30 December 2012

Tsunami ...... Di AlFalah!


26 Disember 2012.

Akhbar, radio dan tv pada hari tersebut mengimbas kejadian tsunami pada tarikh itu, lapan tahun yang lalu. Di laman maya tentulah tidak ketinggalan.

Saya juga terimbau.

Menjelang tengah hari selepas Krismas 2004 itu, seorang pendengar dari Kg Lahar Kepala Buaya, Simpang Empat, Kangkong, menghantar mesej bercerita tentang goyangan yang dirasanya beberapa minit yang lalu kepada sebuah stesen radio. Juruhebah yang bertugas, setelah membaca mesej tersebut, berpesan kepada pendengar agar tidak mereka-reka cerita atau mempercayai yang karut-karut. Saya yang turut merasakan gegaran yang tidak diketahui puncanya tertanya-tanya kenapa juruhebah itu seakan tidak mempercayai apa yang sedang berlaku….

Jam satu tengah hari, dalam berita radio, saya mendengar cerita kecelakaan pilu di beberapa negara. Utara Malaysia tidak terkecuali. Ingin rasanya saya melihat wajah juruhebah wanita yang sebelumnya meragui cerita pendengar tadi……

Demikianlah.

Semuanya kemudian menjadi sejarah. Dunia dikejutkan dengan bencana yang hampir tidak pernah berlaku. Ratusan ribu nyawa hilang malah beberapa jalur geografi juga lenyap…… Pelbagai cerita dan pengalaman muncul di semua media. Berbulan-bulan dibualkan.

Kemudian, setiap tahun tarikh 26 Disember itu dikenang, dengan pelbagai cara.

Tahun ini juga demikian.

Namun, selesai menyemak akhbar sambil mendengar tv pada pagi itu, saya benar-benar teringatkan UstazMohammad Abdullah [Ustaz Mat]. Teringat sungguh-sungguh!

Penghujung 1990-an.

Satu petang, Cikgu Abdur Rahim Daud, yang telah meninggalkan dunia perguruan, membawa rakannya, seorang agen insuran [entah apa tahapnya] ke rumah saya. Sehingga Maghrib dia masih bercerita tentang kepentingan insuran kepada keluarga kami. Menantu emak yang ketika itu sepenuh masa menggoyang kaki di rumah pula banyak bertanya. Terjadilah komunikasi dua hala yang seimbang. Apatah lagi apabila agen tersebut menggambarkan dengan menggerunkan sekali keadaan menantu emak jika tidak lagi mampu menggoyang kaki kelak.
Menantu emak segera terbayang dirinya yang kehilangan upaya untuk mendapat rezeki lebih pada setiap menjelang musim perayaan Islam mahupun musim persekolahan. Digambarkan sedang terlantar pula. Maka makin rancaklah dia bertanya, makin diyakinkan mampu membayar premium hasil goyangan kakinya di bilik belakang rumah kami, setiap hari….. Apatah lagi setelah isteri agen tersebut melihat gantungan baju yang sudah siap berjahit…. Menantu emak pun mengambil borang penyertaan sambil berjanji akan menyatakan persetujuan dalam masa terdekat.

Malamnya, selepas tetamu itu pulang, menantu emak mula menghitung purata hasil goyangan kakinya setiap bulan. Dia tersenyum manakala anak mertuanya ini senak sedikit….

Dua hari selepas itu, agen tersebut didatangkan ke AlFalah. Waktu pembelajaran terakhir hari itu, menjelang waktu pulang, kami – guru-guru -berkumpul di bilik buku teks merangkap bilik kami memasak nasi [jika rajin].

Selain buku-buku teks, bilik itu turut mempunyai sebuah periuk elektrik sumbangan Ustaz Hashim Din – yang pernah bertukar ke AlFalah dari Ihya’ Ul Ulum, Simpang Empat. [Kini,  beliau merupakan imam Masjid Kuala Sala]. Jika ada yang rajin memasak lauk atau ada lauk yang dibawa dari rumah, seorang dua yang lain akan menanak nasi. Kami akan makan beramai-ramai. Selalunya bahagian memasak nasi diketuai oleh arwah Ustaz Fadzil Hamid. Bahagian memasak lauk, termasuk gulai kebanyakannya dengan bantuan guru perempuan. Ikan kembung yang masih segar dari Kuala Kangkong atau Kuala Tebengau biasanya menjadi pilihan. Kalau bernasib baik gulai dan ikan kembung goreng itu akan disertai oleh sambal belacan dan ulam. Kalau bernasib baik lagi akan adalah pula sambal petai berudang atau sambal udang berpetai… Paling diingati adalah dari air tangan Cikgu Siti Khadijah…..

Buku-buku tersebut tersusun di atas rak empat lima tingkat yang diletakkan membelakangi keempat-empat bahagian dinding. Ada satu almari besar tempat meletakkan beberapa peralatan mengajar seperti peta dan glob.

Di tengah-tengah bilik itu terdapat beberapa meja kecil dan kerusi. Di situlah tempat kami menghabiskan masa dengan berbual-bual atau berjemaah menghabiskan beras…….

Di situlah tempatnya kami berkumpul pada hari kedatangan agen insuran berkenaan. Bagaimanapun bukan semua serentak berada di situ. Ada yang masih di dalam kelas, ada yang masih berbual di kantin, malah Ustaz Wan Samae [Ustaz Man] masih di Kuala Kangkong, seperti kebiasaannya jika ada waktu senggang.

Saya tidak ingat berapa orang yang berada di situ pada ketika taklimat agen itu bermula. Yang pasti, saya adalah yang terawal itu….. Juga Cikgu Mohd Faisal dan arwah Ustaz Abdul Hamid Hj Ismail serta arwah Ustaz Fadzil…

Oleh kerana kehadiran yang tidak serentak itu, berkali-kalilah hamba Allah yang menjadi agen insuran tersebut terpaksa mengulang mukaddimah dan relevannya setiap guru memiliki polisi insurans – terutama dari syarikat yang diwakilinya. Kalau dua kali mengulang demikian mungkin dia masih boleh bersabar, tetapi kalau sampai empat lima kali, ceti pun kena meratah akar dan bunganya!!

Semua macam kaset - kena rewind! Benganglah dia. Lebih-lebih lagi penerangannya bersifat satu hala. Dia lebih kepada bermonolog. Tiada soalan tanda berminat dari mana-mana guru. Semuanya seakan bungkam, membayangkan azab yang terpaksa ditanggung jika tidak memiliki polisi insurans – semasa cedera, semasa sakit, semasa tua, semasa mati…..

Setelah tiga empat kali mengulang begitu, takdir menentukan Ustaz Mat yang terakhir masuk ke bilik tersebut. “Dok menyembang dengan budak…..” katanya, selamba.

Oleh kerana kerusi yang menghadap agen tersebut telah penuh, Ustaz Mat terpaksa berdiri di  hadapan, selari dengan agen. Menghadap papan putih yang telah penuh dengan contengan angka dan rajah.

Terpaksalah agen insuran rewind lagi….. dan Ustaz Mat menjadi fokusnya!

Diceritakanlah semula akan kepentingan polisi insurans. Digambarkan Ustaz Mat sakit. Kos rawatan tinggi. Disebutkan kos tinggal di hospital swasta sehari. Didarab dengan tiga puluh hari sebagai misalan. Dinyatakan jumlah tersebut, ditokok dengan kos rawatan serta kos pembedahan, jika ada. Jumlahnya amatlah besar.

“Ustaz ada duit sebanyak itu?” Tanya  agen insuran kepada Ustaz Mat dengan nada yang cukup tinggi.

Ustaz Mat menelan liur. Matanya dikebil-kebilkan. Cikgu Faisal paling kuat tertawa melihat situasi itu. Saya menumpang sama. Semua tahu jumlah kos yang disebut tadi bersamaan gaji guru-guru Majlis Agama Islam Kedah lebih dua tahun! Kalau dihitung yang saya sebagai guru lembaga sekolah perolehi, mungkin mencecah lima tahun….

“Ada, ustaz?” soal agen insuran lagi kepada Ustaz Mat. Ustaz dari Paya Naikong, Kubor Panjang itu hanya mampu menggeleng dengan pergerakan yang amat perlahan. Cikgu Faisal tertawa lagi tetapi dengan volume yang direndahkan…

Melihat reaksi demikian dari Ustaz Mat, ditambah lagi melihat reaksi semua guru sebelum ini, agen tersebut makin bersemangat – pada penilaian sayalah semasa itu. Suaranya makin kuat. Dia melakar peta Malaysia, Singapura dan sebahagian IndonesiaPulau Jawa dan Pulau Sumatera. Guru Geografi mungkin memberikan pangkat D pada lakaran peta itu. Ditulis besar dan kasar Laut China Selatan serta Selat Melaka.

“Ustaz tengok na?” kata agen insuran, masih kepada Ustaz Mat. Dia menarik nafas panjang-panjang. Ustaz Mat memerhati dengan patuh pada lakaran tersebut.

“Satu hari nanti, akan datang satu angin kuat dari arah Laut China Selatan ‘ni, melintasi Singapura. Angin ‘tu membawa air laut. Dia tak boleh lepasi Jawa atau Sumatera. Jadi dia berpusing, membelok ke Selat Melaka…” sampai di situ agen insuran berhenti sambil menggaris besar dan kasar tiga kali pada bawah perkataan Selat Melaka.

Ustaz Mat terkebil-kebil. Kami yang duduk di kerusi juga demikian.

“Bila berlaku macam ‘tu, ombak akan mengganas di sepanjang selat ‘ni!” sekali lagi agen insuran berhenti, menarik nafas, sambil menggaris beberapa kali sepanjang lakaran Selat Melaka itu.

“Sepanjang pantai barat Malaysia ‘ni, akan dihempas ombak besar. Paling teruk di kawasan utara. Termasuklah kawasan kita ‘ni!” Agen insuran membulatkan kawasan yang difikirkan sesuai sebagai Kuala Kedah.

Kami menanti dengan rasa kecut …..

“Yang jadi dahsyat, sebab ombak besar ‘tu dibantu oleh angin dari Teluk Benggala di barat yang akan bertiup kuat. Maka ombak akan menjadi tinggi. Dia menjangkau jauh. Sepanjang pantai dari Yan hingga Perlis tentulah habis. Kemudian dari Kuala Kedah ‘ni dia akan membawa sampai ke Pokok Sena. Ombak ‘tu boleh pi. Dia hempas di situ dan mengheret semuanya ke laut! Alor Setar awal-awal lagilah ditariknya…..”

Sebahagian kami merasa semakin gayat. Ustaz Mat yang masih berdiri, menoleh ke arah kami. Seperti tadi matanya dikebilkan.

Kami bertukar-tukar bisikan. Dahsyat sungguh penangan ombak besar itu. Agen insuran kemudian menekankan betapa perlunya semua bersedia dengan polisi insuran bagi melindungi harta dan nyawa ketika menghadapi musibah itu.

Malangnya, hingga tamat taklimat itu, tiada siapa pun yang berminat menyertai skim perlindungan tersebut. Mungkin semuanya memikirkan soal komitmen bulanan dengan pendapatan yang tidaklah besar. Lagi pula gambaran yang dibuat oleh agen insuran tersebut masih tidak terjangkau sepenuhnya oleh kami.

Selepas agen tersebut pulang, kami masih berbual tentang topik yang dibawanya.

“Ustaz ada duit sebanyak itu?” Tanya Cikgu Faisal kepada Ustaz Mat, mengajuk dialog agen insuran. Ketawa kami berderai melihat Ustaz Mat menggayakan kegelabahannya tatkala ditebak agen insuran tadi.

“Mana ‘nak cari…..”katanya sambil mengeluarkan isi dari dua poket seluarnya – anak kunci motor dan tiga empat keping siling pelbagai nilai. Diletakkannya di atas meja di hadapan Cikgu Faisal.

Kami ketawa.

Ustaz Abdul Hamid berjalan ke arah papan putih tadi. Lama dia membelek lakaran peta di atasnya. Sesekali dia terteleng.

Saya memerhati sahaja. Menunggu rumusan dari mulut Ustaz Abdul Hamid. Ustaz lulusan Pondok Pokok Sena, Seberang Perai itu tidak pernah gagal membuat kesimpulan menarik dalam sesuatu perbincangan.

Dia berpaling ke arah kami sambil tersengih.

“Kalau sampai Pokok Sena dia balun, Alor Setar dia tibai, nak masuk buat apa? Bangunan semua runtuh. Fail insuran kita pun hilang….. “katanya.

Kami, termasuk anaknya, Cikgu Faisal, terdiam seketika sebelum tertawa kecil. Benar sekali rumusan itu.

“Kalau fail insuran  pun hilang….. nak tuntut kat sapa lagi?” tingkah Ustaz Mat. Suaranya kembali pulih. Bersemangat.

Ustaz Abdul Hamid tersengih.

“Kalau ada pun, enta nak tuntut macam mana,” katanya kepada Ustaz Mat, “dengan enta-enta sekali ‘dah hanyut….”

Ustaz Mat terdiam seketika.

“Sungguh juga noo!” katanya.

Kami tertawa. Ustaz Mat memejamkan matanya. Ikut tertawa.

Ketika itu, tiada siapa menyangka bahawa yang dimaksudkan oleh agen insuran itu benar akan terjadi, cumanya di tempat lain. Tiada siapa mengerti bahawa itulah namanya TSUNAMI…..

1 comment:

pawangnujum said...

sungguh aihhhhhhhhhhhh