Saya memang tidak ada kerja hujung pagi Ahad itu.
Mahu membaca berita siasah, tak ada pihak pun yang mengaku
lawannya betul… Mahu membaca berita hiburan, saya trauma dengan satu tajuk
beberapa minggu sebelumnya – Buah Dada Saya Bukan Plastik! Mahu baca bab sukan,
lagilah mengarut: Ada idea untuk mengambil orang Brazil jadi pemain bolasepak
Malaysia supaya skuad negara gagah… Mahu membaca ruang resipi, walaupun tersentuh
juga kelenjar liur, tujuh dari lapan
bahan yang digunakan oleh chef selebriti, tidak ada pun di dalam almari elektrik di dapur saya…. Satu per lapan bahan itu pun hanyalah yang
nama kimianya natrium klorida….
Mahu berwasap… punat qwert
terlalu kecil untuk jari. Mahu tekan S naiknya D, mahu huruf I naiknya O… buat
orang marah sahaja, lain yang dimaksudkan lain yang naik…
Mahu mengurat samatua? Baru saja pasang niat, si dia
melintas dua kali dengan dua bakul pakaian yang perlu disidai. Tidak romantik
langsung latarnya… Niat terpaksa diurungkan dulu, tunggu si dia sedang mengupas
buah mangga masak… atau sedang menyenduk nasi…tidak teruk sangat menyusun ayat…
Akhirnya saya didatangi ilham.
Di depan saya ada senarai pelajar yang mendaftar masuk ke
AlFalah - dari tahun 1983 hingga 1999 -
sejak mereka meninggalkan sekolah rendah. Maksudnya, yang masuk ke Kelas
Peralihan [dan Tingkatan Satu pada awal dekad 90-an, apabila kelas Peralihan
dimansuhkan].
Saya membelek senarai tahun 1983, bermula dengan nama Abdul Khodir Mohd
Ariff [siap dengan nombor kad pengenalan A 1779772!], satu persatu
saya baca dan cuba mencari wajah setiap mereka, kalau masih tersimpan di minda.
Setiap nama saya baca nombor kad pengenalan lama itu [jika ada] sambil
mencari-cari wajah mereka itu…
Azhari @ Asri Mansor… A 1681991
Azizan Md Zain… A 1277170
Ali Md Saad… A 1456991
Abd Latif Ismail… A 1565617
Abd Mutalib Saad… A 1565661
Che Hasnah Derani… A 1499251
Che Puteh Md Ariff… A 1779989
…
…
1984
Ahmad Afifi Hashim… A 1837130
Basri Zakaria… A 1984223
Hazliza Ahmad… A 1885426
Halimatun Saadiah Yusof … A 1882123
Mahathir Jamaluddin… A 1948944
Adalahlah juga yang tersimpan, tetapi kebanyakannya datang
dengan beruniform AlFalah. Berwajah polos, kejur dan kering. Bersongkok mereng
atau terbenam. Bertudung senget atau menutup dahi…
Yang saya jumpa setelah tamat persekolahan atau baru-baru
ini terjumpa, lamalah sedikit saya pada nama itu, bagi menyimpan data terbaru
seperti lokasi, bilangan anak ….
Bagaimana atau apa yang saya simpan?
Saya contohkan beberapa nama itu.
Abdul Khodir sekarang ini chef terhormat di Langkawi, pernah
bertemunya dua kali di rumah keluarganya sempena majlis tahlil untuk ayahnya,
di Alor Ibus. Azizan juga, dikhabarkan oleh rakannya Shamsuri Azizan, berada di
Langkawi, tetapi tidak tahu pula lokasi dan posisinya. Ali Md Saad yang kecil
molek serta peramah di AlFalah dahulu, kini menjadi posmen di Pulau Pinang.
Abdul Latif masih ada di kampung kelahirannya - Kg Perlis – menjadi pesawah
jaya. Abdul Mutalib, orang sekampung saya, kini menetap di Pahang. Che Hasnah
tinggal di Alor Ibus, manakala Che Puteh tidak sempat saya tanyakan lokasinya,
walaupun kedua-dua Che itu pernah saya temui pada pertemuan raya budak Falah
kali kedua yang diadakan di dewan SK Taman Bersatu pada tahun 2012 dahulu.
Afifi masih di kampung asalnya, Alor Ibus. Basri kini
menetap di kawasan Parlimen Bukit Gantang, Perak. Hazliza di Kuala Lumpur. Dua
kali saya bertemunya ketika dua kali pula berkesempatan menghadiri kenduri
perkahwinan adik-adiknya di Changlon [sila rujuk entri tentang kenduri berselang
beberapa bulan di antara hujung tahun dengan awal tahun] Selain itu Hazliza
agak aktif juga di laman fb. Halimaton Saadiah tidak pasti tempat tinggalnya
samada di Kg Selarong Batak atau mengikut samatuanya di mana-mana tempat.
Mahathir masih di Tebengau, sebagaimana yang saya catat tentang pertemuan
dengannya beberapa bulan dahulu.
Demikianlah. setiap orang masuk keminda berdasarkan maklumat yang ada...
Lamalah juga saya membelek, menyingkap helai demi helai. Sehinggga
senarai tahun 1992 yang masih bertulis tangan pada kertas besar. [Mulai 1993,
nama pelajar baru tidak lagi ditulis di dalam buku pendaftaran, sebaliknya
dimasukkan di dalam komputer. Saya juga
ada menyimpan salinan senarai dari komputer itu sehingga kini…]
Setahu sayalah, ada yang di dalam senarai bertahun-tahun tersebut
telah meninggal, ada yang telah
bermertua baru atau baru bermertua, ada yang ditakdirkan belum bermertua…
Tidak ada kerjakah membelek semua senarai itu?
Ya. Saya memang tidak ada kerja hujung pagi Ahad itu…
Sehingga senarai tahun 1992 itu, sempatlah saya membelek
SETIAP nama dengan jumlahnya 422 orang! Sempatlah samatua menyidai kain,
menyiang ikan, memasak dan dengan senyum manisnya mempersilakan saya, yang
menyimpul senyum, untuk makan tengahari…
Nama terakhir pada senarai tahun 1992 adalah Hindon Ismail
[adik Mariam, iparnya Zulkifli
Shamsuddin…]
422 orang.
Angka mestilah meningkat kalau dikampuhkan sama senarai
pelajar dari tahun 1993 sehingga tahun 1999 [berdasarkan senarai yang saya
simpan, meningkat lagi kalau dimasukkan pelajar sehingga Alfalah direhatkan
pada tahun 2001/02.
Angka tentu akan meningkat jika ditokok pula dengan pelajar
yang masuk di pertengahan tahun atau tingkatan lain sepanjang hampir dua dekad
itu. Disertakan pula dengan pelajar
kelasa akademik yang berdaftar dari tahun 1983 sehingga tahun di mana pelajar
sekolah menengah biasa tidak perlu lagi mengulang mengambil peperiksaan
SRP/PMR….
SERIBU lebih!
Sahih! Yang tidak sahihnya adalah angka tepatnya. Ini
dikeranakan tidak ada penyimpanan senarai penuh semua pelajar itu, atau kalau
pun ada, telah hilang dalam simpanan berikutan rehat terlalu lama yang
dianugerahkan kepada AlFalah…
SERIBU lebih!
Tidak perlu banyak. Kalau 20% sahaja yang berjaya
dikumpulkan pada setiap perjumpaan raya, sesaklah dewan. Baru ada yang tahu
bahawa si anu itu rupanya budak Falah!
Saya ambil contoh mudah yang berlaku di depan mata dan di
sisi telinga…
Saya bersama Budak Batas Paip [BBP] serta dua lagi budak
Falah – Dato’ Abd Malek Jamaluddin dan Tan Sri Ahmad Nazri Hashim – sedang
menghadap meja di depan Kedai Mee Abas di Kompleks Perniagaan Nakhoda, Batas
Paip. Apa yang ada di atas meja itu tidak perlulah saya nyatakan kerana tidak
relevan dengan catatan ini…
Sedang santai berbual, muncul Mohd Fazli Hj Mahmud – budak
Falah [Tingkatan 3 1983] – yang sedang menunggu rakannya di meja di sebelah
kami. Saya menegur dan Fazli bersalam dengan kami. Tan Sri adalah orang
sekampungnya dan kalau tidak silap, mereka berdua bukan orang…
BBP mungkin terkejut sebab Fazli memanggil saya dengan
kalimat CIKGU. Maka saya perkenalkannya sekali dengan tahun kemasukan Fazli ke
ALFalah dahulu. Tidak tahulah bagaimana pergerakan mata BBP, samada terkebil
atau tidak.
“Tak tau kata dia mengaji di Falah juga…”katanya, lebih
kuranglah, “ dok main sepakraga sama-sama tiap-tiap petang…”sambungnya, merujuk
aktiviti menjelang senjanya di sekitar Batas Paip yang paipnya entah di batas
mana itu…
Rakan Fazli datang. Mereka berbual di meja lain. Kami terus
berbual. Lama.
Lama kemudian, Fazli dan rakannya mahu beransur pulang. Dia
membayar harga makanan dan minuman di mejanya serta melanggar sempadan dengan
membayar juga harga makanan dan minuman yang diletakkan oleh pekerja Abas di
atas meja di depan kami…. Adat Melayu, adalah tolak tarik sekejap, tapi
hujung-hujung, Fazli berjaya mendapatkan hak membayar untuk kami sekali…
Demikianlah. Contoh mudah.
Baru ada yang tahu bahawa si anu itu rupanya budak Falah!
Bayangkan 20% dari SERIBU lebih budak Falah datang ke
perjumpaan raya di Taman Bersatu pada raya keempat kelak. Dibawa sekali samatua
dan seorang dua anak…
Tentu sesak dewan. Tentu seronok. Tentu meriah.
Tentu ada yang terkebil mata. Tidak menyangka seseorang yang
rapat dengannya ~ di kejiranan, di kelas
memasak atau menjahit, di pertemuan Amanah Ikhtiar Malaysia, di kelas fardu
ain, sama menghantar/menunggu anak di tepi pagar sekolah, sama ahli jamaah,
sama ahli main kutu…… ~ rupa-rupanya
juga budak Falah.
Jika demikian jadinya, kalau ada soalan: Kenapa ada DIA di
antara kita?, tentu tidak kekok lagi sesiapa pun member jawapan.
DIA juga budak Falah!
No comments:
Post a Comment