Ya. Hanya pada 8 Safar, rancangan itu mampu dilaksanakan.
Lama saya mendengar cerita dari Cikgu Non akan keuzuran sahabat kita itu. Mereka bertemu di pejabat Bernas Telok Kechai untuk urusan pembaharuan buku subsidi harga padi. Cikgu Non mengesan keadaan sahabat kita itu yang tidak selincah yang diketahuinya selama ini. Senyum dan suaranya tidak sesegar dahulu. Ketika itulah diketahuinya sahabat kita itu sedang menderita kegagalan buah pinggang. Telah tiga tahun sengsara itu dilaluinya. Selama itu pula dia tidak lagi bekerja. Rutin mingguannya adalah tiga kali berselang hari mengunjungi sebuah pusat homeodialisis di Teluk Wanjah untuk mencuci darah.
Kami merancang untuk meziarahinya. Dalam pada itu sekali dua hanya Cikgu Non terserempak dan berbual dengan sahabat kita itu yang ditemani isteri. Saya pula dua tiga kali hanya berselisih jalan tanpa sempat menyapa....
Kesibukan apakah yang menghalang kami dari mengunjunginya selama ini, amat sukar ditemui.Agaknya demikianlah corak kehidupan yang harus kami depani. Sibuk yang entah apanya atau tentang apanya..... Alasan pun diciptalah.....
Akhirnya, berbual ketika pulang dari solat Jumaat pada hari yang gemburkan akan berlakunya kiamat[!], 21/12/12, Cikgu Non mengusulkan kami melaksanakan perancangan yang tertangguh lama itu.
Selepas membantu jiran mendirikan khemah untuk majlis kenduri, jam 6:15 petang, kami bertolak. Melalui jalan pintas ban MADA yang cantik berturap, kami memerlukan hanya 10 minit untuk sampai ke kampungnya.
Dari jalan mini menghala masuk ke rumahnya, tempat itu kelihatan dipenuhi kereta dan motor. Ikut kebiasaannya, keadaan begitu memungkinkan dua keadaan: kenduri atau kematian.
Kematian?
Rumah itu tidak kami jengah lebih tiga dekad. Ada motor Suzuki RC80 warna merah hati. "Sah rumah dia. Motor dia ada 'tu..." kata saya sambil membelek nombor pletnya: KT ........ Sah!
Namun kepala saya berselirat dengan persoalan lain.
Di manakah sahabat kita itu? Kenapa di rumah sebelahnya ada banyak kerusi plastik merah, berselerak sedikit? Kenapa ramai orang di situ, kebanyakan memerhati ke arah kami? Kenapa ada banyak kereta dan motor di sekeliling rumah itu? Jangan-jangan......Saya mula menyangka sesuatu yang memilukan! [Sambungan jangan-jangan ini hanya dizahirkan 24 jam kemudian, tatkala bersama Cikgu Rahim, dalam perjalanan pulang dari sebuah majlis kenduri, apabila Cikgu Non juga meluahkan hal yang sama, yang tersimpan di benaknya!]
Ketika begitu banyak mata memerhati itu, dari salah sebuah kerusi plastik merah, di sebelah rumah sahabat kita itu, menolehlah seorang yang cukup mengenali kami. Dia yang memakai kemeja-t berwarna biru, bangun, tersenyum. "Mai mana 'ni?" tanyanya.
Melihat dia sedikit berdengkot menghampiri kereta, kami ikut tersenyum. Tidak payahlah lagi kami bertanyakan akan rumah dan diri sahabat kita itu.
Dialah sebenarnya yang kami cari!
Kelegaan melihat wajahnya tidak mungkin dapat dicatatkan. Kalaulah dia tahu apa yang kami fikirkan sebaik nampak kereta dan motor yang banyak, mata yang berpuluh pasang serta kerusi plastik merah yang agak banyak........
Saya menggenggam erat tangannya. Demikian juga agaknya akan Cikgu Non.
Dia mengajak kami ke rumahnya. Kiranya rumah yang kami lihat tadi - rumah arwah ibu dan ayahnya - tidak lagi didiaminya. Dia telah berumah sendiri, lebih kurang 200 meter, di belakang dari rumah tadi. Dan motor yang kami sahkan sebagai motornya juga salah. Motornya dahulu Suzuki RC80 berwarna merah hati juga, tetapi nombor platnya KS 8500 Motor yang cukup bergaya dan berjasa semasa di AlFalah itu telah lama dijualnya.
Saya mengangguk.Demikian juga agaknya akan Cikgu Non.
Cikgu Non mengajak dia menaiki kereta untuk ke rumahnya yang dipisahkan jalan mini dan sawah dengan rumah pusaka orang tuanya itu. Dia menolak. Saya memilih untuk berjalan kaki bersamanya, sambil berbual.
Cikgu Non masuk semula ke dalam kereta.
Kami berjalan perlahan sambil menikmati kehijauan pokok padi, hingga sampai ke rumah sahabat kita itu. Banyak juga yang kami bualkan, almaklumlah terlalu lama tidak berborak.
Cikgu Non tiba dan memarkir kereta di belakang dapur sahabat kita itu. "Aku berbual dengan Abby [bukan nama sebenar], ada hal sikit..." katanya memaklumkan punca kelewatannya.
Kami menuju ke bahagian hadapan rumah seperti yang sahabat kita itu anjurkan sebelum dia masuk ikut pintu dapur. Sahabat kita itu membuka satu daripada dua pintu di bahagian depan berkenaan dan mempelawa kami masuk. Tiada sesiapa di rumahnya ketika itu. Isterinya ke pasar malam di Taman Bersatu manakala anak-anaknya mungkin di rumah sepupu bersebelahan rumahnya.
Saya dan Cikgu Non duduk di atas sofa. Sahabat kita itu, selepas ala kadar mengemaskan sofa yang lain, duduk menghadap kami.
Sahabat kita itu tersenyum. Mungkin separuh percaya, petang itu dia dikunjungi dua bekas gurunya. Semasa berjalan bersama tadinya, saya sempat menelefon Cikgu Rahim, memberitahu akan kehadiran kami ke situ. Kerana agak lewat petang dan perancangan yang serta-merta itu, tidaklah saya mengajaknya bersama yang kebetulan tidak ke mana-mana pada hari itu. Cikgu Rahim menitipkan salamnya kepada sahabat kita itu. Jika terawal saya teringat menghubungi Cikgu Rahim, mungkin sahabat kita itu makin terkejut dengan kehadiran tiga bekas guru...... Insya Allah, ada lain kalinya......
Zakaria Nayan.
Demikian nama sahabat kita itu. Semua pelajar AlFalah serta beberapa guru lelaki memanggilnya Pakya.
Pakya adalah penuntut dari Tingkatan Tiga Akademik AlFalah 1983. Sama dengan Mat Jin, Saidin Saad, Abdullah Hashim, Latiff Rahim dan Solehah Hj Hamid. Dia terkandas pada peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran tahun tersebut lalu mengambilnya sekali lagi pada tahun berikutnya. Juga kandas tetapi tetap gigih hingga berjaya pada tahun 1985.Sebab itulah dia hanya menduduki SPM pada tahun 1987, bersama-sama Kalsom Yaakob dan Rohaizee Azizan dari kelas eksklusif yang saya catatkan di dalam entri "Laaa... Hang Ka, Non!". Pada tahun 1987 itulah juga Cikgu Non membuat penampilan sulung di AlFalah.....
Terlalu banyak kisah manis pahit AlFalah bersama Pakya. Maklumlah lima tahun dia di situ. Kami menjadi seperti kawan. Kisah di sekolah -terutamanya - serta di tempat rombongan, di rumah Cikgu Rahim, di padang bola dan sebagainya mungkin tersimpan elok di dalam arkib dirinya.
Zakaria Nayan.
Saya sebetulnya terharu. Melihat langkah longlai Pakya. Melihat senyum tawarnya.
Pakya mempunyai empat cahaya mata. Yang sulung sedang di tingkatan dua. Kesemua mereka mengharapkan Pakya sebagai tempat pergantungan. Kini dia sendiri sedang diduga pula dengan sakit yang menyebabkannya kehilangan pekerjaan.
Tiga kali rawatan seminggu memerlukan kos sebanyak RM420. Syukurlah Pakya dibiayai oleh PERKESO [SOCSO] sepenuhnya.Jika tidak, lebih seribu ringgit sebulan, untuk sepanjang hayat, tentulah amat membebankannya.
Pakya pernah berkhidmat hampir lima belas tahun dengan nationwide EXPRESS, sebuah syarikat kurier terkenal. "Sesuai di situ," katanya. Rutin kerja yang memberikannya cukup masa bersama keluarga pula. Namun, sejak disahkan menghidap kegagalan buah pinggang lebih tiga tahun lalu, dia terpaksa meninggalkan syarikat tersebut. Saya sendiri, kalau tidak diberitahu oleh Cikgu Non, sering membayangkan Pakya di dalam seragam syarikat berkenaan - baju putih berjalur kecil. Selama ini, setipa kali terserempak dengannya di jalanan, seragam itulah yang dipakainya.
Hasil kerja sejak zaman terunanya itu, dia membina rumah di atas tapak rumah datuknya. Sebuah rumah kampung yang sederhana luasnya. Selesa didiaminya sekeluarga.
Pakya kini mengusahakan sawah yang disewanya. Lantaran keadaan kesihatan yang merosot, keluasan sawah terpaksa dikurangkan, berbanding semasa dia sihat dahulu. Pakya tentulah tidak dapat mengerjakan sendiri. Semuanya mesti menggunakan tenaga upahan yang menuntut kos yang bukannya rendah.
Perbualan petang itu lebih menjurus kepada soal kesihatan serta rawatan untuknya. Cuma sesekali kami mengimbau rakan-rakan di AlFalah yang kebanyakannya tidak lagi pernah ditemui. Kemudian Pakya merungkai persoalan di benak kami pada awalnya, tentang kereta motor, ramai orang dan banyak kerusi di rumah bersebelahan rumah emak ayahnya. Rupa-rupanya di situ terdapat sebuah kedai yang sajian wajibnya adalah air daun ketum @ daun biak.........
Demikianlah kehidupan......
Senja makin hampir. Saya dan Cikgu Non meminta diri. Berkali-kali Pakya meminta kami menunggu anak atau isterinya pulang untuk membuat minuman. Berkali-kali pulalah kami menolaknya. Ada riak kesal pada wajah tulus Pakya.
Akan ada kali lain, Pakya....
Ketika mencatat ini, saya benar-benar teringat kepada Pakya. Teringat senyum dan tawanya.Seorang yang cukup disenangi semasa di AlFalah.Motornyalah yang paling kerap saya gunakan untuk ke Simpang Empat atau ke Kangkong.Bersamanyalah kami berkonvoi pada setiap musim raya, bergerak dari satu rumah ke satu rumah lain, dari satu kampung ke satu kampung lain, menziarahi rumah rakan-rakan..... Aduh, manis sungguh detik itu....
Kini Pakya sedang diuji dalam fasa baru hidupnya.
Lambaian lesu ketika menghantar kami dari pintu dapur, pada petang itu, bersilih ganti dengan senyumnya yang manis semasa di AlFalah ........
Semoga senyuman begitu cepat kembali ke wajah Pakya. Amin.
No comments:
Post a Comment