saya, muncul
bisikan Wira:
jgn marah..hehehhe
Hehehe..
Tidak ada pun sebab untuk marah. Cuma saya mula tertawa kuat membacanya. Wanita bermertuakan emak , yang sedang memasak di dapur, bersebelahan
bilik saya menghadap komputer, menoleh sambil mengerutkan dahi yang kalau
diterjemahkan bermaksud: Apa kena dengan sama
tua aku ‘tu?
minta halal la apa yg patut..kut terkata2 kat belakang, sambung Wira untuk catatan yang menggelikan itu.
Saya pun berbisik kepadanya sambil tertawa: hahahah. kata dia nak pi jauh kut....hahahah
Tapi Wira
bukannya patuh dalam semua hal. Dibantainya dengan jawapan berikut:
dia sggup mai dgn motor buruk ...mai kut jln yan
nu...tgh2 hari ..tkjut aku
aku teman dia jmpa babuji..jln2 pi cari ckgu aziz...
Saya berbisik kepadanya semula:
lebih nampak….
Seperti
biasa, cepat sahaja Wira membalas kepada saya: biasa la aji mau lebih baru sedap dan
disambung dengan tawa bertulis hahahahah yang tidaklah diketahui tahap bunyinya…. Saya
tersenyum. Seronoklah dia…
hg ni ckap seolh2......bkan apa aku pun tekejut ngan takuttt juga klau kmi da buat silap, kata Mariam.
tgok apa dia kata, Wira berbisik lagi, di celah tawa kami. Saya biarkan. Bukankah saya tiada di situ pada pengetahuan Mariam?
solah2 apa? Tanya Wira. Bijak dia memanipulasikan ayat Mariam pada tempat dan ketika yang tepat – sejalan dengan kehendak saya. Namun, sukar untuk ditentukan garang atau lembut nada soalan itu.
dak aih saje je.... Mariam seperti tersilap kata.
Saya segera membisikkan kepada Wira, dia tak berani perabih ayat tu....
Wira pun
membalas secara serius:
hah ni jgn pikir mcm2....tak kan klu dia nk marah hg ..dia nk serang hg p rumah
Ada ketokohan juga Wira menjadi moderator, fikir saya. Tetapi saya tahu dia sedang tersengih sewaktu menaip begitu…….
dia xbgitau apa ke.... Mariam tidak berputus asa, cuba mengorek sedalam yang boleh.
Wira terus
menjawab. Dia tidak merujuk langsung kepada saya.
dia ckp saja nk jmpa hgpa lama dia tak
tgok..biasa la org tua2
Hantu betul, kata hati saya. Namun senyuman masih ada….Hehehehe. Saya
yang tadinya mula mencari fasal…. Padanlah.
dia tak tau ka saya dok baca ni hahahaha, bisik saya kepada Wira.
tak tau ..sbb kita dua asing ..yg tu sya add smbg ramai2, jawab Wira pula, berbangga memperagakan kemahirannya berfb.
Saya tersenyum, sambil membalas, dia tak tengok nama saya kat ruang chat di bwh tu
Merasa tidak
tertahan, saya menelefon Wira. Sebaik dia
mengangkat, kami tidak boleh bercakap apa-apa. Kami hanya bertukar dekahan
tawa…… Menantu emak menjengul di pintu bilik. “Gila kut!” Katanya sebelum
kembali ke ruang dapur.
Gila? Memang betul gila. Mana tidaknya: Emzeq’lina sedang berbual bersama saya hanya berselang tidak
sampai setengah jam, tapi terlupa bahawa saya sedang mendengar
perbualannya dengan Mariam
dan Wira. Mariam pula, begitu beria-ia bertanyakan seolah saya sedang membuang tabiat. Akan budak jantan yang menjadi orang tengah itu lagilah. Siap
seakan membuat pencerahan tentang keadaan saya seolah-olah sedang bersedia
untuk menghadapi perjalanan ‘jauh’ yang abadi itu…….
Selepas talian telefon diputuskan pun,saya
masih tertawa. Masih juga di bawah pengawasan ekor mata menantu emak. Melihat
saya begitu, agaknya dia bimbang, membayangkan saya dibawa pergi dengan baju
khas kain khaki berwarna putih, disarungkan dari depan, berlengan panjang amat,
tanpa lubang tangan, bertali di hujung, dengan ikatan dibuat di belakang oleh
petugas terlatih, yang datang bersama van putih berlambang bulan sabit merah di
beberapa sisi……………
Saya
berpaling ke arah menantu emak,
memberitahu duduk perkara. Dia mendengar sambil tangan lincah di dalam
sinki – membuat apa yang patut kepada siangan ikannya. Kelihatan mulutnya
terkumat-kamit. Mengata sayalah ‘tu….. Saya menggamitnya untuk melihat di skrin
komputer. Saya tunjukkan
bahagian-bahagian yang membuatkan saya tertawa. Dia membaca sekali lalu.
Kemudian dia tersenyum. Haaa, kan? Sebelum berlalu semula ke sinki, dalam
senyum , sempat sekali lagi dia mengungkapkan sepatah kata, “Gila!”
Sempat saya
tulis untuk Wira: Isteri saya pun tersenyum
membacanya…. Sengaja saya sembunyikan satu perkataan yang baru
diucapkannya itu – manalah tahu kalau Wira ada peguam hebat, disamannya menantu
emak, makin sengsaralah kehidupan kami yang sama-sama yatim lagi piatu ini………
ngan aku dia tak mau jumpa ka
hahaha mesti dia tak igt kat aku nie...
sedih betoiii.,...hahaha
Hahaha.Saya tertawa makin kuat. Mengikut yang ditulis Emzeq’lina. Mujurlah tawa itu di dalam bilik di rumah…… Saya hairan bagaimana
Emzeq’lina boleh lupa bahawa saya masih ada di
situ kerana baru saja dia dan Wira serta saya bercakap bab ais salji….
Pada masa yang sama rupanya Wira sedang menaip: masa muda elok lg ni,,,dah naik 50..perangai dah jd mcm budak dah..nk merengek ja
Kepada saya dibisikkan pula: jgn marah arr
Hantu punya budak. Namun dalam sengihan saya membalas lagi: saya izinkan hahahahaha
Emzeq’lina mencelah di ruang utama: ish hang tak patut kata lagu tu
maz ..dgn hg pun dia ada sbut
Emzeq’lina: ya ka mcm tak caya ja
Wira: maz apa yg tak patut...hg tu klu tua nnt teru lagi apa
Emzeq’lina: amboiii kata kat aku nh
harap tak mau la lagu tu
Mariam kembali bersuara: xplh jmput lh datang bla masa tpi kna call dulu.takut xdak
Wira makin naik semangat untuk terus menyakat dengan menyertakan leteran kepada dua rakannya itu:
hgpa la kena p jenguk..smentar dia duk sihat kenal hgpa lagi
..nnt klu dia duk terejung keras tu muka hgpa pun dah tak kenal; dah
maz hg tu jauh mana ja dgn rumah c.din..tak pernah lgsung pa
tp cerita kemarin aku p dgn dia jmpa c,aziz ..peluk cium jgk la...air mata toksah kira la...aku ni plak bukan buleh tgok air mata...adik sikit pd shahruk khan ja
tgok ...mcmn sya punya ayat? Tanya Wira melalui ruang saya. Makin bangga nampaknya budak batas Paip itu, mengharapkan markah yang tinggi untuk usahanya mereka ayat-ayat tersebut. Tersengihlah saya, lalu menjawab: klassss…. Pastinya, tersengihlah juga Wira!
Tidak tahulah apa yang difikirkan
oleh Mariam. Dia menyimpulkan begini:
tu ka xpalh nanti aku
bincg ngan zul pi jmpa dia...maz maila kita pkat sama2
Saya
tersengih. pi jmpa
dia. Sayalah yang dimaksudkannya! Biar betul…..
aku jumaat sabtu ada la kat umah ayh
aku tu, kata Emzeq’lina. Kemudian dia menyambung, nnt nak pi hang call la aku
Saya tidak percaya boleh
tertawa lagi. Keluarga Mariam dan Emzeq’lina mahu bertandang ke teratak saya?
Hehehehe. Melawat orang tua yang sudah jadi macam budak, yang akan pergi jauh?
Biar betul, Wira!
Terfikir juga, beginilah agaknya
suasana seseorang berada di dalam koma – jasad terbujur tanpa boleh berkata,
tetapi mendengar pula suara orang yang datang berziarah. Kena pula perbualan
itu menyentuh bahawa yang sedang terbujur diramalkan akan pergi!
Hendak bangun menjerkah bahawa ‘aku masih hidup!’ tidak termampu, maka terus
terkedang hamba Allah itu, sayu sendiri…..
Demikianlah keadaan saya ketika itu.
Hendak menyampuk, takut yang sedang berbual tersebut
bertempiaran lari kerana menganggap orang mati telah hidup semula! Namun yang
sebetulnya saya ingin mendengar apa lagi umpatan orang…..
ditambah pula sang moderatornya cukup bijak memainkan peranan!
Maksudnya
dia mahu bersiap untuk ke SK Kuala Kedah – menjalankan tugas mengajar
Kelas AlQuran dan Fardu Ain…… Tidaklah jauh sekolah tersebut dengan Pulau Gezambonya itu – hanya perlu melintas selat menggunakan Jambatan Tok
Pasai…………………
Selepas
solat, saya ‘berbual’ lagi sekejap dengan
Wira. Nampak lain nadanya sedikit:
td dlm duk doa td teringat duk melawak mcm ni..tgok2 jd
betui...terlebih dahulu sya minta maaf cikgu ...slama ni mlawak lebih
kurg..hhehehe
Isy. Bab-bab
begini yang saya lemah. Mungkinkah Wira yang buang tabiat? Minta maaf segala
bagai…..Hehehehe.
Hahahha? Tabiat itu masih ada pada Wira - tidak terbuang!
Saya tersenyum. Pertamanya pada semua perlakuan
kami sepanjang pagi itu. Keduanya mengenang kata Wira, depa nak pi rumah
itu.
Saya tahu budak-budak AlFalah.
Seperti orang sebangsa saya yang lain, mereka adalah orang susah. Jadi mereka tidak akan
datang ke rumah saya. Saya mempunyai beberapa pengalaman. Misalnya, dulu pernah
saya memberi alamat rumah kepada seorang budak Falah yang beria-ia bertanya.
Mengenang lebih satu dekad tidak bertemu,saya mempelawa hamba Allah itu ke
rumah, apabila dan jika melintasi
kawasan kejiranan saya. Ketika itu kami bertembung di pekan sehari di Simpang Empat.
Dia mengepit akhbar yang muka belakangnya penuh dengan gambar pemain bolasepak
negara menayang pingat emas Sukan SEA
di Laos.Sambil menyimpan alamat itu ke dalam
telefon, dijawabnya, “Tengoklah, cikgu, bila senang nanti….”.
Pasangan hidupnya dan tiga anak mereka menjadi saksi. Sehingga kini –
setelah hampir dua kali acara dwitahunan Sukan SEA
berlangsung - dia belum pernah menjejak
ke halaman rumah saya. Sahlah anak murid saya itu masih orang susah………
Hehehehehe.
Maka tidaklah saya sampai
tertunggu-tunggu pasangan dari Pulau Gezambo itu……. Juga mana-mana pasangan
atau mana-mana individu.
Bertebaranlah
wahai budak-budak AlFalah di bumi Allah ini, melangsungkan hidup dan berbakti
kepada-Nya, sehinggalah kita dijemput pulang……
Dari jauh, jika mendengar
citra bahagia, izinkan hati saya menumpang merasa kebahagiaan itu. Sekiranya
terdengar yang sebaliknya, percayalah, dari jauh jugalah,
saya memohon agar doa untuk kesejahteraan semua, didengar-Nya……Amin.
Nota:
* - Untuk Mariam dan Emzeq’lina serta Wira bersama pasangan masing-masing: Catatan benar ini hanya untuk suka-suka.
Sekiranya ada yang menyinggung rasa,
ampunkan saya.Untuk menantu emak, maaf kerana diberikan watak yang terlalu kecil
di sini……..
** - Ejaan di dalam petikan dari fb adalah hakmilik
penulisnya masing-masing.Tiada suntingan dibuat. Kesilapan dan keringkasan perkataan tidak
sepatutnya ditiru…terutama oleh para pelajar di peringkat apa pun..Hehehehe.
*** - 04 Disember 2012. Jam 1151.
Ketika catatan ini siap, saya menghubungi Zul. Dia berada di Yan – sedang bertugas. “Yam
ada di rumah….” Katanya tanpa saya tanya, mungkin merujuk ‘lintasan’ saya bersama Wira
dahulu. “Mai la!” ujarnya lalu diulang lagi
dua kali. Walau disebut begitu, saya faham maksudnya bukanlah menyuruh saya
pergi berjumpanya di Yan….
Saya bertanyakan khabar isterinya. Alhamdulillah, Mariam telah selamat bersalin
enam hari yang lalu – melahirkan seorang putera – menjadi empatlah anak mereka.
Saya tanyakan nama anak sulungnya yang saya agak bernama Sabariah, berdasarkan nasihat Wira supaya bersabar kepada Mariam dahulu. Rupanya bukan nama itu.
Disebutnya, memang lain. Terkejut Zul, agaknya, mendengar pertanyaan itu. Sayalah yang silap faham akan perbualan hari
itu…. Kata Zul, jangkaannya pada bulan Mac 2013, sekali lagi puteri sulung akan
dibawa ke IJN.
“Hari Jumaat saya ada di rumah. Mai la….” Suara tulus Zul memberitahu hal
yang sedia saya maklum. Saya mengucapkan tahniah kepadanya atas kehadiran ahli
keluarga terbaru kurniaan Allah. Saya tahu dia tersenyum, tatkala mengucapkan, “Terima
kasih”..
Tidaklah berani saya berjanji untuk pergi ke pulau itu dalam waktu terdekat
ini. Seperti budak Alfalah yang lain,
saya juga berbangsa Melayu. Saya orang susah………
- amat susah pula . Nantilah apabila dan
jika saya senang…..
Bagaimanapun, sekali lagi tahniah untuk Zul dan Mariam. Bertambahlah
seorang lagi warga Pulau Gezambo…..
No comments:
Post a Comment