Entah kebetulan yang bagaimana.......
Sebaik menyiapkan entri Ustaz Abby, saya ke Tebengau. Hajatnya untuk ke rumah Abu Bakar Zainol, tauke belacan, yang terletak menghadap Selat Melaka itu. Sengaja saya tidak menghubunginya terlebih dahulu dengan menjangkakan tentu dia sedangsibuk menjemur belacan. Jangkaan saya meleset. Lain kali saya mesti membuat temujanji. Petang itu, tidak sekali pun panggilan saya berjawab, termasuklah ketika saya telah berada di hadapan rumahnya.
Malamnya, barulah Abu Bakar menelefon saya. Terkejut dia mengetahui petang tadi saya pergi ke rumahnya. Rupa-rupanya seharian Abu Bakar bersama lima rakan berada di laut - memancing. Panggilan saya sampai, katanya, tetapi tidak boleh dijawab. Hal-hal teknikal ini biarlah tidak saya ceritakan kerana sememangnya bukan bidang kemahiran saya .......
Saya memberitahu bahawa pagi berikutnya saya akan ke rumahnya semula - mahgu membeli lebih sedozen ketul belacan. Dia menyatakan tidak ke mana-mana ketika itu kerana ingin menjemur belacan.
Sebaik menamatkan perbualan, saya teringat sesuatu.
Abu Bakar Zainol! Abu Bakar. AB. Abby. Pada sticker di bungkusan belacannya tertera huruf merah ABZ di bawah tag Belacan Alor Ibus...... Mengikut hukum menggunakan nama Abby, Abu Bakar awal-awal lagi telah memenuhi syarat! Maka, saya menyebut nama Abby Zack. Sedap juga.....Komersil pun ya juga... Lalu saya mulakan dengan menukar namanya di senarai kenalan di dalam telefon saya - dari Bakar Zainol kepada Abby Zack.....
Saya akan maklumkan penukaran nama itu ketika bertemunya esok........
Esoknya, 19 Disember, saya ke rumah Abby Zack semula. Saya sampai sekitar jam 11:30. Abby Zack sedang bersama seorang pembantunya menimbang dan membentuk ketulan belacan. Dia keluar menyambut saya, menyua lengannya untuk saya salami. "Tangan bau belacan 'ni...."katanya.
Dia membasuh tangan dan mengajak saya masuk ke rumahnya. Merasa bersalah mengganggu orang sedang bekerja, saya menyuruhnya meneruskan sahaja tugasnya dan berbual di stor belacan tersebut. Namun Abby Zack tetap mengajak saya masuk ke rumahnya. Maka terpaksalah saya akur. "Kita minum dulu...."ujarnya.
Di dalam rumah, saya disambut anak bongsunya yang sebiji badannya seperti Abby Zack. Berusia sekitar dua tahun, seberat 15 kg - kata isterinya - hanya menyarung lampin pakai buang..... Seronok melihat anak bersaiz badan begitu. Saya memasukkan tangan ke dua celahan ketiaknya lalu - seperti yang sering saya lakukan kepada kanak-kanak - melambungnya sepuluh kali. Anak kecil itu tergamam pada dua lambungan pertama sebelum tertawa pada lambungan lainnya. Mesra sungguh...
Abby Zack menyuruh isteri membancuh minuman sambil bercerita tentang xpdc memancing kelmarinnya. Mereka mendapat hanya dua ekor tenggiri. "Bolehla sorang dua katam...."jelasnya.
Selepas minuman sampai, Abby Zack bercerita tentang anak lelakinya yang sedang memasuki kem musim cuti selama sebulan di sebuah pusattahfiz di Kubor Panjang. Anaknya itu ingin terus belajar di situ selepas ini. Abby Zack yang sedang berfikir tentang hal tersebut meminta pandangan saya. Saya pun berkongsi pandangan dengannya..
Kemudian kami sambung berbual perkara rencam. Antaranya tentang lawatan dari Persatuan Nelayan Kuala Kedah berkenaan permohonan bantuan usahanya dua tiga hari yang lalu, tentang tawaran Astro percuma dari pihak E-Kasih.......
Setelah tegukan terakhir kepada minuman masing-masing dilakukan, kami keluar untuk ke stor/gudang belacan. Pembantunya masih tekun menimbang dan mengepal ketulan belacan yang baru tiba dua hari lalu. Ada sebekas papan lapis yang dipenuhi belacan siap ditempa dalam bentuk dan saiz sekata. Siap untuk dijemur.
Abby Zack masuk bersila di situ. Mengambil belacan lalu meletakkan di atas plastik yang dilapisi kertas surat khabar. Dia membalutnya untuk saya. Isterinya melekatkan sticker walaupun saya katakan tidak perlu kerana belacan tersebut akan dibawa ke Pahang untuk seorang ahli keluarga menantu emak yang mengusahakan penyajian makanan. "Tak apa, "kata Abby Zack, "sekeping [sticker] 2sen sahaja....." Otak orang berniaga, fikir saya, mungkin dia mahu jenamanya kekal tertancap di minda saudara kami di Sungai Pancing, Kuantan itu...
Sambil melihat Abby Zack membalut belacan itu, saya bercerita tentang blog Belacan & Bla Bla yang saya dedikasikan untuknya. Abby Zack tertawa. Ada sekali katanya seseorang dari KL menelefonnya mengucapkan tahniah. Sekali lain dia berjumpa Cikgu Non di Kuala Kangkong yang bertanyakan tentang blog itu.Dia ada membaca bersama isteri di kafe siber di Pekan Baru Tebengau..
"Rumah kami tiada internet,"kata isterinya.
"Yang E-Kasih pula bagi Astro ....."kata Abby Zack separuh mengeluh.
".....kalau bagi internet 'kan bagus!?"tokok saya pula.
"Rajin cikgu dok tulis...." ujar isterinya.
Hehehehe, gelak saya.
Empat belas ketul yang saya minta. Abby Zack memberi bonus seketul untuk saya. Jadilah.
Saya harus beredar. Selepas membayar harga yang siap didiskaunkan, saya melangkah ke motor. Bangga dan seronok mendengar Abby Zack memberitahu jualannya kini meningkat kepada satu setengah tan berbanding satu tan sebulan, sebelum ini.
Semoga Abby Zack terus berjaya. Bahagia sekali melihat kebahagiaan keluarganya....
Ketika sampai di jalanraya berhampiran Pekan Baru Tebengau baru saya teringat: saya terlupa memberi tahu Abby Zack akan nama komersilnya kini.....
Nantilah, Abby.........
No comments:
Post a Comment