Innalillahi........
Difahamkan Pakndak Mat [Ahmad bin Saad], ayah kepada Ustazah Rodziah
Ahmad telah meninggal dunia pada subuh tadi (Jumaat 14 Dis 2012]. Semoga
rohnya dicucuri rahmat.
Budak Falah, merpati di tepi pagar itu tidak lagi berpasangan di dunia ini......
Kebetulan saya sedang menyapa Cikgu Shon di petak chat. Saya terus bersiap untuk pergi dan memaklumkan kepada Cikgu Shon yang kemudiannya memberitahu tidak dapat ikut menziarah kerana komitmen lain yang tidak dapat ditinggalkan.
Saya cuba menghubungi Cikgu Non. Malangnya, saya terlupa status saya di mata Celcom. Sebaik diletakkan di telinga, ada suara separa manja, memberitahu: Dear customer, your line has been barred. For your bill info please dial *111#. Any inconvenience caused is regretted. Thank you.
Terima kasih! Jawab saya dengan sopannya di dalam hati.......
Maka tiadalah sesiapa lagi yang saya hubungi pada pagi itu......
Ditemani anak sulung, saya balik ke kampung. Menziarah jenazah sekejap, berbual sekejap dengan beberapa penziarah yang lain, balik ke rumah emak sekejap, membaca akhbar sekejap, kerana sekejap lagi azan akan berkumandang dari masjid. Jenazah akan dikebumikan selepas solat Asar.
Selepas solat Jumaat, saya sekali lagi ke rumah arwah. Sanak-saudara dan sahabat handai mula sedia berkumpul. Yang melibatkan AlFalah, selain Ustazah Rodziah sendiri, saya nampak kelibat Ustazah Rohana Abdul Hamid serta beberapa bekas pelajar AlFalah. Bekas pelajar AlFalah itu bukanlah dari generasi bermula tahun1983, sebaliknya lapisan lebih awal, malahan generasi tahun 60-an - maksudnya penduduk Kampung Permatang Ibus dan Kampung Perlis yang pernah berguru dengan almarhum Ustaz Azizan dan almarhum Ustaz Ahmad Fauzi.
Ketika jenazah akan dimandikan, saya bertembung dengan Maklang/Kak Yah. Dia memberitahu Ustaz Fairose dan Cikgu Ahmad Amminy sudah sampai di rumahnya di AlFalah. Dia meminta saya menelefon mereka supaya datang segera. Ketika itu hujan mula turun. Saya mengeluarkan telefon lalu mendail nombor Cikgu Non. Hentam sajalah.Saya meletakkan telefon di telinga. Melihat maklang masuk ke rumah arwah, cepat-cepat saya masukkan semula telefon ke dalam poket baju ....... Nak buat macam mana. Takkanlah nak umumkan kepada hadirin dan hadirat bahawa Celcom telah memutuskan hubungannya buat sementara dengan saya....
Dalam lima minit kemudian, dua beradik itu, berpayung, sampai ke rumah arwah. Cikgu Ahmad Amminy ditemani juga anak sulungnya yang sebaya dengan anak sulung saya. Mereka bersalaman dengan semua yang berdiri dan duduk di bawah bumbung bangsal di hadapan rumah, sebelum masuk terus ke tempat jenazah dimandikan.
Saya membaca surat izin menguburkan dan laporan kematian yang dipegang Bang Man, suami Ustazah Rodziah.
Ahmad Bin Saad. Lahir pada tahun 1915 namun polis yang menerima laporan menulis umurnya 87 tahun, sedang hakikatnya lagi tiga tahun umur Pakndak akan menjadi satu abad! Beliau meninggal pada 1 Safar tahun Hijrah 1434. Bagi yang obses dengan angka 121212, atau 8888, atau 101112, lihatlah tarikh kematian beliau: 1234. Bagi yang terlupa Safar adalah bulan kedua Hijrah....
Seluruh tahun hayat saya ada dalam pengetahuannya. Dari zaman bayi hingga setua ini. Kata emak, setiap malam minggu pertama selepas kelahiran saya, Pakndak Mat akan bertandang ke rumah kami, menemani isterinya Makndak Pahyang merawat emak serta membedung saya. Mustahil untuk saya mengingati itu, tetapi selepas kelahiran adik keempat, saya dapat mengingat dengan jelas bagaimana pasangan suami isteri itu mengunjungi rumah kami - Makndak Pah akan berbual-bual dengan emak dan membedung adik, manakala Pakndak Mat akan berbual dengan ayah atau/dan tokwan hingga selalunya beralih hari.....
Demikianlah mereka.
Ketika mula mengajar di AlFalah, Pakndak Mat adalah salah seorang pendorong saya. Dia sendiri memberikan usaha dan tenaga yang bukan sedikit demi menaikkan semula AlFalah. Melihat sekujur tubuhnya pada hari kematian itu, paling saya terkenang akan kegigihannya dari pagi hingga ke hujung petang menyiapkan bahagian atas sekolah dua tingkat untuk dijadikan asrama puteri. Hujung tahun 1983 waktu itu. Tanpa baju, berkain pelikat, Pakndak menggergaji papan dan mengetuk paku, memulihkan dinding dan lantai yang rosak. Saya yang membantunya berkali-kali turun mengambil minuman, sedang Pakndak Mat boleh bertahan tanpa minum sehingga dia berpuashati dengan hasil kerja. Selepas makan tengah hari, dia paling awal datang menyambung kerja.
Demikianlah Pakndak Mat.
Siapakah boleh menafikan peranan PakNdak Mat - Ahmad bin Saad - ayah Ustazah Rodziah
dalam menaikkan kembali AlFalah. Dialah insannya yang turut membaiki
bahagian atas bangunan dua tingkat untuk dijadikan asrama puteri pada
hujung tahun 1983 sebagai persiapan menyambut sesi persekolahan 1984.
Kami turut membuat sebuah bilik untuk warden di tengah-tengah asrama
itu. Di bawah beranda, antara pecahan dua tangga, kami siapkan pula
tempat memasak, cukup untuk diletakkan lima enam dapur minyak tanah
bersumbu dua belas..... Dinding dan pintunya dibuat dari papan lapis
tipis berbingkai kayu kecil sebesar pembaris.
Ketika kayu bangunan dari bekas sekolah Ustaz Azizan [Sekolah Fajas Islam]di Kg Baru. Alma, Bukit Mertajam,
sampai dan diletakkan di tepi jalanraya [kerana lori 'besar' tidak
dapat masuk ke kawasan AlFalah], PakNdak Matlah yang mengumpulkan orang
kampung untuk mengangkutnya bersama-sama dengan sebilangan waris pelajar
yang Cikgu Rahim, Ustaz Zubaidi dan saya maklumkan secara peribadi dari rumah ke rumah - dari Sala Kechil hingga ke Alor Ibus.
Ketika
'bangunan' itu mahu didirikan semula, di tapak perancangannya masih ada
bangunan kayu sekitar 40'x60'. PakNdak Matlah juga yang mengumpulkan
orang kampung untuk mengusung bangunan itu bagi dipindahkan ke bahagain
belakang rumah Ustaz Azizan. Tujuannya adalah menjadikan bangunan itu
sebagai asrama putera.
Di tapak yang baru
itu pula masih terdapat beberapa pokok kelapa seusia AlFalah yang
diasaskan pada tahun 1955 itu. Malah ada dua batang pula bakal
menghalang perjalanan bangunan itu. Saya masih nampak bagaimana
pada pagi gotong-royong itu diadakan, dengan langkah perkasa PakNdak Mat
berbekalkan sebilah kapak, menebang sebatang demi sebatang pokok kelapa
bagi memberi laluan serta ruang bangunan itu ditempatkan. Mengatam
batang dan mencantas pelepahnya sebelum diangkat ke tepi oleh orang
ramai.
Tiada
perobohan pada bangunan. Ia diusung oleh ramai orang setelah PakNdak
Mat dan beberapa tukang rumah mengikat atau melekatkan kayu panjang pada
sekeliling bangunan. Riuh rendah sorakan mereka ketika bangunan itu
diusung. Kalaulah boleh divideokan.......
Selepas
itu, hampir setiap hari, terutamanya waktu petang, PakNdak Mat akan
berada di kawasan sekolah. Di tangannya pasti ada gergaji atau penukul.
Dibaikinya atau dibaikpulih apa sahaja di sekolah atau di asrama.
Demikianlah Pakndak Mat di minda saya. Seorang yang cukup suka berbakti dan tidak minta didendang.....
Di minda Ustaz Fairose dan Cikgu Ahmad Amminy tentulah demikian juga. Mengenang jasa dan khidmat Pakndak Mat, mereka yang bertugas di Pulau Pinang, bergegas pulang. "Banyak jasanya untuk AlFalah," kata Ustaz Fairose.
Mengenang jasa dan khidmat Pakndak Mat, kami ke Masjid Teluk Bulang untuk mengiringi dan menyolati jenazahnya.
Saya dan Cikgu Ahmad Amminy bersama anak sulung masing-masing menumpang kereta Ustaz Fairose. Itu juga suratan takdir. "Siapa sangka kita akan naik sekereta begini lagi,"kata saya sebaik kereta keluar melalui jalan tar mini AlFalah. Ustaz Fairose dan Cikgu Ahmad Amminy hanya mengangguk dan tersenyum. Lama sungguh sebenarnya kami tidak sekereta begitu. Lama sungguh, kerana saya telah terlupa akan kali terakhirnya. Mungkin lebih sedekad lalu......
Sepanjang jalan ke masjid, kami mengimbas lagi beberapa bakti Pakndak Mat terhadap AlFalah. Anak-anak kami hanya mendengar.... melihat kami kembali ke masa lampau.
Di masjid, jam baru pukul 4:00. Lambat lagi untuk masuknya waktu Asar - di mana mengikut jadualnya solat jenazah akan dilakukan pada masa itu. Kami berbual-bual dengan beberapa jemaah tempatan. Ada bubur asyura setalam di balai lintang masjid. Kata seorang jemaah, mereka mengacau bubur pada paginya dan diedarkan kepada keluarga di kariah tersebut. Bubur yang di dalam talam itu adalah lebihannya. Saya, Ustaz Fairose dan Cikgu Ahmad Amminy pun menyertai kumpulan menghadap talam itu - menyuap beberapa sudu bubur ke mulut........
Ada sebuah mangkuk polisterin yang dipenuhi bubur asyura di tepi talam tersebut. "Sat lagi saya nak ambik mangkuk ni - nak bawa balik....." saya bergurau. "Ambik, ambik. Sila. Alhamdulillah kalau ada yang mahu ambik...." jemaah yang seorang tadi membalas dengan ramahnya.
Saya mencapai mangkuk itu dan meletakkan di atas meja bersebelahan tempat berwuduk. Dari situ saya memerhati jemaah yang ramah tadi. Minda menggunakan enjin cariannya. Ketika dia mengambil wuduk, enjin carian saya memberi jawapan.
"Ni ayah Yasmin, kan?" saya menyalami tangannya yang basah dengan wuduk. Pakcik Md Nayan terkejut. Mengiakan dan bertanya tentang diri ini. Saya memperkenalkan diri. Sebaik disebut nama ayah saya, dia terus merangkaikan dengan tiga lagi bapa saudara saya. Bertanya khabar mereka. Dua - termasuk ayah - telah dijemput pulang manakala dua lagi masih sihat di kediaman masing-masing....
[Dua bulan lalu saya pernah terserempak dengannya dan Nurrezini di Hospital Sultanah Bahiyah. Pertanyaan khabar akan empat beradik ayah saya yang sama belajar dengannya di AlFalah pada tahun 1960-an dahulu, tetap sama seperti itu.]
Saya bertanyakan khabar kedua-dua anaknya - Yasmin dan Nurezzini.Dia menunjukkan arah lokasi rumah mereka, walaupun pandangan kami terlindung oleh dinding masjid. Saya menitipkan salam untuk mereka. Sambil itu, dua tiga kali dia bertanyakan nama saya.
Kemudian saya memperkenalkan Ustaz Fairose kepadanya. "Anak Ustaz Azizan" kata saya. "Anak Ustaz Azizan?"tanyanya kembali. Dia terpempan.Ketika mereka bersalaman, saya dapat membaca getaran pada suara bekas penuntut AlFalah itu. "Dulu kami berjalan kaki pi Falah kut 'ni lah...." katanya sambil menunjuk arah melintasi kehijauan sawah....... Satu lagi nostalgia terawang di bumbung Masjid Teluk Bulang......
Selesai solat jenazah diimami oleh Ustaz Man [Wae Samae], kami menunaikan solat Asar. Di hujung doa, saya ternampak kelibat Suwita Don, rakan sekelas Yasmin Md Nayan [Kelas Peralihan 1983 di AlFalah]. Kami biasa bertemu sekali dua dalam tahun ini, maka tidaklah dia terkejut ketika saya bersalam dengannya. Rasa terkejut Suwita muncul sebaik saya menggamit Ustaz Fairose mendekati kami. Masing-masing hampir tidak mengenali melainkan setelah diperkenalkan semula oleh yang empunya diri ini...... Suku abad tidak pernah berjumpa, demikianlah keadaannya.
Saya, Ustaz Fairose dan Cikgu Ahmad Amminy kemudiannya ke kubur bagi melihat keranda diturunkan. Sekitar lima belas minit kami di situ, berbual sebentar dengan Ustaz Man yang diminta mengendalikan bacaan talkin bersama Hj Hisham Ahmad, imam Masjid Alor Pulai. Imam Masjid Al Islah, Teluk Bulang sendiri, Ustaz Hj Yusoff, yang merupakan guru AlFalah pada tahun 1960-an, tidak ada pada petang itu kerana perlua mengendalikan acara akad nikah di Masjid 'Aa'la, Simpang Empat yang masih belum mempunyai imam bertauliah.
Hujan mula turun lebat sebaik kami sampai di AlFalah. Lebih 90 minit saya terpaksa berlindung di rumah Maklong/Maklang dan terpaksa pula mereka menyediakan dua jag teh o panas ...... Pada masa itu, sekali lagi kenang-kenangan bersama Pakndak Mat dibangkitkan. Ustaz Fairose dan Cikgu Ahmad Amminy bercadang untuk menyertai majlis tahlil di rumah Pakndak Mat pada malamnya, sebelum balik menyambung tugas.
Malam itu, saya tercari-cari bagaimana untuk memulakan catatan untuk blog ini. Akhirnya inilah yang saya temui.
Semoga roh Pakndak Mat dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosanya.
Sesekali
merenung bekas tapak kantin pada era awal pemulihan AlFalah dahulu,
atau melihat bekas tapak asrama yang bersempadan dengan rumah mereka,
atau menjeling bekas sekolah apalah agaknya yang mereka fikirkan?
Mungkinkah
mereka tertanya-tanya ke manakah suara yang meriuhkan suasana pagi,
petang dan malam di bumi AlFalah suatu waktu dahulu?
Mungkin
pula mereka hairan, berubah sangatkan jalan ke AlFalah, sehinggakan
tiada sesiapa pun, di antara yang pernah mereka kenali, berjaya menemui
jalan ke situ?
Kampung
di tepi pagar AlFalah itu juga sunyi. Sepasang merpati - PakNdak dan
MakNdak - hanya mampu memerhati...atau menanti.....
Sesekali, budak Falah, jengahlah......
Kini merpati hanya tinggal seekor ........
Sesekali, budak Falah, jengahlah......
No comments:
Post a Comment