19 December 2012

Ustaz Abby

Abby Abadi
Abby Fana



Abang Dolah dipanggil AD atau Eddy. Ahmad Dassila juga Eddy. Adik Deris juga dipanggil Eddy. Demikian popularnya. Itu belum termasuk yang memang asalnya bernama Saidi, Zaidi malah Eddy .Anda pasti kenal sekurang-kurangnya seorang yang dipanggil Eddy atau AD di kalangan kejiranan atau sekitar - walau apa pun nama asal pemberian ayah bonda.

Sama seperti kita ada Bob atau Boy atau Roy masing-masing.

Kemudian ada pula AB @ Ebby @ Abby. Tak kiralah nama asalnya Abu Bakar, Ahmad Busu, Adik Bongsu dan seumpamanya.

Saya, seperti sebahagian anda, kenal dua orang bernama Abby. Satu nama asalnya ArBaiyah dan satu lagi HABsah. Kalaulah panggilan AB itu kerana ada abjad A dan B pada nama mereka, susahlah kita. Terlalu ramai yang kita kena panggil AB atau Abby. Semua yang bernama bermula dengan ABdul saja, sahihlah. Ini diikuti oleh yang lain - ShahABudin, NABil, ABrahah, ABon, AlbAB, ZainAB, HABibah/HABib,Md RejAB dan seterusnya.....

Lupakan sementara.

Mari kita kembali ke AlFalah.

Sebelum itu:

Mengikut statistik Kementerian Pelajaran, sehingga tahun 2012, terdapat 10,019 buah sekolah di bawah kelolaannya di Malaysia. Daripada 7,723 sekolah rendah dan 2,296 sekolah menengah itu, teringin sangatlah diketahui, di sekolah manakah tidak pernah terdapat seorang guru pun yang terlibat di dalam perniagaan jualan langsung serta menyertai mana-mana skim cepat kaya……. Kalau ada sekolah itu, teringinlah juga kita melawatnya untuk dibuat tangkal atau seumpamanya….hehehehe.

Itu sekolah kementerian. Bagaimana pula dengan sekolah persendirian serta sekolah rakyat. Ada yang boleh dibuat tangkal? Hehehehehe.

Hehehehehe.

Ini pengalaman kecil saya di AlFalah. Hehehehe. Hairan, kenapa asyik tergelak sahaja sejak ada perancangan untuk menulis tentang, sehinggalah mula mencatat ini…..

Tersebar di Alor Setar, sebuah skim pelaburan ikhlas yang cukup menguntungkan – macam pernah dengar saja, kan? – Hehehehe.

Siapa yang tidak mahu untung, berlipat ganda pula? Syarikat mana pula yang akan bercerita yang negatif pada brosur buatannya sendiri?

Khabarnya ramai telah menikmati keuntungan itu ……… hehehehe.

Saya bersama Cikgu Shon [Tuan Haji Mohd Faisal Abdul Hamid] teringin mencuba. Hehehehe. Dua tiga hari kami berkira-kira apabila melihat brosur pelaburan yang diberikan oleh seseorang. Saham Wawasan namanya. Sewaktu itu belum dilancarkan Amanah Saham Wawasan [ASW], produk dari Permodalan Nasional Berhad [PNB]. Kiranya pengelola yang di Alor Setar lebih terkedepan dalam menggunakan perkataan Wawasan yang begitu popular ketika itu……


Satu pagi yang indah – hehehehe – kami ke Alor Setar. Tepatnya ke salah sebuah bangunan rumah kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad [KTMB]. Bukan kakitangan KTMB yang tinggal di situ, sebaliknya dijadikan pejabat operasi skim yang saya maksudkan. Kalau tidak silap rumah kedua dari Jalan Langgar memasuki Jalan Stesen. Seingat saya rumah itu pernah menjadi pejabat Pertubuhan Belia 4B semasa saya berulang alik belajar di tingkatan enam, dengan bas MARA yang stesennya bersebelahan dengan bangunan Percetakan Nasional dahulu. Bagaimana rumah kakitangan boleh bertukar penghuni, jangan tanya saya……

Orang memang agak ramai berurusan di situ. Naik dan turun tangga batu rumah rekabentuk zaman kolonial itu. Di lamannya berderetan motorsikal baru. Cikgu Shon memarkir keretanya di bawah pokok pukul lima yang besar, tua dan rending, tidak jauh dari laman tersebut.

Di atas ‘rumah’ itu kami nampak seorang petugas sedang melayan sederet pelanggan. Dia duduk di atas kerusi menghadap meja tulis yang cukup ringkas hiasan atasnya – sebekas kecil bunga plastik di kanannya. Dia memegang sebatang pen. Di hadapannya sebuah buku resit tebal dan sebuah cop getah beserta tempat dakwatnya.

Ada dua bilik di sebelah petugas itu berdasarkan dua pintu yang tertutup rapat. Kami tidak tahu siapa yang di dalam bilik-bilik tersebut, jika ada orangnya, kerana tiada tingkap atau cermin di bahagian hadapan, menghadap ruang depan. Petugas tersebut, seorang gadis berusia sekitar suku abad, begitu ramah melayan pertanyaan pelanggan.

Akhirnya tiba giliran saya dan Cikgu Shon. Bermodalkan RM65 satu lot, saya membayar pelaburan dan mendapat resitnya, yang siap dicetak perkataan IKHLAS di atasnya. Berapa lot? Soalan itu tidak relevan lagi….

Sewaktu giliran Cikgu Shon, sebelum membayar, sempat ditanyanya beberapa soalan – mungkin kerana pelaburannya lebih dari saya, tambahan lagi turut dibawa pelaburan seorang dua ahli keluarga…..hehehehe.

Saya tidak ingat akan soalan pertama namun tidak lupa akan jawapannya: Lepas 40 hari, kalau tak nak ambik duit, nak pi umrah pun boleh, nak ambik motor macam di depan ‘tu pun boleh. Motor Kriss……..

Bersemangatlah kami…… Patutlah orang berderet keluar masuk membuat pelaburan…. Hehehehe.

Cikgu Shon membayar bagi lot-lot pelaburannya serta ahli keluarga dan mendapat dua resit. Hehehehe.

Tanpa mengira terlebih dahulu, petugas itu meraup duit kami lalu memasukkan ke dalam laci mejanya. Hebat sungguh kepercayaannya terhadap kami. Kerani bank mana pun tidak akan berani berbuat begitu. Hehehehehe.


Melihat ruang masa yang ada Cikgu Shon bersoal-jawab lagi dengan petugas itu. Berikut adalah trankripsi perbualan mereka:

“Nak tanya sikit lagi. Siapa taukeh sini?

“Ustaz Abby…..”

“Dia ada dak….”

“Dia jarang mai sini. Kalau ‘nak jumpa dia kena pi Masjid Zahir….”

“Masjid Zahir?”

“Dia selalu ada di situ. Dia berjemaah di situ setiap masuk waktu……”

“Dia asal orang mana?

“Simpang Empat.”

“Simpang Empat mana?”

“Simpang Empat Kangkong….”

Sampai di sini perbualan mereka terhenti seketika kerana Cikgu Shon berpaling menatap muka saya. Barangkali perkataan Simpang Empat Kangkong begitu menyentaknya. Saya mengangguk-angguk. Rasanya saya sudah boleh mengagak….

“Apa nama penuh Ustaz Abby?” saya bertanya. Kali ini petugas itu memandang wajah saya. Agaknya inilah kali pertama pelabur bertanyakan nama penuh majikannya…..

Petugas itu menjawabnya senafas, sambil menggamit bakal pelanggan di belakang Cikgu Shon.

Saya menggamit Cikgu Shon, mengajaknya berlalu.

“Hang kenai ustaz ‘tu?” tanyanya sebaik kami memasuki kereta.

Saya tersengih.

“Area hang ‘tu….” tambah Cikgu Shon.

“Kita balik kut Simpang Empat. Sat lagi aku tunjuk rumah dia……” Saya menjawab sambil meneruskan sengihan. Hehehehe.

Ustaz Abby!

[Saya tahu nama sebenarnya. Demikian jugalah bagi rakan-rakan lain di kampung dan di AlFalah. Maka biarlah hanya kami yang menggunakan nama tersebut dalam perbualan. Nama glamor. Ustaz Abby, hanya saya gunakan di dalam catatan ini. Alasan saya, sesuai dengan nama asalnya – syarat ada huruf A dan B yang sahih, sedap dan komersil pula….]

Dia orang  kampung saya. Dia cukup rapat dengan Paktih saya semasa remaja dahulu. Mereka sebaya malah kata Paktih, tarikh lahir mereka juga sama…. Waktu itu mereka bergiat di dalam Pertubuhan Belia 4B kampung di mana Abby menjadi pengerusinya. Di peringkat negeri dan kebangsaan pun khabarnya Abby mempunyai kedudukan. Dia rapat dengan Pengerusi Pertubuhan Belia 4B Kebangsaan, Datuk Suhaimi Kamaruddin, anak saudara Dato’ Haron Idris, bekas Menteri Besar Selangor.

Dia cukup aktif, dan kreatif. Saya masih ingat bagaimana persatuan belia itu sering mengumpul dana dengan menganjurkan pertunjukan pentas dan penayangan wayang pacak. Pada satu peristiwa, [awal tahun 70-an] ketika suatu musim kemarau, dia menganjurkan pertunjukan pentas di kawasan bendang yang dipagari dengan tirai plastik. Lokasinya adalah di sebelah Jalan Yan, kurang daripada 50 meter dari simpang ke Kangkong dan Kuala Kedah. Sekitar 250 meter sahaja daripada rumah Cikgu Rahim di Kampung Hj Jamal.

Dua tiga malam acara berlangsung. Salah satu malam itu, saya ikut pergi setelah puas memujuk emak memberikan duit tiket. Walaupun seringgit, tetapi banyak lagi yang boleh diangankan dengan duit senilai itu pada masa tersebut.- malah perjuangan untuk mendapat nilai berkenaan pula bukannya mudah – paling tidak mesti mengambil upah membanting seguni padi…..

Saya terlupa siapa artis dari ibu negara yang dibawa pada malam tersebut. Osman Bakar ka, Kassim Selamat ka, Osman err… Osman Jailani ka, entahlah. Namun saya teruja untuk mendapatkan tiket apabila sampai di lokasi, terdengar suara Abby dari jauh melaung dengan lancar serta dengan intonasi yang menarik: ya….. kawan kita yang baju biru telah menjatuhkan semua tin dengan sekali baling sahaja. Tahniah. Cuba tengok apa hadiah yang dia dapat……..Yang tidak berjaya, cuba lagi…… Ya …. Tengok di khemah lagi satu. Ramai yang mencuba membuat panahan…… tapi hadiah utama belum ada lagi pemenangnya! Teruskan, tuan-tuan…….. Di khemah tengah pula……Itu dia! Kawan kita baru mendapat hadiah saguhati. Banyak lagi hadiah untuk dimenangi. Teruskan mencuba…….

Demikianlah.

Saya bersama kawan-kawan yang masih termengah kerana berlari campur berjalan kaki dari rumah di belakang AlFalah, terus membeli tiket di kaunter. Berlari-lari pula kami masuk setelah memberi tiket kepada anggota belia yang menjaga pintu. Berlari-lari lagi mencari khemah yang ada acara membaling tin, memanah dan lainnya. Tetapi kami hampa. Hanya ada satu pentas di arah selatan hujung. Di atasnya sekumpulan ahli muzik sedang bersedia untuk memulakan persembahan. Orang ramai mula bertumpu di situ. Di sebelah pintu masuk, saya nampak Abby sedang berseorangan, memegang mikrofon sambil mengulang-ulang ayat tadi dengan sedikit penambahan atau pengurangan……. Strategi! Ingat, ia berlaku pada tahun 70-an lagi.

Demikianlah.

Paktih berangkat bertugas ke Sabah pada tahun 1973. Sejak itu pula hubungan mereka terputus. Walaupun, sekampung, tidak pula saya rapat dengan Abby. Cuma sesekali bertembung dan bertegur sapa.

Kami – semua guru lelaki, terutamanya - menjadi agak rapat pada hujung tahun 1980-an apabila dia dilantik selama sepenggal sebagai Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah Agama AlFalah. Kemudian hubungan itu kembali terputus sehingga AlFalah ditutup…. Sehingga waktu itu, belum ada ustaz pada pangkal namanya. Entahlah, sejak bila dia bergelar Ustaz Abby…..

Beberapa meter dari simpang empat Yan – Kangkong – Batas Paip, saya menyuruh Cikgu Shon menoleh ke kanan. Ada satu lorong bertar yang boleh menembusi hingga AlFalah dan Kampung Perlis. Di belakang sebuah rumah Ah Chye, keluarga tunggal Tionghua di kampung itulah letaknya rumah Ustaz Abby. Dari jalan raya boleh dilihat pintu pagar dan bahagian depan rumah setingkat itu.

“Pelaburan tadi, agak-agak hang boleh untung dak?” tanya Cikgu Shon sebaik keretanya dibelokkan ke AlFalah.

“Boleh kut….” saya menjawab tanpa mempedulikan sangat akan mafhum frasa tersebut.  Apabila tersedar akan makna soalan Cikgu Shon, barulah saya kembali berdoa, kalau tidak dapat laba, dapat modal tadi pun cukuplah……. Enam puluh lima ringgit pada masa itu – 90-an – cukup tinggi nilainya : boleh menyara dua akhbar harian untuk saya selama sebulan setengah…. Atau gula serta tepung serba seguni….Atau lagi boleh menonton wayang di Panggung Royal Alor Setar [di atas tapaknya kini didirikan bangunan ALOR RIA] sebanyak 100 kali…… Kalau ditukarkan dengan setem untuk dilekatkan pada surat buat kekasih, mahu nipis lidah untuk menjilatnya!

Bayangkan kalau berlot-lot pula…. Hehehehe.

Bercerita siapa taukeh pelaburan tersebut sebaik sampai di bilik guru AlFalah, timbullah pro-kontra akan peluang kami mendapat keuntungan. Bagi yang tidak mengeluarkan modal, dengan air liur sahaja siap mengatakan kami akan sekali lagi kehilangan pelaburan manakala kepada yang masih panas rasanya duit keluar dari poket, berdasarkan resit di tangan, cuba meyakinkan diri bahawa kami akan sempat merasa nikmat …….

Masih jelas, bagaimana Ustaz Zahari terpejam matanya, tersenyum, apabila mengetahui Ustaz Abby yang menguruskan pelaburan tersebut. “Ana kenai dia…..” katanya berulang kali. Memanglah. Ana errrr saya pun kenal ‘dia’ yang memiliki rekod rajin bertukar perniagaan… Tapi kerana Ustaz Zahari mengulang beberapa kali, cuak juga mendengar penekanan pada perkataan kenai itu….

Cikgu Non tidak banyak mengulas. Tapi senyumnya pula serasa sedang dipendam untuk dihulurkan sebagai tanda simpati kepada kami.

Alangkah dahsyatnya imbas muka [foreshadow] di minda saya.….

Demikianlah.

Seminggu berlalu. Kami dikhabarkan pejabat berhampiran stesen keretapi itu tidak lagi mampu menampung bilangan pelabur yang makin ramai. Sebuah rumah kedai di Mergong disewa untuk dijadikan pejabat baru. Lebih luas dan lebih selesa. Khabar ini cukup menggembirakan kami. Keyakinan kian bertambah. Bagaimana luas dan selesanya tidaklah dapat saya jelaskan kerana tidak pernah menjejak ke situ. Saya dan Cikgu Shon serta keluarga terdekatnya kian sibuk menghitung hari. Kalau berbaloi pelaburan tersebut, tidak syak lagi kami pasti menambah pelaburan serta menjadi tukang kempennya…..

Seminggu lagi berlalu. Tiada sebarang keraguan.Tandaan kami pada kalendar makin penuh…….

Lagi seminggu berlalu. Maknanya, kian dekat untuk kami melihat hasil pertama pelaburan. Keyakinan semakin tinggi. Kesediaan untuk melabur lagi mula muncul. ‘Dapat saja duit itu, akan kita lipat dan tambah pelaburan….” Kami saling bergilir melafazkan lebih kurang begitu, terutamanya ketika berbual di kantin bersama Bang Man….

Satu pagi yang jernih – hehehehe – kami merasakan minuman di kantin tidak begitu menyelerakan. Cikgu Shon mengajak saya minum-minum di Pekan Simpang Empat. Sempat juga memasang lagi angan-angan…… Selesai minum, Cikgu Shon membeli akhbar Harian Metro di hadapan sebuah kedai runcit.

Membaca berita utamanya sepintas, Cikgu Shon mencuit bahu saya. Saya membacasepintas juga.

Phi! Pi! Pi ‘dah….!

Serbuan telah dilakukan di Mergong dan kampung saya! Sebuah syarikat pelaburan tanpa lesen digeledah Penganjurnya ditahan. Sejumlah besar wang dirampas.

Kampung saya! Kenapa saya hanya tahu menerusi akhbar?

Perjalanan balik ke AlFalah dirasakan menjadi paling panjang dan perlahan di dalam sejarah!

Di pejabat sekolah kami memaklumkan tentang kejadian tersebut. Seorang pelabur yang banyak juga lot beliannya, memujuk kami dan dirinya… “Cuba tengok elok-elok…. Syarikat lain kut …..”

Tetapi bacaan kali keberapa pun tidak akan memadam cetakan nama kampung saya itu!

Kami melopong…….

Meski kecewa, ia tidak menjadikan kami serik……. Percayalah. Kami tetap mencari jalan untuk berduit banyak….. Hehehehehe.

Tentang kisah di atas, saya sempat berbangga kerana nama kampung kelahiran saya menjadi tajuk utama sebuah akhbar popular. Namun saya tidak mungkin melupakan wajah Ustaz Abby yang kemudian dikhabarkan bermastautin di negeri Perak.

Malangnya, saya terlupa untuk memetakan di minda senyuman simpati Cikgu Non…..

Akan Cikgu Shon …… anda yang mengenalinya bertanyalah sendiri kepada tuan empunya tubuh!

Hehehehehehe.

Sekarang agaknya tidak kami terasa apa-apa lagi. Lagi pula kalau dikaji, bukankan kami telah ikhlaskan wang itu berdasarkan persetujuan ketika membaca brosurnya? Cuma kenangan itu, kadang-kadang bertandang........


 [Apologi untuk Tuan Hj Mohd Faisal. Jangan saman...... Untuk sekitar 6 minit, dengarlah boria di atas....hehehehe]

No comments: