Seperti janjinya, saya dijemput ke majlis kenduri dua anak perempuan. Kerana saya tidak tinggal di kampung asal, kad yang diselitkan pada pintu rumah emak tidak saya temui..Dua hari sebelum majlis tersebut barulah saya tahu tarikh majlis . Itu pun setelah anaknya menelefon saya, menitipkan pesan si ibu agar saya sudi hadir.
Saya pergi. Namun kerana pintanya agar semua tidak diceritakan, maka terpaksalah saya patuhi. Seronok melihat dia bahagia pada hari tersebut - menerima dua menantu serentak. Kerana terharu dan telah dua kenduri saya hadiri, saya hanya meminum sarbat. Mata asyik melihat dia dan suami menyambut tetamu. Resah hati kerana terpaksa memeram cerita kenduri dan lokasinya juga, atas permintaan tuan rumah. Ketika bersalam dengan suaminya, dia cepat saja berdiri di sisi. Mengucapkan terima kasih atas kedatangan saya. Anak ketiga yang berusia 16 tahun semnpat memberitahu bahawa ibunya adalah pembaca setia blog ini. Dia seakan dibawa ke zaman persekolahan semula... Saya merasa amat bahagia. Maaf kerana menceritakan sedikit hal kita!
Siapakah dia?
Dialah yang saya ceritakan di dalam entri 16 Mei Kali Ini.... terbitan 17 Mei 2012. Sila rujuk entri itu atau baca saja siaran ulangan di bawah ini.[.... dan semoga kita termasuk dalam golongan orang yang tahu diri dan bersyukur....]
16 Mei Kali Ini...
Dia terperosok di penjuru kelas. Kain tudungnya tidak terurus, hampir menutup keseluruhan wajahnya. Tiga rakan berada di sisinya. Di hadapannya adalah seorang guru perempuan. Guru inilah tadi yang menggamit ketika saya melintas di tepi tingkap dan menghendap sebaik terdengar esakan kuat.
Dia yang terperosok di penjuru kelas itu, bukan lagi teresak, sebaik nampak kelibat saya. Dia meraung! Dalam raung itu ada nada marah kepada guru perempuan dan rakan-rakannya kerana melibatkan saya dalam hal peribadinya. "Kut-kut cikgu 'ni boleh tolong......" kata guru perempuan sambil menghalakan muncungnya ke arah saya. Tiga rakan peneman tadi mengangguk menyetujui, dengan wajah masing-masing ada bekas sekaan air mata.
Pelajar yang baru seminggu selesai menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran itu kembali teresak. "Saya malu!" katanya berkali-kali di sebalik tudung yang menutupi muka.
Saya membuka dua tangan sambil kepala terangkat serentak membuka mulut, memandang kepada guru perempuan. Tanpa suara, mereka tahu maksud saya: apa hal?
"Macam 'ni....." sebaik tiga suku kata itu keluar dari mulut guru perempuan, dia yang terperosok tadi meraung semula. "Jangan, cikgu! Malu!"
Guru perempuan membisikkan sesuatu kepadanya.Sesuatu itu tentu banyak huraiannya sebab masa berbisik itu hampir tiga minit. Dia kelihatan menganguk-angguk,sekali berkata sesuatu, lalu diam semula - tinggal beresak.
Kemudian guru perempuan mengisyaratkan saya mengikutnya ke luar sambil mengiyaratkan tiga pelajar tadi menemani terus dia yang terperosok di penjuru kelas itu.
Guru perempuan menunjukkan arah pejabat. Saya mengekorinya. Di dalam pejabat hanya ada kerani. Guru-guru lain ada di dalam dewan kerana Majlis Muhadhoroh sedang berlangsung. Saya pun sebenarnya melintas tadi untuk ke dewan setelah menyiapkan soalan kuiz untuk diberi kepada juruacara majlis.
Di pejabat, terburailah duduk perkara.
Dia yang terperosok di penjuru kelas tadi, diberitahu oleh emaknya semalam, bahawa petang besok [Jumaat], ada rombongan akan datang bagi meminangnya! Ayahnya sudah bersetuju. Semalaman dia berjaga, teresak. Air mata bagaikan sudah pupus. Yang terbayang hanya wajah guru perempuan itu. Itulah peluang terakhirnya mendapatkan pertolongan untuk menukar fikiran si ayah. Setakat itu, demikianlah yang mampu difikirkannya.
Masalahnya, guru perempuan itu sendiri tidak sanggup menghadapi ayah pelajar yang sedang terperosok di penjuru kelas itu. Guru perempuan itu pun belum pernah berkahwin. Lalu mencadangkan supaya saya mengambil peranan. Masalahnya, saya pun belum pernah menjadi menantu orang. Saya mencadangkan supaya perkara ini dibawa ke pengetahuan ustaz yang jauh lebih berkelayakan dan bakal menjadi mertua orang tidak lama lagi. Masalahnya pula, dia yang sedang terperosok di penjuru kelas itu, berkali-kali berpesan supaya jangan sesiapa lagi guru lelaki selain saya yang tahu. Dia rasa malu dan tidak mahu kehebohan berlaku."Kalau tidak...."katanya. Rupanya itulah janji yang terpateri semasa guru perempuan berbisik tadi.
Sampai sekarang saya tidak tahu apa pelengkap ayat "Kalau tidak ....." itu. Tapi guru perempuan mengandaikan yang buruk, teruk, kotor, bahaya, pelik, ngeri dan yang seerti dengan enam perkataan tersebut. Perut saya seakan belon tanpa angin - kecut.
Walaupun tiada penyelesaian, setelah menyerahkan soalan kuiz kepada seorang pelajar yang datang ke pejabat, kami masuk semula berjumpanya yang nampak amat berharap sesuatu yang positif dari kami.
Guru perempuan menghuraikan sebaik mungkin akan ketidakupayaan kami. Dia yang terperosok di penjuru kelas menangis semula. Kawan-kawan peneman - yang saya minta merahsiakan kes ini - turut menangis. Guru perempuan juga menangis. Guru lelaki yang seorang itu pula berjaya mempertahankan diri untuk tidak menangis-selama hampir 10 saat! Sambil meletakkan siku kiri di atas meja, saya memicit-micit dua penjuru dahi, cuba berlindung namun tidak mampu menahan air mata mengalir...
Ya Allah besarnya cubaan untuk anak AlFalah itu. Kertas jawapan SRP pun rasanya belum disemak, ayahnya telah menerima lamaran dari seorang rakan yang ingin sangat berbesan dengannya! Sedang guru yang diharap untuk menangguhkan keputusan si ayah, tidak mampu berbuat apa-apa! Kalaulah saya tua sedikit masa itu.....
Dua tapak tangan diraupkan ke muka, saya benar-benar memohon maaf kepada dia yang masih terperosok di penjuru kelas. Ketika tangisan saya hampir reda, dia yang terperosok di penjuru kelas itu berkata,"Kalau ayah saya mai panggil kenduri, cikgu jangan pi na......!" Subhanallah. Ayat itu saya ingat sampai kini. Sampai kini pula saya ingat betapa guru perempuan dan tiga rakan peneman menerpa ke arah dia yang masih terperosok di penjuru kelas - memeluknya sambil berkongsi air mata. Saya tak pandai mentransformasikan nada ayat itu dalam bentuk tulisan. Cukuplah kalau saya katakan, ia lebih menghiris dari dialog Seri yang mahu dijodohkan dengan Awang yang tidak disukainya , dalam filem Seri Mersing.....Maka saya menangis sama..... Maha Suci Allah yang memberikan kekuatan kepadanya untuk pasrah dan melontarkan kata-kata itu. Dia kelihatan tenang tiba-tiba tapi kami yang kacau-bilau dalam jiwa. Apa tidaknya, ketika melihat saya menyeka air mata, selamba sahaja dia berkata, "Biaq pi la cikgu. 'Dah nasib saya...... Kalau dan, cikgu ajaq anak saya pulak!" Aduhai, hanya yang mendengarnya saja yang tahu betapa kata-katanya meresap.........Ternyata dia kehabisan ikhtiar dan menghadap saja nasib....
Demikianlah.
Dua minggu selepas itu, ayahnya datang ke sekolah. Memberikan kad warna biru, menjemput guru-guru ke rumahnya sebulan dari hari itu - bulan Disember. Saya tiada di pejabat sekolah ketika itu. Setelah lama dia pulang, barulah saya masuk ke pejabat dan terlihat kadnya dilekatkan di papan kenyataan berhampiran meja kerani. Mata saya bergenang, kerongkong terasa tersekat. Terbayang dia yang pernah terperosok di penjuru kelas bersebelahan pejabat itu. Kalaulah saya ada semasa ayahnya datang tadi...........siaplah dia. Tentulah dia akan melihat betapa seorang bekas guru anaknya menyeka air mata.....!
[Seperti pintanya, saya tidak pergi ke majlis walimahnya. Emak saya yang pergi [kebetulan emak mengajar fardu ain di sebuah rumah penduduk kampungnya, lalu dijemput]. Saya kirimkan melalui emak sebuah buku berbalut kertas minyak, yang saya lupa tajuknya, tulisan Yusoff Zaki Yaacob, terbitan Pustaka Dian, Kelantan.
Lama juga, tanpa merujuk namanya, saya membandingkan keberuntungan beberapa pelajar perempuan yang malas belajar, namun masih diberi kesempatan bersekolah....Sedang dia yang agak cemerlang dan rajin, dipaksa menjadi suri rumah pada usia belum pun 16 tahun.
Sejak hari dia terperosok di penjuru kelas itu, saya tidak pernah berjumpanya lagi. Walaupun jarak antara rumah kami tidak sampai 15 km.[ Biasalah. Yang berjarak sepelaung pun sudah bertahun tidak berjumpa kalau sudah takdirnya begitu....] Emak, semasa sihatnya, kerap juga memberitahu perkembangannnya termasuklah daerah kediaman, bilangan anak dan saiz badannya setiap kali berlaku pertambahan zuriat.....
Malam tadi, 16 Mei, jam 8.30 saya terjumpanya. Bi iznillah.
Saya terpempan. Wajahnya yang pernah terselindung di balik tudung ketika terperosok di penjuru kelas dulu, masih saya kenal meski pun ketara kini beriring peningkatan usia. Dia menegur saya - mencari kepastian- ketika saya hendak makan mi goreng mamak yang dimasak oleh orang Melayu jati, di Simpang Kuala. Setelah pengesahan dan saya menyebut namanya - bukti saya mengenalinya, saya rasa mata saya bergenang, samalah seperti matanya.
Pertemuan yang tidak terduga. Lama dia berdiri merenung saya yang duduk sambil menghidu aroma mi goreng mamak yang baru dihantar oleh tukang masak yang jati melayunya itu. Kami kehilangan kata-kata. Mujurlah dia bekas murid saya. Kalau bekas kekasih, dalam renyai hujan di luar kedai, mau agaknya saya mengajaknya menyalin pakaian empat lima kali, bernyanyi bergolek di tengah jalan melampiaskan rindu..... Takkan ada orang kacau kut. Shah Rukh Khan buat dalam filem, orang tak peduli pun....
Saya mempelawanya duduk. Dia menggamit seorang lelaki sebaya saya yang dari tadi berdiri - agaknya hairan memerhatikan lelaki melayu jati sedang menggoreng mi mamak Kami bersalam dan berkenalan Inilah suaminya yang lebih dua puluh tahun lalu tidak sabar menyunting puteri ALFalah itu.
Sambil itu, tanpa meminta pendapat mereka, saya menempah lagi dua pinggan mi mamak yang digoreng oleh melayu jati itu.. Mereka hanya mengangguk, malah minuman pun saya seragamkan dengan saya.
Suaminya banyak berdiam diri walaupun saya mengesan sifat ramah dan memiliki daya kecindan yang amat baik - memberi peluang isterinya mengeluarkan semua soalan tentang saya, guru-guru lain, rakan-rakan sekelasnya dulu , Maklong, Maklang, Bang Man Kantin dan semestinyalah Alfalah. Soalan yang terhimpun selama dua dekad dihamburkan dalam sepuluh minit! Tak sempat menyusun ayat untuk sesuatu jawaban, diberi pula soalan seterusnya. Enjin carian Google pun boleh merajuk.....
Lalu saya jawab apa yang patut dan saya tahu. Sempat juga saya mempromosi blogspot Budak Falah dan Rencam. Ketika ini, suaminya pula yang banyak bertanya. Agaknya hairan sebab orang sebaya saya sempat buat entri secara agak kerap. Dia mengakui, komputer pun dia tengok luaran saja. Nak buka pun tidak tahu, apalagi melayari internet. Tidak sempat ikuti aliran zaman.
"Itulah, siapa suruh kahwin cepat sangat?!" Saya menjerkahnya, dalam hati....
Banyak juga yang saya tahu tentang dia yang pernah terperosok di penjuru kelas itu. Tapi semuanya off record. Demikian pintanya. Semasa saya ceritakan perjumpaan dengan murid AlFalah, cepat-cepat dia meminta jangan masukkan namanya.Lagi pula tak ramai rakan sekelasnya yang tinggal di kampung asal - maknanya sukar dihubungi. "Saya bukan habis mengaji macam orang lain!" Tukasnya. Saya tidak tahu sama ada ditujukan ayat itu kepada saya atau serentak kepada suaminya. Tetapi berdasarkan nada pada kalimat macam orang lain, ada bauran hiba dan geram serta dendam di situ......
Dari perbualannya, saya tahu dia yang pernah terperosok di penjuru kelas itu, seorang yang tabah, redha(reda) dengan suratan takdir dan isteri yang patuh.
Ketika akan berpisah semula, setelah mereka menyempurnakan pembayaran di kaunter [dengan izin saya], dia minta izin suaminya untuk bersalam dengan saya. Berlapikkan kain tudungnya, kami bersalam. Ketika dia seakan hendak mencium tangan, cepat saya menyentap. Kegirangan dalam perbualan tadi tiba-tiba padam. Sayu mencengkam.
"Maaf banyak-banyak na, Cikgu,"katanya," Mana tahu,dah dua puluh tahun, baru berjumpa balik. 'Ni kalau 'nak jumpa pula lagi dua puluh tahun, silap-silap saya pi dah!"
Saya hanya tersenyum menyembunyikan sayu. Bukankah saya pun akan pi? Tapi dia yang pernah terperosok di penjuru kelas, ternyata lebih berani mengungkapkannya....
Dia meminta nombor telefon saya. Saya menyebutnya," Kosong, satu...." Saya nampak dia mengisyaratkan suaminya jangan masukkan terus dalam telefon.Apa lagi mek 'ni? Soal otak kiri saya kepada otak kanan.
Dia mengeluarkan pen dan sekeping kad kahwin dari tas tangannya.
"Kosong, satu...." Saya mengulangi.
"Nah, cikgu tulis. Nak simpan tulisan tangan cikgu....." katanya.
Saya membongkok di meja mengikut saja kehendaknya. Menulis besar-besar nombor telefon dan nama saya. Sambil itu sempat pula berfikir: buang tabiatkah anak murid aku ini? Kalau imbas muka, seperti yang sering saya terangkan semasa mengajar sastera, ertinya........
Saya meminta nombornya pula. Dia yang pernah terperosok di penjuru kelas itu, hanya tersengih.
"Tak payahla. Cikgu bukan 'nak cari saya. Saya yang 'nak cari cikgu dulu...."
Saya kebingungan.
"Cikgu lambat lagi 'nak boleh menantu. Saya, kalau tak ada aghai [aral], bulan dua belas 'ni 'nak pangge cikgu la..... buat dua sekali!"
Saya cuba menyebut 'o' yang tak berbunyi.
Tadi saya beritahunya anak sulung [lelaki]dengan isteri sulung baru berusia 17 tahun, manakala anak-anak daranya, yang pertama, sudah berumur 24 tahun, yang kedua 21 tahun dan yang ketiga, 16 tahun. Katanya, seperti memotivasikan anak-anak, dia yang pernah terperosok di penjuru kelas itu, tidak malu bercerita tentang pemberhentiannya dari sekolah. Walaupun masih terkilan dengan ayahnya [meninggal dalam tahun 2005] dia yakin dengan aturan takdir. Yang tidak sedapnya, cerita air mata yang mengalir di wajah guru lelaki dulu turut ada. Malah dijadikan bahan penghambat bab-bab yang memilukan. Dua anaknya pernah beberapa kali melihat emak saya, ketika berada di kampung datuk mereka tempat emak saya mengajar.
"Balik, kirim salam dekat orang rumah dan emak cikgu...."
Apabila saya memberitahu bahawa emak saya telah meninggal dua bulan lepas, wajahnya tiba-tiba redup. Saya pula terus mendung. Katanya, emaknya pun mungkin tidak tahu. Memang pun tidak ramai yang tahu. Tiada hebahan menyeluruh. Dia mengucapkan takziah dan sekali lagi meminta diri.
Dalam lima meter berjalan beriring suami, dia melangkah balik ke arah saya yang masih duduk di kerusi tadi. Tercari-cari sesuatu, akhirnya dicapai kertas tisu di dalam kotak di depan saya. Barangkali dia menulis alamat rumahnya dan nombor telefon, berdasarkan sesekali terhenti, terkebil-kebil, dan menulis semula. Kemudian, kertas itu dilipat dua kali lalu diserahkan kepada saya. Senyumnya menguntum. "Tadi terlupa" katanya.
Setelah mereka hilang di sebalik pintu kedai, saya membuka lipatan kertas tisu itu.
Bukan alamat rumah atau nombor telefon.
Setelah lebih 10 tahun, inilah ucapan Selamat Hari Guru secara bertulis saya terima. Ditulis live di depan saya dalam tulisan jawi yang sederhana. Di bawahnya tertulis pula HINDI KITA MALIMUT [lihat entri tentang ini terbitan 19 September 2012 - penulis] dalam tulisan roman. Diikuti tandatangannya yang ringkas. Beserta tarikh.
Ingat lagi rupanya dia yang pernah terperosok di penjuru kelas itu, akan tajuk lagu Tagalog yang saya sebutkan dalam satu kelas dulu......
Sayu dan seronok bergaul. Saya melipat kertas itu semula dan memasukkan ke dalam poket seluar. Akan saya tunjukkan kertas istimewa itu kepada anak dan isteri atau kalau mungkin ke blog ini.
Di Simpang Empat, saya singgah di kedai 7-11, membeli roti untuk anak bongsu. Tidaklah mahal. RM2.80.
Yang mahal adalah, kertas tisu itu telah terjatuh entah di mana! Ketika saya mengeluarkan duit untuk membayar di kaunter, saya mengesan keghaiban kertas itu sebab yang ada hanya helaian duit dan kepingan syiling.....
Di rumah, angin satu badan. Tidak banyak bercakap dengan isteri dan anak terus saya menghadap komputer. Mencari-cari langkah untuk menulis sambil mengingat dia, yang pernah terperosok di penjuru kelas itu.
Di mana pun dia, semoga dia bahagia. Saya tahu, dia akan diberitahu tentang tulisan ini kerana ketika saya menyebut blog ini, dia terus menelefon anaknya supaya simpan alamat atau singgah di 'sekolah emak'.........
Kepada dia yang pernah terperosok di penjuru kelas itu, walaupun kendurinya pada bulan Disember, panggelah sekarang.....
Nama dan kampung kamu pun saya tidak sebut; bukti saya akan terus menyimpan rahsia dan kenangan ini.
p/s: Jerkahan kepada suami tadi, hanyalah gurauan sesama kita ,ya?
Panjang juga bila ditulis dengan perasaan.........jam 4 pun masih berjaga...
No comments:
Post a Comment